27 December 2017

Semester 2 punya cerita

Tahun 1984, tahun itu merupakan tahun yang sangat bermakna bagiku. Tahun yang mengubah serba sedikit corak kehidupan menuju alam remaja. Jika diikutkan tahun kelahiran, usia ku sudah mencecah 19 tahun. Tapi jika ikut bilangan bulan pula masih lagi 18 tahun. Masih naif tentang banyak perkara. Apa pun persepsi kehidupan berubah sedikit demi sedikit kesan pergaulan bersama rakan. Cara berfikir belum boleh dikatakan matang. Kadangkala aku hanya mengikut perasaan. Aku terbiasa menyendiri dan buat hal sendiri.

Dalam usia sebegitu, aku mula mencari  identiti diri. Perubahan berpakaian umpamanya. Aku suka berpakaian  longgar tidak ketat dan boleh dikatakan old fashion. Walaupun kebanyakan remaja seusiaku sudah mengenal seluar jenama Levis dan berkasut Adidas atau Puma. Jenama popular zaman itu. Aku masih bertahan dengan kasut Warrior biru high cut. Selesa dan yakin bila memakainya. Apalagi penyanyi idola seperti M.Nasir gemar memakainya. Jadi aku tidak ketinggalan dari segi fesyen berkasut.

Segalanya sempurna dalam menuju dunia remaja. Belajar di bidang senilukis. Gemar bernyanyi dan bermain gitar. Melayan perasaan sambil mencipta sajak atau puisi-puisi. Itulah kehidupan serba ringkas waktu itu. Aku semakin yakin dalam pendidikan seni. Assignment dan projek lukisan atau art project seperti projek grafik, melukis, pembinaan arca, seni halus metal dapat diselesaikan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi melukis. Beberapa orang rakan memuji mainan warna. Kesungguhan dan focus terhadap bidang yang diminati memang kuberikan 100% tumpuan.

Cuma aku lemah dan kurang keyakinan di bidang fesyen dan textile. Jiwaku tidak terarah untuk berasa teruja bila diberi assignment projek berkaitannya. Aku tidak pandai memberikan idea untuk projek seni itu. Aku fikir assignment projek sebegitu lebih feminist. Aku lebih rela menjadi model saja. Sedangkan aku lebih berminat mendalami lukisan dan lakaran di atas kertas. Itu kelebihanku. Buku sketchku penuh dengan lakaran yang pelbagai imej lukisan. Aku yakin di penghujung semester nanti sesuatu akan mengubah pencapaian gred tidak seperti semester satu. Masih terngiang semburan dari pensyarah menegur gred pencapaianku yang rendah.Cuak.

Keyakinan diri masih lagi kurang namun aku banyak mempelajari mengurus kehidupan diri sendiri. Sakit demam umpamanya, bila demam jarak waktu kebah memakan masa paling panjang tiga hari untuk sembuh. Terpaksa uruskan diri sendiri dengan bantuan rakan satu dorm. Pernah juga terkena  cramp pada waktu malam. Tiba-tiba terjaga dan betis terasa sakit sangat. Puas menahan tidak tahu apa punca dan cara memulihkannya. Terpaksalah menanggungnya sendiri. Kemungkinan puncanya kepenatan berjalan kaki setiap hari antara kolej ke bangunan sekolah dan malam berjalan kaki pula ke dewan makan yang terletak di dalam kampus. Dalam banyak waktu aku selalu tidak makan malam. Malas.

Pada kesempatan bercuti awal tahun 1984, aku kembali ke kampong dan rakan-rakan berpesan supaya aku membawa gitar apabila kembali semula ke ITM. Memang aku berniat begitu. Bosan jika tidak memetik gitar. Aku gemar bernyanyi dan tanpa petikan gitar terasa seperti kehilangan melodi. Walhal menyanyi pun tidak seberapa. Dari kampong aku mengusung gitar ke ibukota. Naik dan turun dari satu bas ke bas yang lain. Bila dikenangkan, lagak seperti seniman pun ada.


Di ITM, aku beranikan diri membawa gitar ke sekolah kajian senilukis. Memang mendapat sambutan hangatlah gitar kapok ku itu. Berpindah dari tangan ke tangan. Ada yang baru pertama kali memetik gitar dan ada yang hanya memandang. Itulah salah satu cara aku menjalani kehidupan sebagai pelajar seni lukis apabila kebosanan menjengah. Aku tidak terkecuali. Ada ketikanya aku diminta menyanyikan lagu oleh rakan perempuan sekelas. Aku masih ingat menyanyikan lagu bertajuk Ros, oleh Sohaimi Mior Hassan. Kebetulan ada rakan sekelas yang bernama Ros.Hahahahaha..

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...