18 December 2016

Alam Remaja 1983 : Pengalaman bekerja di kedai basikal.

Awal Januari 1983, selepas lama berada di rumah bersama keluarga, suatu hari ayah mendekatiku dan bertanya jika aku ingin bekerja di sebuah kedai basikal di pekan Kroh. Rupa-rupanya, ayah sudah berbincang dengan tauke kedai basikal itu agar dia mengambil aku bekerja. Tauke tersebut setuju. Kedai ini juga adalah tempat ayah membeli basikal Hercules pertamanya dulu, kira-kira pada tahun 1972.

Aku tidak ragu-ragu menerima cadangan ayah. Keesokan harinya, aku pergi sendiri ke kedai basikal itu dan mula bekerja di sana. Hari pertama, tauke yang berbangsa Cina dan agak pendiam itu mengajar aku cara menampal tiub basikal yang bocor. Setiap tampalan hanya berupah tiga puluh sen.

Tauke dan keluarganya tidak ramai. Aku hanya melihat isteri dan dua anak perempuannya: seorang di tingkatan satu dan seorang lagi masih di sekolah rendah. Sepanjang bekerja di situ, aku jarang berbual dengan anak-anaknya, hanya tauke dan "auntie" yang banyak berinteraksi denganku. Auntie baik orangnya—kadang-kadang dia akan menjamuku kuih apam berwarna-warni dan teh ‘o’ sewaktu petang. Kami berbual-bual di dapur, sementara anak daranya sering menunggu di bengkel menanti pelanggan.

Auntie yang peramah suka bercerita tentang keluarganya, terutama saudara-mara di Pulau Pinang. Aku lebih banyak mendengar. Mungkin kerana aku masih baru dan agak pendiam, auntie yang memulakan perbualan. Sekali-sekala, anak gadisnya akan masuk ke dapur dan memandang kami berbual.

Bekerja di bengkel basikal itu memberi pengalaman baru. Berbagai jenis pelanggan datang—ada yang tidak tahu cara mengisi angin basikal, ada pula yang meminta tampalan berkali-kali pada tiub basikal yang sepatutnya sudah diganti baru. Kadang-kadang rakan-rakan sekolah juga datang mengisi angin basikal mereka dan melihatku di tempat kerja. Pelanggan tidak terlalu ramai, jadi ada masa terluang untukku duduk di kaki lima kedai, memerhati orang lalu-lalang, atau berkunjung ke kedai kasut bersebelahan.

Selama aku di sana, aku perasan anak gadis Cina dari kedai kasut sebelah sering datang berbual dengan anak gadis tauke. Mungkin mereka sebaya, memandangkan mereka sering pulang bersama. Anak gadis tauke itu tinggi lampai seperti ayahnya, dan sikapnya yang pendiam menambah lagi keanggunan wajahnya. Waktu tauke masuk ke dapur untuk makan, anaknya kadang-kadang menggantikan tempatnya di bengkel. Aku akan mencuri pandang saat dia duduk di meja sambil mengulangkaji pelajaran. Malu-malu, namun tertarik juga melihat gadis ini.

Bila kawannya dari kedai sebelah datang, mereka akan berbual sambil mencuri pandang ke arahku, diiringi ketawa kecil. Mungkin ada sesuatu yang kelakar pada pandangan mereka—atau mungkin hanya mengusik aku.

Selepas sebulan bekerja, tauke mula mengajar aku cara memasang jejari rim basikal, satu kerja yang agak mencabar. Kami akan membina sebuah basikal dalam masa seminggu. Sedikit demi sedikit, pengalaman ini mengajarku berinteraksi dengan orang di luar kebiasaan. Mengenali berbagai ragam pelanggan, mendewasakan cara fikir dan tindakanku. Syukur, satu pengalaman yang bermakna dan mendidik.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...