Selama berada di Kroh
pada awalnya tidak ada siapa yang menyedari kehadiranku, maklumlah aku ketika
itu tidak seperti aku ketika awal 1980'an dulu. Aku berbaju Melayu, sandal, mengenakan serban putih dan beg sandang di bahu. Di dalamnya berisi kitab
Matha'al Badrin.
Namun setelah
seminggu, rakan persekolahanku dulu Mohd Hanafiah dan Azhari dari Kg Selarung
menegurku setelah beberapa kali ternampak aku di pekan ini. Dalam pada waktu
yang sama seorang saudara jauh dikenali dengan nama Abang Abu (juga telah memeluk Islam dan
berkahwin dengan perempuan Melayu) telah menemuiku dan mengajak aku tinggal
bersama di rumah sewanya di Kampung Baru. Pada awalnya aku menolak tapi isterinya beriya-iya mengajak
kerana mengenaliku dengan rapat sejak kecil. Isterinya juga meminta aku mengajar
Muqaddam kepada dua orang anak perempuannya dan menghantar serta mejemput
mereka di Kelas fadhu ain di Masjid Iskandari. Mereka memanggilku dengan nama
"Abang Alim" kerana tidak pandai menyebut Alen.
Sejak tinggal di
rumah Abang Abu ada ketikanya aku berkesempatan ke kem Batalion 19 (Senoi
Praaq). Peluang ke sana tidak kulepaskan kerana dulu aku kerap bermimpi rumah
peninggalan di mana aku dibesarkan. Aku masih ingat ibu ada memberi tahu
kepadaku bahawa rumah kami itu mempunyai penunggu. Seorang tua yang berjanggut
dan berjubah putih. Orang tua itu selalu datang dalam mimpi ayah dan membantu ayah
dalam mengubati orang secara jampi.
Benar ayahku
seseorang yang mempunyai ilmu kebatinan. Ayah juga membela sejenis makhluk
halus. Makhluk itu akan datang dengan rupa sejenis serangga umpama reriang. Kata ibu makhluk itu hanya akan menolong jika ada orang yang dalam
kesusahan meminta pertolongan.
Anehnya aku tidak
pernah cuba menuntut dari ayah. Sedikitpun tidak. Kalau ada yang datang meminta
pertolongan dan ayah menjampi air yang dibawa aku hanya duduk memerhatikan
saja. Sehinggalah aku meningkat dewasa aku seperti tidak berminat dengan amalan
ayah. Mungkin juga disebabkan tidak berapa rapat dengan ayah.
Berhari-hari aku di
Kroh, segala kenangan mengimbau kembali. Namun aku sedikit terasing dari dunia
rakan-rakan sepermainan. Mungkin tarbiyah berbulan-bulan di Al-Arqam menghadkan
aku dengan alam yang satu waktu dulu menjadi duniaku. Mereka tidak berubah, tapi
sebaliknya akulah yang telah banyak berubah. Aku telah jadi muslim dengan doktrin yang begitu
ekstrem. Sedangkan rakanku walaupun bukan Islam namun boleh menerima
aku. Kadang-kadang rasa kecewa dengan sikapku sendiri. Ya, aku lemah. Ketika itu aku
tidak dapat mengimbangi Islam yang kuterima dengan realiti kehidupan di luar
Al-Arqam.
Islam agama yang
universal, bertolak ansur dan boleh diadaptasi dengan semua kehidupan. Asal saja
kita tidak turut terjerumus dibuai perkara-perkara yang tidak
bermanfaat. Sebenarnya aku boleh mempamerkan kehidupan jahiliahku dulu dengan
batasan syarak, kerana satu waktu dulu aku bukanlah manusia yang menidakkan
agama. Aku dulu hidup mencintai kebaikan.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.