Aku tidak banyak mengingati minggu orientasi.Mungkin kerana tidak
ada perkara serious berlaku semasa tempoh itu.Tidak ketara perkara yang
kami risaukan sebagai freshies seperti budaya ragging yang selalu
didengar berlaku di pusat pengajian tinggi.Memang sekitar tahun 1980’an selalu
juga terbaca budaya itu bercambah bebas di pusat pengajian tinggi.Tapi kenyataannya
ketika itu, aku dan pelajar baru tidak
pun melalui detik-detik cemas seperti yang dirisaukan.Walaupun terdapat insiden
penderaan tetapi ia tidaklah begitu ketara sangat.
Minggu
orientasi memang memenatkan.Aku dan rakan-rakan non muslim ditempatkan
di asrama Perindu untuk sementara selama seminggu. Penginapan sementara minggu
orientasi. Aku, Sariman, Meng Kee dan James masih lagi sebilik.
Selepas sarapan kami berkumpul di
hadapan bangunan Menara, sebuah lapangan luas beralaskan simen.Biasanya itulah
tempat berkumpul pelajar-pelajar baru.Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan
kecil.Aku terpisah dengan rakan-rakan yang lain.Dengan pakaian batik biru tua
bercorak ITM berlengan panjang.Nampak kelakar kerana jenis kain itu agak kasar
dan tidak boleh diseterika.
Pelajar-pelajar baru dibawa
mengelilingi kampus induk, sambil senior lelaki menunjukkan beberapa lokasi
dan menerangkan nama-nama tempat tersebut.Kami berbaris seperti askar pelatih
yang baru melaporkan diri.Sekejap berlari dan sekejap berjalan.Apabila
berselisih dengan barisan pelajar perempuan kami diminta tundukkan kepala dan jangan memandang kepada barisan
pelajar tersebut.Pada masa yang lain, kami juga diminta bersiul dan menyanyikan
lagu cinta bila berselisih dengan mereka.Pelik.
Sebelah malam program berjalan di
dalam Dewan Seri Budiman bersebelahan bangunan Menara.Mendengar penerangan dan
penjelasan dari seniors apa yang boleh dan apa yang tidak boleh
dilakukan di dalam kampus.Selama mengharungi
minggu orientasi tidak ada perkara ragging yang mencemaskan kami.Hanya deraan yang biasa
dan tidak serious.Selepas tamat mendengar penerangan kami kembali ke
asrama Perindu dan ketika itulah kami diarahkan memeluk tiang lampu dan mencium
tiang tersebut.Diarahkan mendukung rakan dan membawa menaiki bukit.
Cuma ada satu peristiwa yang aku
tidak lupa berlaku kepada kami pelajar non muslim.Malam itu program
terakhir mendengar ceramah agama di Dewan Seri Budiman.Semua pelajar muslim
diwajibkan hadir dan tinggallah kami di bilik.Pelajar seniors mengarahkan
kami duduk di dalam bilik dan tidak memadam
lampu.Setelah jam lebih 10.00 malam, tiba-tiba seorang senior mengarahkan kami
menutup lampu.Pelik dengan dua arahan yang berbeza, kami tertanya-tanya sesama sendiri.Sariman
yang agak bengang bertindak memberitahu supaya kami tidak mematuhi arahan senior
itu.Berlakulah jeritan ancaman seniors kepada kami.Antaranya mereka
tidak takut dengan ilmu kebatinan kami ( orang asli). “kami pun ada power”
katanya.
Bila arahan mereka tidak kami layan
seorang senior memberi amaran akan datang ke bilik kami sambil mengira dari
sepuluh sampai satu.Senior itu melangkah ke arah dorm kami dan mengira satu persatu.Namun bila sampai ke
pintu dorm.Kami tetap berdegil tidak mahu menutup lampu.Oleh kerana kami masih
berdegil dan tidak mahu memadam lampu, akhirnya mereka tidak dapat berbuat
apa-apa lagi dan membiarkan saja kami.
Lebih kurang jam 3.00 pagi, malam
itu, tiba-tiba satu bunyi isyarat bergema dan aku tidak pasti punca bunyi kuat
itu.Di luar asrama senior terjerit-jerit meminta semua pelajar baru
keluar dan berkumpul di kawasan lapang terletak tengah-tengah asrama Perindu.Kami
diminta berbaris dan berdiri selama 30 minit sebelum kembali ke dorm masing-masing.Bayangkanlah
tengah enak melayan mimpi tiba-tiba diarahkan berdiri dalam kedinginan awal
pagi.Waktu itu aku sempat merenung langit berkabus dan cahaya bulan samar-samar
di balik kabus.Indahnya.Hatiku merasa tenang melihat bulan itu.
Setelah itu, tahulah aku, kami semua
didera kerana pelajar senior tidak puas hati dengan sikap kami yang
tidak melayan arahan mereka menutup lampu.