29 November 2008

Ogos 1989:Pertemuan di surau dan purdah...(2)


Di surau aku memberi salam sambil mencari kedudukan F.  Maklumlah di balik tabir.  Tak nampak.F menjawab salamku di hujung sudut tabir pintu masuk ke surau dan aku pun duduk bersila menghadapi tabir hijau yang tebal. Aku dengar suara F lembut di balik tabir. Aku masih ingat wajahnya yang bersih tanpa sebutirpun jerawat. Terbayang juga pertemuan di tangga dulu betapa F,  ah… susah hendak digambarkan apabila hati sudah suka!  Kini (ketika itu) aku hanya berpeluang mendengarnya dari balik tabir.

Memang F meluahkan sesuatu kepadaku tapi hanya berkisar mengenai masalah yang dihadapinya serta keputusannya memakai purdah. F minta pandanganku samada setuju dengan perubahan dirinya atau tidak (dalam hati tertanya... mengapa pula dia meminta pandangan dariku).  F menyatakan bahawa sejak beliau berpurdah rakan-rakan seakan menjauhkan diri darinya. Ada juga guru yang tidak mahu F memakai purdah.  Sebenarnya aku tidak setuju F berpurdah ketika masih belajar kerana pada pandanganku ada ulama yang mengharuskan memakainya  ketika belajar.  Namun aku hormati keputusan yang diambil.  Lepas STPM aku melepaskan keputusan pada F kerana itu haknya untuk memakai.

F menceritakan masalah peribadinya kepadaku sambil meminta nasihat serta pandangan.  Aku tahu bila F meluahkan cerita peribadi dan masalah dirinya kepadaku bermakna  dia telah mula mempercayai aku. Terasa aku dihargai ketika itu.  F menceritakan hubungan rakan-rakan yang mula dingin terhadap perubahan dirinya. Dalam diri aku terfikir F benar-benar mengharapkan sokongan dariku. Tapi aku keliru.  Dalam fikiran ada sesuatu yang menganggu. Aku serba salah. Dalam diamaku  suka F kerana dia mempamerkan ciri-ciri gadis yang solehah.  Keputusan F memakai purdah satu keputusan yang berani.  Bagiku, sudah biasa berjumpa dengan wanita berpurdah sewaktu berada dalam jemaah Al-Arqam satu ketika dulu.  Aku memang memandang tinggi wanita sebegitu.

Tapi seminggu sebelum pertemuan itu aku medengar berita kurang enak. Suhairi (kini Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan) rakan sekelasku dimarahi F kerana ada satu perkara remeh dan salah faham berlaku.

Kejadian berpunca begini, F dan rakan seasrama bercadang mengadakan minggu silaturrahim sesama pelajar perempuan.  Mereka berpakat mengadakan sukan (outdoor sport) seperti karom, bola jaring dan sebagainya.  Ini diceritakan sendiri oleh F padaku.  Namun awalnya Suhairi tidak bersetuju berkenaan sukan bolajaring di padang bomba kerana tempat itu terbuka.  F tidak puashati dan memarahi Suhairi. Sukan tersebut diadakan juga keesokanya (hari cuti). Suhairi memaklumkan kepadaku dan sikap F. Aku hanya mendengar.

Petang itu aku dan rakan-rakan hendak solat maghrib di sekolah. Aku terlihat mereka yang baru pulang dari bersukan dan F juga melihat aku. Lebihkurang dua hari selepas itu F ingin berjumpa denganku di surau.

Aku menyelar sikap F terhadap Suhairi. Aku nyatakan bahawa F perlu sabar dengan karenah rakan yang lain.  Apalagi sebagai gadis. Mesti tunjukkan akhlak yang baik. Kemudian aku nyatakan bahawa aku dan Suhairi kurang senang dengan tindakan pelajar perempuan mengadakan sukan antara dorm di padang Balai Bomba,  Jalan Pantai Bahru yang terbuka dan disaksikan oleh ahli bomba. Aku dan Suhairi tidak setuju kerana jerit sorak perempuan akan menarik perhatian  anggota Bomba melihat mereka bermain. Aurat mereka wajib dijaga. F menjelaskan bahawa mereka mengadakan minggu taaruf dengan mengadakan sukan sesama mereka ,tempat mengadakan sukan basket ball pula terhad. Aku memaklumkan kepada F bahawa aku punyai rakan di Maktab Perguruan Islam dan jika mahu kita boleh sewa dewan tertutup mereka.

Mungkin kaedah aku menegur F agak kasar, F tertekan. Aku tidak terniat langsung hendak mengenakan F. Memang aku ada memberitahu Suhairi bahawa aku akan menegur F. Tapi bukanlah hendak membalas perbuatannya kepada Suhairi. Lama-kelamaan kedengaran esakan F di balik tabir. F sedih. Mungkin diharapkan kata-kataku sokongan jiwanya bertukar kepada batu yang menghempap. Aku tahu F sedih dengan kata-kataku. Aku tidak ingat samada meminta maaf kepadanya atau tidak. F menangis di balik tabir. Timbul pula rasa kesal di hati. Aku tinggalkan F di surau melayan remuk hatinya sementara aku kembali ke kelas dengan sedikit kesal.

Sukar hendak dinyatakan ketika itu, mungkin aku sukakan F sebab itu aku tidak mahu F menjadi tarikan mata-mata yang melihat. Cemburu mungkin...

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...