Pakcik Me dan Mek selalu berpesan agar aku ke Masjid Pekan Gua Musang, Kelantan untuk menimba ilmu agama. Katanya, kuliah diadakan setiap hari, dan pada hari Jumaat lebih meriah kerana dibacakan kitab Mathaal Badrin. Mendengar itu, hatiku semakin membuak-buak mahu pergi.
Dengan
basikal tua pemberian Pakcik Me, aku mengayuh sejauh enam kilometer dari rumah
ke pekan. Bekalan tidak banyak—sedikit wang dari Mek, sebatang ubat nyamuk, dan
beg berisi kitab. Setiap Khamis petang aku akan bergerak, bermalam di masjid
selepas kuliah tamat sekitar tengah malam, lalu pulang keesokan harinya selepas
solat Jumaat.
Namun,
ada malam-malam tertentu aku tidak sanggup tidur di masjid. Hening malam, hanya
aku seorang beriktikaf. Kadang kala ada juga orang lain, tapi mereka sekadar
menunggu kereta api jam 4 pagi untuk ke destinasi Pantai Timur atau ke Pahang.
Malam pertama aku cuba bertahan, hatiku dilanda resah. Jam sudah 12.30 tengah
malam, tetapi naluri seolah-olah mendesak aku pulang.
Aku
mengambil keputusan pulang. Aku gagahkan diri mengayuh. Langit hitam, bertabur
bintang. Jalan sunyi, tiada sebarang lampu kenderaan. Lampu jalan juga belum
banyak dan hanya ada di sekitar pekan. Awal tahun 1987, pekan Gua Musang masih
lagi belum membangun seperti sekarang. Bunyi ranting patah dari hutan di kiri
kanan menambahkan rasa berdebar. Basikal kupacu laju kerana jika perlahan,
lampunya akan malap.
Di
satu kawasan, tiba-tiba kayuhan terasa amat berat. Lampu pula semakin redup,
hampir padam. Nafasku kencang, jantung seakan mahu pecah. “Apa pula ini?”
bisikku. Bila aku berhenti mengayuh dan turun —rupanya tayar menyusup ke atas
pasir! Aku berhenti, menelan liur. Gelap pekat, tak nampak apa-apa. Cepat-cepat
aku tolak basikal ke jalan tar, meletakkan beg kitab di belakang agar tiada
“penumpang” misteri, dan Surah Yasin di hadapan sebagai pelindung hati.
Di
simpang kampung, dua kilometer lagi ke rumah, aku tidak berani diam. Aku kayuh
sekuat hati, agar dynamo basikal memberikan arus eletrik yang kuat untuk cahaya
lampu basikal tua Pakcik Me sambil mulutku melaungkan nasyid Asmaul Husna
dengan suara lantang. Mataku terpaku ke hadapan, tidak berani menoleh ke kiri
atau kanan. Suasana hening malam dipecahkan oleh suaraku—jika ada makhluk lain
di sekitarku, biarlah mereka yang terkejut. Aku cuma mahu sampai dengan
selamat. Dari sudut mataku, kiri kanan jalan hutan dan daun pisang hutan disimbah
embun membalikkan biasan terang yang menyeramkan bila terkena cahaya lampu
basikal.
Itulah
kali pertama dan terakhir aku pulang tengah malam. Sampai di rumah, Mek sedang
duduk berbual dengan menantu di tepi rumah. Wajahnya jelas cemas bercampur
marah. Katanya, jangan sekali-kali ulang lagi. Kampung ini bersempadan hutan,
dan sering juga penduduk ternampak kelibat sang belang.
Beberapa
bulan kemudian, selepas aku kembali ke Negeri Sembilan, seorang saudara datang
membawa cerita. Katanya, ada pekerja generator di Kampung Batu Papan terserempak
dengan sesuatu yang mengerikan. Senja itu, hujan turun lebat. Dia tiba lewat,
menghidupkan generator sekitar 7.30 malam. Dalam perjalanan pulang, di satu
selekoh, lampu motosikalnya menyorot sosok perempuan berpakaian putih,
mendukung anak kecil. Dari jauh wajahnya kabur, kelihatan seolah-olah minta
pertolongan.
Dia
memberanikan diri menghampiri, tetapi ketika jarak semakin dekat, wajah itu
berubah—bukan manusia! Tanpa sempat berfikir panjang, dia terus memecut
motosikalnya, meninggalkan selekoh gelap itu dengan dada berombak kencang.
Saudara
itu bertanya padaku, “Engkau tak pernah jumpa kea pa-apa dulu?”
Aku
hanya tersenyum. Mungkin bukan rezekiku. Hakikatnya, bukan keberanian
semata-mata yang melindungi kita di jalanan malam, tetapi keyakinan kepada
Allah.
Malam
gelap, hutan sunyi, bisikan halus yang menakutkan—semua itu ujian. Tetapi ia
mengajar aku sesuatu: sebesar mana pun rasa takut, ia tetap kalah bila hati yakin.
Makhluk ghaib, binatang buas, atau apa sahaja, semuanya di bawah kuasa-Nya. Kisah
itu menyedarkan aku… ketenangan sebenar hanya hadir bila kita menggantungkan
seluruh harapan kepada Tuhan yang Maha Melindungi.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.