13 February 2017

Jiwa ini.

Aku seorang yang berjiwa sentimental.Aku juga mudah jatuh cinta.Cinta kepada apa-apa sahaja yang indah pada pandanganku.Tak kiralah apa keadaan pun.Aku mudah jatuh cinta apabila melihat keindahan matahari sedang naik dari timur dan tenggelam di ufuk barat pada penghujung hari.Aku jatuh cinta melihat awan yang berarak lembut melintas langit pagi, tengahari dan petang.Aku terharu melihat burung-burung terbang sekawan.Aku terpana pada lalang-lalang yang meliuk-liuk dibelai angin berpuput lembut.Melihat dedaunan pohon berbolak-balik dilibas angin.

Aku mudah jatuh hati melihat tasik yang tenang dengan pepatung berterbangan berkejaran di atas permukaannya sambil mencedok air dengan ekornya yang panjang.Aku tenang dan aman berada di bawah pohon-pohon kayu yang merendang sambil daun-daunnya dibelai angin.Melihat burung-burung  berkicau menumpang teduh di rantingan.

Pabila malam aku rindu menunggu bulan terang.Cahaya samar yang mengujakan.Cintaku terasa terpenuh oleh perasaan yang sukar diucap tika bulan mula menampakkan dirinya di sebalik perbukitan.Aku rindu suara cengkerik turut bernyanyi ketika malam mula bertandang.Ketika aku kecil aku pernah bertanya pada ibu..suara apa yang selalu berbunyi riang pabila malam menjelang.Apakah itu suara bintang-bintang.Ibu mengiyakan.Aku jadi cinta kerana bintang-bintangku akan bernyanyi lewat malam seiring kerlipannya.Aku masih meyakini irama suara sang cengkerik itu asalnya adalah bintangku yang menyanyi.Ketika umur semakin meningkat remaja baru aku tersedar bahawa selama ini serangga kecil itu yang menyanyi.

Aku mudah jatuh cinta pada sebuah cerita berkasih sayang.Pada sebuah cerita yang memaparkan unsur-unsur persahabatan.Tidak ada seteruan.Tidak ada kejahatan dan malang.Aku suka melihat manusia saling bertolong bantu kerana aku pernah melihat contoh itu pada ibuku.Ibu membantu jiran yang putus makanan, punya anak-anak yang masih kecil.Lalu ibu hulurkan secupak beras.Aku lihat dengan mataku sebuah jiwa yang luhur.Lalu aku sentiasa memikirkannya sampai dalam tidur.

Aku mudah menangis jika kawan bersedih.Ya itu pernah berlaku dalam hidupku.Seorang kawan yang kematian ayah, lalu kesedihannya telah meruntun pilu dalam benakku.Tanpa sedar aku juga mengalirkan air mata.

Itulah aku, aku mudah jatuh cinta pada segalanya.Aku mencintai kawan-kawan semasa kecilku.Benar, aku tidak kuat jiwa sebagai lelaki.Kawan yang paling rapat adalah kawan yang baik denganku.Sedari kecil aku juga tidak punya ramai kawan.Aku hanya rapat dengan mereka yang tidak menyakiti  hati kerana aku mudah terguris walau sekecil perkara, namun aku juga mudah memaafkan.

Aku juga mudah jatuh cinta kepada mereka yang bernama hawa.Apalagi kepada mereka yang mudah tersenyum apabila melihatku, yang baik dan mesra.Aku mengagumi mereka dalam diam.Aku menghargai kelembutan mereka.Bagiku mereka itu seperti puteri.Mereka hadir ke dunia kerana semata-mata memenuhi kasih-sayang yang kurang.Mereka penyejuk hati yang memberontak.Mereka irama yang syahdu pada sebuah lagu yang tak merdu.Mereka angin malam yang dingin.Tidak hairan sejak kecil hingga remaja aku berkali-kali jatuh cinta pada setiap wajah yang singgah dalam ruangan mata dan berbekas di jiwa.

Kerana aku berjiwa sentimental aku mudah jatuh cinta pada segalanya.


No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...