Showing posts with label seni. Show all posts
Showing posts with label seni. Show all posts

21 January 2018

Menulis

Sebatang round brush bersaiz lima di jari sedang meratakan warna hijau bercampur beberapa titis air di atas palette lalu membentuk warna sap green yang nipis. Disapu perlahan di atas kertas kasar putih buku sketch water color untuk membentuk dedaunan pohon sena yang berjurai. 

Bila berus lembab itu menyentuh kertas, alam menjadi senyap. Sepi mula menyelimuti diri. Hanya terdengar bunyi geseran daun-daun disapa angin bertiup lembut. Melambai-lambai. Kedengaran suasana mencipta lagu dan puisi. Terlukislah warna-warna alam menuruti jejari sang pelakar. 

Telinga Johan menangkap lagu-lagu alam itu ketika ia sedang riang bernyanyi. Besiulan-siulan dalam ritma yang syahdu. Sebuah persembahan orkestra alam yang menghiburkan. Melagukan dalam melodi yang bertempo perlahan sambil mengiringi catan warna kehijauan. Stroke pigmen hijau yang menyegarkan itu diharmonikan dengan warna biru langit yang nipis lalu menghasilkan tona yang  indah dipandangan. 

Disapu lembut selembut sentuhan jiwa yang tenang. Pigmen langit yang biru nipis atau cobalt blue diserasikan pula dengan payne’s gray  membentuk tompokan awan hitam kelabu. Gambaran awan mendung menyimpan hujan. Rangkuman irama dan motif terlukis dalam nuansa imiginasi Johan. Mata hatinya terus dihujani ilham. 

Tiba-tiba jari Johan terhenti dari terus menompok awan. Stroke  awannya memudar tidak keruan. Tidak menjadi. Hatinya diketuk resah. Perasaan mula menjadi gundah. Lagu merdu yang tadi riang bernyanyi telah hilang sudah. Perhatiannya kepada objek awan kelabu itu mengajak fikiran mengimbas mimpi malam tadi. 

Tenang jiwa kini mendung pula mengganti. Fokus telah berpecah arah lalu berus setengah inci sederhana itu diletak kasar masuk ke bekas berisi air. Pandangan dilemparkan jauh menjangkau. Di balik bukit berjejeran kebiruan di situ hati membentuk kerinduan. Rindunya kepada ibu.


“Apa khabar ibu..?”, bisik hati kecilnya dalam dalam nada perlahan.

27 December 2017

Semester 2 punya cerita

Tahun 1984, tahun itu merupakan tahun yang sangat bermakna bagiku. Tahun yang mengubah serba sedikit corak kehidupan menuju alam remaja. Jika diikutkan tahun kelahiran, usia ku sudah mencecah 19 tahun. Tapi jika ikut bilangan bulan pula masih lagi 18 tahun. Masih naif tentang banyak perkara. Apa pun persepsi kehidupan berubah sedikit demi sedikit kesan pergaulan bersama rakan. Cara berfikir belum boleh dikatakan matang. Kadangkala aku hanya mengikut perasaan. Aku terbiasa menyendiri dan buat hal sendiri.

Dalam usia sebegitu, aku mula mencari  identiti diri. Perubahan berpakaian umpamanya. Aku suka berpakaian  longgar tidak ketat dan boleh dikatakan old fashion. Walaupun kebanyakan remaja seusiaku sudah mengenal seluar jenama Levis dan berkasut Adidas atau Puma. Jenama popular zaman itu. Aku masih bertahan dengan kasut Warrior biru high cut. Selesa dan yakin bila memakainya. Apalagi penyanyi idola seperti M.Nasir gemar memakainya. Jadi aku tidak ketinggalan dari segi fesyen berkasut.

Segalanya sempurna dalam menuju dunia remaja. Belajar di bidang senilukis. Gemar bernyanyi dan bermain gitar. Melayan perasaan sambil mencipta sajak atau puisi-puisi. Itulah kehidupan serba ringkas waktu itu. Aku semakin yakin dalam pendidikan seni. Assignment dan projek lukisan atau art project seperti projek grafik, melukis, pembinaan arca, seni halus metal dapat diselesaikan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi melukis. Beberapa orang rakan memuji mainan warna. Kesungguhan dan focus terhadap bidang yang diminati memang kuberikan 100% tumpuan.

Cuma aku lemah dan kurang keyakinan di bidang fesyen dan textile. Jiwaku tidak terarah untuk berasa teruja bila diberi assignment projek berkaitannya. Aku tidak pandai memberikan idea untuk projek seni itu. Aku fikir assignment projek sebegitu lebih feminist. Aku lebih rela menjadi model saja. Sedangkan aku lebih berminat mendalami lukisan dan lakaran di atas kertas. Itu kelebihanku. Buku sketchku penuh dengan lakaran yang pelbagai imej lukisan. Aku yakin di penghujung semester nanti sesuatu akan mengubah pencapaian gred tidak seperti semester satu. Masih terngiang semburan dari pensyarah menegur gred pencapaianku yang rendah.Cuak.

Keyakinan diri masih lagi kurang namun aku banyak mempelajari mengurus kehidupan diri sendiri. Sakit demam umpamanya, bila demam jarak waktu kebah memakan masa paling panjang tiga hari untuk sembuh. Terpaksa uruskan diri sendiri dengan bantuan rakan satu dorm. Pernah juga terkena  cramp pada waktu malam. Tiba-tiba terjaga dan betis terasa sakit sangat. Puas menahan tidak tahu apa punca dan cara memulihkannya. Terpaksalah menanggungnya sendiri. Kemungkinan puncanya kepenatan berjalan kaki setiap hari antara kolej ke bangunan sekolah dan malam berjalan kaki pula ke dewan makan yang terletak di dalam kampus. Dalam banyak waktu aku selalu tidak makan malam. Malas.

Pada kesempatan bercuti awal tahun 1984, aku kembali ke kampong dan rakan-rakan berpesan supaya aku membawa gitar apabila kembali semula ke ITM. Memang aku berniat begitu. Bosan jika tidak memetik gitar. Aku gemar bernyanyi dan tanpa petikan gitar terasa seperti kehilangan melodi. Walhal menyanyi pun tidak seberapa. Dari kampong aku mengusung gitar ke ibukota. Naik dan turun dari satu bas ke bas yang lain. Bila dikenangkan, lagak seperti seniman pun ada.


Di ITM, aku beranikan diri membawa gitar ke sekolah kajian senilukis. Memang mendapat sambutan hangatlah gitar kapok ku itu. Berpindah dari tangan ke tangan. Ada yang baru pertama kali memetik gitar dan ada yang hanya memandang. Itulah salah satu cara aku menjalani kehidupan sebagai pelajar seni lukis apabila kebosanan menjengah. Aku tidak terkecuali. Ada ketikanya aku diminta menyanyikan lagu oleh rakan perempuan sekelas. Aku masih ingat menyanyikan lagu bertajuk Ros, oleh Sohaimi Mior Hassan. Kebetulan ada rakan sekelas yang bernama Ros.Hahahahaha..

21 June 2017

Some Memories never Fade




        Aku kembali menulis dengan semangat baru, meninggalkan kenangan lama tanpa perasaan rindu yang mendalam. Pada ketika itu, aku memilih untuk fokus sepenuhnya kepada pengajian, melepaskan segala kerisauan yang pernah menghantui hati. Mulalah hari-hari penuh cabaran sebagai pelajar jauh dari keluarga.

Pagi itu, kami berkumpul di hadapan Kolej Seroja, menunggu bas ke Gombak. Hari istimewa bagi kami, pelajar semester satu, kerana akan menjalani latihan melukis di belukar berhampiran sungai Batu 12 Gombak. Hati terasa teruja, dan dalam suasana beramai-ramai, aku tidak dapat menahan pandangan dari mencuri lihat si dia. Detik-detik ini terasa begitu berharga, walaupun penuh dengan cabaran menanti.

Namun, rasa malu menghalangku dari bertegur sapa. Dalam hati, ada debaran suka, tetapi aku mahu sekadar berteman dulu. Aku baru 18 tahun, perjalanan ini masih panjang. Gelora perasaan remaja sering membuat hati keliru; ada waktu aku cuba menolak perasaan itu, masih terlalu awal untuk bercinta.

Sebaik sahaja bas tiba, kami berebut-rebut naik, tapi aku dan S terpaksa berdiri kerana tiada lagi tempat kosong. Dalam perjalanan, S berseloroh, “Kalau macam ni, tak payah ikutlah.” Aku hanya mengangguk, menurut kata-katanya. Hari itu, aku dan S tidak turut serta ke Gombak. Sebaliknya, kami kembali ke asrama Kolej Jati, melepak bersama. 

Sejak itu, S, rakan dari Pulau Mutiara, menjadi teman rapat yang selalu ada di sisi. Tapi perasaan risau menyelubungi diri, kerana aku tertinggal pengalaman penting melukis di alam semula jadi. Ketika yang lain menyerahkan hasil kerja mereka, aku dan S hanya mampu melihat, ditegur kerana tiada apa-apa untuk diserahkan.

Terpaksa bersengkang mata, aku mula melukis dari imaginasi. Lukisan malam itu penuh usaha, seolah-olah mengandungi semua emosi yang tersekat. Keesokannya, aku mengantuk ke kuliah, berharap pensyarah akan menghargai usaha ini. En. Joseph Tan memuji lukisanku, namun dengan senyuman sinis, dia mengoyakkannya sambil berkata, “Di mana lokasi lukisan ni? Di ITM tak ada kawasan macam ni.” 

Karya itu sebenarnya hanya belukar di tepi blok D Kolej Jati, dilukis dengan bantuan imaginasi. Aku dan S akhirnya diberi peluang seminggu lagi untuk menyiapkan tugasan. Maka, kami keluar pagi itu, mendaki bukit kecil berhampiran bangunan Art Design untuk mencari inspirasi baru.

Sepanjang pagi, aku dan S berbual, menambah ikatan persahabatan kami. Dalam kesunyian dan keindahan alam, kami melukis dan berbual tentang hidup, impian, dan kisah-kisah peribadi yang semakin mengukuhkan persahabatan kami. 

Dalam asyik melukis, tiba-tiba sekumpulan pelajar perempuan muncul menuruni bukit. Salah seorang daripadanya adalah GK. Aku terpegun melihatnya, rambut ala china doll dan senyum manisnya membuat hatiku berdetak. Tanpa segan, S memanggil GK, “Leh suka kat hang!” Aku terkejut, tersipu-sipu malu, sedangkan GK hanya tersenyum.

Petang itu, aku tidak dapat melupakan peristiwa tersebut. Berbaring di katil, aku tersenyum sendiri, terkenangkan kenangan manis itu. Di hati, aku menyimpan harapan, tapi masih belum tahu bagaimana mahu memulakan perkenalan. Aku memutuskan untuk membiarkan masa menentukan, mengumpul kekuatan untuk pertemuan yang mungkin akan datang. Harapan kecil dalam hati itu ku simpan, berharap suatu hari nanti, ada kesempatan untuk menghulur salam perkenalan.

04 June 2017

1983:Pulang Membawa Rindu

Menelusuri jalan ke utara selalu membawa kenangan waktu pulang ke kampung ketika zaman kanak-kanak. Suatu ketika dahulu, sekitar tahun 1970-an hingga awal 1980-an, kami sekeluarga sering pulang ke Pahang atau Negeri Sembilan. Biasanya, kami akan pulang menaiki keretapi—suatu kemudahan yang disediakan bagi kakitangan kerajaan, termasuk ayah, yang ketika itu seorang askar. Seusai bertugas di hutan belantara sempadan Kelantan dan Perak, ayah akan membawa kami pulang, memanfaatkan cuti bersama keluarga.

Namun kali ini, aku pulang sendirian ke Kroh di utara tanah air, menaiki bas ekspres, salah satu perkhidmatan perjalanan yang kian popular ketika itu. Nama bas itu, kalau tidak salah ingatanku, mungkin Satria atau Restu. Sepanjang perjalanan, aku ditemani kenangan manis sepanjang menuntut ilmu di ITM. Banyak kisah dan pengalaman yang ingin kuceritakan kepada ibu dan ayah, meskipun sebahagian kerinduan yang dulu membuak-buak kini mulai surut. Cukup perit menanggung rindu jauh dari keluarga, lebih-lebih lagi ketika perasaan ini hadir tanpa diduga.

Perjalanan malam itu bermula sekitar jam 8, melalui jalan lama ke utara, kerana waktu itu belum ada Lebuhraya Utara-Selatan. Bas berhenti beberapa kali untuk penumpang berehat, menikmati secawan kopi atau makanan ringan di restoran 24 jam di sepanjang laluan. Selalunya aku hanya duduk di dalam bas, melihat gelagat penumpang lain dari jauh. Hanya bila ada keperluan, barulah aku turun sejenak. 

Menjelang kawasan Kulim, Sungai Petani, dan Baling, jumlah penumpang semakin berkurang, seorang demi seorang turun di destinasi masing-masing. Akhirnya, hanya tinggal aku dan dua atau tiga penumpang lain yang menuju pekan Kroh. Bas tiba ketika waktu masih gelap, dan suasana sekitar sunyi serta dingin. Sekitar jam 5 pagi, aku turun dari bas dan berjalan kaki sendirian ke kem BN 19 dan 20, kira-kira satu kilometer jauhnya. Suasana sunyi itu menyertai langkah-langkahku, melewati pokok besar di depan pejabat pos, suatu tempat yang pernah mengundang seram ketika zaman kecil dahulu. Namun kini, ketakutan itu tiada lagi—aku kini lebih berani.

Ketibaan di kem disambut oleh senyuman mesra askar-askar yang masih mengenaliku. Aku terus ke rumah, dan ibu membuka pintu, terkejut dan gembira melihat kepulanganku. Setelah mencium tangan ibu, aku merehatkan diri seketika, melepaskan lelah perjalanan panjang. Keesokan harinya, sepanjang dua hari itu, aku banyak bercerita kepada ibu dan adik-adik tentang pengalaman di ITM, kisah pertemuan dengan saudara di Gombak, dan suasana di Shah Alam. Tiap detik menatap wajah mereka benar-benar mengubat rindu yang lama terpendam, walaupun ayah jarang berada di rumah kerana tugasnya. Ada juga seorang dua kawan lama datang bertanya khabar, melengkapkan lagi kepulangan yang bermakna ini.

Seperti kebiasaanku, waktu terluang diisi dengan mendengar lagu, memutarkan satu demi satu kaset kegemaranku hingga ke tengah malam. Namun, ada satu perkara yang membuatkan aku kurang senang—askar-askar yang datang ke rumah bermain judi, sesuatu yang kutegur kepada ibu. Rasanya kurang sesuai, lebih-lebih lagi ketika mereka sedang bertugas.

Pagi Isnin, aku bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur. Ayah menghantarku ke pekan Kroh dengan menuntun basikal Herculesnya, membawa begku di belakang. Terasa nostalgik melihat ayah mengiringku, mengingatkan kembali saat-saat dia menjemputku pulang dari sekolah sewaktu darjah satu hingga tiga. Perjalanan itu penuh kenangan, namun setelah aku membeli tiket, kami berpisah, dan bas pun bergerak menuju ibu kota.

Tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 9 malam, suasana di Puduraya tetap sibuk dengan manusia yang tidak putus-putus bergerak. Aku menuju ke Hentian Bas Kelang, melalui keramaian yang sudah biasa dalam hiruk-pikuk bandar. Di sana, menunggu bas Sri Jaya untuk ke Seksyen 14, aku melihat sekeliling, mengamati mereka yang mungkin juga pelajar sepertiku. 

Di dalam bas, seorang gadis tampak memerhatiku, lalu kami berkenalan. Dia rupanya juga pelajar dan kebetulan menuju ke arah yang sama. Sepanjang perjalanan ke Kolej Jati, kami berbual-bual, berkongsi cerita tentang kursus dan kehidupan kampus. Sesampainya di kolej, kedengaran lagu-lagu cinta era itu dimainkan, teman-teman sebilik pasti masih setia menanti di sisi radio. 1983, lagu-lagu itu seakan menemani perasaan kami yang bergelar pelajar, merangkai kenangan yang tidak akan kulupakan.

10 February 2017

Jiwa Sentimental.

Jika difikirkan mengapa aku suka mendengar lagu-lagu yang sentimental mudah saja jawapannya. Aku mewarisi kelembutan ibu dan aki (datok).Ibu seorang yang lembut jiwanya. Aku tidak pernah dipukul walaupun kadang-kadang aku nakal semasa kecil. Paling tidak ibu hanya berleter saja kalau geram dengan perangaiku. Pun begitu aku masih mempunyai nama panggilan yang sejuk hati bila diseru.Manja...itulah panggilannya tetapi dipendekkan lagi Nja.Malah ibu saudaraku semuanya memanggil dengan nama itu. Anak kemanjaan ibu.

Semasa kecil, aku juga tidak membantah apa saja arahannya. Sukar untuk menolak kerana suara ibu saja boleh meruntun rasa. Orang yang telah memberi banyak kasih sayang kepada kita hakikatnya. Ibu juga mudah beralah, rajin bercerita. Tanpa sedar aku juga mewarisi sikap ibu. Ibu mudah mengeluarkan airmata. Begitu juga aku. Ibu tidak mudah memukul anak-anaknya, sama seperti aku. Jika anak-anak tidak mendengar kata. Semuanya kerana hati yang mudah lembut. Rajuknya pun tidak panjang. Mudah maafkan orang.

Begitulah kisahnya mengapa aku meminati lagu-lagu sentimental. Bentuk puisi dengan lirik-lirik yang puitis. Aku menghargai keindahan kerana keindahan itu seni yang amat halus untuk diceritakan. Melihat keindahan, hati menjadi tenang. Gambaran alam pada waktu pagi atau petang, contohnya, sudah cukup menggambarkan tenang jiwa. Hati jadi pilu. Menggamit rindu.

Tahun berganti tahun, aku menjadi remaja yang membesar dengan banyak mengolah rasa dalam hati. Mencorakkan jiwa dengan sikap tenang dan sabar. Sikap ibu kutiru. Malah ibu bangga denganku kerana tidak banyak karenah, katanya. Aku tak tahu, mungkin ibu pernah menitiskan airmata dengan sikapku. Tidak di hadapan secara terangan.Mungkin di malam hari setelah semua anak-anaknya nyenyak diselimut mimpi. 

Aku menjadi sentimental.

( sentimental - of or prompted by feelings of tenderness, sadness, or                                                              nostalgia.)

09 February 2017

Yang indah itu seni..

Awal tahun 1981, Aku juga meminati lagu-lagu Inggeris.Lagu-lagu era 1960, 1970 dan 1980.Pada tahun itu aliran rock and roll telah mempelopori kebanyakan muzik di barat terutamanya di Eropah.Aku tidak terkecuali meminati muzik sebegini tapi masih lagi dalam suasana yang tidak terlalu berat.Bagiku hanya ada satu saja kumpulan atau band  rock and roll yang menangkap minatku kepada muzik jenis ini.Tidak lain The Beatles yang mempunyai pengaruh luar biasa dalam sejarah muzik rock and roll era 1960’an.Di samping rock and roll, psychedelic rock,ballad dan sebagainya terdapat lagu-lagunya yang easy listening sentimental.Lagunya seperti Yesterday, And I Love Her, I’ll Follow The Sun, Till There Was You dan banyak lagi.

Memasuki era 1970’an dan 1980’an, aku mula tertarik kepada lagu-lagu Inggeris yang sentimental.Aku tidak meminati langsung lagu berentak disco, rock yang heavy.Aku suka lagu yang slow dengan iringan muzik yang bermelodi seperti folks dan country.Meminati mendengar lagu-lagu dari Art Garfunkel,John Denver,Don Mclean Bread,Air Supply dan ramai penyanyi era semasa yang membawa irama sentimental.Aku suka mendengar lagu-lagu sebegitu.Lagu seperti So Easy To Begin, Can’t Turn My Heart Away oleh Art umpamanya mempunyai unsur puisi.Sememangnya Art merupakan pemuisi dan perngkaryaannya.

Itulah antara cerita bermulanya minat kepada mendengar lagu-lagu Inggeris.Namun aku bukanlah pemuja tegar seperti yang pernah kunyatakan dulu.Minatku hanya mendengar, menyanyi dan memetik gitar mengiringi lagu-lagu yang kunyanyikan.Semua rasa terarah kepada sesuatu yang indah berseni dan menenangkan.Jiwa remajaku  amat menghargai keindahan lagu.Setiap detik aku bagaikan menuruti rentak lagu.Selalu juga bila lagu yang kuminat kedengaran aku berhenti, menghayati senikata dan melodi lagu.Aku menghafal senikata dan mencari makna di sebalik lirik-lirik indah.Kerana aku juga suka kepada puisi.

Maka pada waktu itu, aku rasa lengkaplah jiwa seniku.Aku minat melukis, mendengar lagu, menulis dan menyanyi sambil bermain gitar.Mungkin pengaruh ini bermula sejak aku kanak-kanak dulu.Sewaktu kecil ayah pernah membelikan sebuah pemain rekod EP (Extended Play) di dalam bentuk briefcase dengan dua speaker.Ayahku juga suka mendengar lagu-lagu penyanyi Cina yang kebanyakannya dari seberang atau tanah air sendiri.Pemain rekod itu menjadi mainanku setiap kali ada peluang.Walaupun aku tidak faham nyanyian lagunya tapi aku tetapkan mainkan.Ibu meminati lagu-lagu Tamil.Sebabnya ibu pernah tinggal dan bekerja di estet di kampungnya di Pahang satu waktu dulu.Ibu juga faham serba sikit bahasa Tamil.Sementara ayahku memahami bahasa Cina kerana latar belakang ayah dulu yang pernah berkerja dengan bangsa Cina.sementara aku pula tidak memahami dua-dua bahasa itu.Jadi minatku terarah mendengar lagu Melayu dan Inggeris.Pernah juga, aku meminta kebenaran ibu untuk membeli EP bertajuk American Women nyanyian kumpulan Guess Who Compiled Song.fuhh layan habis.

Minat atau hobi yang baru muncul dengan secara tiba-tiba apabila ayahku membeli kamera.Satu lagi teknologi baru pada tahun-tahun itu.Kalau tak salah kamera Yasicha Vintage yang agak mahal yang menggunakan filem 35 mm.Tapi kemudiannya ayah jualkannya kepada rakannya.Tak sempat nak bergaya menggunakan kamera itu.Namun teknologi kamera mula menjadi kegemaranku.Ayah belikan sebuah kamera poket  jenama Kodak yang comel.Dengan kamera ini aku banyak bergambar bersama kawan-kawan.Harga filemnya pun murah.

Begitulah bermulanya hobi yang kurasakan menyemarakkan rasa cintaku kepada keindahan atau apa yang dipanggil seni.Melukis, menulis dan menyanyi sendiri sekadar menghiburkan diri.Namun minatku itu menjadi semakin mendalam kerana karya-karya kecilku kupaparkan di dinding kamar.Aku bercita-cita untuk mendalami lagi bidang seni kerana rasa seronok dan teruja melihat keindahan.Pada satu ketikanya, aku melukis menggunakan pensil 2B imej seorang gadis berbaju kurung dengan sajak misteri di sebelahnya.Siapakah gadis itu…???

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

20 August 2008

Al-Arqam 1986 : Kehidupan yang lalu.

Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.

Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.

Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.

Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.

Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.

Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.

Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.

Penghujung tahun 1986 aku meninggalkan al-Arqam dan 1987 aku kembara sendirian mencari ilmu. Merantau mencari pengalaman hidup. Menagih sinar pada masa hadapan.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...