Rakan-Rakan sekuliahan Art & Design 1983 |
Sewaktu menuntut di bidang Seni Lukis dan Seni Reka atau disebut
juga AD 10 atau AD 83 di ITM, Shah Alam, aku amat meminati
muzik. Biasanya muzik yang easy listening,
sentimental dan ada unsur-unsur
puisi. Kebiasaannya juga lirik-lirik puitis menangkap perhatianku. Pada masa
yang sama juga jabatan muzik telah ditubuhkan sebumbung dengan Jabatan Senilukis
dan Senireka, dapatlah sekali sekala aku menjenguk budak-budak muzik bermain
muzik di situ. Terhibur juga melayan lagu-lagu yang mereka mainkan walaupun
kadang-kadang lagunya lebih banyak berunsur tradisional.
Bermula di situ, timbul minatku
bermain gitar. Penghujung 1983 aku mula tercari-cari buku-buku tentang muzik di
sekitar bandar besar Kuala Lumpur. Memanglah bersepah.Aku mahu mempelajari
asas-asas kod gitar. Walaupun gitarnya belum ada tapi aku cuba memahirkan lagu-lagu
berbahasa Inggeris dari kaset-kaset yang kubeli. Lagu-lagu The Beatles, Shakin
Steven, David Gates, Bread menjadi kegemaranku. Ketika itu juga era rock kapak telah mula menjadi kegilaan anak-anak muda.Tapi
tidak aku. Aku merayau
seorang diri pada hari cuti kuliah sekitar bandar Kuala Lumpur.Aku ke Emporium
Campbell dan di situ aku memilih satu dari ribuan buku-buku berkaitan muzik dan
kod gitar.
Cuti akhir semester pertama aku pulang
ke Kroh membawa bersama buku-buku muzik. Pada ketika itu juga kawan
sepermainanku dulu telah menunjukkan minat yang sama. Kami melepak seharian di
rumah kawanku itu semata-mata mahu belajar bermain gitar. Maklumlah remaja.
Ayahku pun hairan dan tertanya-tanya mengapa aku tidak lekat di rumah. Hilang
tak tahu entah di mana?
Akhirnya ayah dapat tahu juga, aku ke
rumah kawan bermain gitar. Lalu pada satu tengah hari sewaktu aku pulang ke
rumah untuk menikmati makan tengah hari aku mendapati ada sebuah bungkusan
kotak besar atas tv. Aku pun teragak-agak nak tahu. Bila kotak besar kubuka ,
aku dapati sebuah gitar baru. Aku bertanya pada ibu, gitar siapa?. Ibu
memberitahu ayah belikan untuk aku. Betapa riangnya hati. Umpama pucuk dicita
ulam mendatang. Itulah hadiah paling manis pernah aku terima dari ayah.
Sejak itu aku tidak berlengah lagi.
Belajar dan bermain gitar sudah menjadi kerja masa lapangku. Aku mula memasang
angan-angan untuk menjadi penyanyi. Aku ingin mengikuti langkah Sohaimi Mior
Hassan. Lagu-lagunya sangat dekat denganku. Kembali ke ITM pada Januari 1984, aku
membawa gitar bersama. Aku gunakan kesempatan bermain dengan rakan-rakan
sekuliah yang lebih advance dariku.
Dalam waktu yang sama aku tidak
melupakan assignment yang perlu disiapkan. Maklumlah
kerja-kerja kuliah dah ada date line yang perlu diselesaikan.
Penghujung Disember, 1983, ayahku
pencen berkhidmat dengan kerajaan dan kami sekeluarga pulang ke kampung ayah di
Jelebu, Negeri Sembilan. Dari sana aku menyambung ke semester kedua pengajian.
Penghayatan seniku makin baik dan begitu juga kecekapan bermain gitar. Sejarah
dunia seni menjadi hafalan dan fahaman. Kemahiran bermain gitar semakin sedap
didengar.
Kembali ke kampung akhir semester
kedua pertengahan tahun 1984, aku tidak menerima keputusan akhir semester kedua
seperti lazimnya. 3 bulan berlalu aku masih tidak menerima apa-apa keputusan.
Aku cemas. Akhirnya aku menerima hakikat aku gagal. Gagal ?
Selepas 3 bulan senior satu course denganku
(juga saudara jauh) bertandang ke kampungku kerana menziarahi keluarga sebelah
bapanya. Tengah hari itu dia bertemu aku yang sedang duduk di tangga rumah. Dia
hairan kenapa aku tidak menyambung pelajaranku di ITM. Sambung belajar ?. Aku
terkedu.Aku menjawab, aku tidak menerima result semester
2. Dia memberitahu bahawa aku lulus. Cuma pihak jabatan tidak lagi menghantar result melalui
pos seperti tahun pertama. Dan dia melihat namaku terpampang masuk ke jabatan
grafik. Wow ! Graphic Department. Padahal aku target untuk ke Fine
Art Department. Seniorku memberitahu aku boleh menyambung belajar
walaupun sudah 3 bulan tidak hadir.Kalau aku mahu.
Itulah kali terakhir aku bergelar
siswa. Aku terima hakikat rezekiku tidak ada di ITM. Pengalaman dan kenangan
hanya tinggal jauh dalam diri. Peringkat awal dulu ada juga kesal di hati.
Namun hidupku mesti diteruskan. Aku selalu juga mengenang. Betapa diriku kini
dibandingkan dulu amat jauh. Mungkin Tuhan tidak melorongkan niatku memeluk
Islam dengan cara itu. Mungkin aku perlu mencari. Aku perlu berusaha untuk
mendapatkannya.Itulah kemanisan.
Hubunganku dengan rakan di ITM
terputus. Mereka tidak tahu alamatku dan aku tidak cuba untuk menghubungi
mereka. Mungkin timbul perasan malu pada peringkat awal kerana anggapan aku gagal dalam ujian terakhir. Bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung. Kehidupan harian di sini
amat asing kerana aku tidak pernah melakukan kerja-kerja yang memerlukan tulang
empat kerat.Aku pasrah.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.