Showing posts with label bolasepak. Show all posts
Showing posts with label bolasepak. Show all posts

29 December 2020

1980 : Cinta Monyet a.k.a Puppy Love ( Episod 2)

          

 

          Sebenarnya keluarga S memang telah lama menetap di perumahan keluarga polis di kem BN 19/20. Aku saja yang tak perasan. Sebabnya, setelah barrack kelamin itu siap pada penghujung tahun 1975 atau awal 1976, aku jarang bermain-main di sekitar perumahan itu yang dulunya adalah tapak padang bolasepak dan taman permainan kanak-kanak.  Kalau tidak, itulah port kami anak-anak polis bermain-main sampai tak nampak lagi rumput padang. 



    
    Sehinggalah barrack kelamin itu siap aku memang jarang ke sana. Kebanyakan masa bermain bolasepak telah berpindah keluar kawasan kem. Padang itu bersebelahan dengan kem kami. Jadi saban petang di situlah kami menghabiskan waktu petang dengan bermain bola. Sebab itu aku selalu juga bermimpi bermain bolasepak bersama kawan-kawan di tempat yang sama. Mimpi itu selalunya berakhir dengan kesepian dan kesedihan.

Imej dari Google. Jalan lurus di tengah menghala ke sekolah dari pintu gate kem. Sementara padang bolasepak sebelah kiri. Perhatikan kawasan lapang tu.

          Port di dalam kem yang biasa menjadi tempat anak-anak polis bermain adalah di sebuah dewan terbuka yang dipanggil drillshed. Memang hampir semua anak-anak polis pasti akan berkumpul di situ. Happening setiap petang. Dalam satu poll yang aku sendiri kendalikan di laman facebook anak-anak kem BN 19, tempat bermain mana yang paling popular di kalangan member anak-anak kem, lebih 80% memilih drillshed. Setiap orang mempunyai nostalgia dan kenangan manis di situ. Termasuk aku.

Drillshed imej tahun 2011 (masih kekal sejak 1983)
Imej Drillshed terkini (setelah diambilalih oleh ATM)

          Berbalik kepada S, lama dulu aku pernah ternampak S pulang dari sekolah sewaktu dia di tingkatan 1 dan aku tingkatan 2  ketika itu pada tahun 1979. Waktu itu tingkatan 1 berjalan di sesi petang. Ketika bermain bolasepak pada waktu petang di luar kem, S dan rakan-rakan akan berlalu di pinggir padang untuk ke pulang ke rumah (kem) Aku tidak pernah cuba ambil tahu siapa S kerana apa yang aku ketahui S keturunan Melayu. Aku hanya memandang S dari jauh saja.

          Segalanya berubah pada tahun 1980, ketika aku naik ke tingkatan 3 dan S naik ke tingkatan 2. Masih sekolah yang  sama. Keluar pagi ke sekolah pun sama. Balik pun sama. Pasti aku sangat-sangat ingin balik ke rumah bersaing dengan pelajar perempuan satu penempatan kerana ada yang nakal di kalangan kami akan mengusik rakan-rakan perempuan. Tapi kenakalan kami taklah ketara. Masing-masing tahu batas pergaulan pada waktu itu. Lagipun usik-mengusik diterima positif pihak yang satu lagi. S yang berada dalam perjalanan balik pun tak terkecuali terkena tempias usikan rakan yang nakal. Tapi tidak aku, kerana aku seorang pendiam dan hanya memerhati gelagat rakan-rakan.

          Sejak itu aku mula berminat untuk mengenali S. Aku suka rambutnya yang lurus panjang melepasi bahu dan ala-ala chinese doll yang menutupi dahinya itu. Setiap waktu pulang sekolah terutama hari Jumaat pasti saat yang ditunggu-tunggu kerana semua sesi sekolah akan tamat pada jam 12.15 tengahari. Penuhlah jalanraya dengan kenderaan dan pejalan kaki pelajar-pelajar sekolah. Saat yang ditunggu untuk bersaing dengan S di laluan sama untuk kembali ke rumah.

          Kenangan paling indah ketika S melemparkan senyuman pertamanya kepadaku. Waktu pulang tengahari itu,  kami disirami hujan yang sangat lebat di pertengahan jalan. Habis lencun pakaian seragam sekolah. S dan rakan perempuan berjalan di hadapan sementara aku dan rakan lelaki di belakang. Ketika hujan mencurah dengan sangat lebat. S dan rakan mengambil keputusan untuk berteduh di bawah pohon mengkudu. Aku dan rakan lelaki yang di belakang melewati mereka. Ketika berlalu aku sempat menoleh kepada S yang kebasahan. Mata kami bertentang dan S pun melemparkan senyumannya di balik rambut panjang yang hitam lebat itu. Fuhhh… aku sudah berada di planet Marikh. Sudah terbang melintasi bulan bintang rasanya. Tenungannya itu membuat aku semakin hari semakin rindu untuk melihatnya lagi pada hari-hari persekolahan. Sejak  itu aku semakin rajin ke kawasan perumahan kelamin baru untuk bertandang ke rumah rakan kami yang juga berjiran dengan S semata-mata ingin melihat S.

21 January 2018

Menulis

Sebatang round brush bersaiz lima di jari sedang meratakan warna hijau bercampur beberapa titis air di atas palette lalu membentuk warna sap green yang nipis. Disapu perlahan di atas kertas kasar putih buku sketch water color untuk membentuk dedaunan pohon sena yang berjurai. 

Bila berus lembab itu menyentuh kertas, alam menjadi senyap. Sepi mula menyelimuti diri. Hanya terdengar bunyi geseran daun-daun disapa angin bertiup lembut. Melambai-lambai. Kedengaran suasana mencipta lagu dan puisi. Terlukislah warna-warna alam menuruti jejari sang pelakar. 

Telinga Johan menangkap lagu-lagu alam itu ketika ia sedang riang bernyanyi. Besiulan-siulan dalam ritma yang syahdu. Sebuah persembahan orkestra alam yang menghiburkan. Melagukan dalam melodi yang bertempo perlahan sambil mengiringi catan warna kehijauan. Stroke pigmen hijau yang menyegarkan itu diharmonikan dengan warna biru langit yang nipis lalu menghasilkan tona yang  indah dipandangan. 

Disapu lembut selembut sentuhan jiwa yang tenang. Pigmen langit yang biru nipis atau cobalt blue diserasikan pula dengan payne’s gray  membentuk tompokan awan hitam kelabu. Gambaran awan mendung menyimpan hujan. Rangkuman irama dan motif terlukis dalam nuansa imiginasi Johan. Mata hatinya terus dihujani ilham. 

Tiba-tiba jari Johan terhenti dari terus menompok awan. Stroke  awannya memudar tidak keruan. Tidak menjadi. Hatinya diketuk resah. Perasaan mula menjadi gundah. Lagu merdu yang tadi riang bernyanyi telah hilang sudah. Perhatiannya kepada objek awan kelabu itu mengajak fikiran mengimbas mimpi malam tadi. 

Tenang jiwa kini mendung pula mengganti. Fokus telah berpecah arah lalu berus setengah inci sederhana itu diletak kasar masuk ke bekas berisi air. Pandangan dilemparkan jauh menjangkau. Di balik bukit berjejeran kebiruan di situ hati membentuk kerinduan. Rindunya kepada ibu.


“Apa khabar ibu..?”, bisik hati kecilnya dalam dalam nada perlahan.

19 February 2017

Perjalanan ke ITM, Shah Alam 1983

April 1983, keputusan SPM 1982 kuterima dengan rasa yang bercampur-baur. Kecewa, ya... kerana hanya sekadar Gred 3, cukup layak menerima Sijil Am Pelajaran. Tapi dalam kekecewaan itu, terselit juga sedikit rasa bangga kerana aku mendapat kepujian dalam mata pelajaran Seni Lukis dan beberapa subjek lain. Keputusan itu tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya dan sepermainan yang turut menduduki peperiksaan sama.

Sejak itu, aku mula memikirkan hala tuju — apakah langkah seterusnya? Perlukah aku mengulang SPM atau cukup sekadar ini menjadi noktah perjuangan akademikku? Dunia pekerjaan mula bermain di benak, dan antara laluan terbuka ialah menyertai pasukan keselamatan. Sebagai anak polis, peluang ke arah itu masih luas. Tentera? Aku pernah terfikir ke arah itu juga.

Sebenarnya, pada tahun 1981 aku pernah memohon untuk menyertai Perantis Putera di bawah kendalian Angkatan Tentera Malaysia. Tapi, hasrat itu ditentang oleh ayah kepada salah seorang rakanku. Bukan sahaja membantah, malah memarahi kami berdua kerana berniat untuk menjadi tentera. Katanya, “Kami anak askar… kami tak mahu anak-anak kami juga jadi askar.” Kata-kata itu melekat dalam ingatanku hingga ke hari ini. Mungkin pengalaman hidup mereka yang pahit sebagai anggota tentera membuatkan mereka tidak mahu kami merasai perkara yang sama.

Sebenarnya, menyertai Perantis Putera bukanlah ideaku pun — cadangan itu datang daripada anaknya sendiri. Aku pula, selepas tamat SRP tahun 1980, lebih cenderung untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat.

Beberapa hari selepas keputusan diumumkan, aku terbaca dalam Berita Harian tentang pengambilan pelajar ke Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam yang akan diumumkan tidak lama lagi — tetapi iklannya hanya akan dikeluarkan dalam Utusan Malaysia. Di situlah harapanku kembali menyala. Ini peluang untuk aku meneruskan pelajaran dalam bidang Seni Lukis, satu-satunya bidang yang aku benar-benar minati dan mendapat markah cemerlang. Maklumat ini aku dapat daripada seorang rakan senior yang kini sedang menuntut dalam bidang seni di ITM Shah Alam.

Tahun 1983 menjadi tahun penantian. Hari demi hari aku menunggu iklan itu keluar. Empat bulan lebih aku hanya duduk di rumah — melukis, mendengar lagu-lagu kesukaan, berbual santai dengan kawan-kawan. Petang-petang, kami bermain bola sepak di padang luar kawasan kem BN 19, Kroh (kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu), Perak. Kadang-kadang kami merayau sekitar pekan Kroh, atau sekadar menonton televisyen di rumah.

Indahnya zaman remaja waktu itu. Bebas. Tidak banyak perkara yang perlu dirisaukan. Dunia masih luas di hadapan — penuh harapan, dan aku bersedia menunggu peluang yang akan mengubah masa depanku.

22 December 2016

Gelodak Jiwa Remaja : Senyuman si Gadis

Di bengkel basikal ini, kebosanan mula merayap, melingkari jiwaku dalam kesunyian. Hari-hari terasa semakin panjang, dan detik-detik seolah enggan berlalu.

Petang yang Membosankan

Petang adalah waktu yang paling sukar. Dunia luar mula mengakhiri hari mereka – ibu-ibu sibuk di dapur, ayah-ayah mungkin sedang membelek surat khabar lama sambil menghisap rokok, dan anak-anak riang mengejar bayang-bayang di halaman. Seolah-olah kehidupan kembali ke irama asalnya setiap kali senja tiba.

Dan aku? Aku hanya terperuk di bengkel kecil ini, memerhati orang lalu-lalang yang tidak kukenali. Mereka semua punya tujuan, destinasi. Aku pula masih di sini, menampal tayar bocor, membersihkan gris dari jari, dan mengira masa. Fikiranku jauh melayang ke padang bola, tempat teman-temanku sedang memecah kesunyian petang dengan tawa, jerit, dan derap kaki di atas rumput.

Kerinduan pada Padang Bola

Padang Majlis Daerah Kroh. Di situlah kami menganyam impian setiap petang. Aku sepatutnya berada di sana, mengejar bola, bukan masa. Menendang debu, bukan kebosanan. Menjadi sebahagian daripada kisah yang hanya akan hidup jika aku berada di sana.

Bayangan wajah-wajah yang kurindui melintas satu per satu:

  • Sony Bah Di — lincah seperti Maradona.
  • Along — pertahanan tengah yang degil.
  • Rasib — penyerang yang sering hilang bola, tapi tak pernah hilang semangat.
  • Long Sunyi — penjaga gol yang sanggup terbang tanpa takut terluka.

Dan aku? Aku adalah perancang tengah, kadang-kadang bek kanan. Selalu ditugaskan untuk sepakan percuma—sepakan "banana shot" yang aku belai seperti Beckham, sebelum Beckham wujud dalam kamus kami.

Setiap petang, kami membina persahabatan. Jerit pekik di padang adalah bahasa kasih sayang kami. Bila malam menjelma, kami duduk bersila di bawah cahaya lampu jalan, berkongsi cerita, menambah warna pada kanvas kenangan. Namun malam itu, aku hanya diam, mendengar, menelan rasa terasing, kerana aku tidak sempat menjadi watak dalam cerita petang tadi.

Keputusan untuk Berhenti

Setiap hari, rasa ini semakin menebal. Bengkel ini terasa seperti penjara yang tidak kelihatan. Walaupun tauke dan isterinya baik, dan anak gadis mereka mula berani melemparkan senyuman—membalas sapaan dengan lirikan mata—aku tetap rasa kosong.

Kami pernah berbual sedikit, tentang sekolah, tentang hari hujan, tentang kuih kegemaran. Senyumnya manis, suaranya jujur. Mungkin, jika aku terus di sini, kami boleh menjadi teman rapat. Mungkin... tapi itu hanya kemungkinan.

Kerana yang pasti adalah kerinduanku pada padang itu. Pada jerit tawa. Pada kasut koyak dan lutut berlumpur. Pada waktu yang aku tahu, tidak akan kembali. Sebulan sudah berlalu, dan akhirnya aku mengalah pada suara hati. Cukuplah.

Aku akan berhenti kerja bulan hadapan. Bukan kerana letih bekerja, bukan kerana tidak selesa. Tapi kerana aku tidak mahu terus hilang dari cerita teman-teman. Kerinduan itu lebih kuat daripada segalanya. Aku mahu kembali ke tempat di mana aku merasa hidup.

06 November 2006

Episod 1: Pengkalan Hulu

Aku percaya, setiap insan adalah gudang kenangan—ada yang indah laksana permata, ada pula yang pahit menoreh luka. Ada yang menakutkan, membuat kita tidakut, namun tidak kurang juga yang membakar semangat, menghidupkan kembali bara harapan. Mozaik kenangan inilah yang pada akhirnya membentuk siapa kita hari ini; mendewasakan jiwa, mengarahkan langkah menuju kebaikan, atau sebaliknya. Lazimnya, kenangan selalu beriringan dengan pengalaman, dan sering kali, dari pengalaman itulah lahir makna-makna positif yang mendalam. Maka, izinkan aku membuka sedikit lembaran kisahku, berkongsi sekelumit memori dan pengalaman yang telah mengukir diriku menjadi insan yang lebih utuh.

Bukanlah sebuah kisah yang gemilang atau penuh kilau keemasan yang ingin kupersembahkan. Ini hanyalah seuntai catatan perjalanan, sebuah jejak yang kutempuh untuk mengumpulkan kenangan—sebagai santapan jiwa, sebagai diari indah yang tidak lekang oleh waktu, atau sekadar sebagai rasa baru yang ingin kubagikan dengan kalian. Izinkan aku membawa kalian melayang, kembali ke sebuah daerah di utara tanah air. Kini, aku berada jauh di selatan, di Seremban, Negeri Sembilan, namun daerah itu, ya, daerah itu menyimpan seribu satu memori yang membentuk diriku hari ini.

Ajaibnya, meskipun dua dekad sudah berlalu sejak kaki ini menjejak tanahnya, setiap pengalaman dan kenangan manis di sana masih begitu segar dalam ingatan. Seolah-olah waktu tidak berdaya menghapusnya. Kini, dengan sepenuh hati, aku ingin mencatatkan kembali permulaan kisahku di sini.

Aku ingin menceritakan bagaimana aku tiba di daerah ini, sebuah tempat yang keindahannya terasa jauh lebih dalam justeru ketika aku jauh darinya. Benarlah kata orang, sering kali kita mendengar cerita-cerita tentang keindahan tempat lain—yang belum pernah kita jejaki—ketika kita masih berada di tempat yang sekarang. Namun, anehnya, begitu kita berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi yang didamba itu, ia terkadang terasa biasa saja, tidak seindah yang dibayangkan. Seakan khayalan melukiskan syurga, realiti hanya memperlihatkan sebidang tanah biasa.

Setelah direnungkan, keindahan yang dulu diceritakan itu sebenarnya hanyalah permainan fikiran semata, terikat erat pada kenangan-kenangan yang telah kita lalui pada masa lalu. Ia adalah cerminan dari nostalgia yang singgah, melukiskan kembali nuansa masa lampau pada kanvas fikiran kita. Ini mengajariku sebuah pengajaran penting: keindahan sejati seringkali bukan pada tempat itu sendiri, tetapi pada pengalaman dan emosi yang kita rajut di sana. Dan kadang-kadang, jaraklah yang mengukir keindahan itu menjadi lebih menawan dalam ingatan kita.

 

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...