Seronok mengenang masa-masa lalu. Ketika bergelar murid-murid di sekolah rendah
dan kemudian ke sekolah menengah.
Melalui zaman itu, menyedarkan betapa cepatnya waktu berlalu. Namun kita berjaya melaluinya dan mengutip
pengalaman baik dan buruk kehidupan.
Membina sahsiah diri dan mengenali manusia-manusia lain yang menjadi
rakan dan musuh. Menjadi sekutu
penyokong dan menjadi seteru dalam permainan dan hubungan. Namun apalah sangat seteru zaman
kanak-kanak. Hari ini bermusuh, esok
lusa dah berbaik balik.
Zaman murid-murid sekolah, zaman awal
mengenali kehidupan. Aku bersekolah di
sebuah sekolah kebangsaan di Hulu Perak. Jauh di utara sana. Awalnya aku nak didaftarkan di sekolah jenis kebangsaan cina, tapi aku tak
mahu. Rakan-rakan sepermainan dan
setempat ramai bersekolah di sekolah kebangsaan. Lantas aku tidak mempunyai
teman. Aku tak mahu. Abah terus mendaftarkan aku di sekolah kebangsaan. Sekolah itu masih jelas dalam ingatanku. Kedudukan bangunannya, padang, kantin, dan
kebun sayur sempena menyahut seruan Buku Hijau pada tahun 1970’an dulu.
Nama-nama seperti Cikgu Yam
(perempuan), guru besar, Cikgu Zainal
Abidin, Ustaz Hassan Basri, antara
nama-nama yang ku ingat. Penempatan keluargaku di kem Batalion 19/20 bersebelahan
kem renjer RAMD (Renjer Askar Melayu Di Raja).
Kami berpindah ke situ sejak daripada tahun Mac 1968 hingga Disember 1983. Di situlah aku dibesarkan. Ramai anak-anak askar Senoi Praaq dihantar di
Sekolah kebangsaan Kroh, Perak. Antara rakan sebaya yang aku ingat, Itam a/k
Semat, abangnya Pandak Baba, Alang Nan, Sony, Kamal, Sani, Sani Singgong dan
ramai lagi rakan-rakan yang satu sekolah denganku.
Di sekolah, aku juga mengenali
rakan-rakan Melayu sebaya. Sewaktu darjah 3 tahun 1974 aku berkawan baik dengan
anak atendan Klinik Kesihatan Kroh, Roslan bin Ahmad dan Husni bin Hassan anak
toke kedai getah. Roslan ketua darjah 3 B tahun itu. Penolong ketua darjah
Azean, murid perempuan. Roslan sangat aktif atau aku boleh gambarkan dia hyper
aktif. Suka mengusik dan menyakat murid perempuan. Sasarannya penolong dialah
si Azean tu. Tak padan ketua darjah.
Cikgu Yam (cikgu perempuan) pula guru kelas kami.
Satu hari Roslan mengusik Azean.
Akibat tak tahan dengan perangai Roslan, Azean melaporkan perangai buruk ketua
darjah, si Roslan kepada cikgu Yam. Aku sebagai kawan rapat Roslan kena tempias
kerana dia juga rakan baikku di dalam darjah 3B. Entah macam mana, oleh kerana
selalu menerima aduan perangai buruk Roslan, cikgu Yam melucutkan jawatan ketua
darjah dan dia memilih aku yang pendiam dan suka memerhati saja perangai
rakan-rakan sebagai ketua darjah yang baru .
Maka rasmilah aku sebagai ketua darjah yang
baru dengan Azean sebagai penolong aku.
Namun hubungan aku dengan Roslan masih baik. kami berkawan baik sehingga dia bertukar
sekolah. Aku tak tahu ke mana
keluarganya berpindah. Biasalah kakitangan
kerajaan sentiasa akan ada pertukaran jabatan dan jawatan. Roslan dan Husni adalah rakan melayu sewaktu
di sekolah yang sanggup datang ke rumahku semata-mata hendakkan patung Ultraman
yang aku menangi sewaktu tikam nombor. Kebetulan
dia ada di sisi aku sewaktu pulang sekolah dan kami singgah ke pekan Kroh untuk
main tikam nombor. Aku dapat patung Ultraman yang pada ketika itu sangat
popular di televisyen Malaysia. Aku beritahu Roslan jika dia nak kan patung itu datang ke rumah aku.
Roslan dan Husni datang waktu
petang. Aku masih ingat ibuku menjamu mereka
dengan teh dan biskut lemak empat segi.
Mereka tahu aku keturunan Orang Asli. Namun persahabatan kami melangkaui
sempadan bangsa. Malah walaupun aku jadi ketua darjah Roslan tak pernah
menyingkirkan aku sebagai rakan baiknya.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.