Sebagai anak muda yang baru berusia 18 tahun dan naif berkaitan persoalan kehidupan, aku menurut saja kata-kata orangtuaku.Menaiki bas dari kampong ke pekan Kuala Pilah.Dari Kuala Pilah menaiki bas United berwarna merah menuju ke bandar Seremban.Setiba di Seremban, memilih bas ekspres SKS untuk menuju ke Kuala Lumpur.Itulah yang diberitahu.Sebelum ini sewaktu ayahku masih bertugas di utara tanahair, aku berulang alik dari kem PPH di Kroh (Pengkalan Hulu) menaiki bas Setia Ekspres menuju ke ibu kota terus menerus dan berhenti di perhentian terpilih tanpa menukar bas.Inilah pengalaman pertama aku kembali ke ibu kota dari kampong di Jelebu , Negeri Sembilan.
Tidaklah sukar mencari bas walaupun pekan Kuala Pilah dan Seremban asing bagi ku pada waktu itu.Setiba di Pudu Raya di ibu kota, aku berjalan kaki menyelinap antara penghuni kota yang bertali arus ke perhentian bas Stand Klang.Inilah pengajaran penting untuk ku dalam menyelesaikan masalah kecil dalam kehidupan remaja.Semuanya diputuskan sendiri tanpa bantuan sesiapa.Pengajaran ini menjadi pengalaman dalam menguruskan kehidupan seterusnya.Dari situ ke perhentian bas Kelang menaiki bas Sri Jaya menuju ke Sekyen 2, Shah Alam.
Kembali ke ITM Shah Alam, terus saja aku ke asrama Kolej Jati dan menuju ke dorm di tingkat 5.Aku mendapati bilikku telah dihuni oleh pelajar lain.Rakan kepada rakan sebilik denganku.Pelajar dari Sabah dan kedua-duanya dari course yang sama.Mereka meminta aku mengambil tempat di bahagian luar bersama Azmi.Permintaan mereka walaupun secara lembut telah sedikit menyinggung perasaanku.Namun aku pasrah dan beralah.Memandangkan Azmi kawan serumah juga pelajar perakaunan yang sudah 2 sem menghuni di bahagian lobi.Sekurang-kurangnya aku mempunyai teman berbicara.
Aku memilih katil berdekatan tingkap dan meja tulis ku di tepi dinding di bahagian kepala.Sementara almari pakaian jauh sedikit dari katilku. Rakan baik sekuliahan, Sariman belum lagi tiba dari kampungnya.
Untuk hari-hari seterusnya di situlah aku berkarya dan menyelesaikan beberapa assignment yang diberikan pensyarah.Awal 1984, merupakan part 2 dalam setahun di Kajian Senilukis dan Senireka, Institut Teknologi Mara.Masih dalam peringkat pra senilukis sebelum kami diserapkan ke jabatan seni atau art department pada semester seterusnya berdasarkan kecenderungan dan markah yang diperolehi di akhir peperiksaan akhir sem nanti.
Aku berminat dalam karya Seni Halus tetapi dalam masa yang sama tertarik dengan kerja-kerja grafik senior terdahulu.Kreatif dalam penghasilan karya yang agak teknikal walaupun ketika itu karya-karya grafik terhasil secara manual dan terhad dari segi penggunaan medium, tidak seperti era ICT.Sungguh, aku tersangat teruja untuk terus mendalami bidang senilukis dan senireka kerana dapat merasakan jiwaku sealiran dengan calitan indah warna-warna yang terpapar.Aku sentiasa mengintai calitan dan lakaran skesta berbingkai yang terletak di foyer pintu masuk.Indah.
Maka bermulalah mainan kata-kata puitis terabadi berbentuk sajak dan puisi di atas board lukisan diperbuat daripada kayu lapis 2 x 2 kaki.Papan lukisan itu memang menjadi sasaran pelajar-pelajar untuk melepaskan skil dan perasaan dengan nukilan sajak dan lirik-lirik lagu yang menjadi siulan dan popular pada masa itu.Aku tidak terkecuali.Lagu Yesterday dan And I Love Her oleh The Beatles.Monolog hati yang merindui seseorang.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.