Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.
Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.
Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.
Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.
Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.
Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.
Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.
nice
ReplyDelete