Sepanjang aku duduk mengaji kitab di Masjid Pekan Gua Musang awal tahun 1987 dulu, ada satu perkara yang selalu buat aku tersenyum bila dikenang—majoriti yang datang semuanya orang-orang tua. Aku sorang je yang muda, masa tu baru 22 tahun. Nak tambah lucu, muka aku memang nampak lagi muda daripada usia sebenar. Pernah anak aku sendiri cerita, kawan-kawan dia ingat aku abang dia, bukan ayah! Hehehe.
Isteri
aku pun pernah kongsi satu cerita kelakar. Katanya, ada ustazah sekolah dia
ternampak aku membonceng motor dengan isteri di kawasan rumah. Dengan selamba
ustazah tu pesan,
“Hati-hati ya, suami nampak muda dari isteri. Kawasan sini ramai cikgu bujang.”
Bayangkanlah, macam nak tergelak aku dengar.
Di
masjid tu, aku perasan ustaz yang mengajar selalu pandang aku sambil senyum.
Mula-mula aku tertanya-tanya juga, kenapa ya? Sampailah satu malam, selepas
habis kuliah, ustaz tu panggil aku. Rupa-rupanya dia nak berkenalan.
Itulah
pertama kali aku tahu, beliau Pengetua Sekolah Menengah Agama Arab di Gua
Musang, nama dia Hj. Ibrahim. Dia tanya aku anak siapa, lalu aku jawab dengan
senyum:
“Saya anak angkat Pakcik Me, imam tua Kg Batu Papan.”
Aku pun ceritalah sikit tentang asal-usul dan tujuan aku datang mengaji kitab
di masjid. Bila dia dengar nama Pakcik Me, ustaz tu angguk-angguk, rupa-rupanya
dia kenal.
Mungkin
sebab ustaz nampak aku rajin datang kuliah, tiba-tiba dia buka tawaran yang tak
pernah aku sangka—ajak aku masuk sekolahnya, terus tingkatan 4 sanawi. Terkejut
aku dibuatnya! Ustaz cakap,
“Di sini, anak-anak muda kurang minat belajar agama. Yang rajin datang biasanya
orang-orang tua. Anak muda lebih sibuk dengan zaman rock and roll.”
Aku hanya senyum mendengar. Dalam hati, rasa macam besar sangat cabaran tu.
Aku
balas dengan berhati-hati, “Biar saya tanya dulu pada Pakcik Me.” Ustaz pun
setuju, siap berpesan supaya sampaikan salamnya pada imam tua itu.
Bila
aku pulang ke kampung dan ceritakan pada Pakcik Me, dia menyerahkan keputusan
bulat-bulat pada aku. Lama aku timbang, akhirnya aku tolak pelawaan tu. Sebab
paling besar—aku memang tak ada asas bahasa Arab.
Begitulah keputusannya. Walaupun aku tak jadi masuk sekolah agama, aku tetap teruskan mengaji kitab lama di masjid itu. Dan itulah salah satu kenangan manis berada di perantauan ketika itu.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.