Aku telah menceritakan sebahagian kisah sebelum aku berhijrah ke agama suci ini. Kebanyakan cerita-ceritaku adalah paparan kehidupan awal remaja. Mencari dan menghadirkan diri sebagai seseorang di antara jutaan remaja yang baru mengenal alam kehidupan yang masih hijau muda. Supaya aku diterima sebagai manusia juga. Setelah kegagalan ku untuk meneruskan pendidikan di dalam bidang seni lukis seni reka berlalu. Menerima hakikat dan kegagalan diri untuk kuat dalam menempuh halangan.
Bila aku menoleh ke belakang melihat suasana kehidupan kampung, aku insaf. Ada manusia yang lebih tidak bernasib baik berbanding diriku. Namun mereka pasrah dengan kehidupan yang serba kekurangan. Aku perlu kuat. Lebih kuat. Aku pernah hidup jauh lebih selesa dari mereka.
Setelah ayah membelikan aku sebijik motorsikal jenama Yamaha Y88 pada tahun 1985, aku berusaha belajar lagi dengan mengambil SPM kembali. Belajar secara persendirian. Kembali seperti tiga tahun sebelum. Namun bila difikirkan balik, aku hanya membuang masa. Kerap aku memikirkan apa sebenarnya yang aku inginkan dalam kehidupan ini. Aku berperang dengan kehendak hati yang lama tersimpan. Satu waktu, aku pernah bercita-cita hendak mencapainya. Tertangguh sewaktu belajar di ITM dahulu.
Aku berhijrah. Ya, aku perlu keluar dari kampung bapaku demi untuk menunaikan hajat yang semakin lama semakin menyesakkan dadaku, fikiranku. Aku kena berhijrah.
Dan kini, dalam hijrah itu, aku temui jalanku. Perjalanan hidup yang penuh liku akhirnya membawa aku kepada sesuatu yang jauh lebih besar. Apa yang dulu aku kira sebagai kegagalan, rupanya hanyalah satu persinggahan kecil sebelum aku menemukan cahaya yang sebenar. Setiap langkah yang aku ambil selepas hijrah itu terasa lebih bermakna, lebih jelas tujuan dan hala tujunya. Apa yang aku cari selama ini bukan hanya sekadar kejayaan dunia, tetapi kedamaian hati yang datang daripada mengenal dan mendekati Tuhan.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.