31 August 2008

Pieces of me

Terima penghargaan dari YB Tajul Rosli (Pengawas)

Berdiri : Mohd Hanafiah,Azahari,Aku
Duduk: Zainal,Razali,Zabidi
Kelas 4A1(1981)

Gambar-gambar ini agak lama jadi nampak warnanya tidak jelas sikit.Sebenarnya gambarku banyak yang telah diambil rakan-rakan.Apa nak buat ini sajalah kenangan yang ada.InsyaAllah ada lagi yang nak dipaparkan di sini.

ITM,Shah Alam
November 1983

Yayasan Anda Akademik
November 1988

Jefrry Dikan (rakan)
April 1983

Aku dan Rostam
Mac 1983

Aku depan rumah seorang kawan Ajak (cuti semester 1)
December 1983 dan bawah aku di laman rumah saudara jauh




Ini grup aku.. Grup 2 AD 83 ada 4 orang rakan lelaki yang tiada dalam ni.Aku suka grup ni.



Savana United 1981-1982-1983


Jadi model fesyen.Sebenarnya foto ni aku gunting sebab kecewa.Aku tak meneruskan pengajian sem 3


29 August 2008

Sepotong Doa Buat Sekeping Hati

hanya pada Mu
ku pinta segala
yang bakal bagi diriku
andainya Kau suka
kikiskanlah isi hati ini
yang semakin hitam
kutadahkan kedua tanganku


Tuhan peliharalah diri ini
dari kesesatan
dari kemalasan
dari kemegahan
segala kekotoran

teguhkanlah keimanan ku
dan cekalkan hati
meskipun apa jua
yang Kau beri
padaku

hanya pada Mu
ku pinta segala
yang bakal bagi diriku
andainya Kau suka

lembutkanlah isi hati ini
yang semakin keras
agar senang ku lenturkan jiwaku
kejalanMu
Sohaimi Mior Hassan

27 August 2008

Anna..sebuah kembara nostalgik.

Aku tidak mengingati berapa lama aku berada di kedaerahan ini.Namun aku pasti waktunya terlalu lama.Kerana rinduku belum reda hilangnya.Setiap inci buminya aku lewati.Dan setiap langkahan aku berhenti merenung panjang pada sebuah kenangan yang lama tersimpan.Kadang-kadang semacam seorang lelaki kurang siuman bila aku berdiri memandang sepi kepada sesuatu tempat yang kuat masih kuingat.

Satu hari aku terima surat terselit di peti surat Masjid Iskandari.Aku dapati namaku tertulis halus dan senyum tiba-tiba terserlah diair mukaku.Ana membalas surat pertama sewaktu aku tiba di sini.Dia tidak menyangka aku datang ke Kroh.Sebenarnya tujuanku ke sini bukan semata-mata mahu bertemu Ana,tapi menziarahi saudaraku dan rakan-rakan yang lama kutinggalkan dulu.

Aku tidak nafikan Ana adalah juga sebahagian dari kembaraan ku sini.Melalui rakannya yang tinggal di Kem Senoi Praaq ketika itu aku berpesan untuk bertemu dengan Ana di Tasik Takung waktu petang.Rakan yang ku panggil Bujang adalah bekas rakan sekelas dengan Ana dan amat mengenali Ana rupanya sebelum itu.

Pada satu petang aku telah bersedia menunggu dengan rasa sedikit keliru.Sanggupkah aku atau aku terlalu mengikut rasa.Aku keliru..Akhirnya aku berdoa supaya Ana tidak jadi datang pada hari itu.Dari arah Rumah Rehat Kroh ,Bujang tiba dengan senyuman.Sebelum itu aku telah meminta Bujang menemani aku untuk bertemu dengan Ana.Aku lihat Ana tidak ada..Bila Bujang tiba di tempat aku duduk (dekat Restoran terapung sekarang) dia maklumkan aku bahawa Ana tidak dapat datang petang itu.Ada hal katanya.Aku tertanya dalam sepi walhal dalam masa yang sama menyembunyikan rasa lega.

Beberapa hari selepas itu aku terima sepucuk lagi surat dari Ana.Dia mengucapkan terima kasih kerana datang sebegitu jauh untuk melihat dirinya.Dia simpati.Akhirnya dia berterus terang bahawa sebenarnya dia telah dimiliki orang.Tunangan orang.Katanya aku sedikit terlewat.Dia telah bertunang dengan seorang anggota tentera di kem berdekatan.Terkilan...???.Andaikata Ana berterus terang dulu aku tidak kisah melupakannya.Kadang-kadang aku terfikir adakah itu alasan mudah atau sememangnya Ana tunangan orang.


Itulah surat terakhir dari Ana.Aku tidak menghubunginya lagi selepas itu.Bujang pun tidak tahu cerita sebenar Ana.Dan aku terus tinggal di Kroh menjejak seorang demi seorang rakanku.

25 August 2008

Kroh...sebuah memori.

Selama berada di Kroh pada awalnya tidak ada siapa yang menyedari kehadiranku, maklumlah aku ketika itu tidak seperti aku ketika awal 1980'an dulu. Aku berbaju Melayu, sandal, mengenakan serban putih dan beg sandang di bahu. Di dalamnya berisi kitab Matha'al Badrin.

Namun setelah seminggu, rakan persekolahanku dulu Mohd Hanafiah dan Azhari dari Kg Selarung menegurku setelah beberapa kali ternampak aku di pekan ini. Dalam pada waktu yang sama seorang saudara jauh dikenali dengan nama Abang Abu (juga telah memeluk Islam dan berkahwin dengan perempuan Melayu) telah menemuiku dan mengajak aku tinggal bersama di rumah sewanya di Kampung Baru. Pada awalnya aku menolak tapi isterinya beriya-iya mengajak kerana mengenaliku dengan rapat sejak kecil. Isterinya juga meminta aku mengajar Muqaddam kepada dua orang anak perempuannya dan menghantar serta mejemput mereka di Kelas fadhu ain di Masjid Iskandari. Mereka memanggilku dengan nama "Abang Alim" kerana tidak pandai menyebut Alen.

Sejak tinggal di rumah Abang Abu ada ketikanya aku berkesempatan ke kem Batalion 19 (Senoi Praaq). Peluang ke sana tidak kulepaskan kerana dulu aku kerap bermimpi rumah peninggalan di mana aku dibesarkan. Aku masih ingat ibu ada memberi tahu kepadaku bahawa rumah kami itu mempunyai penunggu. Seorang tua yang berjanggut dan berjubah putih. Orang tua itu selalu datang dalam mimpi ayah dan membantu ayah dalam mengubati orang secara jampi.

Benar ayahku seseorang yang mempunyai ilmu kebatinan. Ayah juga membela sejenis makhluk halus. Makhluk itu akan datang dengan rupa sejenis serangga umpama reriang. Kata ibu makhluk itu hanya akan menolong jika ada orang yang dalam kesusahan meminta pertolongan.

Anehnya aku tidak pernah cuba menuntut dari ayah. Sedikitpun tidak. Kalau ada yang datang meminta pertolongan dan ayah menjampi air yang dibawa aku hanya duduk memerhatikan saja. Sehinggalah aku meningkat dewasa aku seperti tidak berminat dengan amalan ayah. Mungkin juga disebabkan tidak berapa rapat dengan ayah.

Berhari-hari aku di Kroh, segala kenangan mengimbau kembali. Namun aku sedikit terasing dari dunia rakan-rakan sepermainan. Mungkin tarbiyah berbulan-bulan di Al-Arqam menghadkan aku dengan alam yang satu waktu dulu menjadi duniaku. Mereka tidak berubah, tapi sebaliknya akulah yang telah banyak berubah. Aku telah jadi muslim dengan doktrin yang begitu ekstrem. Sedangkan rakanku walaupun bukan Islam namun boleh menerima aku. Kadang-kadang rasa kecewa dengan sikapku sendiri. Ya, aku lemah. Ketika itu aku tidak dapat mengimbangi Islam yang kuterima dengan realiti kehidupan di luar Al-Arqam.

Islam agama yang universal, bertolak ansur dan boleh diadaptasi dengan semua kehidupan. Asal saja kita tidak turut terjerumus dibuai perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Sebenarnya aku boleh mempamerkan kehidupan jahiliahku dulu dengan batasan syarak, kerana satu waktu dulu aku bukanlah manusia yang menidakkan agama. Aku dulu hidup mencintai kebaikan.

21 August 2008

Kunjungan pertama ke Kroh...November 1986

Penghujung 1986, aku sudah meninggalkan Al-Arqam. Aku jual motorku yang satu waktu dulu hadiah dari ayah. Aku ingin mendalami agama di sekolah pondok sebagai mengakhiri perjalanan mencari ilmu. Dengan wang yang ada hasil menjual motor aku akan merantau jauh dari sini.

Pada ketika itu aku memikirkan, mungkinkah Ana sebagai gadis yang pertama dan terakhir bagiku.Sebelum aku menunaikan niatku untuk teruskan pengajian aku perlu berjumpa dengannya atau keluarganya.Aku perlu mendapat pandangannya.

Berbekalkan RM1500.00 aku ke utara. Pertamanya aku akan berjumpa dengan saudara jauh yang masih menetap di Kroh dan rakan-rakan sepermainan. Keduanya aku ingin bertemu dengan Ana. Aku sudah berjanji bahawa aku ingin bertemu dengannya. Dan Ana mengalu-alukan kedatanganku ke sana.

Pada ketika itu tidak tergambar riangnya hati, daerah yang lama telah kutinggalkan akan aku jejaki kembali buat pertama kalinya sejak ditinggalkan penghujung 1983 lalu. Aku bertolak dari Seremban ke Kuala Lumpur. Setelah membeli tiket aku ke Masjid Jamek Kuala Lumpur menanti malam menjelang. Di sana aku beriktikaf kerana bas yang akan membawaku ke utara akan bertolak pada jam lebih kurang 9.00 malam.

Aku tiba awal pagi di Kroh dan terus ke Masjid Iskandari. Aku beriktikaf di sana dan sebagai tempat berlindung sehari dua. Sebenarnya aku tidak mahu menyusahkan saudaraku dengan memberitahu bahawa aku mahu bermalam di rumah mereka. Aku sudah terbiasa tidur di masjid. Lagipun masjid ini punya kenangan manis pada diriku.


Di sanalah menghimbaunya kenangan sewaktu aku darjah 3 bermain di perkarangan masjid ini menyepak buah pinang yang gugur di laman masjid bersama-sama rakan sekelas. Aku tidak ingat berapa batang pokok pinang.Tapi buahnya banyak gugur di situ.Aku juga masih ingat ada tabuh besar dari batang kayu di simpan di masjid itu. Ada tiga orang lelaki Pakistan yang berdagang di Kroh tinggal di rumah berdekatan masjid. Aku selalu menemankan ibuku membayar hutang kain dari "Bai".Bila pulang ke rumah kami akan lalu pekan Kroh dan ibu akan membelikanku laksa yang disimpan dalam plastik lutsinar.Aku masih ingat, makan laksa macam menghirup ais menggunakan straw.Dan sejak itu aku jadi ketagih laksa...

Cinta

Aku hidup dan kaya dengan cinta.Namun pengertian cinta itu terlalu luas.Kisah yang lalu,yang kupaparkan di sini banyak menerangkan siapa aku sebenarnya.Aku sangat cinta pada kedaerahan yang membesarkan aku.Aku cinta pada minat seniku.Aku cinta pada agamaku.Dan keseluruhannya.Aku percaya manusia lain juga mempunyai perasaan sepertiku.

Kali ini aku akan ceritakan satu kisah yang tidak kutulis dalam blog ini sebelumnya.Ya cintakan insan berlainan jenis.

Sebenarnya tidak ramai gadis yang kukenal.Maklumlah aku ini "tertutup" sikit.Pergaulan peringkat kanak-kanak dan remaja tidak banyak mendedahkan aku dengan perempuan.Satu-satunya perempuan yang rapat denganku adalah ibuku sendiri.

Namun bila meningkat remaja jiwa ini mula terangsang untuk mengenal siapa dia bernama gadis.Aku tidak ingat tahun sebenarnya aku mengenali seorang gadis dari utara tanahair.Dan aku tidak pasti dari mana aku dapat alamatnya.Yang aku sangat-sangat pasti aku mengutuskannya surat(pada masa itu hanya surat menjadi medium untuk berhubung) tanda perkenalan kerana dia berasal dari daerah yang pernah aku bermukim suatu ketika dulu.Asalnya hanya ingin mendapat berita dan bercerita tentang Kroh.Dia berasal dari Kampung Kuak Luar.

Begitulah asalnya, gadis ini kupanggil Anna...nama penuhnya M (tak ingat nama ayahnya ) mmm...terkenang pulak lagu M.Nasir...Keroncong Untuk Ana.Melaluinya kusampaikan salam dan pesan kepada rakan-rakan yang masih mengenaliku.Dan Anna tidak jemu-jemu membalas setiap suratku kepadanya.Anna bercerita tentang sekolah lamaku Sekolah Menengah Tun Saban yang juga sekolahnya dan cikgu-cikgunya.Terasa penceritaannya bagai sekejap saja aku meninggalkan daerah Kroh ketika itu.

Ya,kadang-kadang ada juga gurauan dan usik mengusik ditulis dalam surat-suratku itu.Bila sudah semakin mesra Anna juga pandai menguji hatiku.Entah bagaimana bila surat Anna datang,aku terasa dekat dengan Kroh.Rinduku kembali membara dan membawa fikiranku mengenang kedaerahan ini.


Siapa sangka,lama-kelamaan bahasa menjadi lebih puitis,sajak-sajak menjadi rasmi di setiap helaian warkah yang tiba.Hati meruntun rindu.Bukan lagi pada surat tetapi si penulis surat itu sendiri.Bagaimana rupa orangnya...

20 August 2008

Al-Arqam 1986 : Kehidupan yang lalu.

Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.

Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.

Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.

Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.

Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.

Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.

Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.

Penghujung tahun 1986 aku meninggalkan al-Arqam dan 1987 aku kembara sendirian mencari ilmu. Merantau mencari pengalaman hidup. Menagih sinar pada masa hadapan.

17 August 2008

Siapa Mus'ab...?

Aku tidak tahu mengapa aku dinamakan Mus'ab.Ustaz yang mengislamkan aku (bekas paderi dari Sabah yang juga telah lama memeluk agama suci ini) telah memberikan nama itu kepadaku.Aku terima saja walaupun perancangan asalku Salleh kerana hujungnya ada Leh...mmmm.Jangan senyum.

Aku dimaklumkan siapa Mus'ab Ibnu Umair.Dan aku berusaha mencari kisah sahabat yang terkenal ini.Syahid pada masa perang Uhud.Amat jauh kisahnya dengan diriku.Di sini aku ambil serba sedikit kisahnya.

Musab bin Umair adalah sahabat Rasulullah yang sangat terkenal dan menjadi teladan kepada umat Islam sepanjang zaman. Sebelum memeluk Islam lagi Musab terkenal sebagai orang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Keadaan dirinya yang mewah dan rupanya yang kacak menyebabkan Musab menjadi kegilaan gadis di Makkah. Mereka sentiasa berangan-angan untuk menjadi isterinya.

Musab sebenarnya adalah anak yang paling disayangi ibunya berbanding adik beradiknya yang lain. Apa sahaja permintaannya tidak pernah ditolak. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila ibunya begitu marah selepas mendapat tahu Musab telah menganut Islam.

Ibu dan ayahnya telah mengurung dan menyeksa Musab selama beberapa hari dengan harapan dia akan meninggalkan Islam. Bagaimanapun tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan keyakinannya. Pujukan dan ancaman ibunya tidak berkesan. Mereka sudah habis ikhtiar lalu membebaskannya buat sementara.

Tindakan ibunya tidak sedikit pun menimbulkan rasa takut pada Musab, sebaliknya dia tidak jemu-jemu memujuk ibunya memeluk Islam kerana kasih pada ibunya. Musab membuat pelbagai ikhtiar tetapi semua tindakannya hanya menambahkan lagi kemarahan dan kebencian ibunya.

Pada suatu hari Musab melihat ibunya dalam keadaan pucat lesi. Dia pun bertanyakan sebabnya. Kata ibunya, dia telah berniat di hadapan berhala bahawa dia tidak akan makan dan minum sehingga Musab meninggalkan Islamnya.

Cuba bayangkan bagaimana jika anda berada di tempat Musab ketika itu, berhadapan dengan ibu yang hanya hampir tinggal nyawa ikan? Apakah jawapan anda? Tergamakkah anda membiarkannya terlantar begitu? Atau apakah ada jawapan lain yang lebih menggembirakan? Dengarlah jawapan Musab kepada ibunya: Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.

Apa lagi lemahlah siibu mendengar jawapan sianak. Dengan jawapan tersebut juga, Musab dihalau daripada rumah ibunya. Tinggallah Musab bersama-sama Rasulullah dan sahabat-sahabat yang sangat daif ketika itu.

Untuk meneruskan kehidupannya, Musab berusaha sendiri bekerja mencari nafkah dengan menjual kayu api. Apabila sampai berita ini kepada ibunya, dia merasa amat marah dan malu kerana kebangsawanannya telah dicemari oleh sikap Musab. Adik-beradik Musab juga sering menemui dan memujuknya supaya kembali menyembah berhala. Tetapi Musab tetap mempertahankan keimanannya.

Sewaktu ancaman dan seksaan kaum Quraisy ke atas kaum Muslim menjadi-jadi, Rasulullah telah mengarahkan supaya sebahagian sahabat berhijrah ke Habysah. Musab turut bersama-sama rombongan tersebut. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah.

Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat:
“Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Musab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Apabila ibu Musab mendapat tahu mengenai kepulangannya, dia memujuk anaknya supaya kembali kepada berhala. Dia mengutuskan adik Musab yang bernama al-Rum untuk memujuknya. Namun Musab tetap dengan pendiriannya. Bagaimanapun tanpa pengetahuan ibunya, al-Rum juga sudah memeluk Islam tetapi dia merahsiakannya. Sewaktu berlaku peperangan Uhud, Musab ditugaskan memegang panji-panji Islam. Peringkat kedua peperangan telah menyebabkan kekalahan di pihak tentera Muslimin. Tetapi Musab tetap tidak berganjak dari tempatnya dan menyeru: Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul.

Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Musab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Musab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan tadi. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Musab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Musab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Tangisannya memenuhi sekitar bukit Uhud. Ketika hendak dikafankan, tidak ada kain yang mencukupi untuk menutup mayat Musab. Keadaan itu menyebabkan Rasulullah tidak dapat menahan kesedihan hingga bercucuran air matanya.

Keadaannya digambarkan dengan kata-kata yang sangat masyhur: Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Demikian kisah kekuatan peribadi seorang hamba Allah dalam mempertahankan kebenaran dan kesucian Islam. Beliau jugalah merupakan pemuda dakwah yang pertama mengetuk setiap pintu rumah di Madinah sebelum berlakunya hijrah.

Kisahnya mempamerkan usaha dan pengorbanannya yang tinggi untuk menegakkan kebenaran. Semua itu adalah hasil proses tarbiyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah.
Musab telah menjadi saksi kepada kita akan ketegasan mempertahankan aqidah yang tidak berbelah bagi terhadap Islam sekalipun teruji antara kasih sayang kepada ibunya dengan keimanan. Musab lebih mengutamakan kehidupan Islam yang serba sederhana dan kekurangan berbanding darjat dan kehidupan yang mewah.

Dia telah menghabiskan umurnya untuk Islam, meninggalkan kehebatan dunia, berhijrah zahir dan batin untuk mengambil kehebatan ukhrawi yang sejati sebagai bekalan kehidupan dalam perjuangan yang tidak pernah padam.

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu


16 August 2008

Akhirnya...Aku Islam

Sekitar 1985, usiaku belum lagi mencecah 20 tahun.Aku masih belum punya pekerjaan tetap.Sejak aku tingal di kampung telah bermacam kerja aku buat.Kursus-kursus belia sudah banyak aku sertai.Namun ada sesuatu yang kosong dalam diri.Aku perlu bekerja.Aku masih ingat aku hanya duduk di dalam bilik.Menulis sajak mencipta lirik lagu dan bermain gitar.

Satu petang ketika aku memerap di dalam bilik dan sedang memerah otak mencipta lagu sendiri.Aku dengar di luar adik-adikku berlari ke arah dapur.Mereka seolah-olah dalam ketakutan.Aku cuba menyiasat.Aku tanya mereka kenapa.Adikku memberitahu ada orang datang.Mereka berpakaian ganjil.Aku cuba menjeguk keluar.Berderau darahku.Tiga manusia berjubah hijau, hitam berserban tersenyum di laman rumah.Mereka memperkenalkan diri.Mereka dari jamaah Darul Arqam.

Aku mengajak mereka masuk setelah dimaklumkan tujuan asal mereka datang mencari aku.Aku teringat aku ada menghantar surat ingin memeluk agama Islam beberapa bulan lalu.Tapi aku bersetuju berjumpa mereka di Kuala Pilah.Tujuanku bertemu di Kuala Pilah untuk mengelak dari pengetahuan keluargaku.Tapi hari itu dan selepasnya terpaksalah aku memberi alasan kepada kedua orang tuaku berkenaan kedatangan tiga manusia asing itu nanti.Mujur pada waktu itu ayah dan ibu tiada di rumah.

Setelah bercerita panjang mengenai kebaikan Islam,akupun diajar mengucap dua kalimah syahadah.Akupun mengucap kalimah suci dengan kerelaan diriku sendiri di rumahku .Aku memang faham maksud ucapan kalimah itu kerana sebelum ini aku telah banyak mengkaji tentang agama suci ini.Sebelum beredar mereka memberitahu ada kelas fardhu ain di markaz Seremban.Aku dijemput jika ada kelapangan.
Petang itu aku tersenyum gembira.Hatiku memberitahu betapa aku telah Islam dengan mudah.Mereka datang, mengajar perkara yang perlu dan pulang.Tidak perlu majlis , tidak perlu pengumuman rasmi.Ya akhirnya aku telah menganut agama suci ini.Petang itu juga aku bersiap hendak ke Seremban.Sekarang , fikirku aku telah Islam.Lalu aku perlu mengejar sebelum ia berlari jauh.Pada adikku aku beritahu supaya memberitahu ayah dan ibu aku ke Seremban ke rumah kawan.

Lewat petang aku ke Seremban.Melalui jalan dari Kuala Klawang, Jelebu terus ke perhentian bas Seremban kerana aku berjanji akan berjumpa dengan mereka di sana.Akupun tidaklah mahir hendak mencari markaz Al-Arqam seorang diri.Nanti mereka akan tunjukkan jalan ke sana.

Aku tiba di perhentian bas Seremban, tidaklah susah mencari tiga manusia itu tadi.Mereka seperti makhluk dari dunia lain.Salah seorang dari mereka sudi membawaku ke Taman Golf Height,Ampangan (dengan menaiki motor yang ayah belikan untukku).Kami tiba di sebuah rumah hampir senja.Aku lihat di situ ramai manusia berserban dan berjubah sedang berzikir selepas solat maghrib.Aku masuk,bersalam dan selepas diperkenalkan dengan ahli jamaah lain aku mengambil tempat dan duduk mendengar penerangan yang amat asing padaku ketika itu.

Malam itu selepas isyak,aku diperkenalkan dengan ahli jamaah Al-Arqam Seremban.Masing-masing mengucapkan tahniah dan memelukku.Kemudian aku dibawa ke Kuala Pilah.Di sana aku diperkenalkan dengan jamaah Al-Arqam Kuala Pilah pula.Di Kuala Pilah ada rumah khusus untuk ahli jemaah lelaki jadi di situlah aku menumpang bermalam dan malam-malam selepas itu.
Akhirnya aku Islam melalui jemaah Al-Arqam.Aku tidak ingat tarikh tepat.Namun tahun 1985 adalah tarikhnya.Usiaku pada ketika itu 19 tahun lebih.Impianku untuk memeluk agama suci ini sejak berusia 8 tahun sudah termakbul.Baru aku tahu mengapa suara yang kudengar dalam mimpiku dulu "kau akan selamat....." antara maksud Islam itu sendiri.

Alhamdulillah.Syukur kepada Allah.Semuanya berlaku dengan mudah.

14 August 2008

Tazkirah 1....Air Kencing Anjing Berbulu Hitam

Ustaz itu menyambung lagi...

Pada zaman Nabi Musa A.S dulu ada sebuah keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri yang agak lanjut usia mereka.Tinggal di hujung desa.Mereka tidak dikurniakan anak.Bertahun-tahun sudah.Terasa kekosongan pondok mereka tanpa riuh rendah suara anak-anak.Alangkah sunyinya hidup begitu.
Lalu pada satu hari bertanyalah si suami kepada isteri tercintanya,"Sayang....mahukah kita bernazar.....?"sepi seketika,"kalau kali ini kita dikurniakan cahayamata...!"Si isteri yang tadinya sepi teruja bila perkataan cahayamata disebut.Memang itulah impian keluarga ini sejak dulu.Tidaklah lengkap sebuah rumah tanpa penghuninya.Dan tidaklah lengkap penghuninya jika tidak dinamakan keluarga.Dan tidaklah sempurna keluarga itu jika tiada si kecil penyeri rumahtangga.Itulah satu nikmat yang tidak pernah mereka rasakan sejak impian mereka membina istana dulu dikabulkan.
Namun kali ini mereka akan bernazar dengan nazar yang sedikit aneh.Nazar yang jauh menyimpang dengan syarak.Walaupun nazar itu harus hukumnya,namun akhirnya wajib dilaksanakan jika tertunai segala hajat yang dinazarkan.Ya, mereka bernazar dengan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan adat mahupun agama.Mereka bernazar akan minum air kencing anjing hitam.
Tanpa banyak bicara si suami dan isterinya pun sepakat akan bernazar.Mereka akan tunaikan jika terlaksanalah cita di hati.Itu janji yang mereka kunci.
Takdir Allah berlaku juga,setelah sekian lama meniti waktu dan masa.Si isteri merasai kelainan dalam dirinya.Sesuatu yang tidak pernah berlaku malah aneh sungguh rasanya.Benar,si isteri telah berbadan dua.
Lahirlah benih cinta ke dunia.Dua hati yang amat merindu hadirnya sejak sekian lama.Lalu dijaga anak itu dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh.Sehingga meningkat remaja.
Satu hari teringatlah si suami nazar yang pernah mereka lafazkan bersama satu ketika dulu.Didapatkannya isteri tersayang lalu mengingatkan kembali janji nazar dulu.Terkejut dan serba salah menyelubungi dua jiwa itu.Nazar tuntutan syarak yang mesti ditunaikan.
Setelah bersepakat dan menyiapkan kelengkapan untuk tujuan mencari benda itu,si suamipun keluarlah menyoroti setiap ekor anjing yang terdapat di setiap ceruk kampung.Telah lelah dan telah puas dicari akhirnya ketemu juga dengan seekor anjing yang hitam semua bulunya.Dinanti saat anjing itu kencing di atas pasir.
Akhirnya anjing hitam itu kencing juga di atas pasir dan dengan segera dihalaunya takut nanti air kencing anjing itu meresap jauh ke bumi.Dikaut pasir sehingga dapatlah dikumpul sesuku air kencing.Perasaan jijik tidak lagi dihiraukan setelah usaha mencari terlalu memenatkan.
Gembira, air itu pun dibawa pulang.Setelah sampai di rumah pada keesokannya merancanglah mereka berdua untuk minum air keji itu.Si suami suakan kepada isteri kerana perintah si suami mestilah ditaati.Kata isteri suamilah yang mulakan dulu kerana suami sebagai ketua keluarga.Begitulah berlakunya tolak menolak di antara mereka sehingga masing-masing buntu mencari penyelesaian.Hendak diminum belum sampai ke mulut baunya saja memualkan dan menusuk hidung.
Berkata suami kalau begini tidak ada kesudahannya ,biarlah perkara ini diadukan saja kepada Nabi Musa A.S Berjumpalah si suami dengan Nabi Musa A.S Setelah mendengar cerita perihal nazar dengan air kencing anjing hitam Nabi Musa A.S pun mengarahkan mereka pergi ke sebuah rumah di hujung desa itu yang dihuni oleh sebuah keluarga.Di sana tunggulah saat ketika hari hujan.Dan ketika hujan tadahlah air yang jatuh dari cucur atapnya dan ambillah untuk dibuat minum ganti kepada air kencing anjing itu.
Gembiralah si suami kerana masalah mereka telah diselesaikan oleh baginda.Tanpa memikirkan sebab musabab menggantikannya dengan air hujan dia pun kembali ke rumah.Ketika hujan rahmat Allah itu turun membasahi bumi, si suami pun bergegas ke rumah keluarga yang dimaksudkan dan melakukan apa yang diarah oleh Nabi Musa A.S.Mereka pun minum tanpa sedikitpun memikirkan hikmah di sebalik pesanan Nabi Musa A.S.
Namun si suami sebaliknya tertanya apakah amalan mereka itu diterima Allah.Kenapa Nabi Musa A.S menyuruh menggantikannya dengan air hujan yang turun menimpa atap rumah sebuah keluarga di kejiranan mereka.Setelah reda diapun kembali menemui Nabi Musa A.S dengan kemusykilan di hati yang belum terjawab.
Setelah mengadukan kekeliruan hatinya ,Nabi Musa A.S pun menjawab"Tahukah kamu mengapa aku menyuruh kamu menggantikan air kencing anjing yang najis itu dengan air suci yang turun dari langit.Yang menimpa rumah jiran kamu,...","Tidak ya Nabi Musa A.S..tapi mengapa?"
Dengan tenang Nabi Musa A.S menjawab,"Ahli keluarga rumah itu tidak pernah mendirikan solat.Maka mana-mana air hujan yang turun menimpa setiap rumah yang penghuninya tidak mendirikan solat maka setiap titis air yang melalui rumah orang yang tidak mendirikan solat itu samalah seperti air kencing anjing."
Fahamlah si suami mengapa Nabi Musa A.S menyuruh mereka menggantikan dengan air hujan.
Wallahua'lam.

12 August 2008

Tazkirah Satu

Sebuah kisah yang masih kuingat sehingga sekarang.Walaupun jalan ceritanya itu tidak lagi sehebat yang dituturkan oleh seorang ustaz yang pernah aku berguru dengannya.Lamanya kisah ini tersimpan dalam ingatanku sehinggakan ustaz itupun telah hilang nama dan rupanya.Hanya tahun saja yang masih gah kuat di ingatan.

Setelah aku memeluk Islam , aku suka mendengar kuliah-kuliah agama.Kata ustaz-ustaz , "iman mesti dicari...dipupuk supaya ia tetap subur dan berkembang".Majlis-majlis agama sebegini umpama taman-taman syurga di dunia.Sayap-sayap malaikat akan menaungi mahkluk-makhluk tuhan yang menghadirkan diri semata-mata mendengar nasihat-nasihat agama.Di masjid Nabawi , Madinah al-Munawwarah, terdapat tiang-tiang masjid didirikan dari marmar berwarna putih.Terletak antara di hujung mimbar sebelah kanan dan makam Rasulullah SAW sebelah kiri.

Diceritakan, andai ada kesempatan berdoa di dalam lingkungan tiang-tiang tersebut yang disebut "Raudhatul Firdaus" bahawa doanya akan dimakbulkan.Ya, situlah antara taman-taman syurga di dunia.Mengapa disebut taman syurga dan kenapa doa akan termakbul.Pada zaman Rasulullah masih bernyawa, baginda telah mendirikan masjid berdekatan dengan rumah Siti Fatimah r.a .Setiap kali selesai solat atau berkhutbah baginda akan memberi tunjuk ajar kepada sahabat-sahabat dan tempatnya terletak antara mimbar dan rumah Siti Fatimah r.a.Begitulah setiap waktu berlalu.

Sehinggalah ke akhir hayat baginda, tempat baginda mengajar sahabat-sahabat telah dijadikan tempat pertemuan wajib mereka.Di situ masjlis berlangsung, samada mengajar atau berbincang mengenai pelbagai perkara berkaitan agama Islam dan masyarakat.Sehingga para malaikat turut hadir mendengar dan memayungi kesemua ahli yang hadir itu.Mungkin kerana kesetiaan para malaikat itu tempat itu lebih-lebih barakahnya berbanding lain. 

Maka disebut orang "Raudhatul Firdaus" atau taman-taman syurga.Begitulah juga sebarang majlis agama di mukabumi ini.Sekelian makhluk akan berkumpul mendengar majlis-majlis tersebut.Termasuklah malaikat.Mereka akan memayungi ahli-ahli majlis sambil memohon ampun kepada Allah. 

07 August 2008

Mencabar diri..Allah Wujud

Satu waktu aku pernah mencabar diriku sendiri.

Sekitar tahun 1984 aku ke kampung sebelah ibu terletak di Lanchang, Pahang.Aku ke sana berseorangan.Saja-saja jalan.Tinggal di kampung datuk (aki) sebelah ibu lebih tenang dari kampung ayahku di Jelebu.Suasana sungguh sunyi tatkala malam hari.Di sini suasana kampung masih tidak berubah sejak aku kecil lagi.Tiada bekalan air dan api.Masih menggunakan air perigi.Seperkara yang aku ingat mandi sungai.Itulah pengalaman masa kanak-kanak yang masih kuat di ingatan ini.Sememangnya, mana-mana kanak-kanak pun akan teruja bila sebut "mandi sungai".

Bila musim buah-buahan pula, bermacam-macam jenis buah yang pelik tidak pernah aku jumpa akan terhidang.Kampung ibu terletak agak pedalaman sikit jadi buah-buahan dari hutan berdekatan sering dibawa keluar oleh penduduk kampung.Seingat aku ada sejenis buah yang rasanya lebih lemak dari kacang tanah pernah aku rasa di sini.Pokoknya pulak terlalu tinggi.Bila masak buahnya akan jatuh dan oleh kerana kulitnya terlalu keras terpaksa menggunakan parang untuk mengopeknya.Tapi bila dimakan memang lebih ranggup daripada kacang.

Rumah aki masih lagi dibuat daripada lantai papan dan berdinding kulit kepong sebahagiannya.Sewaktu aku berusia 6 hingga 11 tahun aku masih ingat atapnya dari daun bertam yang dianyam.Sungguh sejuk bila malam.

Setelah seminggu aku di kampung aki, akupun mengambil keputusan drastik untuk pulang ke Jelebu.Pakcikku tidak bersetuju kerana hari sudah beransur petang.Biasanya bas terakhir saja yang ada dari kampung untuk keluar ke pekan Lanchang.Dari pekan Lanchang ke Karak pun bas yang terakhir juga.Bimbang, aku tidak bersempatan menaiki bas dari Karak ke Manchis dan seterusnya dari Manchis ke Kuala Pilah yang akan melalui kampung ayah.

Aku berdegil.Aku bersiap dan menunggu bas di pinggir kampung.Ketika itu jam sudah menunjukkan lima petang.Sementara menunggu bas aku bermonolog.Aku akan menjadikan diriku sebagai mangsa kali ini.Aku cuba melihat bagaimana Allah menolong aku atau aku akan menjadi mangsa kedegilanku sendiri.Pelik bukan.Aku mencabar supaya Allah membantuku sekiranya ia benar-benar wujud.

Apabila bas tiba.Aku naik dan turun di Lanchang.Dari Lanchang aku ke Karak.Tiba di Karak, aku menunggu bas dari pekan Karak ke pekan Manchis yang lama juga aku menanti.Sedang hari sudah menuju senja.Aku berdegil lagi.Aku akan menunggu bas yang terakhir itu.Pakcik yang kutanya di sekitar bandar Karak mengiyakan ada bas yang terakhir.Lapang sikit hati masa itu.

         Bas yang ditunggu pun tiba, tapi hari sudah senja.Takpa aku naik jugak.Ketika itu wajah konduktor sudah antara nampak dan tidak.Perjalanan ke Manchis sedikit mengugatku.Kadang-kadang timbul perasaan kesal.Tapi aku anak jantan.

Akhirnya aku tiba juga di Manchis.Aku berharap sempat menaiki bas dari Manchis ke Kuala Pilah.Tetapi dimaklumkan oleh penduduk pekan Manchis.Tiada lagi bas ke Kuala Pilah.Aku tergamam.Jarak dari Manchis ke kampungku 26 kilometer.Perjalanan pula di kiri kanan jalan hutan maklumlah sempadan Pahang dan Negeri Sembilan.Bagaimana, bisik hati kerasku.Aku tekadkan semangat.Aku akan berjalan kaki sepanjang malam itu.Aku akan berhenti di sebuah rumah kosong di tepi jalan jika aku terlalu letih.Ya sebuah rumah yang aku perasan ketika waktu mula aku ke kampung aki dulu.Rumah itu terletak sebelah kanan jalan.Sebenarnya, rumah itu rumah di atas tanah wakaf perkuburan Islam.

Sewaktu melangkah, anjing-anjing peliharaan cina di pekan Manchis mengelilingiku.Haiwan itu menyalak seakan-akan mahu menerkam diriku.Tapi aku masih boleh bertenang.Aku tahu mengawal haiwan itu.Secara psikologinya, jangan cuba melarikan diri atau menunjukkan ketakutan kita kepada haiwan itu.Walaupun aku tidak Islam ketika itu tapi haiwan ini paling aku benci.Aku melangkah yakin.Akhirnya pekan Manchis aku tinggalkan dan anjing-anjing itu pun berhenti menyalak.

Dalam terang yang semakin samar dan cahaya lampu kenderaan saja yang menerangi jalan.Aku sudah berjalan 2 kilometer.Pekan Manchis sudah tidak  lagi kelihatan.Perasaan menyesal kerana mengikutkan kedegilan hati mula menyelubungi mindaku.Cahaya lampu motor dari arah hadapan silih berganti begitu juga kenderaan yang melintasiku dari belakang.Mereka mungkin takut nak berhenti dan  bertanya.Maklumlah hari sudah gelap, mana ada manusia masih berkeliaran sekitar sempadan hutan lagi.Aku dengan ego yang tinggi.Tidak mahu meminta tolong.Sesekali aku risau sendiri.Dapatkah aku pulang ke kampung malam itu.

Dari arah depan kulihat sebuah motorsikal perlahan-lahan menghampiriku.Bila dia mendekatiku.Seorang lelaki India dengan bau arak senyum dan bertanya padaku mahu ke mana.Aku was-was dan takut.Aku menerangkannya bahawa aku ingin pulang ke kampung.Dia menjawab bahawa dia boleh menolongku tetapi kasi duit.Aku hanya ada RM5.00 sahaja dalam beg.Dia berkata "Takpa.."Seterusnya dalam keadaan mabuk aku membonceng motorsikalnya.Sekejap ke tengah dan sekejap ketepi.Aduh sakit jiwa macam ni.

Dalam perjalanan itu perasaanku bercambur baur.Aku takut kalau-kalau manusia yang menolong aku ini ada berniat lain di hatinya.Tapi tidak mengapa aku sudah bersedia andaikata berlaku perkara yang tidak diingini nanti.Aku bertekad akan terjun dari motorsikalnya dan berlari sekuat hati dalam perjalanan yang gelap ini.

Akhirnya aku selamat sampai ke kampung ayah.Aku menghulurkan duit sambil ucapkan terima kasih.Dia kata "Takpa.."

Ibuku terkejut.Aku tiba dalam keadaan hari sudah gelap.Tiada bas atau teksi sapu masih berlegar di jalan raya ketika itu.Aku menerangkan kepada ibu bahawa aku menumpang motor lelaki india mabuk.Ibu menggelengkan kepala.Waktu berbaring selepas makan aku memikirkan peristiwa sebelumnya.

Tadi siang aku telah mencabar diriku dan dalam pada masa yang sama memohon Allah menolongku.Ya, Allah telah membantuku walau dalam keadaan sesulit manapun.Dia mengutuskan seorang hamba yang telah digerakkan hatinya untuk menolongku.Dalam keadaan mabuk!.Bayangkanlah, sanggupkah dengan jarak yang semakin dekat dengan rumahnya dia membantuku kembali di tempat di mana dia datang selepas meminum minuman keras itu.Allah  mencampakkan ilham kepada lelaki itu untuk menolongku.         

Aku mengambil iktibar pada masa itu.Manusia yang sebegini janganlah dikeji.Perbuatannya hanya berlaku ketika dia tidak beriman.Boleh jadi satu hari nanti dia kembali kepada Islam.Bila Allah telah membuka pintu hatinya, sesiapapun tidak boleh menolak hidayah yang datang.

Dan tanpa terduga peristiwa ini telah menjadikan jiwaku semakin kuat untuk mendekati Islam.Jauh di dalam hati yang masih belum Islam ketika itu, aku mengiyakan bahawa Allah itu benar-benar wujud.

06 August 2008

Jiwa-jiwa yang kosong !

Tinggal di desa memang menyeronokan.Tidak bising.Manusia tidak tergesa-gesa mengejar hari.Suasana sungguh perlahan.Anak-anak telah tadi pagi ke sekolah.Dewasanya ke kebun menoreh getah.Masing-masing telah ada diari harian yang berulang.Aku duduk terperuk di rumah.Menghabiskan masa lapang bermain gitar, mendengar muzik.Sesekali menolong ayah dan ibu.Mencari kayu api.Aku masih ingat ketika adik-adikku telah ke sekolah akulah yang menyediakan makan minum mereka.Keadaan amat susah ketika itu.Ayah belum menerima pencen bulanannya hampir setahun.Pencen sementara hanya RM175.00 sebulan.Itulah wang yang ada untuk menampung kami sekeluarga.

Aku menjadi tukang masak, mengemas rumah dan membasuh kain baju keluargaku.Pengalaman yang tidak biasa aku lakukan.Beginilah kehidupan 6 bulan pertama tahun 1984 ketika aku masih belajar di ITM sedangkan keluargaku di kampong makan kais pagi petang.Pernah dalam seminggu aku hanya menggoreng pucuk paku yang dipetik dibelakang rumah sebagai lauk harian.

Lama-kelamaan kebosanan meneruskan hidup begini.Tanpa kerja.Aku sedar beginilah nasib jika ilmu di dada tidak seberapa.Aku melihat jiwa-jiwa kosong hanya menyerahkan hidup kepada takdir.Aku kini hidup dalam lingkungan masyarakatku yang tidak ada pegangan.Aku lihat masyarakat di sini hanya hidup untuk mencari sesuap nasi.Apa akan jadi kepada kehidupan akan datang.Hanya takdir menentukan.

Tidak lama kemudian ada tawaran konstabel Polis Hutan diiklankan.Aku rasa inilah peluang untuk aku mengubah hidup.Aku apply.Dan seterusnya berjaya mendapat tawaran.Tapi hari di mana sepatutnya aku melapurkan diri untuk latihan selama 6 bulan di Ulu Kinta, Perak tidak diteruskan.Segala-galanya bermula apabila seorang kawan ayahku menyindir.Katanya ayahku dan bertahun menjadi polis hutan kenapa aku pula nak menuruti jejak yang sama.Aku terfikir benar juga katanya itu.

Begitulah kehidupanku selanjutnya.Kerja-kerja kampung semakin lama semakin serasi denganku.Pasang pancang anak sawit, mengangkut getah buku, memikul tebu segalanya telah kulakukan demi mencari rezeki.Ada juga kekesalan diceritakan ibu kepadaku.Ibu memang prihatin nasibku.Satu waktu aku pernah menjadi pelajar di pusat pengajian tinggi.Bakal mengubah nasib keluarga.Menjadi contoh adik-adik dan rakan-rakan.Kini aku telah menjadi sebahagian mereka.

Jiwaku semakin lama semakin kosong dan jauh dari cahaya hidayah.Aku jadi musuh kepada diriku sendiri.Merajuk kepada hati sendiri.Monolog diri hanya menyuarakan kekesalan.Jiwa tertekan.Gitarku tidak lagi dapat menghiburkan perasaan yang berkecamuk.Pandangan zahir menjadi sempit.Hidupku hanya melihat kesusahan dan kemiskinan.Aku memikul beban diri yang amat berat ketika itu.Aku tidak mampu membuang naluri kecil yang membenarkan yang benar.Walau dalam kehidupan yang amat jahil.

Sekitar pertengahan 1984 sehingga pertengahan 1985 kehidupanku terlalu kosong.Bila aku ke pekan berdekatan hatiku jadi bertambah gundah bila bertemu gadis bertudung.Wajah mereka tenang.Sedang aku jauh dari cahaya itu.Ketika itu juga aku terkenangkan seseorang yang pernah membisikkan semangat.Ya..aku akan tunaikan impianku itu.

Aku tidak lagi dapat menahan.Aku perlu bertindak.Aku menaip surat menceritakan masalah peribadiku dan keinginan ku untuk mencari keluarga angkat Melayu supaya aku dapat memeluk Islam dengan sebaiknya.Surat itu aku hantar sendiri kepada seorang peniaga Melayu di pekan Kuala Klawang, Jelebu , Negeri Sembilan.Aku meninggalkan alamat di situ.Dengan harapan keluarga tersebut dapat menghubungiku semula dan menunaikan hajat ku.Tapi hampa.Tiada jawapan.

Aku membeli majalah tabloid Mingguan Islam (ketika itu) dalam tahun 1985 dan dalam ruangan soal jawab agama aku dapatkan alamat Ustaz Ismail Kamus.Aku tuliskan niatku untuk memeluk Islam.Tapi jawapan kuterima juga hampa.Ustaz menyuruh aku bersabar.Ikhtiarku menemui jalan buntu.

ITM 1983....dalam kenangan

Rakan-Rakan sekuliahan Art & Design 1983

Sewaktu menuntut di  bidang Seni Lukis dan Seni Reka atau disebut juga AD 10 atau AD 83 di ITM, Shah Alam, aku amat meminati muzik. Biasanya muzik yang easy listening, sentimental dan ada unsur-unsur puisi. Kebiasaannya juga lirik-lirik puitis menangkap perhatianku. Pada masa yang sama juga jabatan muzik telah ditubuhkan sebumbung dengan Jabatan Senilukis dan Senireka, dapatlah sekali sekala aku menjenguk budak-budak muzik bermain muzik di situ. Terhibur juga melayan lagu-lagu yang mereka mainkan walaupun kadang-kadang lagunya lebih banyak berunsur tradisional.

Bermula di situ, timbul minatku bermain gitar. Penghujung 1983 aku mula tercari-cari buku-buku tentang muzik di sekitar bandar besar Kuala Lumpur. Memanglah bersepah.Aku mahu mempelajari asas-asas kod gitar. Walaupun gitarnya belum ada tapi aku cuba memahirkan lagu-lagu berbahasa Inggeris dari kaset-kaset yang kubeli. Lagu-lagu The Beatles, Shakin Steven, David Gates, Bread menjadi kegemaranku. Ketika itu juga era rock kapak telah  mula menjadi kegilaan anak-anak muda.Tapi tidak aku.Aku merayau seorang diri pada hari cuti kuliah sekitar bandar Kuala Lumpur.Aku ke Emporium Campbell dan di situ aku memilih satu dari ribuan buku-buku berkaitan muzik dan kod gitar.

Cuti akhir semester pertama aku pulang ke Kroh membawa bersama buku-buku muzik. Pada ketika itu juga kawan sepermainanku dulu telah menunjukkan minat yang sama. Kami melepak seharian di rumah kawanku itu semata-mata mahu belajar bermain gitar. Maklumlah remaja. Ayahku pun hairan dan tertanya-tanya mengapa aku tidak lekat di rumah. Hilang tak tahu entah di mana?

Akhirnya ayah dapat tahu juga, aku ke rumah kawan bermain gitar. Lalu pada satu tengah hari sewaktu aku pulang ke rumah untuk menikmati makan tengah hari aku mendapati ada sebuah bungkusan kotak besar atas tv. Aku pun teragak-agak nak tahu. Bila kotak besar kubuka , aku dapati sebuah gitar baru. Aku bertanya pada ibu, gitar siapa?. Ibu memberitahu ayah belikan untuk aku. Betapa riangnya hati. Umpama pucuk dicita ulam mendatang. Itulah hadiah paling manis pernah aku terima dari ayah.

Sejak itu aku tidak berlengah lagi. Belajar dan bermain gitar sudah menjadi kerja masa lapangku. Aku mula memasang angan-angan untuk menjadi penyanyi. Aku ingin mengikuti langkah Sohaimi Mior Hassan. Lagu-lagunya sangat dekat denganku. Kembali ke ITM pada Januari 1984, aku membawa gitar bersama. Aku gunakan kesempatan bermain dengan rakan-rakan sekuliah yang lebih advance dariku.

Dalam waktu yang sama aku tidak melupakan assignment yang perlu disiapkan. Maklumlah kerja-kerja kuliah dah ada date line yang perlu diselesaikan.

Penghujung Disember, 1983, ayahku pencen berkhidmat dengan kerajaan dan kami sekeluarga pulang ke kampung ayah di Jelebu, Negeri Sembilan. Dari sana aku menyambung ke semester kedua pengajian. Penghayatan seniku makin baik dan begitu juga kecekapan bermain gitar. Sejarah dunia seni menjadi hafalan dan fahaman. Kemahiran bermain gitar semakin sedap didengar.

Kembali ke kampung akhir semester kedua pertengahan tahun 1984, aku tidak menerima keputusan akhir semester kedua seperti lazimnya. 3 bulan berlalu aku masih tidak menerima apa-apa keputusan. Aku cemas. Akhirnya aku menerima hakikat aku gagal. Gagal ?

Selepas 3 bulan senior satu course denganku (juga saudara jauh) bertandang ke kampungku kerana menziarahi keluarga sebelah bapanya. Tengah hari itu dia bertemu aku yang sedang duduk di tangga rumah. Dia hairan kenapa aku tidak menyambung pelajaranku di ITM. Sambung belajar ?. Aku terkedu.Aku menjawab, aku tidak menerima result semester 2. Dia memberitahu bahawa aku lulus. Cuma pihak jabatan tidak lagi menghantar result melalui pos seperti tahun pertama. Dan dia melihat namaku terpampang masuk ke jabatan grafik. Wow ! Graphic Department. Padahal aku target untuk ke Fine Art Department. Seniorku memberitahu aku boleh menyambung belajar walaupun sudah 3 bulan tidak hadir.Kalau aku mahu.

Itulah kali terakhir aku bergelar siswa. Aku terima hakikat rezekiku tidak ada di ITM. Pengalaman dan kenangan hanya tinggal jauh dalam diri. Peringkat awal dulu ada juga kesal di hati. Namun hidupku mesti diteruskan. Aku selalu juga mengenang. Betapa diriku kini dibandingkan dulu amat jauh. Mungkin Tuhan tidak melorongkan niatku memeluk Islam dengan cara itu. Mungkin aku perlu mencari. Aku perlu berusaha untuk mendapatkannya.Itulah kemanisan.


Hubunganku dengan rakan di ITM terputus. Mereka tidak tahu alamatku dan aku tidak cuba untuk menghubungi mereka. Mungkin timbul perasan malu pada peringkat awal kerana anggapan aku gagal dalam ujian terakhir. Bermulalah kehidupanku sebagai budak kampung. Kehidupan harian di sini amat asing kerana aku tidak pernah melakukan kerja-kerja yang memerlukan tulang empat kerat.Aku pasrah.

02 August 2008

Institut Teknologi Mara : AD 83

Aku gemar melukis.Hobi ini memang telah tertanam dalam jiwaku ketika aku di sekolah rendah lagi.Suka kepada keindahan.Lukisan lanskap pemandangan selalunya menjadi temaku kerana aku sangat sukakan satu pandangan yang luas.Di rumah ku di Kroh dulu banyak lukisan sebegitu samada yang dibeli oleh keluargaku atau aku sendiri melukisnya.Kadang-kadang aku berfantasi sendiri.Kalau tiada idea sekalipun aku akan melukis.Aku hanya mengambil objek yang dekat denganku.But bolasepakku jenama Puma, bola dan buku-buku kususun atur agar nampak menarik.Pencahayaan dari satu dimensi agar lukisanku tampak hidup.Memang aku gila melukis.

Cerita-cerita kartun siri tv seperti Bloker Cop Machine Blaster heronya Tempe Asoka,Ultraman,Giant Robot siri popular tahun 1970’an dan 1980’an juga menjadi objekku.Sama ada menggunakan pensil atau water color.

Aku juga punya rakan yang seiring minat.Kami akan mengambil musim cuti persekolahan Sabtu dan Ahad untuk ke padang pendaratan helikopter tentera terletak tidak jauh dengan kem kami untuk melukis helikopter yang mendarat di situ.

Tapi aku tidak begitu mahir melukis potret.Dan aku memang tidak berminat melukis wajah seseorang.Walaupun begitu ada satu peristiwa sewaktu berada di tingkatan 5 yang masih aku ingat.Pada hari itu aku berasa teramat boring sekali.Cikgu Amin tidak masuk ke kelas pada hari itu kerana urusan kerja Kebetulan, sepatutnya waktu subjek sastera.Jadi pelajarpun mula buat hal masing-masing dan bising , berborak sesama mereka.Aku yang sudah terbiasa duduk di barisan hadapan mengambil sehelai kertas kosong dan membayangkan wajah Cikgu Amin.Dengan imiginasi aku melukis wajah Cikgu Amin.Alamak ! sebijikla pulak.

Waktu tengah menumpukan perhatian melukis menggunakan pensil 2B rakan sebelah amoi cantik (pelajar perempuan keturunan cina) perasan hasil lukisan seniku lalu dia meminta untuk melihat.Wah dapat pujian habis.Kembang sikit !.Kamipun berbual mesra.Aku memang menyukai rakan sebelah kiri ku itu kerana rambut gaya China Doll itu.Wajah yang manis dipandang.Suka tersenyum.Aku pulak amat pendiam dalam kelas.Ada ketika dia cuba menarik perhatianku dengan memuji gelang getah hitam yang kupakai.Cantik.Dan pernah meminta aku membeli untuknya satu.

Dia meminta aku melukiskan wajahnya dan berjanji akan memberi fotonya keesokan hari persekolahan.Aku teruja tapi menolak kerana aku belum benar-benar mahir.Azahari rakan di barisan paling belakang perasan aku berbual dengan pelajar cina itu pun datang kerana ingin tahu (atau jealous kot).:-).Lalu kertas lukisan itu diambil dan dipamernya di hadapan kelas sambil menghebahkan kepada rakan sekelas yang lain.Malu betul waktu tu.Mereka kemudian meminta aku melukis di papan hitam.Aku menolak.

Minat itu kuteruskan apabila berjaya masuk Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam pada tahun 1983 di bidang AD 10 atau AD 83.Sejak itu minat melukis potret pun datang.Walaupun begitu aku tidak memahirkan terus bidang ini di ITM dulu.Kerana minatku lebih terarah kepada lanskap.Seingat aku ada lukisanku yang diambil oleh seorang pensyarah sewaktu di ITM ia bertujuan dijadikan contoh bagaimana menggunakan charcoal untuk melukis objek.

Aku bercita-cita menjadi pelukis Seni Halus atau Fine Art sewaktu di ITM Shah Alam kerana jiwaku terdorong menyintai sesuatu yang seni atau halus.Aku suka menulis sajak, menyanyi apalagi aku telah mula mempelajari bermain gitar pertamaku dulu.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...