22 December 2016

Gelodak Jiwa Remaja : Senyuman si Gadis

Kebosanan menyelubungi jiwa.Apabila lama berkerja di sini aku jadi tidak keruan mengenangkan rakan-rakan sepermainan.Setiap petang bila pelanggan bengkel basikal semakin kurang kerana ia waktu yang paling sibuk untuk manusia menyelesaikan aktiviti di hujung hari.Si ibu mula bersiap-siap menyediakan makan malam atau bersembang dengan jiran-jiran.Si anak masih girang berkejaran meraikan dunia permainannya.Ayah mungkin sibuk berkebun atau menyedut asap rokok sambil mengadap peti televisyen.Atau mungkin mereka beriadah di pinggir tasek takung atau boleh saja di padang Majlis Daerah Kroh.Suasana daerah ini hidup pada waktu petang.Semua telah tahu apa yang perlu dibuat pada waktu-waktu petang begini.Dan pada waktu ini seharusnya aku berada di atas padang.Bersama rakan mengejar bola nan satu itu.

Aku pasrah.Kerinduan membuak-buak mengenangkan hilai ketawa dan jerit pekik mereka.Bergaduh, mengusik menjadi asam garam dunia remaja mereka.Tapi aku di sini.Di bengkel ini.Menghabiskan sisa petangku dengan melihat manusia silih berganti berlalu di hadapan bengkel basikal.Tiada satupun wajah mereka yang kukenal.Resah gelisah.Tauke dan isteri pula pada waktu-waktu begini akan duduk-duduk di dapur menghirup minuman petang sambil berbual-bual.Mungkin tentang anak-anak atau perniagaan hari itu atau mungkin ekonomi keluarga mereka.Anak gadisnya pula melayan rakan-rakan sebaya yang datang.Tiada siapa yang mahu melayan aku.Mengajak aku berbual-bual sama.Sunyi.

Jasadku di sini.Di bengkel ini.Namun jiwa dan hatiku jauh melayang mengenang rakan nun di atas padang.Rutin kami pada waktu sebegini bermain bola sepak.Pada waktu ini seluruh anak-anak remaja kem BN 19 berkumpul di sana.Wajah-wajah yang tidak kelihatan sepanjang hari muncul satu persatu di pinggir padang.Mahu turut serta dalam perebutan bola itu.Aku akan teringatkan setiap watak-watak mereka.Sony Bah Di, persis Maradona.Mengelicik itu identiti cara permainannya.Along atau Sani Suntai, pertahanan tengah yang sedikit kasar bila menyerbu bola di kaki lawan.Rasib, penyerang bahagian tengah yang kerap kehilangan bola.Malas.Long Sunyi penjaga gol tidak takut mati.Menerkam bola bagai singa.Remaja yang tidak kenal sakit.

Aku…aku perancang tengah atau bek kanan di samping mengambil tendangan percuma ala banana ball.Ah rindunya…

Kebuntuan mengiringi rindu pada mereka-mereka rakanku.Petang itu mereka habiskan waktu bersama mencipta setiakawan.Mengeratkan lagi kepercayaan.Bila malam kami berkumpul di bawah lampu neon jalan, mulalah satu persatu cerita siang tadi dikongsi.Gelak ketawa mengiring sama.Waktu itu aku hanya diam sambil melihat rakan rancak bercerita.Terasa terasing.Aku seperti tidak termasuk di dalam drama mereka.Itu yang aku rindukan.Aku mahu jadi watak dalam sebahagian drama petang tadi.Tapi aku di bengkel basikal.Merenung mentari merangkak meninggalkan hari.Selalu bila petang beralih senja aku sampai lewat untuk melihat rakan-rakan sepermainan di atas padang.Mereka sudah beransur pulang.Waktu itu sedih di hati tiada siapa yang peduli.

Sebulan berlalu aku mengambil tekad.Cukuplah setakat ini.Aku akan berhenti kerja di bengkel ini.Bukan kerana suasana kerja yang membebankan tapi perasaan yang tidak dapat ditahankan.Aku rindu suasana bersama kawan-kawan.Walaupun anak gadis cina tauke basikal yang manis itu sudah menunjukkan sedikit kemesraan.Sudah meleret senyuman yang dilemparkan.Ya..sempat juga aku berbalas senyuman itu.Dan berbual singkat tentang persekolahannya.Tapi itu tidak melunturkan rinduku pada teman-teman.Terfikir juga..mungkin kami boleh berkawan jika aku teruskan berkerja di bengkel ini.mungkin.Tapi sudah terlewat.Rinduku pada teman-teman lebih kuat.Bulan hadapan aku akan berhenti kerja.


No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...