05 June 2009

Mac 1993...Kuala Klawang

Pertengahan bulan Mac 1993, aku ditukarkan ke daerah Jelebu, N.Sembilan.  Waktu itu Jelebu adalah satu daerah yang terpencil jauh sedikit dari pembangunan. Kata rakan-rakan pekan Kuala Klawang, Jelebu merupakan pekan koboi (maknanya hanya hidup di siang hari saja). Aku biasa lalu di pekan itu waktu merantau dulu. Benar. Ia agak ketinggalan. Taman perumahan boleh dikira dengan jari. Pekan Klawang pula tidaklah sebesar mana.

Waktu itu aku hanya berulang naik bas. Masuk jam 8.00 pagi dan pulang 4.15 petang. Di pejabat baruku hanya ada dua staf. Seorang Jurutaip Kak Ani dan seorang lagi penghantar saman, abang Hussin. Keadaan pejabat agak kecil dan sempit. Aku masih ingat mula-mula berkerja dulu akulah penderaf surat, menaip (komputer belum ada lagi), masukkan dalam sampul surat, letak stem dan pos surat.

Kerja-kerja mendaftar kes ke dalam Buku daftar biasalah. Buka fail, masukkan segala tuntutan dan dakwaan selepas tu failkan. Letak tarikh dan agih-agihkan mengikut tarikh. Kalau borang-borang sudah kehabisan aku meminta jasa baik pejabat agama Islam di  sebelah untuk menggunakan mesin cetak mereka. Hah buatlah sendiri.

Waktu mula berkerja, hendak bawa kes ke mahkamah kena pakai kot hitam, songkok dan bertali leher. Tidak pernah seumur hidup aku bertali leher. Terpaksalah belajar  cara mengikat tali leher dari kerani pejabat Agama di sebelah. Alhamdulillah...hidup ini kena selalu merendah diri. Jika sudah membiasakan diri menghormati orang lain mereka juga akan bersikap begitu kepada kita. Aku belajar dari semudah-mudah perkara, selok belok pentadbiran pejabat sehinggalah kepada mengendalikan mesyuarat.

Rakan-rakan dari pejabat agama melayanku dengan baik. Walaupun aku dari Mahkamah Syariah, jawatan pula lebih tinggi sikit tapi aku selalu memikirkan pengalaman kurang. Kepada mereka selalu aku bertanyakan permasalahan yang timbul berhubung kait dengan pentadbiran dan kewangan.

Cuaca daerah Jelebu sejuk sedikit berbanding Seremban. Tiga hari aku bertugas, aku mula batuk-batuk dan selsema. Maklumlah cuaca Seremban panas. Aku berulang dari Seremban yang jaraknya lebih kurang 30 km. Keluar pagi tu agak panas berbanding Jelebu yang masih berkabus.Tak lama kemudian aku pun demam.MC.

Itulah pengalaman pertama bertugas di daerah ini. Sedikit sebanyak ia mengingatkan aku mengenai Kroh di utara Semenanjung. Bezanya Kroh daerahnya agak besar dan aku merasa bebas di sana. Di sini persamaannya cuma cuaca, pekan yang sunyi apabila malam tiba pada 1993 dulu.


No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...