10 February 2017

Jiwa Sentimental.

Jika difikirkan mengapa aku suka mendengar lagu-lagu yang sentimental mudah saja jawapannya. Aku mewarisi kelembutan ibu dan aki (datok).Ibu seorang yang lembut jiwanya. Aku tidak pernah dipukul walaupun kadang-kadang aku nakal semasa kecil. Paling tidak ibu hanya berleter saja kalau geram dengan perangaiku. Pun begitu aku masih mempunyai nama panggilan yang sejuk hati bila diseru.Manja...itulah panggilannya tetapi dipendekkan lagi Nja.Malah ibu saudaraku semuanya memanggil dengan nama itu. Anak kemanjaan ibu.

Semasa kecil, aku juga tidak membantah apa saja arahannya. Sukar untuk menolak kerana suara ibu saja boleh meruntun rasa. Orang yang telah memberi banyak kasih sayang kepada kita hakikatnya. Ibu juga mudah beralah, rajin bercerita. Tanpa sedar aku juga mewarisi sikap ibu. Ibu mudah mengeluarkan airmata. Begitu juga aku. Ibu tidak mudah memukul anak-anaknya, sama seperti aku. Jika anak-anak tidak mendengar kata. Semuanya kerana hati yang mudah lembut. Rajuknya pun tidak panjang. Mudah maafkan orang.

Begitulah kisahnya mengapa aku meminati lagu-lagu sentimental. Bentuk puisi dengan lirik-lirik yang puitis. Aku menghargai keindahan kerana keindahan itu seni yang amat halus untuk diceritakan. Melihat keindahan, hati menjadi tenang. Gambaran alam pada waktu pagi atau petang, contohnya, sudah cukup menggambarkan tenang jiwa. Hati jadi pilu. Menggamit rindu.

Tahun berganti tahun, aku menjadi remaja yang membesar dengan banyak mengolah rasa dalam hati. Mencorakkan jiwa dengan sikap tenang dan sabar. Sikap ibu kutiru. Malah ibu bangga denganku kerana tidak banyak karenah, katanya. Aku tak tahu, mungkin ibu pernah menitiskan airmata dengan sikapku. Tidak di hadapan secara terangan.Mungkin di malam hari setelah semua anak-anaknya nyenyak diselimut mimpi. 

Aku menjadi sentimental.

( sentimental - of or prompted by feelings of tenderness, sadness, or                                                              nostalgia.)

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...