20 March 2017

Julai 1983: Merantau.

Aku mendapat berita namaku dan dua orang rakan perempuan telah disebut oleh kakitangan polis.Ia berkaitan melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor pada Julai 1983 tahun itu.Aku tersentak dan seakan tidak percaya bahawa aku bakal menjadi pelajar di peringkat yang lebih tinggi sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia 1982.Aku tidak tahu perasaan ibu sewaktu menerima berita itu.Namun aku pasti ibu berbangga denganku.Berita itu disampaikan oleh anggota polis di pejabat ayahku bertugas.

Dalam masa tiga hari aku diminta bersiap sedia kerana kakitangan JOA Gerik akan tiba di kem BN 19 dan 20 , Kroh, Perak untuk membawa aku dan rakan-rakan ke Ipoh.Perasaanku bercampur baur antara kegembiraan dan kesedihan.Gembira dengan tawaran untuk melanjutkan pelajaran di bidang yang kuminati dan sedih kerana terpaksa meninggalkan keluarga dan rakan-rakan sepermainan.Aku jadi tidak menentu.Perasaanku ketika itu lebih terarah untuk mencuba pengalaman baru tetapi dalam masa yang sama aku akan meninggalkan daerah tempat aku membesar itu.15 tahun bukan masa yang sekejap, seluruh ceruk daerah ini telah sebati dengan jiwaku.

Segala kenangan pasti menggamit rindu.Wajah-wajah rakan akan sentiasa terbayang.Menjadi teman kala keseorangan di rantauan.Tapi paling tragis aku akan meninggalkan keluargaku untuk suatu tempoh yang agak lama nanti.Adik-adikku yang menjadi bahan usikan kenakalanku sewaktu remaja.Aku menjadi pembuli yang mesra terhadap mereka.Dan aku juga menjadi penghibur kerana aku suka menyanyi dan membuat pelbagai aksi yang mencuit hati.Mereka pasti akan tertawa.Sementelahan pula, aku baru menerima adik bongsu perempuan pada Ogos 1982.

Akulah yang dipertanggungjawabkan menjaga adik bongsuku sementara ibu masih di hospital kerana menjalani pembedahan membuang peranakan selama seminggu.Selama itu juga, aku menjaga adikku.Menukar lampinnya,mandi,menyusu botol dan membasuh najisnya.Malam pula sentiasa terjaga kerana adik akan menangis kerana basah lampinnya.Waktu cuti sekolah aku memasak untuk adik-adik yang lain dan ayahku yang pulang dari bekerja.

Julai 1983, tarikh bersejarah padaku.Aku akan meninggalkan mereka semua untuk mengejar cita-cita.Jauh di Shah Alam, Selangor.Usiaku masih 17 tahun pada masa itu dan aku akan merantau jauh.Persediaan mental masih tidak cukup kuat bagi remaja seusia sebegitu. Semestinya hidup di perantauan nanti segalanya terpaksa diikhtiar sendiri.

Aku masih ingat aku tidak punya banyak baju dan seluar..Cuma aku bernasib baik kerana baju-baju ayahku masih banyak yang tidak dipakainya sejak berpindah dari Kuala Lumpur tahun 1968 dulu.Seluar pula ada tiga pasang.Itupun  seluar askar yang tidak dituntut sekian lama.Kata ibu yang mengambil upah membasuh pakaian askar.Memang terdapat banyak pakaian yang tidak pernah dituntut di rumahku.


Tiba hari yang dinanti, lebih kurang jam 3.00 petang aku menanti kenderaan yang akan membawaku jauh.Tidak sabar rasanya tapi dalam hati aku cuba menolak dari memikirkan perkara yang bukan-bukan.Ayah memberiku wang saku.Aku tidak ingat berapa jumlah setepatnya.Mungkin RM 50.00 buat bekalan.Dari rumah aku memandang ke arah jalan.Tidak lama selepas itu, sebuah van warna kuning air pun muncul.Rakan perempuan S dan J sudah sedia di sana menanti.Aku mengucup tangan ibu dan ayah dan memandang sepi rumahku.....adik-adikku.Aku pergi.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...