28 October 2008

Yayasan Anda Akademik - 1987


En Shuib mendengar hasratku untuk meneruskan pengajian di bidang agama di IDIP pada satu pagi waktu kutemui dia. Memang dia mengagumi semangatku untuk meneruskan pelajaran. Namun dia mempunyai idea yang lebih baik untuk aku. Katanya, aku sudah memiliki asas sebagai muslim. Fardhu ain dan sebahagian bidang fardhu kifayah banyak yang telah kufahami dan amalkan. Malah aku selayaknya sudah boleh mengajar. Cuma aku tidak mempunyai sijil yang sah yang dapat diterima oleh agensi pekerjaan jika aku berhasrat untuk memohon kerja di bidang agama suatu hari nanti.

Aku akur kenyataan itu. Lalu dia memberitahu supaya aku tidak meneruskan belajar di IDIP kerana katanya pelajar di situ kebanyakannya belajar di peringkat asas. Katanya lagi aku sudahpun melalui peringkat itu. Dia mencadangkan aku memasuki sekolah swasta di Yayasan Anda Akademik yang terletak di Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur. Ujarnya, supaya aku mengambil STPM kerana aku pernah belajar di ITM jadi kemungkinan peluangku menduduki sekali lagi menara gading.

Aku bersemangat mendengar nasihat En. Shuib mengenai belajar di Yayasan Anda Akademik kerana di sana suasana pendidikannya Islamic oriented. Ini satu peluang yang tidak dapat kuelakkan lalu aku langsung setuju.

Pertengahan tahun 1988, aku mendaftarkan diri sebagai pelajar baru dan memasuki tingkatan 6 bawah. Maka bermulalah kisahku sebagai pelajar semula. Menyarung kembali seluar panjang berwarna hijau dan berbaju putih. Bezanya aku tidak seperti di tahun 1982 dulu. Kini aku muslim dan ke sekolah dengan memakai serban putih...!!!

         Ramai juga pelajar yang datang dari luar bandar ke sekolah ini. Rata-rata mereka yang datang bercerita tentang betapa gahnya nama Yayasan Anda Akademik kerana sekolah swasta ini melahirkan ramai ilmuan. Apa tidaknya, ia juga pejabat ABIM ketika itu yang dinaungi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

27 October 2008

Kuala Lumpur awal 1988

Aku kembali ke Kuala Lumpur setelah hampir setahun tinggal di Kg Batu Papan.Segala kenangan sepanjang di sana akan kuingat sampai bila-bila.Aku kembali kerana sudah sampai masanya aku berubah.Waktu itu usiaku sudah hampir 22 tahun sedang aku belum lagi mempunyai pekerjaan tetap.Cita-citaku telah kufokuskan untuk menjadi penyebar ilmu agama.Dalam fikiranku kini hanya ada satu tempat yang sesuai untuk aku teruskan menambah ilmu di samping berdakwah.Ya...aku ingin melanjutkan pelajaran di Institut Dakwah Islamiah Perkim.Satu institusi yang khusus untuk saudara-saudara baru mencari ilmu.

Dulu aku juga pernah ditawarkan oleh seorang kenalan di Negeri Sembilan.Tapi aku menolak kerana ketika itu aku masih di dalam Al-Arqam.Kini aku kembali dan mencari tempat untuk melanjutkan pendidikan di institusi ini yang pada ketika itu terletak di Jalan Universiti,Petaling Jaya.

Tidak lama selepas tinggal di Kuala Lumpur aku berurusan dengan seorang pegawai di Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang terletak di Jalan Tun Razak,bangunan Tabung Haji.En.Sallehudin,seorang yang peka dengan permasalahanku.Beliau banyak membantuku ketika itu.Aku meluahkan hasratku untuk kembali belajar.

Di Kuala Lumpur aku menumpang di rumah seorang kenalan dari Kuala Pilah yang bekerja di sini.Namanya Mohd Dino Al-Ain.Aku kenal pemuda ini kerana kami pernah bersama-sama mendengar ceramah Al-Arqam di Kuala Pilah dan pernah juga tinggal di markaz Al-Arqam Kuala Pilah sekitar tahun 1985 dulu.Kadang-kadang aku juga tinggal menumpang di rumah Dino di Kg Parit Seberang.

Dino banyak membantuku.Kalau aku boleh katakan dia sahabat sejati memang dia menepati ciri-ciri itu.Dino teman masa susah dan senang.Ayah dan ibunya telah berpisah dan masing-masing telah berkahwin lain dan tinggal jauh.Adik Dino,Azim,Ani dan Yati hanya tinggal menumpang dengan wan mereka (nenek).Kadang-kadang aku kasihan mengenang Yati (darjah lima ketika itu) yang tinggal dengan wan sejak ibunya berkahwin lain.Namun mereka adik-beradik faham masalah yang menimpa keluarga.

Dino pula seorang abang yang bertanggungjawab.Harapan ayahnya.Kadang-kadang aku malu kerana Dino banyak membantu aku.Tapi Dino faham masalahku.Hidup di kota raya ini penuh dengan ujian.Kami saling membantu jika salah seorang menghadapi masalah.Aku pula tidak mahu bergantung sangat pada Dino terutama masalah duit.Tanpa diminta Dino kadangkala menghulurkan wang belanjanya untuk aku ikhtiar mencari kerja.

20 October 2008

Hijrah !

Kalau hendak diceritakan sepanjang tinggal di Kampung Batu Papan, mungkin tiada noktahnya.Suka duka, pahit manis segalanya mewarnai hidupku ketika itu. Aku seakan lupa masa silamku. Keluarga di Negeri Sembilan kadang-kadang saja aku kenangkan. Kroh telah tersimpan kemas dalam ingatan, namun suatu hari nanti aku pasti kembali ke sana. Di sini kehidupanku amat baik dari sebelumnya. Aku dapat menjaga Islamku dan aku bersyukur tentang itu. Kampung ini tenang dan damai sekali. Air sungai sungguh sejuk maklumlah air yang mengalir di kaki bukit bukau belakang kampung ini.Sungguh sejuk.Kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar.

Memancing pula sudah jadi kegemaranku sejak kanak-kanak dulu. Sungai di kampung ini pula tidak akan menghampakan sesiapa bagi yang mahu menduganya.

Namun tika malam aku bermuhasabah juga. Mengenang akan nasib pada masa akan datang. Aku perlu lebih berjaya menjadi muslim. Berbakti pada keluarga dan agama. Aku perlu berubah. Kata-kata ustaz yang mengajar dulu bahawa Allah tidak akan mengubah nasib diri kita selagi kita tidak ubahnya sendiri.Benar!

Aku mula memikirkan masa depan. Apa akan terjadi padaku suatu hari nanti. Beginikah selamanya. Hidup di kampung.Tidak salah hidup di sini.Tapi naluriku bukan di sini.Aku bukan ditakdirkan untuk menjadi perantau selamanya.Tiba masanya aku pula memberi manfaat kepada manusia lain.......

...........aku wajib berubah !

07 October 2008

(1986-1987) Kg Batu Papan II

Ketika tinggal di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Kelantan, banyak juga aku pelajari mengenai adat-adat Melayu Kelantan. Walaupun tidak ada jauh bezanya dengan adat di kampung Melayu lain tetapi di sini aku dapat merasakan suasana yang berbeza dengan kampung Melayu yang pernah aku bermastautin dulu. Kehidupan di rantau orang perlu mengamalkan sikap merendah diri. Menghormati orang-orang kampung tidak kira usia. Aku diterima baik oleh masyarakat sini. Tambahan pula aku anak angkat Pokcik Me (nama sebenar Haji Abdul Rahman). Seorang tua yang di hormati di kampung itu selain penghulu.

Kepercayaan Pokcik Me dan Mek kepadaku tidak berbelah bagi. Kerap juga aku tinggal berseorangan di rumah mereka menjaga ternakan dan kedai runcit, sementara mereka tidur semalam dua di kebun yang terletak agak jauh dari rumah. Mek dan Pokcik Me pernah juga menasihatkan aku supaya kekal lama di sini. Mereka akan carikan tanah dan rumah jika aku mahu. Ada juga usikan kalau berkenan dengan anak dara kampung Batu Papan khabarkan kepada mereka. Hmmmm...

Kepercayaan dan keihklasan mereka aku balas dengan sebaik mungkin. Aku sedar aku hanyalah perantau. Di rumah, aku menjaga kedai dan melakukan tugas-tugas yang biasa aku buat ketika aku di kampung ayahku dulu. Mek selalu juga berpesan “tok payohla basuh pinggan nu.”  kerana aku suka membasuh pinggan selepas makan.

Pernah satu ketika Mek menyuruh aku tidur di katil kelamin mereka sementara mereka suami isteri bermalam di kebun. Malam ketika aku meletakkan kepala ke bantal aku teraba gumpalan barang kemas rantai dan gelang di bawah bantal. Aku terkejut banyak juga barang kemas Mek ni. Aku simpan dan bungkus dengan baik supaya nampak tidak terusik. Mungkinkah Mek mahu mengujiku?

Cucu-cucu Mek dan Pokcik amat menghormatiku, mereka memanggilku dengan panggilan abe Long. Yang sulong perempuan ku panggil Na berada di tingkatan 1 ketika itu manakala yang kedua pula Angah berada di darjah 5. Juga perempuan. Angah agak rapat denganku dan selalu bertanya tentang kehidupanku yang lalu, perihal adik beradik dan keluarga. Juga seorang yang nakal. Angah mahu aku tinggal tetap di kampung ini dan kahwin dengan orang sini.

Sesekali ada juga anak gadis yang bertandang ke kedai Mek membeli barang keperluan dan aku orangnya yang cantik manis. Aku ingin tahu siapa gadis itu lalu aku bertanya terus kepada angah. Angah pula mengusik mengatakan aku nak bergewe. Jauh dalam hati aku tidak berniat kekal lama di sini dan tidak mungkin aku mahu mengakhiri zaman bujangku di sini. Usiaku masih terlalu muda.

Tapi satu insiden yang tidak dapat aku lupakan ialah ketika aku ditertawakan oleh dua gadis ketika datang hendak membeli sesuatu di kedai Mek. Ketika itu Mek dan Pokcik bermalam di kebun dan tinggal aku saja di rumah. Seorang anak dara penghulu dan seorang lagi anak jiran yang cantik bernama Siti. 

Kisahnya, ketika hari semakin senja, aku sedang mandi. Waktu itu kedai belum tutup lagi. Aku terdengar suara orang memberi salam aku pun tergesa-gesa ke depan. Dengan kain pelikat dan tuala menutup badan aku berdiri di anak tangga rumah menghala ke kedai yang bersambung. Entah macam mana la pulak, ketika sedang menunjuk-nunjuk kedudukan barang yang dicari anak tangga tempat berpijak  pun patah. Aku jatuh ke celah anak tangga dan nasib baik kain tak koyak. Kalau tidak ....malu besar weh!. Anak penghulu tidak dapat menahan kelucuan, lalu mentertawakan aku. Aku pun ikut sama ketawa juga..maluuuu. Siti marahkan kawannya itu kerana ketawakan aku. Nasib badan. Aku tidaklah kecil hati dengan sikap mereka. Memang salah sendiri.

Sesuatu yang aku pelajari ketika tinggal di kampung ini ialah sikap hormat menghormati. Belajar dari pengalaman orang-orang kampung. Apalagi hidup di rantau orang. Aku dapat merasakan, jikalau kita menghormati orang lain pasti orang juga akan menyenangi dan segan terhadap kita. InsyaAllah.

29 September 2008

setitis iman,ramadhan dah ayah

di sini
terkaku di saf pertama ini
di bawah sinar ramadhan
ada setitis air
jernih mengalir
menghempap sejadah putih bersih

jauh di hati
ada doa berganti
wajah ayah ibu
yang ditinggalkan jauh
dan esak kecilpun merintih

ayah
kini sendiri di rantau
mencari setitis iman
memburu kebenaran
tentanganmu,walaupun perit
adalah tunjang yakinku
akan jalan ini
akan kebenaran ini.

dan kini
sudikah kau terima, ayah
kepulangan di bulan ramadhan
bulan penuh rahmat
akan seorang anak

tapi kini
tiada perkhabaran lagi
cerita tentang dua hati
kerana yang hanya ada
titis-titis iman
dari ramadhan semalam
untuk titis-titis kasih sayang
seorang ayah
di alam barzakh
ayah.....
bersamamu doa tertadah

p/s. sajak ini kutulis dalam tahun pertama setelah aku menganut agama Islam waktu di Al-Arqam.ayatnya tidak tersusun kemas.maaf.


28 September 2008

Anak murid termuda

 Sepanjang aku duduk mengaji kitab di Masjid Pekan Gua Musang awal tahun 1987 dulu, ada satu perkara yang selalu buat aku tersenyum bila dikenang—majoriti yang datang semuanya orang-orang tua. Aku sorang je yang muda, masa tu baru 22 tahun. Nak tambah lucu, muka aku memang nampak lagi muda daripada usia sebenar. Pernah anak aku sendiri cerita, kawan-kawan dia ingat aku abang dia, bukan ayah! Hehehe.

Isteri aku pun pernah kongsi satu cerita kelakar. Katanya, ada ustazah sekolah dia ternampak aku membonceng motor dengan isteri di kawasan rumah. Dengan selamba ustazah tu pesan,
“Hati-hati ya, suami nampak muda dari isteri. Kawasan sini ramai cikgu bujang.”
Bayangkanlah, macam nak tergelak aku dengar.

Di masjid tu, aku perasan ustaz yang mengajar selalu pandang aku sambil senyum. Mula-mula aku tertanya-tanya juga, kenapa ya? Sampailah satu malam, selepas habis kuliah, ustaz tu panggil aku. Rupa-rupanya dia nak berkenalan.

Itulah pertama kali aku tahu, beliau Pengetua Sekolah Menengah Agama Arab di Gua Musang, nama dia Hj. Ibrahim. Dia tanya aku anak siapa, lalu aku jawab dengan senyum:
“Saya anak angkat Pakcik Me, imam tua Kg Batu Papan.”
Aku pun ceritalah sikit tentang asal-usul dan tujuan aku datang mengaji kitab di masjid. Bila dia dengar nama Pakcik Me, ustaz tu angguk-angguk, rupa-rupanya dia kenal.

Mungkin sebab ustaz nampak aku rajin datang kuliah, tiba-tiba dia buka tawaran yang tak pernah aku sangka—ajak aku masuk sekolahnya, terus tingkatan 4 sanawi. Terkejut aku dibuatnya! Ustaz cakap,
“Di sini, anak-anak muda kurang minat belajar agama. Yang rajin datang biasanya orang-orang tua. Anak muda lebih sibuk dengan zaman rock and roll.”
Aku hanya senyum mendengar. Dalam hati, rasa macam besar sangat cabaran tu.

Aku balas dengan berhati-hati, “Biar saya tanya dulu pada Pakcik Me.” Ustaz pun setuju, siap berpesan supaya sampaikan salamnya pada imam tua itu.

Bila aku pulang ke kampung dan ceritakan pada Pakcik Me, dia menyerahkan keputusan bulat-bulat pada aku. Lama aku timbang, akhirnya aku tolak pelawaan tu. Sebab paling besar—aku memang tak ada asas bahasa Arab.

Begitulah keputusannya. Walaupun aku tak jadi masuk sekolah agama, aku tetap teruskan mengaji kitab lama di masjid itu. Dan itulah salah satu kenangan manis berada di perantauan ketika itu.

Antara Kg Batu Papan dan Masjid Pekan Gua Musang: Januari 1987.

Pakcik Me dan Mek selalu berpesan agar aku ke Masjid Pekan Gua Musang, Kelantan untuk menimba ilmu agama. Katanya, kuliah diadakan setiap hari, dan pada hari Jumaat lebih meriah kerana dibacakan kitab Mathaal Badrin. Mendengar itu, hatiku semakin membuak-buak mahu pergi.

Dengan basikal tua pemberian Pakcik Me, aku mengayuh sejauh enam kilometer dari rumah ke pekan. Bekalan tidak banyak—sedikit wang dari Mek, sebatang ubat nyamuk, dan beg berisi kitab. Setiap Khamis petang aku akan bergerak, bermalam di masjid selepas kuliah tamat sekitar tengah malam, lalu pulang keesokan harinya selepas solat Jumaat.

Namun, ada malam-malam tertentu aku tidak sanggup tidur di masjid. Hening malam, hanya aku seorang beriktikaf. Kadang kala ada juga orang lain, tapi mereka sekadar menunggu kereta api jam 4 pagi untuk ke destinasi Pantai Timur atau ke Pahang. Malam pertama aku cuba bertahan, hatiku dilanda resah. Jam sudah 12.30 tengah malam, tetapi naluri seolah-olah mendesak aku pulang.

Aku mengambil keputusan pulang. Aku gagahkan diri mengayuh. Langit hitam, bertabur bintang. Jalan sunyi, tiada sebarang lampu kenderaan. Lampu jalan juga belum banyak dan hanya ada di sekitar pekan. Awal tahun 1987, pekan Gua Musang masih lagi belum membangun seperti sekarang. Bunyi ranting patah dari hutan di kiri kanan menambahkan rasa berdebar. Basikal kupacu laju kerana jika perlahan, lampunya akan malap.

Di satu kawasan, tiba-tiba kayuhan terasa amat berat. Lampu pula semakin redup, hampir padam. Nafasku kencang, jantung seakan mahu pecah. “Apa pula ini?” bisikku. Bila aku berhenti mengayuh dan turun —rupanya tayar menyusup ke atas pasir! Aku berhenti, menelan liur. Gelap pekat, tak nampak apa-apa. Cepat-cepat aku tolak basikal ke jalan tar, meletakkan beg kitab di belakang agar tiada “penumpang” misteri, dan Surah Yasin di hadapan sebagai pelindung hati.

Di simpang kampung, dua kilometer lagi ke rumah, aku tidak berani diam. Aku kayuh sekuat hati, agar dynamo basikal memberikan arus eletrik yang kuat untuk cahaya lampu basikal tua Pakcik Me sambil mulutku melaungkan nasyid Asmaul Husna dengan suara lantang. Mataku terpaku ke hadapan, tidak berani menoleh ke kiri atau kanan. Suasana hening malam dipecahkan oleh suaraku—jika ada makhluk lain di sekitarku, biarlah mereka yang terkejut. Aku cuma mahu sampai dengan selamat. Dari sudut mataku, kiri kanan jalan hutan dan daun pisang hutan disimbah embun membalikkan biasan terang yang menyeramkan bila terkena cahaya lampu basikal.

Itulah kali pertama dan terakhir aku pulang tengah malam. Sampai di rumah, Mek sedang duduk berbual dengan menantu di tepi rumah. Wajahnya jelas cemas bercampur marah. Katanya, jangan sekali-kali ulang lagi. Kampung ini bersempadan hutan, dan sering juga penduduk ternampak kelibat sang belang.

Beberapa bulan kemudian, selepas aku kembali ke Negeri Sembilan, seorang saudara datang membawa cerita. Katanya, ada pekerja generator di Kampung Batu Papan terserempak dengan sesuatu yang mengerikan. Senja itu, hujan turun lebat. Dia tiba lewat, menghidupkan generator sekitar 7.30 malam. Dalam perjalanan pulang, di satu selekoh, lampu motosikalnya menyorot sosok perempuan berpakaian putih, mendukung anak kecil. Dari jauh wajahnya kabur, kelihatan seolah-olah minta pertolongan.

Dia memberanikan diri menghampiri, tetapi ketika jarak semakin dekat, wajah itu berubah—bukan manusia! Tanpa sempat berfikir panjang, dia terus memecut motosikalnya, meninggalkan selekoh gelap itu dengan dada berombak kencang.

Saudara itu bertanya padaku, “Engkau tak pernah jumpa kea pa-apa dulu?”

Aku hanya tersenyum. Mungkin bukan rezekiku. Hakikatnya, bukan keberanian semata-mata yang melindungi kita di jalanan malam, tetapi keyakinan kepada Allah.

Malam gelap, hutan sunyi, bisikan halus yang menakutkan—semua itu ujian. Tetapi ia mengajar aku sesuatu: sebesar mana pun rasa takut, ia tetap kalah bila hati yakin. Makhluk ghaib, binatang buas, atau apa sahaja, semuanya di bawah kuasa-Nya. Kisah itu menyedarkan aku… ketenangan sebenar hanya hadir bila kita menggantungkan seluruh harapan kepada Tuhan yang Maha Melindungi.

 

Pagi 23 Ramadhan






Pagi 23 Ramadhan yang lalu aku sempat ambil foto langit pagi di beranda rumahku...cuaca pagi agak dingin...mungkinkah malam tadi malam al-Qadr



23 September 2008

Pencarian yang tak pernah terhenti

Aku begitu dahagakan ilmu-ilmu agama.Pada Pakcik Me aku luahkan cetusan yang membara sejak sekian lama aku mendalami Islam.Sekali kudakap Islam ini,aku akan pastikan diriku faham segala-galanya.Setidak-tidaknya untuk diri sendiri.Aku bersyukur sejak mula mendapat hidayah aku dicampakkan di kalangan mereka yang membantu aku mengenal Islam dari pelbagai sudut.Betapa kerdilnya diri bila menghadiri majlis-majlis ilmu.

Aku tidak mendapatkannya secara formal.Bagiku masjid sudah memadai tempat menimba ilmu.Selebihnya rahmat dari Allah.Syukurku padaMu Tuhan.Sesungguhnya aku juga insan yang maha lemah.Tidak terdaya memahami setiap ujian yang datang.Mengharap dan berdoa.Tawakal selebihnya.Jika dibandingkan diri ini dulunya....masyaAllah.

Pakcik Me mengalu-alukan niatku.Di rumah, Pakcik Me punyai anak-anak murid sekampung yang bertandang untuk mengaji Muqaddam dan Al-Qur'an.Dalam usianya mencecah 60 tahun orang tua itu masih gigih mengajar dan berkongsi ilmu al-Qur'an.Aku tidak terkecuali. 


Tapi belum habis sehari berlalu Pakcik Me menyerahkan tanggungjawab kepadaku untuk mengajar anak muridnya.Aku terkedu.Katanya aku sudah layak mengajar.Aku akur tapi setakat mengajar Muqaddam dan hukum tajwid.

Pada masa itulah aku rindukan kelas pengajian agama di masjid.Pakcik Me beritahu jika aku mahu Masjid Jamek Gua Musang selalu adakan kuliah agama.Seingat aku kecuali hari Rabu tiada kelas dijalankan.Suasana akan lebih rancak dengan kuliah dari pukul 10.00 pagi hingga ke malam selepas Isya' pada hari Jumaat.Jauh.Lapan kilometer dari kampung.Tapi situlah satu-satunya "taman-taman syurga" yang ada di kedaerahan ini ketika itu.

22 September 2008

Aku Perantau

Awal tahun 1987 aku berada di suatu daerah di hulu Negeri Kelantan. Daerah Gua Musang. Di kampung saudara jauh sebelah ayahku. Namanya Pakcik Mat Johan.Abang kepada pakcik ini adalah Batin Manaf yang kuceritakan pada awal tulisan bersama ayahku ditangkap komunis ketika mereka remaja dulu.Pak cik Johan telah berkahwin dengan wanita sebelah sini yang kupanggil makcik Siti.

Aku nyatakan hasrat ingin mencari keluarga angkat di Kampung Batu Papan ini kepada pakcikku. Alhamdulillah tidak lama kemudian ada satu keluarga tiga beranak yang sudi mengambilku menjadi anak angkat.

Kepada keluarga angkatku aku ceritakan bahawa tujuan aku mengikuti pakcik Johan ke situ adalah semata-mata handak mendalami ilmu agama. Mereka sememang nya baik kepadaku.Ayah angkatku bernama Abd Rahman yang biasa dipanggil orang kampung Pokcik Me. Bekas imam tua di kampung itu.Melalui ceritanya, keturunanan bersalasilah dengan Tok Janggut, seorang pahlawan tersohor dari negeri Pahang. Dia juga dulu adalah perantau yang mencari ilmu sehinggalah dia bertemu jodohnya di Kampung Batu Papan. Emak angkat pula kupanggil Mek. Seorang yang gigih mencari rezeki.Wanita Kelantan sememangnya terkenal dengan aktiviti perniagaan.

Mereka punya tiga orang anak, dua lelaki dan seorang perempuan semuanya sudah berkahwin. Dan telah bercucu juga. Keluarga angkatku menjalankan perniagaan runcit secara kecilan di kampung ini. Sementara Mek berniaga di pasar awam di bandar Gua Musang. Pakcikku pula mengerjakan kebun getah.Tugas aku senang. Duduk di rumah menjaga kedai runcit dan 2 ekor lembu serta 2 ekor kambing. Kerja ini aku buat kerana anak lelaki bongsu keluarga ini tidak berupaya menjalankan seorang diri akibat sakit (khabarnya sakit buatan orang).

Begitulah kehidupanku di negeri Kelantan pada ketika itu.

20 September 2008

Malam al-Qadr dan mimpiku.

Malam ini malam 21 Ramadhan.Pesan Rasulullah s.aw.carilah malam Qadr pada 10 malam terakhir.Maka malam ini adalah malam permulaan pencarian.Mencari sebenarnya adalah perbanyakkan amalan-amalan ibadah melebihi lebih dari malam-malam sebelumnya.Mana tahu antara malam-malam kita beramal itu bertepatan pula.Allah terima amalan 1000 bulan pada satu malam.Sungguh betapa besarnya kurnia dan rahmat Allah.

Aku pernah bertemu dengan malam Qadr ini.Tapi dalam mimpi la.Aku pernah ceritakan pada awal tulisan aku dulu.Itu cerita sebelum aku Islam.Ya.benar aku bermimpi bertemu malam Qadr.Malam segala taqdir dan ketentuan.Menurut hadis dari Sahih Bukhari dalil yang kuat adalah hadis yang diriwayatkan oleh Aishah r.a.Iaitu pada 10 malam terakhir yang ganjil.

Baiklah aku nak ceritakan mengenai bagaimana aku bermimpi malam al-Qadr.Dalam mimpi itu aku berada di Kroh(Pengkalan Hulu).Malam itu aku berjalan berseorangan keluar dari kem Senoi Praaq.Malam tidaklah hitam pekat.Aku boleh nampak jarak sehingga satu atau satu setengah km.Ya terangnya samar walaupun tidak ada cahaya bulan.Aku jadi pelik.Mana datangnya cahaya jika malam tiada bulan.

Aku berjalan keluar pada saat manusia sedang tidur.Tidak ada rasa takut.Apabila aku sampai di tanah tinggi sedikit iaitu di hadapan Balai Bomba sekarang (dulu bangunan Magistret) ,aku menoleh ke belakang.Pandanganku terarah ke padang.Aku jadi terkejut bila aku lihat semua pokok-pokok condong ke barat.Seperti perbuatan rukuk dalam solat.Pada ketika itu suara menyatakan malam itu adalah malam al-Qadr.Aku boleh nampak jelas dalam mimpi itu sebab cahaya samar tadi.Kabus nipis membalikkan terangnya malam itu.

Bila sedar dan sehingga kini mimpi itu masih aku ingat dengan jelas.Walaupun sudah lebih 30 tahun namun sukar nak melupakan kisah dari mimpi ini.Selepas aku Islam barulah aku tahu kelebihan malam al-Qadr. Ya malam ini adalah malam ganjil pertama pada 10 malam terakhir.Mari perbanyakkan amalan.InsyaAllah.

07 September 2008

Kasih-Mu ..........ABOT

Kasih Mu bagai air mengalir
Salju dalam jiwa nan resah
Hati yang layu kembalilah mekar
Bila nama Mu kusebut-sebut

Tak terungkap kasihku pada Mu
Dalam suka mahu pun duka
Tiada tandingan cinta Mu di dunia
Unggul kekal selamanya

Dari terbit mentari hingga dasar laut
Sebesarnya alam sezarah kuman
Namun tak tertanding kuasamu kasih
Jatuhku bangunku Kau tetap di sisi

Sungguhnya aku yang berdosa
Sehina-hinaku rendah diri
Biar ku terpalit juta noda
Masih ada ruang keampunan

Dari kerdipan bintang hingga kilau pasir
Agung ciptaan Mu akal tak sampai
Semulia-mulianya segala kejadian
Kerdilnya aku di mata Mu

Kasih Mu bagai air mengalir
Salju dalam jiwa nan resah

Ramadhan sepintas lalu

Ramadhan

Aku telah melalui bulan mulia dalam Islam ini sejak aku bergelar muslim bertahun-tahun yang lalu.Seingat aku,aku pernah merakamkan dalam bentuk sajak tentang bulan Ramadhan.Ya sajak itu masih lagi aku simpan.Dalam sebuah buku yang menjadi rujukan hari-hari aku melalui hidup sebagai muslim.

Ketika kecil aku pernah juga ikut berpuasa.Aku minta ibu sediakan makan dan minumku kerana aku ingin mengikut rakan melayuku berpuasa.Tapi tidaklah ia menjadi kenyataan kerana duniaku pada masa itu hanyalah keseronokan.Ayah pula telah membelikan ku sepasang baju Melayu berwarna biru,sampin dan songkok.Kalau tidak silap ketika itu aku berada di darjah dua.ayah mahu aku menyambut hari raya bersama-sama dengan rakan yang lain.Walaupun pada ketika itu aku bukan Muslim.
Satu istimewa bulan ini ialah solat tarawih pada malamnya.Setiap masjid di negara akan dipenuhi dengan jamaah yang ingin bertarawih.Aku seperti biasalah turut bertarawih juga.Namun pada peringkat awal dulu tidaklah penuh sebulan aku bertarawih.Penat.Dulu tarawih 21 rakaat (termasuk witir).Kalau dulu aku hanya sebagai makmun ,kini kenalah pikul tanggungjawab kerana sudah bergelar ketua keluarga.Tapi bagiku solat di masjid lagi menyeronokkan kerana rasa penat tidak terasa sangat
Mudah-mudahan Allah memberi petunjuk kepada kita semua.Dikuatkan azam dan tabah melaksanakan segala tuntutan agama.Semoga Allah meredhai.InsyaAllah

06 September 2008

Rabi'ah al-Adawiyyah

Ya mungkin kalian biasa mendengar nama ini.Bagiku ia membawa kenangan lama yang sukar lepas dari ingatan.Pemilik nama ini seorang wali Allah yang besar dari kaum Hawa.Anak kepada pasangan miskin di Kota Basrah,Iraq sekarang.Walaupun begitu ayahnya seorang hamba Allah yang taat dan zuhud malah memiliki sifat qanaah (cukup apa yang ada).Pekerjaan hanyalah sebagai pengangkut penumpang sampan di perairan Sungai Dajlah.Atau penambang.

Di hujung nama Adawiyyah itulah maksud pekerjaan Rabi'ah.Iaitu Rabi'ah si penambang.Atau Rabi'ah al-Adawiyyah.Wali Allah.Umum tahu cerita wali Allah ini.Namun apa yang ingin aku ceritakan di sini bukannya kisah wali ini.Tetapi makna kata-kata kecintaan Rabi'ah kepada Khaliknya...antaranya,

Pencinta Allah tidak akan merasa tenang atau riang, sehingga bertenang dengan Kekasihnya.Tutup kebaikan-kebaikanmu sebagaimana engkau menutup keburukan-keburukanmu.

Wahai Tuhan! Berikanlah neraka itu kepada musuh-musuhMu dan syurga pula, Engkau berikan kepada kekasih-kekasihMu. Sedangkan untukku, memadailah Engkau semata.

Hendaklah engkau menjadi seperti sepotong lilin, yang sentiasa menerangi dunia walaupun diri sendiri habis terbakar. Dan hendaklah engkau menjadi seperti sebatang jarum, yang sentiasa berbakti walaupun tidak memiliki apa-apa.

Ubat bagi setiap penyakit ialah berdampingan dengan Allah.

Suatu hari di musim bunga, ada orang mengajak Rabi'ah melihat keindahan bunga di luar pondoknya. Rabi'ah menjawab: "Duduklah di dalam rumah seperti aku ini. Aku melihat Dia dan bukan pada yang diciptaNya.

Aku masih ingat orang pertama sekali yang inginku kongsikan khabar gembira sebaik saja aku bergelar muslim tidak lain gadis yang pernah singgah di hati ini.Walaupun jarak dan arah aku dan dia ketika itu telah jauh.Sebagai rakan aku masih mengingatinya .Surat kepadanya kuutus sambil isinya penuh kegembiraan menyatakan tentang diriku kini.Aku sanjung kepercayaannya bahawa satu hari nanti akan seakidah dengannya.

Gadis itu membalas dalam kesibukkannya menghadapi perjuangan di ITM dengan sekeping kad ucapan dengan kata-kata Rabi'ah.Itulah wali Allah wanita pertama yang dambaan perjuangannya.Mencintai Tuhan lebih besar dari mengharap cinta makhluk.

Gadis itu percaya keikhlasanku mengejar impian kerana baginya aku berkata-kata dari hati.Dan sejak itu aku tidak lagi menghubunginya. 

In My Life

There are places I'll remember
All my life though some have changed
Some forever not for better
Some have gone and some remain
All these places had their moments
With lovers and friends
I still can recall
Some are dead and some are living
In my life I've loved them all

But of all these friends and lovers
There is no one compares with you
And these memories lose their meaning
When I think of love as something new
Though I know I'll never ever lose affection
For people and things that went before
I know I'll often stop and think about them
In my life I love you more

Though I know I'll never lose affection
For people and things that went before
I know I'll often stop and think about them
In my life I love you more In my life I love you more

Beatles

A Heaven I Miss - Pengkalan Hulu

Sweet smell of burnt bushes and baked earth

still lingers in the memory though bygone in history

am awakened from the slumber’s depth

to the musical memory from the past gone by;the days I used to wander

brushing the bushes in the forest

caring for the wild wilderness

now but a story shrouded in history

only to be told again and again;

the multicolored spiders

the poisonous snakes that slithered smoothly

beneath pile of dried rotten leaves

harmed me not even in their dreams;

the squirrels that gave me once a native fruit to eat

the monkeys that threw me once a bunch of fruits to be shared with friends

the Orang Asli (Natives of Malaysia) who guided

me with their skills

are all but embedded layers of past thoughts;

the years rolled fast, past my youth

only for me to carry on with a bundle of memory;

oh, how I wish to be back then

to stroll again the motherly earth there

to smell again the burnt bushes and baked earth

to recover the sweet life hidden in the wilderness;

a place so dear to me

where survival taught in beautiful and colorful manner

hurt none embrace all;I lived in meditationut

most equanimitylife was full of equilibrium

amidst the greenery and serenity

of a forest

in Pengkalan Hulu

a heaven I lived once.


(this is a re-post.Posted elsewhere before)©cyclopseven. All right reserved 030908.

Pengkalan Hulu ( Kroh)

A little northernmost town
Sandwiched between hills
And virgin forest
A town I once took to roam
Pengkalan Hulu
Still dear to my heart

Forever it shall remain
Enshrined within me
Together in eternity
We shall live in harmony.

Once it was a mysterious haunt
Of terrorists
masked and armed
Killers from killer regime
The armed CPM.
The enemies moved in her pockets
Of green foliages
That sustained them to rid of the law
And to claim this land of Malaysia unto their hands
Bloody hands.

My beloved Pengkalan Hulu
Was famed for *CPM
Yet now she is still famous
But for her warm beauty
That spans the scope of our vision.

Her gentle gesture
Hidden amidst the trees
And the soothing touch
Mingles with the breeze
She smiles beautifully
An enemy’s heart shall mellow immediately.

Though by years
I am staying far
The pang of separation
Pains my heart every minute
My mind caresses the old memories.

The trails that divide the forest
I tracked passionately
Rubbing the jutting leaves
And branches of the old trees
My trails were carpeted well
By beautiful brown leaves
Of various shapes and sizes
That to this day I owe her
My gratitude for feasting my sight
With enchanting beauty
Unparalleled by any.

Pengkalan Hulu, my sweetheart
I miss you a lot
I wish I can bring me to succumb in you
So in you I shall expand for another birth
On this same land of yours.
Physically I am at a distant away
Yet in my mind it’s your faceI see unwaveringly.

©cyclopseven. All rights reserved 260308.

*The disbanded Communist Party of Malaya. cyclopseven Ram

p/s. Sajak ini adalah luahan hati seorang rakan lama semasa berada di Tingkatan 5 di SMTS.Namanya ada aku abadikan dalam tajuk Pengawas SMTS.Dulu aku rasa dia ni lain sikit walaupun bukan Melayu.Dia ada kecenderungan menulis sajak sajak dan meminati genre sastera itu.Cikgu Amin Tolan cikgu sastera kami ketika itu berjaya nampaknya menghasilkan insan berjiwa seni sepertinya.

Dia seorang berjiwa lembut dan berbeza dengan rakan bukan Melayu yang lain.Akhirnya aku ketemu juga rakan lama yang hingga kini hatinya masih berada di satu kedaerahan yang sunyi walau jasad sudah terpisah jauh dari daerah itu.

01 September 2008

Happy Birthday to me

Hari ini.....isteriku datang lalu mencium pipiku,ditangannya ada hadiah...lalu baru aku teringat!!!


orkut graphics, glitters, tricks, games and comments

Perantau 1986

Penghujung 1986 aku masih di sini mengutip sisa-sisa kenangan yang masih belum jelas di fikiran.Aku cuba menjejaki rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahan. Hampa. Kebanyakan mereka mungkin telah berpisah arah, mencuba nasib mencari rezeki di tempat lain. Kroh pada ketika itu tidak banyak menjanjikan apa-apa. Kebanyakan mereka bukan berasal dari sini. Seperti aku juga yang berada di sini atas urusan kerja ayahku. Kecualilah mereka yang tinggal di kampong berdekatan.


Tapi mereka juga tiada, mungkin mencuba nasib sepertiku. Aku telah menjadi perantau bermula aku menjadi muslim. Bezanya aku perantau mencari diriku dalam agama suci ini. Di mana tempatku nanti. Ilmu belum begitu mantap. Masjid Iskandari tempatku beriktikaf juga kurang menganjurkan kuliah agama ketika itu. Sedang diri kehausan ilmu-ilmu itu. Memang tarbiyah di Darul Arqam dulu telah menjadikan aku seorang yang merindui ilmu-ilmu agama.

Dulu ilmu keduniaan (seni) menjadi hafalan dan fahamanku. Kini fikiranku lebih terarah mencari sesuatu yang dinamakan Islam. Aku telah faham cabang-cabang ilmu dalam Islam. Sejak itulah aku berniat untuk mendalaminya di pondok-pondok agama (kalau boleh).

Mungkin Kroh adalah stesen terakhir. Saudara jauh yang kuziarahi telah menceritakan bahawa ayahnya akan pencen hujung 1986 dan mereka akan pulang ke kampung di Gua Musang , Kelantan. Aku sudah biasa mendengar Negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai ratusan pondok-pondok mengaji agama tersohor di Malaysia. Kesempatan itu aku khabarkan kepada mereka bahawa aku akan mengikuti mereka untuk mencari pondok agama yang berdekatan nanti.

31 August 2008

Pieces of me

Terima penghargaan dari YB Tajul Rosli (Pengawas)

Berdiri : Mohd Hanafiah,Azahari,Aku
Duduk: Zainal,Razali,Zabidi
Kelas 4A1(1981)

Gambar-gambar ini agak lama jadi nampak warnanya tidak jelas sikit.Sebenarnya gambarku banyak yang telah diambil rakan-rakan.Apa nak buat ini sajalah kenangan yang ada.InsyaAllah ada lagi yang nak dipaparkan di sini.

ITM,Shah Alam
November 1983

Yayasan Anda Akademik
November 1988

Jefrry Dikan (rakan)
April 1983

Aku dan Rostam
Mac 1983

Aku depan rumah seorang kawan Ajak (cuti semester 1)
December 1983 dan bawah aku di laman rumah saudara jauh




Ini grup aku.. Grup 2 AD 83 ada 4 orang rakan lelaki yang tiada dalam ni.Aku suka grup ni.



Savana United 1981-1982-1983


Jadi model fesyen.Sebenarnya foto ni aku gunting sebab kecewa.Aku tak meneruskan pengajian sem 3


Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...