25 November 2008

"Kenapa tak ambik dia,dia cantik"

“Kenapa tak ambik dia,dia cantik !”

Sedikit resah bila Zilla (Norzilla Adam) bekas rakan sekelas waktu di Yayasan Anda Akademik dulu memulakan pertanyaan.Itu kisah waktu aku terserempak dengan Zilla di Pej.Agama Islam Jelebu ketika dia berurusan untuk mendapatkan borang permohonan nikah pada tahun 1996 dulu.Selesai urusannya aku mempelawa Zilla keluar minum bersama di Restoran Fatimah di pekan Kuala Klawang pagi itu.Aku tidak lagi malu.Sifat malu kepada perempuan telah lama kubuang sejak bekerja di jabatan kerajaan ini.

Kami berbual kisah-kisah waktu belajar dulu ,perkembangan rakan-rakan termasuk diri masing-masing.Zilla akan mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan dari Johor.Ketika itu dia guru di sana.Ketika rancak berbual Zilla tiba-tiba bertanya mengenai seseorang yang telah lama ingatanku terhadapnya terpadam.Aku mula sedar memang rakan-rakan kebanyakannya menyangka aku mempunyai hubungan dengan gadis yang dimaksudkan.Aku hanya terdiam seolah-olah tidak mahu mengenang kisah lama itu lagi.Kecewa mungkin.Zilla bercerita lagi betapa dia telah melihat rakan sekelasku itu tanpa bertudung.Cantik katanya.Rakan siswi di hostel memang tahu hubunganku dengan gadis itu tetapi sejauh mana benarnya,hanya aku saja yang tahu.

Aku hanya senyum dan menepis rasa kesal.

Aku akui gadis itu cantik di mata ini.Bertudung labuh.Pilihan utamaku jika satu hari nanti aku perlukan teman hidup sebagai suri hatiku.Ya aku memang berkenan sangat gadis yang bertudung labuh itu.Mengingatkan aku kepada teman sewaktu di ITM,Shah Alam dulu.Norlaila Zakaria.Kalau dikenangkan mungkin kecelaruan.Semuanya berlaku tidak dirancang.Perkara ini tidaklah serius pada awalnya kerana aku tidak mahu memikirkan sangat.Kata orang, waktu menimba ilmu kebanyakannya cinta monyet.Entahlah mungkin ya mungkin tidak.Tapi ada juga cinta sebegini yang kekal bahagia hingga ke jinjang pelamin.Matlamatku ketika itu lulus dengan baik untuk peperiksaan STPM akan datang (1989).Namun bayangan wajah pelajar perempuan sekelas itu sukar aku nafikan.

Fikiranku ketika itu berligar-ligar sekitar tahun 1989, membawa cerita berlainan dalam hidupku.Dulu aku kemarukkan ilmu akhirat.Hatiku lebih tenang mendengar ucapan keramat dari ustaz yang petah berceramah sehingga kadangkala hati boleh diruntun sayu.Tapi 1989 kecintaanku perlu aku seimbangkan dengan mencari ilmu untuk bekal di dunia.....dan pastinya kehadiran gadis itu adalah pembakar semangatnya.

Satu masa nanti akan aku ceritakan juga dalam blog ini.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...