Julai 1983.Kroh,
tinggallah daerah itu jauh dari pandanganku.Segala kenangan akan kubawa
bersama.Menjadi teman sewaktu aku kesunyian nanti.Petang yang agak panas, aku
duduk di belakang berseorangan.Dua kenalan perempuan masing-masing duduk di
hadapan bersama pemandu.Sementara aku di belakang mengintai pekan Kroh buat
kali terakhir.Kita akan berjumpa lagi nanti.
Perjalanan
petang itu dikhabarkan akan berhenti di destinasi sementara di bandar Ipoh.Kata
pemandu yang peramah itu kami akan bermalam di kuaters Jabatan Orang Asli di Ipoh
dan akan memulakan perjalanan pada pagi keesokannya.Lebih kurang tiga jam
perjalanan akhirnya kami tiba di bandar Ipoh.Aku ditunjukkan bilik untuk
beristirahat dan menghilangkan penat.Terdapat dua katil.Tapi malam itu aku akan
berseorangan tidur di situ.Selepas menyegarkan diri kami dibawa makan malam dan
pulang ke penginapan untuk tidur.Malam itu tidak seperti biasa, terasa jam begitu
malas berdetik.Malam yang panjang dan aku tidak dapat melelapkan mata.Tentunya terbayang
wajah adik-adik,ibu, bapa dan kawan-kawan yang ditinggalkan.
Esoknya kami
bertolak lebih kurang jam 9 pagi selepas sarapan.Itu ingatan yang masih aku pasti.Kami
memulakan satu lagi perjalanan yang panjang.Aku tidak lagi mengingati
perjalanan itu.Dari jauh aku mengintai melalui tingkap kaca van melihat jajaran
bangunan tinggi ibukota Kuala Lumpur.Sebenarnya aku sudah biasa dengan beberapa
jalan-jalan ibukota sejak beberapa tahun sebelum.Bila musim percutian, biasanya
keluargaku pulang ke kampong ibu kami di Pahang dan kampong ayah di Jelebu,
Negeri Sembilan.Ibuku berasal dari Kg Sungai Leleh, Lanchang, Pahang.Sementara ayah
Kg Air Baning atau Kg Putra, Jelebu Negeri Sembilan.Ketika pulang bercuti biasanya
kami akan menaiki keretapi dari Butterworth di Pulau Pinang dan berhenti di Stesen
Keretapi Kuala Lumpur, dari situ menaiki teksi ke jalan Pahang untuk mengambil
bas ke arah Temerloh.Jadi aku biasa mengecam setiap perjalanan itu.
Tiba di Kuala
Lumpur pada petang pertengahan Julai 1983, van kami terus ke Batu 12, Gombak , Selangor.Sekali
lagi kenangan menjelma apabila kami sampai di situ pada sebelah petangnya.Di situlah
aku dilahirkan pada 1 September 1965.Di situlah ibu dan ayahku bertemu lalu
tidak lama mereka dikahwinkan oleh datukku.Kami biasa tinggal di sebuah rumah
saudara sebelah ibu.Rumah itu masih wujud sehingga ke hari ini.Terletaknya betul-betul
berhadapan surau yang dulunya kawasan permainan kanak-kanak.
Bila van
menaiki bukit dan melalui deretan rumah-rumah pekerja Jabatan Orang Asli Gombak
di sebelah kanan, aku meneliti setiap rumah itu dan mengamati rumah saudara
ibuku.Ya masih ada penghuninya walaupun sudah hampir sepuluh tahun tidak datang
ke situ.Van kami terus ke dewan serbaguna jabatan di sebelah bawah Muzium Orang
Asli Gombak sekarang.Bangunannya masih wujud cuma jalan ke sana sudah ditutup
ketika entry ini ditulis.
Kami tiba
petang itu di pintu besar dewan serbaguna dan setelah mengeluarkan beg pakaian
kami diarahkan ke tingkat atas.Ada seorang remaja lelaki menyambut kami dan dia
memimpin sambil menunjukkan arah bilik penginapan.Aku, J dan S membuntuti
remaja itu seperti rusa masuk kampong.Masih terpinga dan tiada punca
sebenarnya.Di fikiran, aku ingin segera berjumpa saudara ibu dan sepupuku Abg
Aziz dan adik-beradiknya yang lama tidak bertemu.
Di dalam
bilik di tingkat atas aku mengenali rakan baru, Dahalan, Meng Kee dan James Daniel
Fredolin.Dahalan berasal dari Bukit Serok,Pahang, mengambil jurusan Pra
Akauntan di ITM cawangan Sabah.Meng Kee berasal dari Rompin dan mengambil
jurusan diploma dalam bidang Hotel Dan Catering sementara James mengambil
jurusan lanskap ataupun kuantiti survey.Tak ingat sangat dah.Lewat petang kami
didatangi seorang lagi pelajar lelaki dari Layang-Layang, Johor.Sariman Ibrahim
yang juga mengambil kursus sama denganku.Seni Lukis Dan Senireka.