18 July 2009

Sekadar renungan

Mereka yang berjuang ikhlas di jalan Allah.Pasti akan melihat buah budi yang indah bercahaya anugerah dari Allah.Dunia ini penuh dengan perjuangan namun manakah satu perjuangan sejujurnya seperti ketika di zaman Islam yang maha suci baru berkembang.Tidakkah pada masa itu Islam datangnya dagang (sendiri tidak dipedulikan) dan akan kembali dagang.Beruntunglah mereka merebut anugerah kasih sayang Allah yang memberi manusia hidayah lalu disambut dengan penuh rasa insaf.

Telah banyak dan telah terbentang di laluan hidup menuju hari-hari akhir kalam kita lihat manusia menabur bakti budi.Atas nama kejujuran dan ikhlas rasa khabarnya.Harta,jiwa,buah akal dan segala macam bentuk amal telah tercurah guna mencari pahala berlipat ganda.

24 June 2009

20/7/1979....nostalgia yang masih kuingat




Bahagian depan perisai "Pertiwi"


Bertarikh 20/7/1979,ketika aku berada di Tingkatan 2 (2A5) ketika itu di Sekolah Menengah Tun Saban,Kroh.Sedang aku dan kawan-kawan berbual di bawah pokok di tepi pagar sekolah menikmati waktu rehat lebih kurang jam 10.30 pagi , tiba-tiba kami terdengar ledakan,letupan dari senjata yang saling berbalas.

Rupa-rupanya pasukan konvoi tentera sedang "digasak" oleh gerombolan pengganas komunis yang berselindung di sebalik hutan pinggir bukit.Menanti konvoi renjer pulang dari Baling ,Kedah menghala ke kem di Kroh,Perak.

Ini adalah perisai tentera yang berjaya diletupkan oleh pihak komunis menggunakan launcher tepat mengena di bahagian belakang (enjin) lalu mengakibatkan letupan di dalam kabin.Tiga renjer di dalamnya mati kebakaran.hangus sama sekali.Seingat aku sewaktu itu kami dari kem bersebelahan meninjau perisai yang pada ketika itu hangus dimakan api ketika ia diletakkan berhampiran pagar kem bersebelahan.

Bangkai perisai ini kini dipamerkan di Muzium Tentera Port Dickson,N.Sembilan.


10 June 2009

Selamat Hari Bapa : Kenangan lalu.....

Bergelar abah mungkin bukan suatu gelaran yang luar biasa.Setelah mempunyai tanggungjawab berkeluarga panggilan seperti itu menjadi lumrah.Sewaktu kecil aku mengenal seorang lelaki yang punya hubungan keluarga denganku,pelindung dan pencari rezeki dalam rumah kami.Tinggi sederhana dengan wajah yang menyimpan tegas.Seringkali wajah itu mengecut perutku.Takut.

Itulah ayahku yang biasa kupanggil "abah" memang tegas dan sedikit garang.Seingat aku kali terakhir bergurau dengan bah ketika aku berusia 4 atau 5 tahun.Selebihnya untuk tahun yang mendatang aku dan abah seperti orang asing.Bukan kerana berlainan arah dan berseteru rasa tapi aku menjadi tidak biasa berbual mesra dengan abah sendiri.

Puncanya mudah saja,abah akan masuk hutan kerana operasi memburu pengganas Komunis antara awal 1970 hingga 1980.Tahun di mana Malaysia ketika itu masih bergelut menumpaskan pengganas yang berjuang secara gerila.Kadang-kadang abah akan berada jauh di mata kami adik-beradik sebulan dua.Jarak masa waktu itu kami membesar dan mengharap kasih dan perhatian seorang ayah.Apabila abah habis operasi di hutan dan pulang ke pangkuan,proses mengenal kami juga memakan masa.Tambahan sikap abah juga yang pendiam macam aku.Menambahkan lagi kerenggangan antara aku dan abah.

Abah yang ku tahu tidak pandai menulis.Setakat kenal huruf dan angka saja.Dengan pengetahuannya itu pada peringkat kanak-kanak aku diajarnya mengenal huruf.Alhamdulillah.
Memang abah seorang yang bercita-cita punya anak yang  pandai dan bijak sama seperti impian abah orang lain juga.Dalam tempoh aku tidak punya ramai adik abah lebih memberi perhatian kepadaku.Apa saja yang kupinta kepada ibu pasti disampaikan.Abah hanya mengotakan.

Seingat aku kerap juga aku membanggakan abah.Dilantik sebagai Ketua Kelas,mendapat No.1 atau 2 dalam peperiksaan tahunan.Pujian dari guru mengenaiku kepada abah.Tapi itu cerita ketika aku di sekolah rendah.Setelah memasuki peringkat menengah aku tidak lagi rapat dengan abah.Maklumlah adik-beradik seramai tujuh orang.Hanya sekali-sekala saja aku berbual dengan abah.

Paling membanggakan abah apabila rakan-rakan sekerja dan bosnya mengucapkan tahniah kerana kejayaanku melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara pada tahun 1983 lalu.Pada ketika itu aku adalah contoh  kepada adik-adikku.Abah tahu bahawa aku akan berjaya juga.

Aku juga pernah memberitahu ibu bahawa aku akan memeluk agama Islam ketika aku di tingkatan 4.Waktu itu abah mendapat tahu dari kawanku lalu abah marah dan mengingatkan aku supaya belajar menjadi orang pandai dan berguna dulu baru cita-cita lain dikejar.Abah tahu bahawa satu hari nanti aku akan berkata begitu sebabnya abah juga.Ketika aku masih kanak-kanak,abah akan belikan sepasang baju Melayu lengkap bersampin dan memakaikannya supaya aku dapat berhari raya bersama-sama rakan Melayuku.

Tapi abah tidak pernah menghalang.Abah tahu satu hari nanti pasti aku akan mengejar impian kecilku itu.Masih kuingat abah tidak terkejut ketika aku pulang dari Kuala Pilah selepas hilang dua hari tanpa berita.Walau pun cuba diselindung.Abah tahu aku telah Islam.Abah tidak mahu mengikut jejakku kerana sudah terlambat katanya.

Kini abah telah meninggal dunia.Walau pun kedudukannya di akhirat nanti sudah pasti tapi aku sentiasa berdoa agar abah juga mendapat keampunan dari Allah.Aku pernah tahu bahawa wan (nenek) ibu kepada abah juga pernah berkahwin dengan pemuda Melayu.Sejauh mana pegangan agama wan tidaklah ku pasti.Kata orang-orang tua  di Kg.Jerang,Simpang Durian,Jelebu,N.Sembilan.Kubur wan bersebelah dengan kubur orang Islam.

05 June 2009

Mac 1993...Kuala Klawang

Pertengahan bulan Mac 1993, aku ditukarkan ke daerah Jelebu, N.Sembilan.  Waktu itu Jelebu adalah satu daerah yang terpencil jauh sedikit dari pembangunan. Kata rakan-rakan pekan Kuala Klawang, Jelebu merupakan pekan koboi (maknanya hanya hidup di siang hari saja). Aku biasa lalu di pekan itu waktu merantau dulu. Benar. Ia agak ketinggalan. Taman perumahan boleh dikira dengan jari. Pekan Klawang pula tidaklah sebesar mana.

Waktu itu aku hanya berulang naik bas. Masuk jam 8.00 pagi dan pulang 4.15 petang. Di pejabat baruku hanya ada dua staf. Seorang Jurutaip Kak Ani dan seorang lagi penghantar saman, abang Hussin. Keadaan pejabat agak kecil dan sempit. Aku masih ingat mula-mula berkerja dulu akulah penderaf surat, menaip (komputer belum ada lagi), masukkan dalam sampul surat, letak stem dan pos surat.

Kerja-kerja mendaftar kes ke dalam Buku daftar biasalah. Buka fail, masukkan segala tuntutan dan dakwaan selepas tu failkan. Letak tarikh dan agih-agihkan mengikut tarikh. Kalau borang-borang sudah kehabisan aku meminta jasa baik pejabat agama Islam di  sebelah untuk menggunakan mesin cetak mereka. Hah buatlah sendiri.

Waktu mula berkerja, hendak bawa kes ke mahkamah kena pakai kot hitam, songkok dan bertali leher. Tidak pernah seumur hidup aku bertali leher. Terpaksalah belajar  cara mengikat tali leher dari kerani pejabat Agama di sebelah. Alhamdulillah...hidup ini kena selalu merendah diri. Jika sudah membiasakan diri menghormati orang lain mereka juga akan bersikap begitu kepada kita. Aku belajar dari semudah-mudah perkara, selok belok pentadbiran pejabat sehinggalah kepada mengendalikan mesyuarat.

Rakan-rakan dari pejabat agama melayanku dengan baik. Walaupun aku dari Mahkamah Syariah, jawatan pula lebih tinggi sikit tapi aku selalu memikirkan pengalaman kurang. Kepada mereka selalu aku bertanyakan permasalahan yang timbul berhubung kait dengan pentadbiran dan kewangan.

Cuaca daerah Jelebu sejuk sedikit berbanding Seremban. Tiga hari aku bertugas, aku mula batuk-batuk dan selsema. Maklumlah cuaca Seremban panas. Aku berulang dari Seremban yang jaraknya lebih kurang 30 km. Keluar pagi tu agak panas berbanding Jelebu yang masih berkabus.Tak lama kemudian aku pun demam.MC.

Itulah pengalaman pertama bertugas di daerah ini. Sedikit sebanyak ia mengingatkan aku mengenai Kroh di utara Semenanjung. Bezanya Kroh daerahnya agak besar dan aku merasa bebas di sana. Di sini persamaannya cuma cuaca, pekan yang sunyi apabila malam tiba pada 1993 dulu.


04 June 2009

Sunnah Orang Berjuang...tribute to Nadamurni




Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

Biasanya para pejuang
rumah mereka merata-rata
rezekinya tidak menentu
tidur baringnya tidak berwaktu

rezekinya tidak menentu
tidur baringnya tidak berwaktu

Orang lain membuat harta
tapi dia membuangnya
orang lain kawan terbatas
tapi pejuang kawan merata

Orang lain musuhnya kurang
pejuang musuhnya tidak terbilang

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

tidak kurang yang sayang padanya
orang lain mati dilupa
para pejuang tetap dikenang
sejarahnya ditulis orang
makamnya sentiasa diziarahi
walau perjuangan tak berjaya

Sudah Sunnah Orang Berjuang
Mengembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
berenggang dengan anak dan isteri

01 June 2009

Ketika Cinta Bertasbih...The Movie






Sebuah lagi adaptasi Novel karya Habiburrahman al-Shirazy
Selesai membaca novel ini..nak cari siri 2 pulak.

28 May 2009

Maafkan aku....

1/3/1993...

Itulah tarikh bersejarah dalam hidupku.Saat aku mulai memegang jawatan kerajaan di Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan.Maka bermulalah episod mencabar dalam setiap rutin harian kerja.Mencabar minda dan jiwa.Menuntut ketelitian pertimbangan dan budi bicara dalam menyampaikan maksud dan kehendak jabatan dan kerajaan.Segala ilmu yang kutitip sepanjang perjalanan menjadi dewasa telah menjadi asas menjayakannya.

Aku bersyukur sepanjang jalan itu.Aku telah melihat bahawa Allah tidak persiakan hidupku.Banyak cerita pahit merenggut jiwa.Aku masih di sini mempertahankan anutan yang aku yakini sejak kanak-kanak lagi.Ya sejak zaman anak-anak lagi.Mempelajari ilmu yang asing dan tidak selari dengan impian kecilku dulu.Airmata telah banyak menitis membawa cerita gembira dan sedih.

Aku keseorangan berjalan di muka dunia.Ibu dan ayah serta keluarga, sanak saudara tidak kuharapkan doa-doa dan harapan kerana mereka masih jahil.Masih tidak mengerti dan ada juga seolah mencebik tindakan aku mencari hidayah.Kini aku sangat-sangat berterima kasih.Aku telah dipertemukan dengan mereka-mereka yang mendoakanku dan meyakini bahawa aku akan menemui kejayaan dalam pencarian.Aku sedar itu semua bergerak atas izin Allah juga.Tidak sesekali aku menidakkan tauhidku.Seperti aku yakini ketika masih di alam jahiliah begitu juga keyakinanku bertambah-tambah setelah aku diislamkan.

Betapa alam ini berjalan atas izin dan kehendakMu ya Tuhan.Perkelanaanku adalah dengan jemputanMu.Ketika dulu mengetuk setiap ruang hati ini.Bangun dan sedar bahawa apa yang aku cari adalah maksud aku dihidupkan.Aku juga selalu mengharapkan kehadiranku dalam setiap persinggahan selama itu pohon dimaafkan jika ada jiwa-jiwa yang berasa tersinggung dan berkecil hati.Jika ada yang merasa terbeban dengan sikapku yang di luar jangkaku sendiri.Aku hanya ingin menumpang seketika.Sudah tentu ada yang tidak manis di mata kerana kejahilanku diri.Tidak mengerti adat dan budaya di setiap persinggahan melepas lelah.

Aku mohon keampunan kepada Tuhan jika tidak berkesempatan menyampaikan rasa bersalah.Juga kepada individu-individu istimewa yang pernah menitip harap, yang pernah berkongsi rasa sedih hiba, yang pernah mengagumi dan dikagumi, yang pernah cuba berkongsi rasa hati.Yang mahu menunggu dan menanti.Aku juga mohon dimaafkan.Benar aku seperti tidak rasa bersalah tapi ketahuilah kekesalan selalu kuadukan kepada Tuhan.Moga aku dimaafkan.Aku tahu ada jiwa yang kecewa.Tapi sedarlah kita menuju matlamat hidup yang sama.Di sana !

Aku terlalu cetek ilmu.Mungkin batin tidak seperti pandangan zahir.Teman-teman mengagumi kerana persona zahirku dulu.Hakikatnya jiwaku bagai medan peperangan.Pertembungan iman dan hasutan syaitan.Ingin jadi insan sempurna.Insan kamil.Terkadang gelincir juga.Itulah hakikat hidup manusia.Jadi maafkanlah.Aku ingin mengabadikan kerja ini sebagai ibadah.Kerana ini juga amanah.Tuhan telah memberi amanahNya.Maka aku tidak boleh lengah.

16 May 2009

Hari Guru...

Tidak menidakkan apatah lagi melupakan jasa setiap guru yang pernah berjasa, aku kembali mengimbas perjalanan yang panjang.Aku pernah mengutip biji-biji saga, saranan dari cikgu ilmu hisab tentunya.Buat si lembab seperti aku.Payah membilang.Tudung-tudung botol, cengkerang kerang-kerangan.Entah apa lagi yang semuanya menjadi mainan.Memori biji saga memang sentiasa dekat denganku bahkan mereka yang belajar sezaman dengan ku.

Seni lukisan pula membuat kami sibuk mencantas daun pisang.Mengambil batangnya lalu dikerat secara 45 darjah.Memetik daun bunga raya dan bunganya sekali.Wah, cantik coraknya jika ditekap ke atas kertas lukisan.Idea kreatif cikgu zaman 70'an.Tidak terlintas langsung meneka di benak yang bengap ini tika itu kepandaian seorang guru seni.

Sehingga aku mengagumi "Teachers is God" mereka serba tahu dari sudut mata ku.Dunia ku disinar terang oleh kehadiran insan bernama guru.

Namun satu nama yang masih utuh lekat kuat, terpahat dalam memori ini tidak lain Ustaz Hassan Basri.Cikgu yang mengajar matapelajaran agama Islam ketika aku di darjah tiga hingga enam dalam tahun 1974 hingga 1976 dulu.Ustaz Hassan wajahnya memang jelas di ingatan.Dialah satu-satunya cikgu menjadi sebab aku mendalami Islam zaman di awal remajaku.Walhal ketika aku menerima ilmu itu aku bukan muslim.Butir mutiara yang pernah cikgu itu tabur telah kukutip menjadi perhiasan di nuraniku.Atas sebab barakahnya ilmu, aku langsung menerima hidayah dan aku tidak berpaling lagi.


Kini 23 tahun menjadi Muslim...wajah Ustaz Hassan masih tetap di ingatan dan aku  membawa bersama title sepertinya..

Selamat Hari Guru!!!

04 May 2009

Along...

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan dengan satu panggilan.Lama benar tak dengar sebutan tu.Sebuah nama.Dulu panggilan tu biasa bagiku.Sebabnya aku lebih tua di kalangan rakan-rakan sewaktu menuntut di Yayasan Anda Akademik dulu, lebih kurang 5 tahun.Antara rakan yang paling aku suka Zulkifli (arwah)..kalau di hostel dialah rakan yang tak mau memanggil namaku yang sebenar .Dia lebih selesa memanggil dengan panggilan "Along".Sampai habis persekolahan pun masih terbiasa dengan memanggil nama itu.

Zul suka berceloteh.Kalau berbual memang dia becok orangnya.Kadang-kadang kesian tengok arwah ni.Mulut becok, suka bercerita.Kadang-kadang sampai mencungap bercerita.Kesian sebab apa? Penyakit lelahnya tu la.Cerita sikit tarik nafas.Mencungap-cungap.Ketika entry ini ditulis.Zul dah kembali ke rahmatullah.Aku dengar dari Azam dia meninggal kerana darah tinggi dan macam-macam penyakit yang dihidapi.

Aku dengar dari Azam juga, Zul seorang pegawai pemasaran kesayangan boss di tempat kerjanya.Manakan tidak sewaktu aku berkesempatan ziarah dia di Carrefour, Subang Jaya dulu.Aku tengok cara dia melayan customer memang aku tabikla.Padanlah dia menjadi kesayangan bossnya tu.Artis-artis pun habis ditacklenya kantung mereka.Semoga arwah ditempatkan bersama-sama insan yang soleh di akhirat kelak.

Seorang lagi member yayasan yang juga memanggil namaku along, sapa lagi kalau bukan Eduan.Mesti panggil along...macam abang pulak.Kini Eduan seorang guru B.I di selatan tanah air.Masih berhubung denganku melalui email.Masih dulu walau dah jadi bapak orang aku dipanggil "along"..manjanya!

Eduan terima kasih kerana sudi membalas email aku.Apa nak buat Duan.Jodoh bukan kita yang tentukan.Cubalah dengar lagu M.Nasir tu.."Yang Bertakhta Akhirnya"Yang lain-lain tu sebenarnya aku dapat hubungi jugak tapi mungkin kesuntukan masa, maklumlah sekarang dah jadi bapak orang.Jadi tak da masa nak beremail-email.Yang berchating tu teruskanlah..moga silaturahim kita masih macam dulu.."Insan Akademis Yang Bertaqwa"

30 April 2009

Yang Bertakhta Akhirnya..M.Nasir

Kita tak lagi sehaluan

Bukan sebagai yang diimpikan
Rupanya di saat-saat yang genting ini
Terjawab jua persoalan

Dan kita terpaksa memilih
Jalan yang telah ditentukan
Dan kita sama-sama dewasa menghadapinya

Kesan cinta membakar, menghempas, mencabar
Keteguhan hati dalam nostalgia
Cinta membakar, menghempas, mencabar
Dan harus ditelan walaupun pahit

Tidaklah kita yang berkata
Cinta tak mesti bersatu
Apa benarkah itu
Atau kata-kata yang tak bermakna

Dan mereka jua berkata
Tiada yang lebih pedih
Tiada yang lebih menyiksa
Dari cinta yang tak sampai

Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta
Menyuluh dalam kegelapan
Dan akhirnya cinta jua yang bertakhta
Menyatukan kita dari terpisah
Oleh cinta palsu


lagu ini dinyanyikan oleh M.Nasir...satu waktu dulu lagu-lagunya terkesan juga..

28 April 2009

Badai Semalam...retro 1982

Satu lagi novel yang menjadi bacaan harian waktu aku bergelar remaja sekitar tahun 1982 sebelum melangkahkan kaki ke ITM. Ketika itu aku dapat membayangkan watak utama si Mazni itu orangnya bagaimana. Tinggi lampai, berambut lurus mencecah bahu, berkulit kuning langsat, muka bujur sireh, mata yang kecil redup dan alis yang halus lentik. Fuuhhh...detail. Mulalah ketika itu cuba mengabadikan si manis yang tabah itu di atas kertas lukisan. Tapi watak Zaki rakan Mazni itu lebih memikatku. Dan aku dapat rasakan wataknya ada persamaan dengan diriku.. hehehehee...perasan. Memang watak Zaki tu banyak terperasan. Tapi kesian dia. Terperangkap dengan sifatnya yang lebih banyak menyimpan rasa. Aku kah itu.

Rehlah Minda

Sempat mengikuti novel ini setiap sirinya waktu disiarkan di Utusan Malaysia dulu tahun 2005.Mmmmm...Faisal Tehrani termasuk dalam individu genius lingkungan karyanya.Pasti ada kejutan dalam novel yang terhasil.Karya orientasi islamik sudah mula mendapat perhatian pengemarnya.Selepas itu banyak lagi novelis yang lahir membawa mesej islam dan persoalan agama.Moga-moga terlahir nanti Habiburahman el-Shirazy versi Malaysia.

25 April 2009

Syukur kepada Mu

Peringkat awal aku memulakan tugas sebagai Penolong Pendaftar agak kekok juga.Rakan-rakan sejawatan terdiri dari lepasan KUSZA dan Institut Tahfiz di Pusat Islam, Kuala Lumpur.Sedangkan aku hanya lulusan STPM Syariah.Namun aku bangga kerana rakan-rakan juga yang agak sebaya tidak meninggikan diri.Aku tidak menerima didikan Islam formal waktu di sekolah menengah.Seingat aku hanya ketika di sekolah rendah aku rajin membaca buku-buku agama (tulisan jawi) dan mengambil matapelajaran Tulisan jawi juga Pendidikan Agama Islam.

Semua atas galakan Ustaz Hassan Basri dan rakan-rakan sebaya ketika itu.Walaupun ketika itu aku bukan Muslim tapi aku turut saja mempelajarinya.Masih juga ingat aku dipuji oleh Ustaz Hasan kerana mendapat markah kedua tertinggi sewaktu di darjah 5 dalam matapelajaran Agama Islam.

Masuk ke sekolah menengah aku tidak lagi meneruskan mempelajari dan mengambil pendidikan Agama Islam kerana waktu itu subjek alternatif seperti pendidikan seni lukisan boleh diganti dengan pendidikan agama Islam bagi pelajar-pelajar bukan Islam.Namun kadang-kadang aku duduk di barisan belakang waktu subjek Agama Islam mencuri-curi dengar Ustaz mengajar.Ketika dilantik sebagai Pustakawan pula aku mengambil peluang mengambil buku-buku berkaitan Islam dan membawa pulang untuk untuk dibaca di rumah.

Itulah kali terakhir aku menerima didikan agama Islam secara formal.Alhamdulillah, semuanya atas kehendak Allah juga.Aku boleh membaca jawi dan menulis.Sikit-sikit ada juga ketika itu menghafal ayat-ayat lazim yang pendek.Keluarga tidak tahu malahan rakan-rakan rapat juga tidak tahu.

Andaikata aku berterusan mengambil subjek Islam (yang kuminat) ketika itu insyaAllah mungkin aku juga boleh mendapatkannya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.Cuma setelah bergelar Muslim 23 tahun yang lalu aku berusaha mempelajarinya.Ada juga rakan-rakan sejawatan yang bertanya di mana aku mendapatkan didikan formal.Bekas institusi mana? Persoalan itu  hanya kujawab dengan ringkas...aku lulusan STPM jer.

Aku berterima kasih kepada mereka-mereka yang membantuku meneruskan perdidikan formal dengan mengambil subjek Syariah sewaktu di Yayasan Anda Akademik.Dengan kelulusan STPM.Dengan pengalaman menghadiri kuliah-kuliah agama sebelum mendapatkan didikan formal, aku dapat juga memahami cabang-cabang ilmu dalam Islam yang menjadi asas kepada subjek Syariah.

Namun semua itu atas kehendak Allah SWT juga.Aku hanya alat yang diberi hidayah untuk berusaha mendalami ilmunya.Syukur kepada Mu ,Tuhan.

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

12 April 2009

Cerpen la pulak...

Aku tidak tahan menahan sebak di dada.Hatiku berbaur kesal.Laman istanaku kutinggalkan sepi.Aku cuba mencari silapku dulu berpunca di mana.Bermula kerana dicabar juga rasa ingin tahu nikmat berada di syurga khayalan itulah puncanya.Mula hanya suka-suka tetapi menjadi ketagih dan semakin parah jika tidak mendapat bahan terlarang itu.Amanah Tuhan telah kuabaikan.Kalaulah aku akur kata-kata Aisyah dan mentaatinya.Isteriku yang baik hati dan melayan karenahku selama itu.Tentu....ahh.     

Aku tiba di laman damai destinasi terakhir.Hening petang itu dengan redup cahaya mentari tersirna di balik awan tebal.Angin semilir Batu Papan tidak lagi sedingin dulu.Masih membenciku agaknya.Aku pulang memujuk hati merindui kalian yang pergi.Sepi tapi dalam hati menangis kesal.Kesal yang tidak berkesudahan.
“Salam atas penghuni kubur,mukminin dan muslimin,engkau telah mendahului kami dan insyaAllah kami akan menyusulmu....”

Di hujung sebelah kanan sana tegak nisan isteriku, Aisyah dan batu-batu nisan kecil sebelahnya tersusun rapi.Mereka menungguku dengan damai.Tiada lagi salam lembut dari Aisyah menyapa seperti selalu tika menyambutku pulang dari kerja.Tiada lagi laungan abah balik dari putera-puteraku.Lenyap sudah rengekan manja puteriku minta didukung kala melihatku setiap petang pulang ke pangkuan.Airmataku bergenang lalu jatuh deras membasahi janggut nipisku.Sebak dan hancur hati tidak tertahan lagi.Hilanglah kini senyuman lesung pipit yang manis dan sepasang mata yang cantik di sebalik kerudung biru seperti selalu.Tersimpan kemas ia dalam kotak fikiranku bersama kenangan lalu. 

Riwayat Bidadari Syurga...Munif Ahmad (Hijjaz)

Penulis: Munif Ahmad
Terbitan: Hijjaz Records Publishing
Edaran: Marketing Dept. HRSB
Tarikh dipasarkan: Januari 2009
Harga Semenanjung: RM25.90
Harga Sabah/Sarawak: RM27.90

Alu-aluan Penulis

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Dialah yang Wujud, Kekal, Maha Besar, Maha Berkehendak, Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Penyayang, Maha Pemurah dan Maha Berkuasa ke atas setiap hambaNya. Selawat dan salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad saw. Nabi yang telah membawa seluruh umatnya ke jalan keredhaan dan keselamatan. Dia juga merupakan sebaik-baik manusia yang diutuskan Allah di muka bumi ini sebagai ikutan seluruh umat, yang membawa rahmat dan cahaya keberkatan kepada seluruh manusia.

Melalui penulisan pertama saya ini, saya ingin mengajak anda semua menghayati dan menelurusi liku-liku kehidupan dan pengorbanan wanita-wanita serikandi dahulu yang sanggup berkorban dan mempertahankan keimanan mereka terhadap Allah swt sehingga tanpa ragu-ragu sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri. Itu semua dilakukan demi meninggikan syiar Islam di muka bumi ini dan mengagungkan agama Allah ini.

Idea penulisan buku ini tercetus dari tugas dan tanggungjawab sebagai composer lagu-lagu nasyid. Bagi yang sering mengikuti perkembangan saya, pasti anda sedar saya banyak menghasilkan lagu-lagu yang bertemakan penceritaan sejarah srikandi Islam, kehebatan wanita-wanita terdahulu memperjuangkan Islam dan kesanggupan mereka untuk mati kerana Islam. Dari inspirasi sebuah lagu, saya terjemahkannya melalui buku ini supaya sedikit sebanyak akan memberi kekuatan dan inspirasi kepada pejuang-pejuang agama dan dorongan untuk kita sentiasa menjadikan wanita-wanita yang hebat ini sebagai ilham dan sumber kekuatan untuk melayari liku-liku kehidupan yang mencabar lewat ini. Betapa tidak? Mereka yang dikatakan kaum yang lemah, mampu berdiri sebaris dengan pahlawan-pahlawan Islam yang jauh lebih gagah tanpa ada rasa gentar walau sedikit pun. Biarpun perjuangan itu menurut kemampuan mereka masing-masing, namun ganjaran yang dijanjikan Allah swt untuk mereka tetap standing dengan apa yang telah dijanjikanNya untuk para syuhada’.

Di samping itu saya sertakan juga lirik-lirik lagu sering berkumandang di radio-radio. Mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah Sumayyah? Siapakah Ratu Syahadah? Siapakah Zinirrah? Jadi melalui buku ini, Insyaallah anda akan lebih mengenali para wanita penghuni syurga ini.

Hasil dari bacaan dan rujukan buku-buku, kitab-kitab sejarah lama dan kisah-kisah dari Al-Quran maka mana yang dirasakan sesuai dan menepati kehendak penceritaan maka saya himpunkan. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk umat Islam seluruhnya dan untuk diri saya serta keluarga.

Untuk mendapatkan keberkatan di atas usaha-usaha ini sama-samalah kita mengirimkan Surah Al-Fatihah buat srikandi-srikandi ini. Moga-moga kita akan mendapat kekuatan dan kehebatan seperti mereka... Al-Fatihah.

Akhir kalam, apa yang benar datangnya dari Allah swt dan yang tidak benar datangnya dari kelemahan diri saya sendiri. Wassalam.

Hamba yang daif
Munif ahmad @ Putra Aiman
Munifhijjaz@yahoo.com


p/s salah seorang sahabat lama sewaktu di Al-Arqam Sg Penchala.

11 April 2009

Yang tersurat dan tersirat

Penghujung 1992 sewaktu aku sedang meneliti beberapa artikel agama di meja,aku disapa oleh boss bahagian dakwah Ustaz Zakaria Hitam.Ustaz Zakaria mengarahkan aku mengisi borang permohonan kerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.Katanya Dato' Hj Muhamad minta aku berbuat demikian.Aku tahu mengenai iklan jawatan kosong tersebut melalui akhbar Utusan Malaysia namun apabila memikirkan tanggungjawab setelah dilantik nanti aku jadi tidak berminat.(Cetek fikiran pada masa itu)

Apa yang kutahu jawatan tersebut lagi beberapa hari akan ditutup.Berita tersebut sampai ke telinga Ustaz Jaafar dan beliau juga sambil mengucapkan tahniah dan menasihatkan aku mengisi borang jawatan kosong tersebut.Aku ceritakan hal itu kepada isteriku dan beliau juga turut gembira mendengarnya.Kata mereka kalau Pengarah sendiri yang mengarahkan, maknanya peluang mendapat kerja tetap adalah besar.

Aku termenung.Aku punyai prinsipal dalam Syariah di peringkat STPM.Jawatan yang bersesuaian Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (S 5).Tanggungjawabnya agak besar jugak.Mampukah aku?. Pembantu peribadi Dato' , kak Muhaini juga menggalakan aku memohon kerana Dato' memang mahukan aku diserap ke jawatan tetap.Samada isteri atau aku.Dengan dorongan ramai rakan-rakan seunit aku pun bersetuju dan mengisi borang permohonan.Kebetulan kak Muhaini yang menguruskan pengumpulan borang-borang permohonan tersebut , aku jadi bertambah yakin.

Walaupun begitu aku bermohon doa kepada Allah agar permohonan ku berjaya.Sekurang-kurangnya aku mendapat kerja tetap.Lebih terjamin untuk kehidupan aku, isteri dan anak yang baru lahir.Alhamdullilah awal Januari 1993 surat panggilan temuduga menyusul.Apa yang kudengar itu hanyalah syarat saja kerana Dato' Pengarah memang mahukan aku dilantik ke jawatan tetap.

Temuduga yang kulalui pun mudah, panel-panelnya adalah terdiri dari ustaz-ustaz di Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan yang memang kukenal.Namun begitu aku tidak mengambil mudah , aku perlu tunjukkan kesungguhan untuk dilantik ke jawatan kerajaan.Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.

Mungkin inilah yang dikatakan rezeki anak.Yang tersurat dan tersirat.1/3/1993 aku dilantik ke jawatan kerajaan sebagai Penolong Pegawai Hal Ehwal Agama Islam.Aku diarahkan melapurkan diri ke Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan sebagai Penolong Pendaftar.Inilah jawatan yang kusandang sehingga ke saat entry ini ditulis.

Saat bersendirian aku termenung, mengingatkan masa lampau yang berlalu.Hidayah dan pertolongan Allah tidak pernah terduga hingga ke ketika ini.Tidak mempunyai asas agama yang dalam satu waktu dulu tidak mematahkan semangat mengejar ilmu-ilmu Allah itu di masa remaja.Kata-kata guruku. "Jika awak datang kepada Allah dengan berjalan ,Allah akan datang kepada awak dengan berlari " sungguh mendalam dan benar sekali.Allah Maha Penyayang,Dia memberi hidayah dan pertolongan kepada siapa yang Dia kehendaki.

Saat susah senang, tauhidku akan tetap kupertahankan kerana aku tahu Allah tidak akan mensia-siakanku setelah pintu hati kecilku diketuk hidayah.SubhanaAllah wa lillahilhamd.

23 March 2009

Siapa Nur 'Ainatul Mardhiah

Rombongan umrah kami selesai awal Disember 1992.Berangkat pulang dengan hati penuh debar dan kesayuan.Rindu yang mendalam pada isteri yang ditinggalkan.Bagaimanakah dia? Anak yang dikandung bagaimana pula?.Seminggu lebih tidak mendengar berita.Sayu juga kerana ziarah kami di bumi anbiya' hanya di sini ketika itu.Alhamdulillah segalanya berjalan lancar.Moga-moga Allah menerima ibadah umrah ini.

Aku dan rombongan tiba di tanah air pada subuhnya.Isteri menyambutku di lapangan terbang.Hati berbisik riang, melihat perut isteriku pula aku menjadi kasihan.Lucu juga dibuatnya.Tidak lama lagi aku bergelar bapa.Telah kupanjatkan doa paling tulus dan penuh pengharapan moga Allah perkenankan.

22/12/1992 isteriku selamat melahirkan seorang puteri.Kunamakan anakku Nur 'Ainatul Mardhiah.Nama yang sangat bermakna dalam ingatanku.Memang aku berkira-kira akan menamakan anakku yang bakal lahir nanti dengan nama itu jika aku mendapat anak perempuan.Siapa Nur 'Aina ?

Lama dulu aku pernah membelek buku kisah para solehin.Dipetik dari kitab Irsyadul 'Ibad.Kisah Ainul Mardhiah paling kuingat dan sehingga kini kuabadikan bersempena kelahiran puteri sulungku.

Dalam suatu kisah yang dipaparkan Al-Yafi’i dari Syeikh Abdul Wahid bin Zahid, dikatakan: Suatu hari ketika kami sedang bersiap-siap hendak berangkat perang, aku meminta beberapa teman untuk membaca sebuah ayat. Salah seorang lelaki tampil sambil membaca ayat Surah At Taubah ayat 111, yang artinya sebagai berikut :

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka"

Selesai ayat itu dibaca, seorang anak muda yang berusia 15 tahun atau lebih bangkit dari tempat duduknya. Ia mendapat harta warisan cukup besar dari ayahnya yang telah meninggal. Ia berkata:

"Wahai Abdul Wahid, benarkah Allah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan syurga untuk mereka?"
"Ya, benar, anak muda" kata Abdul Wahid.
Anak muda itu melanjutkan:

"Kalau begitu saksikanlah, bahwa diriku dan hartaku mulai sekarang aku jual dengan syurga ."

Anak muda itu kemudian mengeluarkan semua hartanya untuk disedekahkan bagi perjuangan. Hanya kuda dan pedangnya saja yang tidak. Sampai tiba waktu pemberangkatan pasukan, ternyata pemuda itu datang lebih awal. Dialah orang yang pertama kali kulihat. Dalam perjalanan ke medan perang pemuda itu kuperhatikan siang berpuasa dan malamnya dia bangun untuk beribadah.

Dia rajin mengurus unta-unta dan kuda tunggangan pasukan serta sering menjaga kami bila sedang tidur. Sewaktu sampai di daerah Romawi dan kami sedang mengatur siasat pertempuran, tiba-tiba dia maju ke depan medan dan berteriak:

"Hai, aku ingin segera bertemu dengan Ainul Mardhiyah . ." Kami menduga dia mulai ragu dan pikirannya kacau, kudekati dan kutanyakan siapakah Ainul Mardiyah itu. Ia menjawab: "Tadi sewaktu aku sedang  tidur, selintas aku bermimpi. Seseorang datang kepadaku seraya berkata:

"Pergilah kepada Ainul Mardiyah."

Ia juga mengajakku memasuki taman yang di bawahnya terdapat sungai dengan air yang jernih dan dipinggirnya nampak para bidadari duduk berhias dengan mengenakan perhiasan-perhiasan yang indah. Manakala melihat kedatanganku , mereka bergembira seraya berkata:

"Inilah suami Ainul Mardhiyah . . . . ."
"Assalamu’alaikum" kataku bersalam kepada mereka.
"Adakah di antara kalian yang bernama Ainul Mardhiyah?"

Mereka menjawab salamku dan berkata:

"Tidak, kami ini adalah pembantunya. Teruskanlah langkahmu"

Beberapa kali aku sampai pada taman-taman yang lebih indah dengan bidadari yang lebih cantik, tapi jawaban mereka sama, mereka adalah pembantunya dan menyuruh aku meneruskan langkah. Akhirnya aku sampai pada khemah yang dibina dari mutiara berwarna putih. Di pintu khemah terdapat seorang bidadari yang sewaktu melihat kehadiranku dia nampak sangat gembira dan memanggil-manggil yang ada di dalam:

"Hai Ainul Mardhiyah, ini suamimu datang . …"

Ketika aku dipersilakan masuk kulihat bidadari yang sangat cantik duduk di atas sofa emas yang ditaburi permata dan yaqut. Waktu aku mendekat dia berkata:

"Bersabarlah, kamu belum diizinkan lebih dekat kepadaku, karena ruh kehidupan dunia masih ada dalam dirimu."

Anak muda melanjutkan kisah mimpinya:

"Lalu aku terbangun, wahai Abdul Hamid. Aku tidak sabar lagi menanti terlalu lama".

Belum lagi percakapan kami selesai, tiba-tiba sekelompok pasukan musuh terdiri sembilan orang menyerbu kami. Pemuda itu segera bangkit dan melibas mereka. Selesai pertempuran aku mencuba meneliti, kulihat anak muda itu penuh luka ditubuhnya dan berlumuran darah. Ia nampak tersenyum gembira, senyum penuh kebahagiaan, hingga ruhnya berpisah dari badannya untuk meninggalkan dunia. ( Irsyadul Ibad ).

22 March 2009

La Tahzan (Jangan Bersedih)

La Tahzan.Aku telah memiliki buku karangan Dr 'Aidh Abdullah Al-Qarni ini lama dulu.Menjadi teman sebelum lelap.Mencari butir-butir mutiara yang menjadi sebahagian dari pujukan jiwa jika saat hati gundah gulana.

20 March 2009

Di pondok Kecil





Di Pondok Kecil….

Di Pondok Kecil..Di Pantai Ombak..
Berbuih Putih..Beralun-alun
Di Pondok Kecil..Di Pantai Ombak..
Berbuih Putih..Beralun-alun…
Di Suatu Hari Ayah Berkata..
Jaga Adikmu, Ayah Kan Pergi Jauh
Ku Pandang Wajah Ayah, Dahinya Ku Cium
Airmata Mengalir, Hatiku Pilu...
Diam-diamlah Sayang, Jangan Menangis
Doakan Ayah, Semoga Sejahtera..
Diam Adik Ku Sayang, Jangan Menangis
Walaupun Ayah Gugur, Pastinya ia Syahid
Di Pondok Kecil, Di Pantai Ombak..
Berbuih Putih Beralun-alun..........
Wahai Abangku.. Ke Mana Ayah..
Ku Sayang Ayah.. Ku Cinta Ayah.. Ku Sayang Ayah..2x
Duhai Adik Ku..Jangan Bersedih
Ayah Mu Pergi Menyambut Seruan Ilahi..
Tapi Ingatlah Adik Ku..Pesanan Ayah, Belajar Berusaha
Walau Di Mana Jua..
Pada Mu Tuhan Aku Bermohon
Dosa Ayahku..Minta Di Ampunkan
Ku Iringi Doa, Rahmati Dia..
Tempatkan lah Ayahku..Bersama Kekasih Mu..
Di Pondok Kecil..Di Pantai Ombak..
BerBuih Putih...Beralun-alun...

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...