21 November 2025

Aku Kalah

 Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia menghulurkan sebuah buku agama bertajuk Penawar Bagi Hati bersama satu kaset ceramah—tajuknya aku sudah lupa—untuk dipinjamkan. Dengan nada malu-malu, dia bertanya, “Nak baca buku ni tak?”

Aku terpaku. Dia memberi tanpa diminta. Untuk tidak mengecilkan hatinya, aku terima juga, sambil berjanji akan memulangkannya dalam beberapa hari. Katanya buku itu bagus—walhal aku sudah menghabiskannya berkali-kali. Namun untuk tidak menghampakannya, apatah lagi di hadapan rakan sekelas, aku sambut sahaja pelawaannya.

Dari cara dia berbual, aku dapat merasakan seolah-olah ada sesuatu yang ingin diluahkan, tetapi tidak kesampaian kerana ramainya rakan sekelas ketika itu. Aku nampak dia tersenyum apabila aku menerima buku dan kaset itu dengan baik. (Dalam hati aku berkata, “Ada peluang ke ni?”). Aku tahu F ingin mendekatiku, mungkin hanya sebagai rakan sekelas. Lagipun aku ini pendiam, berat mulut—mudah sangat disalah tafsir. Dan ketika itu aku memang tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa. Malu masih menebal.

Malam itu di asrama, aku mencabar diri. Aku bertekad: bila memulangkan buku itu nanti, aku akan selitkan sepucuk surat tanda perkenalan. Namun setiap kali ke kelas, perasaanku menjadi tidak keruan bila memandang ke barisan paling belakang. Ada sesuatu yang mengganggu. Aku tidak mampu menghalang ingatan daripada kembali kepada gadis itu. Sedangkan layanannya padaku biasa sahaja. Tetapi rasa suka memang sukar ditafsir. Surat yang kononnya ingin kuselitkan itu akhirnya tidak pernah tertulis—kerana takut, kerana malu.

Dalam masa yang sama, aku dan F turut menyertai usrah anjuran sahabatku, R—kenalan sejak zaman Al-Arqam Kuala Pilah—di Universiti Malaya. Jika ada pertemuan, aku akan memaklumkan kepada F. Kami bertemu di surau Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai, sebelum ia dipindahkan ke Bangi. Di situ kami mendengar kuliah, bermuhasabah, bertazkirah. Kadangkala aku dapat berbual dengan F di sela-sela program, tetapi hanya tentang amalan Islam dan perkembangan jemaah. F pula tidak banyak bercakap; mungkin segan kerana kehadiran rakanku.

Sampailah timbul cadangan untuk mengadakan lawatan ke Darul Al-Arqam di Sungai Penchala. Aku tidak ingat siapa punya idea, tetapi aku dipertanggungjawabkan menyelia rombongan itu. Aku maklumkan rakan-rakan lelaki di hostel, manakala dalam kalangan siswi, siapakah lagi yang aku percayai kalau bukan F. Pada mulanya aku ragu-ragu—bimbang dianggap membawa pengaruh Al-Arqam ke dalam institusi pendidikan yayasan, sedangkan ketika itu kumpulan tersebut sudah mula mendapat perhatian kerajaan. Namun semangat rakan-rakan yang ingin melihat sendiri suasana kehidupan jemaah itu membuat aku teruskan juga. Lagipun tujuan kami hanya untuk meninjau, termasuk melihat sendiri kumpulan nasyid Nada Murni (kini Rabbani).

Sehari sebelum lawatan, aku berpesan kepada dua pelajar perempuan yang baru pulang dari kedai bawah flat Kerinchi PKNS bahawa aku ingin bertemu F di koridor asrama lelaki untuk memaklumkan atur cara perjalanan. Setelah lama menunggu, aku nampak F turun. Dia memakai tudung hitam.

Aku cuba menahan diri daripada memandang tepat ke wajahnya, tetapi terasa pula bersalah jika berbincang tanpa memandang langsung. Dia berdiri agak jauh, di atas anak tangga, tapi cukup dekat untuk membuat degup jantungku berubah rentak. Aku menerangkan perancanganku dan berharap F dapat menguruskan pelajar perempuan yang mahu turut serta, sementara aku mengendalikan yang lelaki.

Waktu itu, entah mengapa, aku merasakan kelainan yang begitu kuat dalam perasaan ini. Dari jarak kira-kira lapan meter itu pun, wajahnya kelihatan lain—lebih lembut, lebih manis. Sejak hari itu, aku mula takut. Takut pada diri sendiri, pada janjiku untuk fokus mengejar ilmu. Sedangkan wajah F semakin kerap terbayang.

Memang aku akui, F manis dipandang bila mengenakan tudung hitam. Raut wajahnya kecil, comel; bibir nipis, mata redup, orangnya berkulit cerah. Kadang-kadang dia berkaca mata. Biasa sahaja pada pandangan umum, tetapi pada mataku—entah kenapa—dia membuatkan hati berdebar. Namun apa yang paling menarik ialah minatnya terhadap perbincangan agama, serta kecenderungannya pada jemaah Al-Arqam—sebahagian daripada hidupku suatu ketika dahulu. Akulah tempat dia merujuk dan bertanya itu dan ini tentang Al-Arqam.

Akhirnya aku mengaku kalah. Perasaan suka itu tidak lagi mampu kutepis.

04 October 2024

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu hati. Namun sejak berpindah tempat kerja, masa seakan menjadi musuh. Kehendak yang dahulunya subur, kini semakin layu direncat tugasan yang tak pernah putus.

      Setiap petang, pasti ada kerja pejabat yang mengekori pulang — menyita ruang tenang di rumah. Tugasan sampingan pula bertali arus, menyesakkan kepala dan membunuh waktu. Pendek kata, minat yang dahulu menyala-nyala, kini mulai malap, dipadam perlahan oleh beban tanggungjawab.

      Namun di sudut hati yang paling dalam, rindu itu tetap menyala. Di celah-celah sunyi, ketika dunia sedikit diam dan fikiran mengembara tanpa arah, kenangan menulis hadir menyapa. Ia tidak pernah mati — hanya menunggu untuk diberi nafas semula.

     Kadang-kadang terlintas — mungkinkah ini bukan soal kekangan masa, tetapi soal keutamaan dan kemahuan? Jika benar cinta itu masih utuh, pasti ada ruang yang boleh dicipta. Walaupun hanya untuk mencoret sepatah dua. Walau hanya secebis waktu di tengah kesibukan, cukup untuk menyubur kembali benih minat yang mulai pudar.

    Kerana menulis bukan sekadar aktiviti. Ia adalah sebahagian daripada diri. Ia suara jiwa yang menanti untuk didengari — tidak pernah benar-benar pergi.

03 January 2024

Kembali menulis.

     Pada usia 58 tahun, kenangan silam mula mengabur, seperti gambar lama yang warnanya ditelan cahaya. Minat menulis masih ada, namun tidak lagi membuak seperti dahulu. Dulu, aku menulis dengan rasa, dengan ghairah. Kini, semangat yang pernah mengalir deras perlahan-lahan surut bersama usia. Membaca dua tiga halaman pun sudah cukup membuatkan mata ini layu, seolah-olah tubuh mengisyaratkan untuk berehat. Mungkin benar, usia bukan sekadar angka.

      Semuanya berubah selepas aku ditukarkan ke pejabat baru — dari daerah yang sunyi dan damai, ke tempat yang lebih menuntut masa dan tenaga. Di sini, kerja tidak pernah selesai. Pulang lewat menjadi kebiasaan. Tugasan dibawa pulang ke rumah pun bukan lagi sesuatu yang janggal. Hari minggu pula, seringkali dikorbankan. Aku semakin tenggelam dalam arus kehidupan yang serba laju.

      Menulis? Sekadar membuka blog sebentar. Membaca sepintas lalu satu-dua entri lama. Kemudian, ditutup kembali. Dada terasa kosong. Satu posting sudah cukup. Tidak lebih dari itu.

     Namun jauh di sudut hati, aku tahu: minat ini tidak mati. Ia hanya diam, menunggu waktu yang sesuai untuk bangkit kembali. Mungkin esok. Mungkin minggu depan. Mungkin malam ini — ketika semuanya senyap, dan aku kembali menjadi aku yang dahulu, walau seketika.


  Hari ini, aku nekad untuk kembali — menulis dan membaca, menghidupkan semula semangat yang kian pudar. Selepas Subuh, aku mulakan hari dengan empat buah buku di sisi. Seperti biasa, aku mengaji dua muka surat al-Quran, perlahan-lahan menenangkan jiwa. Diikuti tafsir Ibnu Kathir untuk Surah al-Kahfi, juga dua halaman — setiap baris membawa makna yang dalam, seperti bicara Tuhan yang lembut mengetuk hati.

  Kemudian aku menyelam pula ke dalam buku Muhammad karya Martin Lings. Setiap kisah tentang Rasulullah SAW menyentuh sesuatu dalam diri — seperti rindu lama yang disapa kembali. Gaya penulisan Lings menghidupkan sejarah dengan keindahan bahasa yang mendalam.

  Sebagai penutup sesi pagi, aku telusuri pula catatan F. Spencer Chapman dalam Tanpa Ampun — diari seorang askar British yang meredah belantara Malaya semasa pendudukan Jepun. Dalam setiap halaman, aku seperti melihat sendiri kelamnya hutan, jerihnya perjuangan, dan sunyinya jiwa manusia yang berjuang sendirian.

  Buku-buku ini bukan sekadar bacaan — tetapi jendela yang membawa aku kembali kepada ketenangan, sejarah, dan makna. Pagi ini terasa seperti permulaan baru. Barangkali bukan revolusi besar, tetapi cukuplah ia sebagai langkah kecil yang membawa aku pulang kepada diri yang dahulu.



  Aku berazam untuk menulis kembali perjalanan hidayahku — sebuah kisah yang mengimbau setiap langkah kecil yang telah membawaku mendekati cahaya. Segalanya bermula sejak aku masih remaja, seorang anak orang asli yang ketika itu hidup tanpa sebarang pegangan agama. Namun, dalam usia semuda tujuh atau lapan tahun, hatiku mula tertarik kepada pendidikan Islam. Detik-detik awal itu, yang mungkin tampak biasa bagi orang lain, begitu bermakna dalam hidupku — dan aku ingin mengabadikannya dalam bentuk tulisan.

  Hasratku ialah untuk menghimpunkan catatan-catatan ini di blog, sebagai permulaan kepada sebuah buku yang bakal berkongsi tentang keindahan perjalanan mencari hidayah. Aku ingin menyelami kembali pengalaman-pengalaman rohani yang pernah membekas di hati — dan menyampaikannya kepada pembaca yang mungkin sedang melalui pencarian yang sama.

  Alhamdulillah, dorongan daripada rakan-rakan turut menyuntik semangat. Ramai yang ingin mengetahui kisah ini — kisah sebenar tentang cinta kepada kebenaran, tentang perubahan dan harapan.

Insya-Allah, aku akan menulis. Perlahan-lahan, setulusnya dari hati.

26 August 2021

Hijrah

             Aku telah menceritakan sebahagian kisah sebelum aku berhijrah ke agama suci ini. Kebanyakan cerita-ceritaku adalah paparan kehidupan awal remaja, saat aku masih mencari-cari makna diri di tengah-tengah jutaan remaja lain yang juga baru mengenal dunia. Aku ingin diterima, ingin diakui sebagai manusia yang punya nilai, walaupun aku sendiri sering merasa kosong. Kegagalan untuk meneruskan pendidikan dalam bidang seni lukis seni reka menjadi tamparan hebat buatku. Aku terpaksa menerima hakikat bahawa aku tidak cukup kuat untuk menempuh halangan itu. Namun, di sebalik kegagalan itu, aku belajar untuk bangkit, walaupun perlahan.

Bila aku menoleh ke belakang, melihat suasana kehidupan di kampung, aku sering merasa insaf. Ada manusia yang hidup jauh lebih sukar daripadaku, namun mereka tetap tabah dan pasrah dengan kehidupan yang serba kekurangan. Aku sedar, aku perlu lebih kuat. Aku pernah hidup lebih selesa daripada mereka, tetapi itu tidak menjadikan aku lebih baik. Sebaliknya, aku merasa seperti kehilangan sesuatu yang lebih bermakna.

Pada tahun 1985, ayah membelikan aku sebuah motorsikal Yamaha Y88. Dengan semangat baru, aku cuba bangkit semula. Aku mengambil keputusan untuk belajar kembali, menduduki SPM secara persendirian. Namun, bila difikirkan semula, aku seperti hanya membuang masa. Aku sering termenung, memikirkan apa sebenarnya yang aku inginkan dalam hidup ini. Ada sesuatu yang lama terpendam dalam hati, satu cita-cita yang pernah aku impikan, tetapi tertangguh sewaktu aku belajar di ITM dahulu. Ia seperti beban yang semakin lama semakin menyesakkan dada dan fikiran.

Akhirnya, aku membuat keputusan besar. Aku berhijrah. Aku perlu keluar dari kampung halaman, meninggalkan segala yang aku kenal, demi mencari sesuatu yang lebih besar. Hijrah ini bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi juga perjalanan jiwa. Aku tahu, aku tidak boleh terus terperangkap dalam kekeliruan dan kekecewaan. Aku perlu mencari makna hidup yang sebenar.

Dan kini, setelah melalui perjalanan yang penuh liku, aku temui jalanku. Hijrah itu membawa aku kepada sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan. Apa yang dulu aku anggap sebagai kegagalan, kini aku sedar hanyalah persinggahan kecil dalam perjalanan menuju cahaya yang sebenar. Setiap langkah yang aku ambil selepas hijrah itu terasa lebih bermakna, lebih jelas tujuannya. Aku akhirnya memahami bahawa apa yang aku cari selama ini bukan sekadar kejayaan duniawi, tetapi kedamaian hati yang hanya datang daripada mengenal dan mendekati Tuhan.

Hijrah ini mengajarku bahawa hidup bukan tentang apa yang kita miliki, tetapi tentang bagaimana kita mengisi jiwa. Ia tentang mencari makna, tentang menyerahkan diri kepada Yang Maha Esa. Dan dalam perjalanan ini, aku temui kebahagiaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Aku temui diriku. Aku temui Tuhan.

22 February 2021

1981 : Kelas 4A2 SMTS.

        Tahun 1981, aku ditempatkan di kelas 4A2. Waktu itu, aku punya beberapa rakan yang sering bersama ke mana-mana, bukanlah terlalu rapat, tapi kehadiran kami seperti saling melengkapkan. Mereka kebanyakannya dari perkampungan Melayu sekitar Kroh. Aku senang berkawan dengan mereka, walaupun ada yang bercakap dalam loghat yang berbeza—ada yang mirip loghat Melayu Pattani, ada yang berloghat Kedah, dan kadang-kadang terdengar juga loghat Kelantan. Semua loghat itu tidak pernah jadi masalah buat aku, sebab aku pun boleh faham dan bertutur dalam loghat utara.

Loghat utara itu sudah biasa bagi aku. Kata-kata seperti "mu", "hang", "depa", "aku", "hangpa", "sat", "kenalaing", "ligan", "moh", "pi", "mampuih", "kelik", "pungga", "pong", dan banyak lagi sudah jadi sebahagian daripada percakapan kami sehari-hari. Ada ketika, aku rasa rindu untuk berbual dengan kawan-kawan lama dari utara yang kini sudah lama hilang dari radar kehidupanku.



    Aku selalu berdiri di belakang. Kedua-dua rakanku yang duduk di sebelah kanan, Mohd Hanafiah dan Azhari Yunus, kini telah kembali ke rahmatullah. Arwah Mohd Hanafiah dan Azhari Yunus berasal dari Kg Selarung, Pengkalan Hulu.

    Ketua kelas kami, Zainal—atau lebih dikenali sebagai Ali—bersama Mohd Hanafiah, Azahari, dan Zabidi, semuanya keturunan Melayu. Mereka inilah antara rakan-rakan yang sering berada bersama dalam kelas 4A2. Selain mereka, ada juga seorang sahabat baik aku dari keturunan India, Ganesan, yang menjadi teman akrab sejak kami darjah satu, tahun 1972. Ganesan, seperti yang pernah aku ceritakan dalam tulisan sebelum ini, adalah seorang yang pendiam dan tak banyak kerenah, berbeza dengan beberapa rakan keturunan India yang lain.

Ganesan dan aku duduk bersebelahan di kelas, dan hubungan kami cukup erat. Aku dapat rasakan dia sangat menghormati aku sebagai kawan, dan dia kerap kali menjadikan aku sebagai rujukan, baik dalam pelajaran mahupun dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar. Hubungan ini bukan sekadar persahabatan biasa, tetapi lebih kepada kepercayaan dan saling menghargai.





(Dalam kotak bertanda biru, rakan sekelas Ganesan. Kredit foto: Zainal Ahmad Wasid aka Ali.)

    Di kelas, aku duduk di bahagian depan, betul-betul di tengah. Rakan-rakan Melayu yang lain pula lebih suka duduk di belakang, sebelah kiri kelas. Tahun 1981 memang meninggalkan kenangan yang terindah—tiada tekanan peperiksaan, dan suasananya benar-benar santai. Waktu itu juga, dunia muzik sedang berkembang pesat. Rekod piring hitam mula digantikan dengan kaset pita dan katrij, membawa revolusi dalam cara kita menikmati muzik.

Antara yang paling menonjol ketika itu adalah kemunculan Blues Gang, sebuah band blues tempatan yang menghidupkan suasana remaja kami. Sebelum ini, band rock seperti Carefree, Black Dog Bone, Flybaits, dan Sweet Charity telah lama jadi kegilaan ramai, tapi dengan hadirnya Blues Gang, minat terhadap muzik mula beralih. Muzik mereka menyentuh perasaan, seiring dengan zaman remaja yang penuh warna.


23 January 2021

1981 : Berakhirnya Kenangan Cinta Monyet.

           Tahun 1981, usiaku menginjak 16 tahun. Selesai Sijil Rendah Pelajaran, aku melangkah ke tingkatan 4 dan ditempatkan di kelas 4A1 dalam aliran sastera—aliran baru bagiku. Banyak buku sastera perlu dibaca, sesuatu yang agak asing. Aku memang biasa membaca cerpen fiksyen dalam surat khabar atau majalah, walaupun ada yang menarik dan ada juga yang terasa hambar. 

Novel? Ada juga aku baca beberapa, tapi tiada satu pun yang benar-benar meninggalkan kesan sepanjang tahun-tahun remaja itu. Minatku lebih cenderung ke arah muzik dan lagu. Membaca pula, walaupun perlu, kadang terasa seperti rutin yang malas.

          Tahun 1981 di tingkatan 4 aliran sastera memang tahun "honeymoon"—begitulah istilah yang digunakan oleh pelajar sebaya ketika itu. Masa "bulan madu" dalam erti kata tidak perlu terlalu menumpukan perhatian atau berhempas pulas dengan buku. Cukup sekadar siapkan kerja sekolah atau kerja rumah yang diberi, dan selepas itu, masa diisi dengan aktiviti santai dan layan lagu-lagu kegemaran. Jika ada kesalahan dalam tugasan selepas disemak, cukup dengan membetulkannya. Mudah saja!

        Waktu lepak juga melimpah ruah—boleh mencapai empat hingga lima jam sehari tanpa rasa tertekan. Untuk waktu mengulang kaji pelajaran? Cukup sejam atau sejam setengah. Semuanya dalam suasana yang cukup "relax," mencipta kenangan remaja yang santai dan menyenangkan.

         Tahun 1981, aku masih teringatkan S, seorang yang jauh di Pahang. Aku sempat menulis sepucuk surat kepadanya, hanya untuk bertanya khabar tentang rakan-rakan di kem. Ada sesuatu yang istimewa tentang S yang buat aku tertarik—rambutnya yang berstail "Chinese doll," hitam, lebat, lurus, dan melepasi paras bahu. Entah kenapa, gaya rambut begitu memang menarik minatku. Waktu itu, ada sebuah sitcom komedi tahun 1980, "Mork and Mindy," dan watak Pam Dawber dengan gaya rambut serupa itulah yang membuatkan aku selalu teringatkan S.

          Di tingkatan 4, aku seperti mengalami "culture shock" dengan subjek Kesusasteraan Melayu. Dalam subjek ini, aku diperkenalkan dengan kaedah memahami dan menghayati puisi serta pantun, termasuk puisi kontemporari dan klasik. Teks-teks sastera lama seperti *Hikayat Hang Tuah* menambah cabaran dengan gaya penceritaan dan perbendaharaan kata klasik yang memerlukan kesabaran untuk difahami. 

Namun, ada juga novel moden seperti Badai Semalam karya Khadijah Hashim yang benar-benar menghiburkan aku. Watak Mazni dengan kisah dan perasaannya yang mendalam serta plot yang menarik membuatkan aku terikat dengan ceritanya. Dari situ, minat aku terhadap perbendaharaan kata yang puitis mulai bercambah, seiring dengan rasa seni yang mula terbit dalam jiwa. Apalagi, semua itu sangat serasi dengan lagu-lagu sentimental yang begitu dekat di hati.

         Awal tahun itu, aku menerima sepucuk surat yang setemnya dari Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Hati berdebar-debar kerana yakin itulah balasan dari S. Aku masih ingat betapa terujanya aku hingga membawa surat itu ke bilik air, senyum tak lekang walaupun sampulnya nipis saja. Surat pertama dari seorang gadis yang aku minati sebagai remaja—memang momen yang sukar dilupakan.

Namun, setibanya aku mengeluarkan surat dari sampul, rasa teruja itu bertukar hampa. Surat itu bukan dari S, tetapi dari sepupu perempuannya, J. Dalam suratnya, J memberitahu bahawa S sudah tidak tinggal di kampung itu dan telah berpindah ke Jerantut. Namun, katanya, dia akan memaklumkan pada S jika S pulang ke kampung suatu hari nanti. Di samping itu, J menyatakan hasratnya untuk menjadikan aku sebagai adik angkatnya kerana dia lebih tua setahun dariku.

Aku tidak pernah membalas surat itu. Biarlah memori tentang S menjadi kenangan cinta monyet zaman remajaku—sesuatu yang indah untuk diingat, namun bukan untuk dihidupkan kembali.

16 January 2021

Result SRP 1980: Gembira Tapi Terkilan.

             Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran tahun 1980 telah pun berakhir, dan aku yakin akan lulus dengan baik. Setiap kali berulang ke sekolah untuk menghadapi peperiksaan, rasanya seolah-olah ada seseorang yang aku harap menanti di sana—walaupun hakikatnya tiada sesiapa pun. S pula jarang hadir ke sekolah ketika itu, mungkin kerana pelajar selain tingkatan 3 tidak digalakkan ke sekolah, bimbang mengganggu suasana peperiksaan.

    Pertengahan Disember 1980, setelah lama menanti, tibalah hari keputusan diumumkan. Aku ke sekolah seorang diri dengan sedikit rasa gementar. Selesai berkumpul, aku menanti giliran untuk mengambil keputusan di bilik pentadbiran. Ternyata, keputusan SRP-ku cukup memuaskan—dengan A 24. Hanya Matematik yang mendapat gred 7; jika lebih baik, mungkin aku layak ke kelas aliran Sains.

        Berita gembira itu aku kongsi dengan rakan-rakan yang bersama bersekolah sejak darjah 1 pada tahun 1972. Kami semua lulus dengan baik, satu pencapaian yang cukup membanggakan, terutama dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya di kem penempatan. Setiba di rumah, aku memberitahu ibu tentang kelulusan itu, dan itu sudah memadai baginya. Ibu tahu, aku belum pernah mengecewakannya dalam pelajaran.

        Dalam hati, aku terbayang jika S juga tahu tentang kejayaan ini. Lagu You Light Up My Life, yang popular waktu itu, terasa begitu bermakna bagiku, bahkan versi Melayu oleh Black Dog Bone, Berilah Aku Harapan, seolah-olah menjadi simbolik kejayaan kecil ini. Minatku pada lagu itu mengaitkan memori kejayaan SRP yang kekal diingati.

       Namun, hujung Disember 1980 datang berita yang mendukacitakan: keluarga S akan berpindah. Rupanya, ayahnya akan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan polis dan bersara. Terasa terkilan kerana aku mengharapkan dapat melihat S bersekolah lagi tahun depan. Dengan aku yang akan naik ke tingkatan 4, ada juga angan-angan nak bergaya sedikit sebagai senior kepada pelajar tingkatan 3. Berita yang kudengar itu disahkan benar oleh seorang rakan yang berjiran dengan S. Hampa… tak dapat lagi bertemu S tahun depan.

        Setelah keluarga S pulang ke negeri asalnya di Jerantut, Pahang, aku sering juga pergi ke rumah rakan yang berjiran dengan S, sekadar berjalan dan mengimbas memori. Suasana terasa sepi, dan rumahnya kini kosong. Dahulu, jika S tahu aku berada di situ, dia pasti berulang-alik keluar masuk rumah, dan kami selalu saja bertukar pandang. Biasalah jiwa remaja, umur belasan tahun, ada saja debaran rasa yang sukar dijelaskan. Kikikikik…

        Aku kemudian mendapat tahu keluarga S tinggal di Pulau Tawar, Jerantut—tak sangka pula S berasal dari negeri yang sama dengan ibuku. Aku berusaha mendapatkan alamatnya melalui seorang rakan yang tahu, dan ternyata usahaku berhasil. Pucuk dicita ulam mendatang; aku dapat juga alamat penuhnya. Ini peluang baik. Tunggu saja, aku akan mengutuskan surat untuknya nanti.

08 January 2021

English Oral Test.

 

            Sijil Rendah Pelajaran tahun 1980. Entah mengapa tiba-tiba aku merasakan peperiksaan itu seperti peperiksaan akhir tahun saja. Aku optimis dapat mengharungi peperiksaan ini dengan mendapat keputusan yang baik di hujung keputusan nanti. Segala-galanya kerana hadirnya S yang seperti menyuntik semangat kepadaku. Aku ingin tiap-tiap hari ke sekolah. Aku ingin belajar dan membuktikan aku terbaik di kalangan pelajar. Tiap-tiap hari bila ke sekolah pasti kami saling berpandangan. Jika S di hadapan, pasti dia akan menoleh ke belakang untuk memastikan aku berada bersaing ke sekolah. Sekiranya aku di depan, aku akan lakukan perkara yang sama. Mana tahu, kalau-kalau S lewat ke sekolah. Anehnya kami tidak pernah bertegur sapa dan berbual. Jauh sekali untuk mengusik S.

            Sekolah Menengah Tun Saban terletak di Hulu Perak. Sekolah luar bandar. Tahun-tahun 1970’an dan 1980’an kemampuan pelajar luar bandar dalam penguasaan bahasa Inggeris tidaklah membanggakan guru-guru sekolah. Aku berada di kelas 3A2. Guru Bahasa Inggeris ku seorang wanita keturunan Tionghua yang manis berambut pendek paras leher. Raut wajah yang kecil dan lembut  perwatakannya menarik perhatianku. Mrs.Lim, namanya. Sudah berumahtangga dan sedang menanti kelahiran anak sulung. Mrs. Lim jarang berbahasa Melayu ketika mengajar. Ya lah, nama pun cikgu B.I, dah tentu speaking English sepanjang pengajaran subjek tu. Aku sangat meminati subjek ini bukan kerana cikgunya, tapi aku memang suka cara mengajar Mrs.Lim. Soft spoken dan tak pernah marah-marah. Lagipun waktu aku di sekolah rendah, aku suka menonton cerita kartun yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Walaupun tiada sari kata, tapi penggunaan English yang simple watak-watak kartun itu menyebabkan aku cepat menangkap jalan cerita dan dialognya. Siri kartun yang paling aku minati ketika sekolah rendah “Sinbad Jr and his Magic Belt” memang tak pernah lepas. Siri kartun itu memang melekat di fikiran sehingga kini. Kemungkinan sifat kanak-kanak yang suka watak-watak kartun lucu dan menghiburkan atau kartun dengan kanak-kanak memang tidak boleh dipisahkan. Lain-lain siri kartun, Roadrunner, Stop The Pigeon (Dastardly and Muttley in Their Fling Machine”, Speed Racer dan lain-lain era 1970’an yang tak berapa aku ingat lagi. Hampir kesemua siri-siri kartun zaman itu tak ada sari kata. Kalaupun aku tidak memahami apa maksud sesuatu perkataan yang diucapkan pasti kamus Oxford  menjadi rujukanku.

            Dalam sistem peperiksaan SRP pula ada satu ujian yang dinamakan Oral English Test. Aku tak mengingati formatnya. Apa yang aku tahu, pelajar diberi masa untuk membaca teks dalam B.I. Mungkin 15 minit kot. Lepas tu bila tiba giliran, nama akan dipanggil untuk diuji kefahaman dan kelancaran berbahasa Inggeris. Mrs.Lim selalu mengingatkan mengenai ujian ini kepada pelajar. Mungkin beliau risau tahap penguasaan BI yang lemah di kalangan pelajar. Penguasaan BI di kalangan pelajar luar bandar memang amat rendah. Kemungkinan era 1970’an di mana televisyen  belum mampu dimiliki oleh penduduk luar bandar. Satu-satunya teknologi moden yang belum mampu dibeli oleh masyarakat luar bandar yang daif tahun itu. Jadi besar kemungkinan pendedahan kepada siri tv berbahasa Inggeris kurang mendapat perhatian pelajar-pelajar luar bandar.

            Berbeza dengan keluargaku, ayahku seorang polis. Bergaji tetap sudah tentu ayah dapat membeli televisyen hitam putih walaupun dengan berhutang. Seingat aku, ayahku mula membeli televisyen pada tahun 1972 jenama Toshiba. Sudah tentulah aku sentiasa melekat di depan tv memandangkan pada waktu itu aku abang sulung kepada adik-adik yang masih kecil. Saban petang dan malam, aku hanya tercegat di depan tv jika tak keluar bermain.

            Berbalik kepada Oral English Test  peringkat  SRP, aku tidak rasa tertekan seperti kebanyakan rakan-rakan yang lain. Sejak sekolah rendah aku biasa meminjam buku fiksyen berbahasa Inggeris di perpustakaan sekolah. Kadang-kadang tak faham sangat tapi baca sajalah. Kalau tak tahu makna kamus Oxford ada.

            Waktu yang ditunggu-tunggu pun tiba. Pelajar tingkatan 3 tahun 1980 melalui oral test dengan tenang. Masing-masing aku lihat biasa saja. Mungkin kami lebih gerun peperiksaan SRP yang bakal tiba tak lama selepas oral test nanti agaknya. Seorang demi seorang nama rakan-rakan dipanggil. Penemuduga pula terdiri dari guru-guru dari sekolah yang established beraliran Inggeris di Lenggong dan Gerik. Bila namaku dipanggil aku diarahkan membaca teks berbahasa Inggeris secara senyap untuk memahamkan isi teks tersebut. Setelah masa yang diberi cukup waktunya. Kami diminta membaca teks dengan didengar oleh penemuduga. Setelah selesai, kami disoal untuk diuji kefahaman teks dan apa sebenarnya cerita dari teks itu. Selepas sesi soal jawab kami diminta menerangkan tentang diri dan keluarga. Aku menceritakannya dalam bahasa Inggeris dengan agak lancar. Cikgu yang menyoalku seorang wanita keturunan tionghua, kulihat guru itu amat teruja dan gembira berbual denganku. Dia senyum dan kadangkala terhibur mendengar aku bercerita tentang diri dan keluargaku. Wow, seorang pelajar orang asli begitu lancar dan fasih berbual dalam bahasa Inggeris, begitulah agaknya dalam fikirannya.

            Usai oral test semua kami lega. Aku juga turut berasa lapang kerana telah melepasi ujian bahasa Inggeris. Pertamakali dalam hidup aku berbual-bual dengan cikgu dalam bahasa Inggeris. Dalam sesi ujian oral test pulak tu. Tapi aku tak mengambil kisah sangat. Aku yakin aku akan lulus ujian itu. Semangat pada tahun itu lain macam. Mungkin kerana kehadiran S yang selalu di fikiranku agaknya.

            Hampir seminggu telah berlalu. Suatu hari Mrs.Lim, guru bahasa Inggeris masuk ke kelas. Entah mengapa hari itu wajahnya berseri-seri dan tidak henti-henti tersenyum. Panjang celotehnya tentang betapa gembiranya dia kerana kami telah melalui oral test dengan baik. Dia memuji kami semua walaupun pencapaian kami sederhana baginya namun ada satu berita gembira yang membuatkan dia amat teruja dan ingin berkongsi dengan kami. Katanya, guru-guru di bilik guru juga begitu teruja mendengar kesimpulan ujian bahasa inggeris dari guru-guru yang menjadi penemuduga. Kata Mrs.Lim dia tidak menyangka ada seorang pelajarnya yang menjadi sebutan dan pujian penemuduga. Malah penemuduga itu juga turut memuji pelajar tersebut. Kami di kelas 3A2 tertanya-tanya siapakah dia. Mungkinkah dia anak cikgu atau pelajar yang cerdik di kelas 3A1. Entahlah. Bila pelajar-pelajar mendesak ingin tahu siapa pelajar itu, Mrs.Lim menoleh ke arahku. Lantas menyebut namaku, Leh!

            Aku terkedu dan tersipu-sipu.

 

29 December 2020

1980 : Cinta Monyet a.k.a Puppy Love ( Episod 2)

          

 

          Sebenarnya keluarga S memang telah lama menetap di perumahan keluarga polis di kem BN 19/20. Aku saja yang tak perasan. Sebabnya, setelah barrack kelamin itu siap pada penghujung tahun 1975 atau awal 1976, aku jarang bermain-main di sekitar perumahan itu yang dulunya adalah tapak padang bolasepak dan taman permainan kanak-kanak.  Kalau tidak, itulah port kami anak-anak polis bermain-main sampai tak nampak lagi rumput padang. 



    
    Sehinggalah barrack kelamin itu siap aku memang jarang ke sana. Kebanyakan masa bermain bolasepak telah berpindah keluar kawasan kem. Padang itu bersebelahan dengan kem kami. Jadi saban petang di situlah kami menghabiskan waktu petang dengan bermain bola. Sebab itu aku selalu juga bermimpi bermain bolasepak bersama kawan-kawan di tempat yang sama. Mimpi itu selalunya berakhir dengan kesepian dan kesedihan.

Imej dari Google. Jalan lurus di tengah menghala ke sekolah dari pintu gate kem. Sementara padang bolasepak sebelah kiri. Perhatikan kawasan lapang tu.

          Port di dalam kem yang biasa menjadi tempat anak-anak polis bermain adalah di sebuah dewan terbuka yang dipanggil drillshed. Memang hampir semua anak-anak polis pasti akan berkumpul di situ. Happening setiap petang. Dalam satu poll yang aku sendiri kendalikan di laman facebook anak-anak kem BN 19, tempat bermain mana yang paling popular di kalangan member anak-anak kem, lebih 80% memilih drillshed. Setiap orang mempunyai nostalgia dan kenangan manis di situ. Termasuk aku.

Drillshed imej tahun 2011 (masih kekal sejak 1983)
Imej Drillshed terkini (setelah diambilalih oleh ATM)

          Berbalik kepada S, lama dulu aku pernah ternampak S pulang dari sekolah sewaktu dia di tingkatan 1 dan aku tingkatan 2  ketika itu pada tahun 1979. Waktu itu tingkatan 1 berjalan di sesi petang. Ketika bermain bolasepak pada waktu petang di luar kem, S dan rakan-rakan akan berlalu di pinggir padang untuk ke pulang ke rumah (kem) Aku tidak pernah cuba ambil tahu siapa S kerana apa yang aku ketahui S keturunan Melayu. Aku hanya memandang S dari jauh saja.

          Segalanya berubah pada tahun 1980, ketika aku naik ke tingkatan 3 dan S naik ke tingkatan 2. Masih sekolah yang  sama. Keluar pagi ke sekolah pun sama. Balik pun sama. Pasti aku sangat-sangat ingin balik ke rumah bersaing dengan pelajar perempuan satu penempatan kerana ada yang nakal di kalangan kami akan mengusik rakan-rakan perempuan. Tapi kenakalan kami taklah ketara. Masing-masing tahu batas pergaulan pada waktu itu. Lagipun usik-mengusik diterima positif pihak yang satu lagi. S yang berada dalam perjalanan balik pun tak terkecuali terkena tempias usikan rakan yang nakal. Tapi tidak aku, kerana aku seorang pendiam dan hanya memerhati gelagat rakan-rakan.

          Sejak itu aku mula berminat untuk mengenali S. Aku suka rambutnya yang lurus panjang melepasi bahu dan ala-ala chinese doll yang menutupi dahinya itu. Setiap waktu pulang sekolah terutama hari Jumaat pasti saat yang ditunggu-tunggu kerana semua sesi sekolah akan tamat pada jam 12.15 tengahari. Penuhlah jalanraya dengan kenderaan dan pejalan kaki pelajar-pelajar sekolah. Saat yang ditunggu untuk bersaing dengan S di laluan sama untuk kembali ke rumah.

          Kenangan paling indah ketika S melemparkan senyuman pertamanya kepadaku. Waktu pulang tengahari itu,  kami disirami hujan yang sangat lebat di pertengahan jalan. Habis lencun pakaian seragam sekolah. S dan rakan perempuan berjalan di hadapan sementara aku dan rakan lelaki di belakang. Ketika hujan mencurah dengan sangat lebat. S dan rakan mengambil keputusan untuk berteduh di bawah pohon mengkudu. Aku dan rakan lelaki yang di belakang melewati mereka. Ketika berlalu aku sempat menoleh kepada S yang kebasahan. Mata kami bertentang dan S pun melemparkan senyumannya di balik rambut panjang yang hitam lebat itu. Fuhhh… aku sudah berada di planet Marikh. Sudah terbang melintasi bulan bintang rasanya. Tenungannya itu membuat aku semakin hari semakin rindu untuk melihatnya lagi pada hari-hari persekolahan. Sejak  itu aku semakin rajin ke kawasan perumahan kelamin baru untuk bertandang ke rumah rakan kami yang juga berjiran dengan S semata-mata ingin melihat S.

28 December 2020

1980 : Cinta Monyet a.k.a Puppy Love. (Episod 1)

            Tahun 1980, naik ke tingkatan tiga. Usia dah mencecah 15 tahun. Walaupun tepatnya aku lahir pada 1.9.1965, baru 14 tahun. Bergelar remaja dan zaman itu merupakan zaman agak nakal bagi remaja sebayaku. Walaupun begitu, aku bukanlah remaja yang betul-betul nakal. Aku boleh katakan, seperti juga remaja lain, kenakalan bergantung kepada individu itu sendiri. Bukanlah baik sangat, tapi kebanyakannya tidak membawa masalah kepada keluarga dan di kalangan rakan-rakan. Tidak terkenal dengan perangai buruk tertentu dan perangai baik yang boleh jadi bualan dan ikutan rakan sebaya. Biasa-biasa saja. Itulah aku. Lebih sebagai pemerhati dan menilai perangai orang lain. Tidak seperti satu dua rakan yang memang terkenal dengan kenakalan yang ekstrim. Bila disebut nama saja, dah tau trademark perangai buruk. Pembuli, pencuri, penipu memang wujud di kalangan rakan sebaya. 

          Tahun 1980 juga tahun penilaian menengah rendah dalam alam persekolahan. Tahun itu tahun yang membawa satu perasaan yang bermacam-macam. Gerun, takut, pesimis bila mendengar rakan-rakan yang telah melalui sistem peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran. Ada rakan senior yang pernah mendapat S dan repeat tahun yang sama denganku. Tambah setahun lagi mengulangkaji perkara yang sama. Ah…boringnya.

          Tahun 1980 itu juga, seperti post sebelum ini, aku mengenali gadis remaja bernama S. Setempat dan ke sekolah yang sama. Satu battalion dengan ayahku, cuma bapa S seorang driver polis. Sementara ayahku Platun 1, A kompeni, BN20. Mereka memang mengenali satu sama lain. Awalnya keluarga S duduk di luar kem. Patutlah aku memang tak pernah nampak S sebelum itu. 

          Tahun itu juga aku begitu bersemangat untuk mengharungi SRP. Setiap pagi pasti aku dan rakan-rakan teruja berjalan kaki dari kem ke sekolah yang jaraknya sekilometer. Apa tidaknya, pasti S juga bersama-sama dengan rakan perempuan yang lain. Kami saling berpandangan. Aku bertambah rasa ingin tahu tentang S selepas hari polis BN 20 disambut di kem sementara di Perlop, Sungai Siput Utara, Perak. Sebuah penempatan pasukan UKK (Unit Kawalan Keselamatan) atau mungkin kem ATM (Angkatan Tentera Malaysia) suatu masa dulu katanya.

          Di kem itu, kami sekeluarga di tempatkan di sebuah dorm yang takda katil hanya dibekalkan tilam. Keluarga S di hujung sebelah kanan sementara keluargaku di hujung sebelah kiri bertentangan. Setiap kali waktu mandi pasti S dan adik-adiknya akan melewati kami dan ke bilik air. Waktu itulah kami saling berpandangan. Aku bertambah suka kepada S sebab rambutnya yang hitam lebat panjang mencecah bahu dan rambut-rambut halus berjurai menutupi dahinya. 

 


          Waktu cuti sekolah pulak aku dan rakan mengambil peluang untuk ke rumah seorang lagi rakan yang berjiran dengan keluarga S. Pastilah sambil menyelam tu nak minum air ya tak. S pula, jika dia tahu aku di rumah sebelah, keluar masuk, keluar masuk sambil menjeling ke arah kami. Malam raya tahun 1980, selepas bertandang ke rumah rakan jiran S, aku dan rakan melewati depan rumah S. S perasan aku, ketika kami sudah melepasi bahagian belakang (dapur) rumahnya. Aku menoleh ke belakang. Siapa sangka rupa-rupanya S sedang berdiri melihat kami. Wowww… aku pasti S juga senang melihat aku.        

18 June 2020

Aku dan Islam: Nota Untuk Tuhan.

          Sepanjang sekolah rendah aku mengikuti kelas pengetahuan agama Islam. Aku belajar menulis jawi, belajar rukun iman dan islam, belajar cara-cara orang Islam bersembahyang, sirah nabi dan juga belajar mengaji qur’an. Sejak dari darjah 1 memang aku telah pelajari semua itu sehingga darjah 5 dan 6. Darjah 3 aku mula belajar sembahyang di masjid berdekatan sekolahku. Aku berwudhuk dan praktikal sembahyang. Dalam ramai-ramai kawan yang bukan islam pada ketika itu, hanya aku seorang yang mengikuti kelas agama islam. Atas kerelaan sendiri. Sebenarnya aku pun tak tahu apakah mengikuti kelas itu wajib atau tidak. Mungkin pengaruh kawan-kawan Melayu yang suka berkawan dengan aku.

          Adakalanya, dalam ujian aku mendapati markah yang mengkagumkan ustaz dan kadangkala ada juga tidak. Tetapi sedikit sebanyak aku telah faham apa itu agama islam dan siapa tuhan yang disebutkan Allah di dalam Islam. Konsep ketuhanan di dalam Islam dan apa peranan nabi-nabi dalam sejarah Islam. Sebagai murid bukan Islam aku telah sedikit sebanyak memahami tentang Islam dan mempunyai tanggapan yang jelas tentang Islam peringkat awal. Ditambah lagi dengan menonton siri-siri kisah nabi-nabi sewaktu bulan puasa tahun itu telah menarik minat aku kepada agama Islam.

          Begitulah pendedahan awal aku kepada Islam. Kawan-kawan melayu pula banyak bercerita tentang Islam kepadaku. Kadang-kadang mereka bercerita sesama mereka dan aku hanya menadah telinga mendengar dengan khusyuk. Bertanya tentang itu dan ini yang tidak jelas kepadaku. Tidak hairanlah aku semakin meminati agama ini.  Sehingga ke satu masa aku pernah memberitahu ibuku bahawa aku ingin masuk Islam. Ibu terkejut. Ibu tidak tahu bahawa di sekolah aku mengambil mata pelajaran berkaitan Islam. Kalau ibu tahu pun dia mungkin tidak tahu apa-apa tentang pelajaran Islam.

          Dalam waktu yang lain, ayah pula pernah membelikan aku sepasang baju Melayu, sampin, songkok hitam dan kasut sebagai persiapan hari raya. Baju Melayu berwarna biru siap dengan butang digantung kemas dalam almari. Hari-hari aku menunggu untuk memakainya. Ayah ingin aku menyambut hari raya bersama kawan-kawan di dalam penempatan kem kami.

          Begitulah waktu berlalu, Islam sudah jelas menjadi perhatian dan keinginan untuk aku menjadi sebahagian dari kawan-kawan Islam ku. Di kalangan pelajar bukan Islam, hanya aku seorang saja yang boleh menulis dan membaca jawi dan boleh membaca ayat-ayat Muqaddam walaupun merangkak.

            Aku telah tahu siapa tuhan orang Islam yang disebut Allah pada ketika itu. Bila aku membaca buku teks Pengetahuan Agama Islam dalam tulisan jawi pasti aku akan terjumpa perkataan Alif..Lam..Lam..Ha. Aku sudah tahu orang Islam hanya menyembah satu tuhan. Kadang-kadang aku rasa aku dekat dengan tuhan orang Islam. Kadangkala aku takut menyebut Allah dan hanya bermain-main dalam benak hati perkataan itu. Begitulah fikiranku zaman kanak-kanak dahulu. 

            Satu peristiwa melucukan telah aku lakukan sekitar tahun 1977 atau lebih awal sikit. Keinginan untuk mengenal siapa itu tuhan. Adakah dia bisa berkata-kata denganku atau tuhan mampu menunjukkan keajaiban-Nya di depanku. Aku pun menulis nota kepada Allah. Ya.. seorang anak orang Asli yang tiada pegangan agama Islam mengadu kepada Allah. Aku masih ingat aku menulis dalam tulisan jawi di atas sekeping kertas yang antara lain aku menulis "Wahai Allah berilah aku kekuatan dan boleh terbang...." aku tak ingat ayat seterusnya. Kertas itu aku letakkan di atas bumbung reban ayam yang tidak digunakan lagi. Konon-konon dalam fikiranku ketika usia yang masih mentah,  Allah dapat membacalah tulisanku dalam jawi itu. Lucu pun ada bila sesekali kembali mengingati kisah zaman anak-anak dulu. 

        Keesokan pagi aku bangun dan memanjat ke atas bumbung reban ayam lama. Kalau-kalau Allah membalas permohonanku. Tiada! Jauh dalam hatiku, aku tahu tuhan tahu keterujaan aku untuk mengenal diri-Nya.

03 May 2020

Menjadi Ketua Darjah 4B - 1975


          Masuk ke tahun 1975, aku naik ke darjah 4B, Sekolah Kebangsaan Kroh, Perak. Kelas aku terletak di bangunan lama sekolah. Sebuah banglo papan sepenuhnya milik seorang pedagang Inggeris zaman kolonial bernama JD Kemp yang telah pulang ke England. Bangunan banglo itu diserahkan kepada Jabatan Pelajaran Perak dan dijadikan kelas pada Mac 1956. Meja aku sebelah kanan baris keempat, tepi tingkap. Melalui tingkap yang terbuka, dapatlah aku melihat cikgu-cikgu yang datang dari bilik guru di bangunan baru dua tingkat. Bangunan sekolah kayu itu ada dua kelas, 4A dan 4B.

Suasana di kelas itu terasa berbeza, mungkin kerana bangunan lama ini menyimpan sejarah tersendiri. Walaupun papan-papan lantainya berkeriut ketika dipijak, ia memberikan satu suasana yang tenang. Sesekali, angin luar masuk melalui tingkap, membawa bau segar pokok-pokok yang mengelilingi kawasan sekolah. Dari tempat dudukku, aku selalu mengintai cikgu-cikgu yang melintas di koridor, membayangkan apa agaknya yang mereka bincangkan.

Bangunan itu, walaupun kelihatan uzur, terasa seperti membawa semangat zaman silam. Kadang-kadang aku tertanya, siapa JD Kemp itu sebenarnya, dan bagaimana rasanya dia pernah tinggal di sini suatu ketika dahulu, sebelum banglo ini bertukar menjadi tempat kami belajar.

(bangunan sekolah Sekolah Kebangsaan Kroh - Kredit : SKK)


          Aku sekali lagi dilantik sebagai ketua darjah kelas 4B. Aku tak tahu apa kriteria pemilihan sebagai ketua darjah pada masa itu. Seorang anak orang asli yang pendiam di dalam kelas. Sedangkan masih ramai rakan-rakan yang lebih menonjol dan extrovert dalam kelas aku. Mungkin ada kaitan pencapaian cemerlang aku semasa dalam darjah 3 dulu agaknya. Aku selalu mendapat tempat pertama atau kedua di dalam darjah ketika darjah 3.

         Keputusan ini mengejutkan,  tetapi dalam hati ada rasa bangga dan berdebar. Cikgu Fuziah Ismail, guru darjah 4B, adalah seorang cikgu perempuan yang cantik dan penuh karisma. Dia sudah bersuami, dan suaminya, Cikgu Syed Jamaludin, juga mengajar di sekolah yang sama. Cikgu Fuziah sering memberikan motivasi kepada kami, dan dia mempunyai cara yang unik untuk menarik perhatian dan memikat hati pelajar.

    Dengan jawatan baru ini, aku merasakan tanggungjawab yang lebih besar. Selain belajar, aku perlu menjadi penghubung antara cikgu dan rakan-rakan sekelas. Suatu tanggungjawab yang membuatku berasa lebih terlibat dalam suasana kelas. Namun, dalam kegembiraan itu, aku juga merasa sedikit tekanan. Bagaimana untuk menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan yang lebih aktif dan menonjol? Aku harus bijak membahagikan masa dan keperluan mereka. 

    Kedudukan ini bukan hanya untuk mengangkat namaku, tetapi sebagai peluang untuk membuktikan bahawa walaupun pendiam, aku mampu berfungsi dan memberi sumbangan.


( Perasmian bangunan baru sekolah pada tahun 1975 oleh Menteri Pelajaran pada masa itu. Tun Mahathir Mohamad. Kredit : SKK)

( Tun Mahathir semasa merasmikan bangunan. Pada masa ini aku dalam darjah 4B. Kredit:Kredit : SKK )

          Ketika darjah 4, aku tidak lagi nampak kelibat rakan baik sewaktu di darjah 3, Roslan. Mungkin dia telah bertukar sekolah mengikuti bapanya yang berpindah ke daerah atau negeri lain. Namun, aku masih mempunyai ramai kawan-kawan yang baik. Antaranya yang paling aku ingat adalah Khalid, seorang kawan yang datang dari tempat yang sama. Bapanya seorang buruh di Jabatan Kerja Raya daerah Kroh, dan mereka tinggal di kuarters JKR berdekatan dengan kem BN 19, tempat aku tinggal.

Khalid duduk di hadapan aku, sebelah kanan. Dia suka berbual, dan aku suka berkawan dengannya kerana dia seorang yang mudah bergaul dan mesra. Kehadirannya dalam kelas memberikan suasana yang ceria. Khalid juga pandai bermain bola dan terpilih sebagai pemain untuk pasukan bola sepak sekolah. Dia sering berkongsi cerita tentang latihan dan perlawanan, membuatkan aku teruja untuk menyaksikannya beraksi di padang.

        Walau bagaimanapun,ada satu perkara yang kurang aku suka tentang Khalid; dia kerap berhingus dan cepat berpeluh. Kadang-kadang, aku merasa agak geli dan terpaksa menahan gelak apabila dia terlalu fokus berbual tetapi tanpa menyedari situasinya. Namun, itu tidak pernah mengubah rasa persahabatan kami. Setiap detik bersama Khalid terasa penuh makna, kerana dia mengajarkanku tentang pentingnya menerima orang lain dengan segala kelebihan dan kekurangan mereka.

         Rakan lain yang rapat denganku adalah seorang budak India bernama Ganesan. Dia tinggal di Kampung Baru Kroh. Ganesan tidak seperti rakan India yang lain yang agak nakal. Dia seorang yang sentiasa tenang, dan perwatakannya hanya melihat tingkah laku rakan-rakan yang bising di dalam kelas 4B. Jarang aku melihat Ganesan bergaul dengan rakan-rakan sebangsa pada waktu rehat. Dia duduk di barisan hadapan, selari denganku.

        Persahabatan kami sangat akrab.Ganesan adalah pendengar yang baik, dan kadangkala aku suka bercerita tentang impian dan harapan masa depan. Dia selalu memberi sokongan, walaupun tanpa banyak kata. Kami bersama-sama belajar dan berusaha mencapai kejayaan, saling mendorong satu sama lain.

            Kami rapat sehingga ke tingkatan 5 di Sekolah Menengah Tun Saban. Ganesan juga pernah bertandang ke rumahku semata-mata untuk melihat rumahku dan berkenalan dengan keluargaku. Saat itu, aku dapat melihat betapa dia menghargai nilai persahabatan kami. Kehadirannya memberikan satu warna yang berbeza dalam hidupku, menambah keindahan dalam kenangan-kenangan yang terukir di hati. Ganesan membuatku mengerti bahawa persahabatan melampaui segala perbezaan dan memberi makna yang lebih mendalam dalam hidup ini.

          Apa yang ingin aku kongsikan di sini adalah tentang kepercayaan cikgu yang melantikku sebagai ketua darjah. Sebagai seorang anak orang asli, sifatku yang merendah diri sering kali membuatkan aku cuba mengelak daripada menjadi perhatian guru-guru pada zaman itu. Namun, sejak darjah 3 hingga ke darjah 4, aku dilantik sebagai ketua darjah atas pilihan cikgu.

            Pencapaian akademikku juga tidak boleh dipandang ringan. Aku sering mendapat tempat pertama atau kedua dalam setiap penggal persekolahan. Mungkin itulah penilaian mereka terhadap diriku. Kepercayaan yang diberikan ini memberikan satu tanggungjawab yang besar, dan ia juga mengajarkanku untuk lebih berani dan berdiri di atas kaki sendiri, meskipun aku seorang anak yang sering merendah diri.

          Namun, pada waktu itu, aku tidak begitu mengambil peduli tentang perbezaan antara kedudukan nombor satu atau dua. Ada satu kisah lucu yang ingin aku kongsikan; suatu hari, aku menunjukkan buku rekod peperiksaanku kepada ibu sambil berkata, "Kawan-kawan semua dapat banyak nombor," sedangkan aku hanya mendapat satu nombor. "Sikit!" ujarku dengan nada yang penuh rasa bangga, tanpa sedar bahawa satu nombor itu sebenarnya adalah yang terbaik dalam kalangan rakan-rakan.

        Ibu hanya ketawa mendengar penjelasanku. Dia berkongsi kisah itu dengan ayah sebaik sahaja ayah pulang dari operasi di hutan. Tahun itu juga, sebagai penghargaan atas pencapaianku yang baik dalam peperiksaan, ayah menghadiahkan aku sebuah basikal. Rasa gembira itu tidak terungkap, dan hadiah itu bukan sekadar sebuah basikal, tetapi simbol pengiktirafan atas usaha dan pencapaian yang telah aku capai.

13 April 2020

Ultraman : Nilai sebuah persahabatan


          Seronok mengenang masa-masa lalu.  Ketika bergelar murid-murid di sekolah rendah dan kemudian ke sekolah menengah.  Melalui zaman itu, menyedarkan betapa cepatnya waktu berlalu.  Namun kita berjaya melaluinya dan mengutip pengalaman baik dan buruk kehidupan.  Membina sahsiah diri dan mengenali manusia-manusia lain yang menjadi rakan dan musuh.  Menjadi sekutu penyokong dan menjadi seteru dalam permainan dan hubungan.  Namun apalah sangat seteru zaman kanak-kanak.  Hari ini bermusuh, esok lusa dah berbaik balik.

          Zaman murid-murid sekolah, zaman awal mengenali kehidupan.  Aku bersekolah di sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Perak. Jauh di utara sana.  Awalnya aku nak didaftarkan  di sekolah jenis kebangsaan cina, tapi aku tak mahu.  Rakan-rakan sepermainan dan setempat ramai bersekolah di sekolah kebangsaan. Lantas aku tidak mempunyai teman. Aku tak mahu. Abah terus mendaftarkan aku di sekolah kebangsaan.  Sekolah itu masih jelas dalam ingatanku.  Kedudukan bangunannya, padang, kantin, dan kebun sayur sempena menyahut seruan Buku Hijau pada tahun 1970’an dulu.

          Nama-nama seperti Cikgu Yam (perempuan), guru besar,   Cikgu Zainal Abidin, Ustaz Hassan Basri,  antara nama-nama yang ku ingat. Penempatan keluargaku di kem Batalion 19/20 bersebelahan kem renjer RAMD (Renjer Askar Melayu Di Raja).  Kami berpindah ke situ sejak daripada tahun  Mac 1968 hingga Disember 1983.  Di situlah aku dibesarkan.  Ramai anak-anak askar Senoi Praaq dihantar di Sekolah kebangsaan Kroh, Perak. Antara rakan sebaya yang aku ingat, Itam a/k Semat, abangnya Pandak Baba, Alang Nan, Sony, Kamal, Sani, Sani Singgong dan ramai lagi rakan-rakan yang satu sekolah denganku.

          Di sekolah, aku juga mengenali rakan-rakan Melayu sebaya. Sewaktu darjah 3 tahun 1974 aku berkawan baik dengan anak atendan Klinik Kesihatan Kroh, Roslan bin Ahmad dan Husni bin Hassan anak toke kedai getah. Roslan ketua darjah 3 B tahun itu. Penolong ketua darjah Azean, murid perempuan. Roslan sangat aktif atau aku boleh gambarkan dia hyper aktif. Suka mengusik dan menyakat murid perempuan. Sasarannya penolong dialah si Azean tu.  Tak padan ketua darjah. Cikgu Yam (cikgu perempuan) pula guru kelas kami.

          Satu hari Roslan mengusik Azean. Akibat tak tahan dengan perangai Roslan, Azean melaporkan perangai buruk ketua darjah, si Roslan kepada cikgu Yam. Aku sebagai kawan rapat Roslan kena tempias kerana dia juga rakan baikku di dalam darjah 3B. Entah macam mana, oleh kerana selalu menerima aduan perangai buruk Roslan, cikgu Yam melucutkan jawatan ketua darjah dan dia memilih aku yang pendiam dan suka memerhati saja perangai rakan-rakan sebagai ketua darjah yang baru .

          Maka rasmilah aku sebagai ketua darjah yang baru dengan Azean sebagai penolong aku.  Namun hubungan aku dengan Roslan masih baik.  kami berkawan baik sehingga dia bertukar sekolah.  Aku tak tahu ke mana keluarganya berpindah.  Biasalah kakitangan kerajaan sentiasa akan ada pertukaran jabatan dan jawatan.  Roslan dan Husni adalah rakan melayu sewaktu di sekolah yang sanggup datang ke rumahku semata-mata hendakkan patung Ultraman yang aku menangi sewaktu tikam nombor.  Kebetulan dia ada di sisi aku sewaktu pulang sekolah dan kami singgah ke pekan Kroh untuk main tikam nombor. Aku dapat patung Ultraman yang pada ketika itu sangat popular di televisyen Malaysia. Aku beritahu Roslan jika dia nak kan patung itu datang ke rumah aku.

          Roslan dan Husni datang waktu petang.  Aku masih ingat ibuku menjamu mereka dengan teh dan biskut lemak empat segi.  Mereka tahu aku keturunan Orang Asli. Namun persahabatan kami melangkaui sempadan bangsa. Malah walaupun aku jadi ketua darjah Roslan tak pernah menyingkirkan aku sebagai rakan baiknya.

30 December 2019

1985: Berita gembira untuk ayah


          Awal tahun 1985. Setahun sejak aku berhenti dari pengajian ITM, satu tengahari, ketika bersendirian di rumah.  Aku terdengar bunyi kenderaan motor di luar rumah.  Aku pasti abang posmen berhenti betul-betul di tangga rumah.  Sudah pasti ada surat yang ingin diserahkan.  Dalam kampong ayah ini,  bunyi motor siapa lagi yang akan kedengaran waktu-waktu begini kalau tidak posmen.  Aku bergegas dari arah dapur ke pintu rumah yang terbuka. Aku lihat abang posmen telah sedia menanti untuk menyerahkan sepucuk sampul surat berwarna putih.  Aku mengucapkan terima kasih dan sempat melihat muka depan surat dari Jabatan Pencen!

          Aku pun membawa surat itu ke dalam rumah dan membuka.  Ya, itulah jawapan kepada penantian ayahku sejak setahun yang lalu. Sekeping cek BBMB tercatat amaun $24,000.00. Ganjaran pencen untuk ayahku.  Aku tersenyum.  Pasti ayahku akan gembira mendapatkan cek ini nanti.  Waktu itu ayahku tidak berada di rumah.  Ayah bekerja menjadi jaga di sebuah kongsi balak di jalan menghala ke Simpang Durian, lebih kurang 5 kilometer dari kampong.

          Petang itu juga aku berbasikal mendapatkan ayah untuk memberitahu cek pencennya sudah diterima.  Juga ada satu berita gembira, pencen ayah akan dibayar penuh lebih kurang $ 400 lebih pada masa itu. Iaitu separuh dari gaji pokoknya berjumlah $ 800 lebih sebagai pencen berpangkat sarjan ketika di dalam Pasukan Polis Hutan.  Ayah sedang berehat di kongsi kepunyaan tauke cina. Aku menceritakan kepadanya berkenaan cek itu dan menyerahkan cek tersebut. Senja itu ayah balik ke kampong.  Aku lihat ayah ceria.  Ayah mengajak aku ke ke pekan Kuala Pilah untuk menunaikan cek esoknya.

          Ternoktahlah penantian ayah selama setahun lebih untuk mendapatkan ganjaran pencennya.  Entah di mana silapnya pihak majikan mengemaskini rekod perkhidmatan ayah  sehingga begitu lama dia menantikan.  Telah berpucuk-pucuk surat aku menaip ke pihak Jabatan Pencen untuk meminta penjelasan berkaitan pencen ayahku. Tetapi setiap kali itulah jawapan yang kami terima mengecewakan. Hasrat untuk membuat rumah untuk kami sekeluarga tinggal dan tidak menumpang lagi rumah sepupu tertangguh.  Kini impian itu semakin jelas.  Anak saudaranya telah menawarkan tapak tanah untuk dibina rumah. 

          Aku pasti ayah akan memikirkan dengan duit itu nanti ayah akan membuat rumah yang sederhana untuk kami semua.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...