27 February 2017

Rumah limas sepanjang jalan : Mei, 1983

Permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke ITM Shah Alam telah pun kuhantar.Aku memilih untuk mengambil bidang Seni Lukis Dan Senireka.Di samping mempunyai bakat melukis aku juga berminat untuk mendalami bidang ini.Pada waktu yang sama dua orang senior ku juga sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang ini di sana, mereka mengambil jurusan tekstil.Aku mendapatkan sedikit maklumat berkaitan pendidikan seni dari mereka.

Tidak lama selepas itu aku menerima jawapan bahawa permohonanku telah diterima dan sedang diproses.Wah...rasa teruja mendapat sekeping poskad dari  ITM ketika itu seolah-olah permohonanku telah berjaya.Wal hal,  ia hanyalah kad pemberitahuan saja.Aku teringat waktu mula memohon dulu, aku berurusan seorang diri untuk mendapatkan pengesahan dari jabatan kerajaan terutama Pejabat Daerah Kroh dan sekolah menengah tempat aku menerima ilmu tahun 1982 dulu.Semua kuuruskan sendiri kerana aku tidak dapat mengharapkan sesiapa.Orangtuaku tidak dapat membantu memandangkan mereka tidak tahu membaca dan menulis.Akulah berseorangan, ke hulu dan ke hilir dengan basikal orang tuaku.

Lebih kurang dua minggu aku didatangi kakitangan Jabatan Orang Asli dari Gerik, Perak memaklumkan kepadaku bahawa pihak ITM memerlukan dua bentuk lukisan.Satu lukisan menggunakan pensil dan satu catan berwarna.Dari penerangan pegawai itu ia sebagai ujian melukis samada aku layak atau tidak.Aku juga diarahkan menjawab soalan esei dalam bahawa Inggeris seminggu selepas itu.Pegawai JOA itu akan kembali untuk mengambil hasil lukisan ku dan juga menjalankan ujian bertulis pada minggu akan datang.

Aku sangat teruja kerana ini merupakan petanda bahawa kemungkinan besar aku akan diterima masuk ke ITM.Melukis tiada masalah bagiku samada lukisan menggunakan pensil atau warna kerana aku biasa melukis di kala berseorangan.Ujian bahasa Inggeris juga mudah untukku kerana aku minat subjek itu dan lulus dengan kepujian peringkat SPM yang lalu.

Hari yang dinanti pun tiba aku telah bersiap awal untuk menyerahkan hasil lukisanku pada hari yang dijanjikan.Semua itu aku lalui dengan mudah dan aku yakin akan mendapat jawapan yang menggembirakan sedikit masa lagi.

Tidak lama kemudian aku mendapat berita bahawa pihak JOA Gerik, Perak meminta aku hadir ke pejabat JOA Gerik untuk mengisi borang berkaitan permohonan ke ITM.Ini kerana borang permohonanku sebelum itu tidak memasukkan agensi yang akan menajaku.Aku ditemani ayahku ke Gerik apabila ayah tahu berita tersebut.Ayahku gembira mendengar berita itu dan kami bersama rakan ayahku ke Gerik.Di sana aku mengisi kembali borang tersebut dan disertakan hasil kerja lukisan ku.Kata pegawai JOA di situ kemungkinan besar aku berjaya kerana mereka mendapat respond yang baik dari pihak ITM berkenaan permohonanku.

Di kem PPH BN 19/20 aku mendapat tahu ada tiga orang gadis kenalan sebaya dan setempat yang juga memohon untuk memasuki ITM.J memohon untuk kursus Setiausaha, S memohon Pentadbiran Awam dan Y juga bidang yang sama dengan J.


Sepanjang pulang dari Gerik ke Kroh, Perak pada bulan Mei  1983 itu aku merenung panjang, melempar pandangan keluar dari jendela bas.Mataku menangkap deretan rumah kampung sepanjang jalan.Sepi bagai tiada penghuni.Aman dan tenang.Mungkin ayahku perasan aku termenung sejak menaiki bas tadi.Lalu ayah menyapaku meminta aku melihat reka bentuk rumah-rumah limas yang berjejeran sepanjang jalan. Kata ayah yang masih kuingat..”nanti buat pelan rumah limas bucu lima...” aku sekali lagi termenung..rumah limas?

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...