Petang
itu kami bersembang panjang menghabiskan masa terluang di dalam bilik. Aku mengenali
rakan-rakan baru yang sama-sama akan mendaftarkan diri ke Institut Teknologi
Mara, Shah Alam. James Fredolin Daniel berasal dari Kampar Perak.Orang Asli suku
Semai. Beragama Kristian. Orangnya rendah berkulit sawo matang dan berpakaian smart kasual. Gaya percakapannya agak
lembut dan berhati-hati.Kurang senyum di wajah namun mesra dan peramah. Kadang-kadang
perbualannya terhenti dan seperti tercari-cari ayat untuk menyambung cerita. Aku
agak rapat dengannya disebabkan aku boleh berbahasa Semai sikit dan berbetulan
aku juga datang dari Perak.
Meng
Kee, pelajar mixed chinese dan orang asli suku Jakun. Orangnya rendah, juga
cara berpakaian seperti James. Kulit cerah persis anak cina sekali pandang dan
sememangnya anak cina. Bermata sepet dan bercermin mata. Aku tak tahu apa
agamanya kemungkinan mengikut agama bapanya. Perbualannya agak cepat sehingga
kadang-kadang aku tak tahu punca percakapannya. Namun Meng Kee seorang yang suka
berbual. Apa saja pertanyaan singkat pasti jawapannya padat dan meleret. Kadang-kadang
dia menjadi usikanku. Meng Kee tak kisah, mungkin itu cara membina kepercayaan
dan berkawan. Bergurau senda.
Dahalan,
dari suku Semelai Pahang. Orangnya tinggi sebaya denganku. Agak serius dan
pendiam. Jarang tersenyum. Dalam perbualan, dia sebagai pendengar dan sesekali
menyampuk. Kadang-kadang dia akan meninggalkan kami yang tengah rancak bersembang. Sebagai
orang yang sudah biasa tinggal di Gombak ketika itu, dia sebagai rakan tempat kami
mendapatkan maklumat dan berita.
Sariman
Ibrahim, seorang lagi rakan dari Layang-Layang, Johor, selatan tanah air dan suku Orang Laut. Dia seorang
muslim. Seorang yang kuat bergurau dan berborak. Orangnya agak rendah. Sariman suka
bercerita dan selalu dia akan menyapa aku untuk turut sama mendengar ceritanya. Selain
Meng Kee, aku juga rapat dengan Sariman. Macam-macam cerita yang dibawa mengenai
tempat asalnya.
Aku
terhibur mendengar perbualan rakan-rakanku yang baru ini. Walaupun baru bersua
dan mengenali namun keakraban kami diikat oleh bangsa kami. Hilang seketika
ingatan kepada mereka yang kutinggalkan. Aku pula suku Temuan atau Melayu Proto dan
kami menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium komunikasi disebabkan perbezaan
bahasa pertuturan. Kami bercerita tentang sekolah , keluarga dan tempat asal
kami.
Petang
itu kami dikunjungi oleh dua orang gadis ditemani remaja perempuan. Mereka hanya
berdiri di court badminton di tingkat
bawah. Salah seorang dari mereka memanggil Dahalan. Dahalan bingkas bangun dan
pergi mendapatkan mereka yang berada di tingkat bawah dewan. Kami mengambil
peluang mengintai gadis-gadis itu di balik pintu. Aku dapat melihat seorang
gadis remaja berambut pendek paras bahu dan seorang lagi berambut lurus melepasi
bahu. Kedua-duanya berkulit cerah. Gadis berambut pendek itu berkata-kata sesuatu
kepada Dahalan dalam bahasa Semelai. Sementara seorang lagi hanya diam
memerhati.
Sesudah
meninggalkan pesan, Dahalan kembali ke bilik dan memaklumkan kepada kami yang
tercegat menunggu. Semua kami tak sabar ingin tahu siapa mereka dan apa tujuan
mereka ke dewan petang itu. Dahalan menerangkan bahawa mereka adalah pelajar yang akan memasuki ITM bersama kami dan sambil itu ia memberitahu atucara tak rasmi pada petangnya satu persatu sambil tersenyum. Senja nanti kami
semua diarahkan makan malam di kedai makan koperasi di pangkal jalan masuk ke
dewan dan begitulah dari hari ke sehari sehingga kami ke ITM nanti.
Sesudah
penerangan ringkas, Sariman cuba mencungkil gerangan gadis berambut pendek yang
petah berkata-kata dari Dahalan. Orangnya agak menarik maka berkali-kali pertanyaan
rasa ingin tahu diulang. Dahalan memperkenalkan si gadis berambut pendek berkulit cerah itu sebagai R, anak kakitangan JOA Gombak. Juga bakal pelajar ITM begitu juga gadis berambut panjang yang menemaninya. Cuma tidak diketahui siapa namanya. Sariman mendengar dengan penuh minat. Aku pasti dia suka gadis bernama R itu. Bila mereka pulang melalui jalan bukit di belakang dewan. Semua
kami mendekati tingkap cermin nako, mengintai
sekali lagi. Memang menarik orangnya berambut pendek berkulit cerah.
Aku.... aku
terpaku memandang kepada si gadis berambut lurus panjang melepasi bahu itu. Tinggi
lampai orangnya dan apa lagi yang menarik hatiku pada gadis itu, kalau bukan chinese looks.
Senja itu aku melihat sorotan sinar mentari petang menembusi tingkap kaca. Indah.