sentimental...excessively prone to feelings of tenderness, sadness, or nostalgia. ...sebuah catatan peribadi.
01 December 2008
Awal 1990...Masjid Al-Rahman,Universiti Malaya
29 November 2008
Noor Azam Abdul Aziz
Aku kenali pelajar ini lebih dulu dari rakan-rakan yang lain. Ia bermula pada satu pagi ketika hari pertama mendaftarkan diri. Aku baru sampai ke Bangunan Sri Pantai dan terus berjalan mundar-mandir di kaki lima bangunan tersebut sambil memerhati kehadiran pelajar-pelajar baru yang lain. Pagi itu begitu sibuk. Mataku meliar, cuba mengingat setiap sudut bangunan sebagai tanda untuk dikenang nanti.
Tak lama kemudian, mataku tertancap pada seorang pelajar lelaki berpakaian serba putih. Pada fikiranku, dia mestilah pelajar baru juga sepertiku. Pelajar tersebut menegurku dan memberi salam. Kami bertukar salam dan senyum. Dia memperkenalkan diri sebagai Azam, begitu juga aku. Perkenalan singkat itu berakhir di situ kerana kami perlu mendaftar segera untuk mengetahui kelas masing-masing.
Sebulan kemudian, barulah aku tahu Azam juga tinggal di asrama di Kg Kerinchi dan dia masuk di tingkatan 5. Azam yang kukenal seorang yang smart, murah dengan senyum dan suka berjenaka. Kadang-kadang, kami berbual tentang hal-hal semasa. Aku tak pasti apakah benar Azam juga sepupu kepada rakan sekelasku, R.
Hinggalah aku menamatkan STPM pada akhir 1989, aku masih berhubung dengan Azam. Pada waktu itu, aku bekerja di sebuah kilang di Jalan Bangsar dan sering beriktikaf di Masjid al-Rahman, Universiti Malaya. Kadang-kadang, kami berjumpa di masjid tersebut. Ada sekali, Azam dan aku beriktikaf dan tidur di situ. Malam itu, kami berbaring sambil bercerita pengalaman peribadi. Ada juga kami menyentuh tentang F, yang juga rakan sekelas Azam waktu di tingkatan 5. Fikiranku pada waktu itu memang tidak dapat melupakan F, namun takdir mengarahkanku untuk melupakannya. Aku mengakui kesal kerana menyebabkan gadis itu kecewa dengan sikapku. Azam pernah memberitahu bahawa dia terserempak dengan F di Kota Bharu, Kelantan.
Kini, hampir 18 tahun berlalu, aku masih dapat berhubung dengan Azam. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak. Perangainya masih seperti dulu; sentiasa ceria dan suka berjenaka. Kepada Azam, terima kasih kerana masih mengingatiku dan berhubung. InsyaAllah, jika umur dipanjangkan, kita pasti akan bertemu lagi.
Disember 1989...penyesalan yang tidak dapat dimaafkan!
Selepas peristiwa itu, aku kembali ke sekolah seperti biasa—atau sekurang-kurangnya berpura-pura biasa. Namun ruang kelas yang dulu terasa penuh suara kini menjadi sunyi. Ada satu kerusi kosong yang mencuri perhatianku setiap kali aku masuk: tempat F.
Tiga hari berlalu, dan khabar angin mengatakan dia sudah tidak berada di asrama perempuan. Cikgu R bertanya kepada kami, namun aku diam membatu. Kerana aku tahu… aku tahu ke mana perginya F, dan yang lebih menyakitkan, aku tahu akulah puncanya.
Waktu itu, kekesalan menyusup perlahan ke dalam dadaku, mula bertakhta tanpa mahu pergi. F telah menyerahkan kepercayaannya kepadaku—seorang rakan, seorang saudara sekelas—tetapi aku membalasnya dengan kata-kata yang melukai jiwa seorang gadis.
Dia hanya mengharapkan sokongan, sekeping bahu memahami. Tetapi egoku… ah, egoku lebih keras daripada hati yang sepatutnya mendengar. Dan aku telah mencederakan satu-satunya perempuan yang pernah meletakkan percayanya di bahuku.
Kasihan F…
Itulah kata-kata pertama yang menjelma dalam benakku, namun anehnya, itulah kata yang tidak pernah aku ucapkan kepadanya.
Itulah kali terakhir aku berbicara dengannya,
dan itulah kali pertama aku menyakiti hati seorang perempuan.
Kedatangan Dari Kuala Lipis
Berita kehilangan F sampai kepada keluarganya. Ayah dan abangnya datang dari Kuala Lipis mencari anak gadis yang tiba-tiba menghilang. Mereka bertanya kepada pihak sekolah dengan wajah bimbang yang aku sendiri segan untuk pandang.
Hati kecilku hancur waktu itu. Tetapi entah mengapa, aku masih tidak mampu berdiri di hadapan mereka dan berkata,
“Ini salah saya.”
Aku tidak memohon maaf.
Aku tidak menundukkan kepala.
Aku tidak mengerti kenapa aku begitu.
Seolah-olah ada tembok keras membatu dalam diri, memaksa aku diam ketika aku sepatutnya bertanggungjawab.
F rupa-rupanya merajuk dan mengasingkan diri di rumah sewa kakak angkatnya, seorang siswi UM di Shah Alam. Beberapa hari kemudian, dia kembali ke sekolah seperti biasa. Dari jauh aku melihatnya—langkahnya perlahan, hambar.
Kami lewatkan pandangan.
Kami menjarakkan suara.
Dan aku… aku tetap tidak meminta maaf.
Ego lelaki muda itu, benar-benar membunuh kita dari dalam.
Panggilan Ke Bilik CJ
Beberapa hari kemudian, Cikgu J—warden hostel dan guru sejarah Islam—memanggil aku, F, dan rakan kami S ke biliknya. Cerita sudah pecah, angin sudah naik ke telinganya.
Aku ceritakan apa yang berlaku.
F diam.
Suhairi diam.
Aku sendiri tidak ingat, adakah aku sempat meminta maaf pada F. Atau adakah aku hanya menyampaikan cerita tanpa jiwa.
Selepas itu, Cikgu J sering menyindir aku dan Suhairi. Katanya kami berlagak seperti “ulamak muda”, pembawa masalah, suka campur hal orang. Barangkali kerana dia tahu puncanya, maka kata-katanya semakin tajam. Aku terima semuanya dengan sabar, kerana hakikatnya aku memang bersalah.
Aku bukan ekstremis.
Aku bukan pendakwah palsu.
Aku hanya seorang pemuda yang terkeliru antara nasihat dan perasaan.
Dan antara dua itu, aku memilih cara yang salah.
Mengasingkan Diri
Cikgu J selalu menyindir aku. Tentang serban yang aku pakai, tentang sikap aku yang dikatakan berlagak seperti ulama. Sehingga dia pernah mengugutku di dalam kelas secara terbuka di hadapan rakan yang lain. Aku malu. Aku tidak mahu menjadi bahan sindiran lebih lama. Sejak dulu aku tahu F adalah pelajar "kesayangan" dan "harapan" Cikgu J kerana keaktifannya. Jadi aku mengambil keputusan yang paling mudah—lari. Aku berhenti hadir ke sekolah sebulan lebih awal. Tidak lagi bersama kumpulan study. Tidak lagi duduk dalam kelas yang mengingatkan aku kepada F.
Aku menyewa di rumah rakan, Z, staf Pembantu Makmal di Universiti Malaya. Di sana aku belajar sendirian, jauh dari semua yang menyakitkan. Hujung minggu aku dan Z akan beriktikaf di Masjid India. Waktu petang ketika menunggu bas di Jalan Lembah Pantai untuk ke sana, aku pasti terserempak dengan rakan perempuan sekelas yang lewat pulang kerana ada kelas tambahan. Aku mengelak untuk bertembung dengan mereka.
Tapi jauh mana pun aku pergi, ingatan terhadap F tetap muncul seperti bayang yang mengekori langkah. Dalam senyap aku tahu: aku ingin mencarinya selepas STPM. Jika takdir membuka ruang maaf, aku mahu ucapkan apa yang tidak pernah terucap.
Akhir Yang Tidak Pernah Selesai
Disember 1989, aku hadir ke dewan peperiksaan di SMK Pantai. Rakan sekelas menyambutku. Terutama pelajar perempuan yang pernah duduk di belakangku. Si N. Katanya dia rindu kelibat aku. Setelah lebih seminggu peperiksaan selesai. F juga selesai hilang dari hidupku. Aku cuba mencarinya di dewan peperiksaan—namun hampa. Hanya Noor Azam, pelajar tingkatan lima waktu itu, yang masih terus berhubung denganku. Sesekali kami berbual tentang kisah-kisah lama di Yayasan Anda Akademik ketika lepak di Masjid Rahman, UM.
Ada waktu Azam bertanya tentang F.
Katanya dia tahu F menyukaiku, dan dia yakin aku juga menyukainya.
Aku terdiam.
Mungkin benar.
Mungkin masa itu tidak memihak kepada kami.
Mungkin F sudah melupakan aku ketika itu.
Mungkin… memang begitulah aturan Allah.
Wallahu a’lam.
Aku biarkan dia pergi, tetapi luka kecil itu kekal membekas.
Sesetengah kenangan tidak minta untuk dipulihkan—
ia hanya meminta untuk dikenang
agar kita menjadi manusia yang lebih rendah hati.
Ogos 1989:Pertemuan di surau dan purdah...(2)
28 November 2008
Ogos 1989 :Pertemuan di surau dan purdah...(1)
27 November 2008
1989 :Pelajar baru bertudung labuh
Ketika
aku di Upper Six, cabaran belajar semakin terasa berat. Aku perlu mengulang
semula nota Lower Six, dan dalam masa yang sama mengejar silibus Upper Six yang
makin mencabar. Rasanya seolah-olah aku kembali ke zaman universiti—mengimbau
kenangan ketika menuntut di ITM dahulu. Namun, aku bersyukur kerana memiliki
kumpulan belajar yang semuanya lelaki. Kadang-kadang ahli kumpulan bertukar,
tetapi itulah yang membuatkan perbincangan kami dipenuhi pelbagai idea, masing-masing
ada cara tersendiri menjawab soalan. Antara yang paling rapat ialah Meor Shahrom (kini
wartawan TV3) dan Azman, rakan dari Kuala Kangsar yang sering menceriakan suasana
bila kami mula bosan. Seorang lagi aku sudah tidak ingat namanya. Kesemua
mereka berasal dari Perak.
Kesibukan
bersama kumpulan belajar membuatkan aku hampir terlupa bahawa ada seorang
pelajar perempuan baharu yang masuk ke kelas kami, 6 Atas 3 Syariah. Dia
menyertai jejak rakan-rakannya yang “melompat” ke Upper Six untuk menamatkan
STPM lebih awal. Di sekolah swasta, perkara begitu tidak menjadi masalah—tidak
wajib melalui Lower Six dahulu. Asalkan boleh mengejar subjek yang dilepasi sewaktu di Lower Six. Dari rakan-rakan, aku mula mengenalinya:
namanya FKA, berasal dari Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang. Katanya, dia anak
kepada seorang anggota polis di sana.
Sebenarnya
aku pernah terlihat dan perasan akan dirinya sewaktu di Tingkatan 5 pada tahun 1988 dulu.
Dia bertudung labuh—dan aku memang mudah tertarik pada pelajar bertudung labuh,
apatah lagi yang mengenakan warna hitam. Mungkin kerana kenangan zaman remaja,
atau nostalgia ketika aku pernah bersama jemaah Al-Arqam sekitar 1985–1986. Aku tidak begitu mengikuti dirinya kerana fokus kepada tahun akhir STPM.
Hampir
setahun aku di 6 Atas, aku sendiri tidak pasti sejak bila aku mula dikaitkan
dengan F, rakan sekelasku itu. Rakan-rakan rapat mula bertanya, “Enta dengan F
ada apa-apa ke?” Sedangkan aku langsung tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan
dengannya. Semuanya berlaku tanpa dirancang, tetapi mungkin kerana cara mereka
melihat dari luar, mereka mula membuat andaian sendiri. Aku akui beberapa
perkara memang berlaku di hadapan mata mereka, jadi tidak hairanlah jika mereka
mula meneka.
F
sebenarnya meminati perkembangan jemaah Al-Arqam. Dia selalu bertanya dan merujuk kepadaku
tentang kumpulan itu. Kebetulan aku pernah terlibat, jadi sedikit sebanyak aku
tahu. Namun, walaupun aku masih mempunyai ramai kenalan dalam jemaah tersebut, aku
tidak mahu terlalu dikaitkan dengannya. Pengalaman bergaul dengan pelbagai
kelompok Islam membuatkan aku lebih terbuka—bagiku semuanya kembali kepada niat
menegakkan Islam, asalkan tidak saling dengki-mendengki.
Pada
masa lapang, rakan kenalanku R dari Batu Kikir, Negeri Sembilan—pelajar
Universiti Malaya (1988-1990) ketika itu—sering mengajakku menghadiri usrah dan
kuliah fardu ain anjuran Al-Arqam di Jalan Universiti. Di situlah aku sering
terserempak dengan F. Aku pernah memberitahu R bahawa F berminat dengan jemaah al-Arqam
dan selalu bertanya kepadaku. Pada mulanya aku menganggapnya hanya pertanyaan
biasa, seperti rakan-rakan lain juga. Tetapi kerana kami semakin kerap bertukar
pandangan, dan beberapa rakan mula perasan, akhirnya aku mula dikaitkan
dengannya.
Itulah
permulaannya. Dari situ, rakan-rakan lain mula melihat kami dengan penuh tanda
tanya. MS dan A pula sering mengusik, “Kenapa enta tak cuba jadikan F istimewa?”
MasyaAllah, aku tidak pernah berniat belajar di situ sambil memikat anak dara
orang. Tetapi bila sering sangat diusik, lama-lama hati mula terusik juga.
26 November 2008
Yusridin....pening pikir perangai yang seorang ni.
25 November 2008
"Kenapa tak ambik dia,dia cantik"
“Kenapa tak ambik dia,dia cantik !”
24 November 2008
Monolog
23 November 2008
EJ a.k.a Bulat
EJ ialah seorang rakan sebilikku yang datang dari
Segamat, Johor. Tubuhnya gempal, orangnya pendiam, dan sangat menghormati aku
walaupun dia lebih suka melakukan hal sendiri. Hobinya unik — mengumpul dan
mencantum model Tamiya menjadi miniature kapal, kereta dan pelbagai bentuk
lain. Anehnya, itu juga hobi aku ketika berusia sebelas tahun dulu. Walaupun
pendiam, aku sudah lama menyenangi sifat sederhana dan kesungguhannya terhadap
minat tersebut.
Namun aku dan EJ
pernah melalui satu peristiwa yang menyebabkan kami tidak bertegur sapa.
Walaupun puncanya kecil, namun perasaan manusia kadangkala tidak menunggu
alasan yang besar untuk terasa. Apa yang mengikat kami kembali bukanlah
kata-kata panjang, tetapi hidup di rantau yang memerlukan kami saling
bergantung. Bila susah dan senang dirasai bersama, akhirnya kemarahan
perlahan-lahan cair.
Pagi Yang
Salah Langkah
Kejadian itu
berlaku pada satu pagi hari Sabtu. Hari cuti. Usai solat Subuh, kami berkumpul
di ruang tamu bilik hostel. Suasana santai — hari minggu, tidak perlu
berkejar-kejar bersiap dan hanya lepak dan berbaring. Kami berbual seperti
biasa, topik yang paling kerap muncul dalam kelompok pelajar lelaki: cerita
tentang pelajar perempuan. Usrah pagi itu bukanlah berbentuk agama, tetapi
lebih kepada melepas penat sambil ketawa.
Seorang rakan dari
Sabah berdiri di pintu menunggu kedatangan adik penjual nasi lemak berlalu. Ketika dia
berdiri di situ, matanya tertangkap pada sekeping kad bersampul di rak kasut.
Tiada nama penerima. Dia mengambilnya sambil berkata, “Aku jumpa kad ni. Tapi
tak tahu untuk siapa.”
Kad itu berpindah
dari tangan ke tangan. Tidak ada nama, tidak ada petunjuk. Dalam kepala kami,
tentu sahaja muncul imaginasi—mungkin dari pelajar perempuan? Mungkin
‘surprise’?
Aku mengambil kad itu dan membuka dengan rasa ingin tahu. Di dalamnya, terdapat
ucapan ditujukan kepada seorang pelajar perempuan yang kukenal: NA atau Z. Yang lebih membuatkan
jantungku jatuh seketika ialah tulisan tangan itu — aku kenal sangat.
Ia tulisan EJ.
Di hujung ucapan itu, tertulis pula:
Daripada: Secret Admirer.
Serentak itu, rasa
bersalah naik menyergap dada. Aku bangun dan mendapatkan EJ yang sedang berada
di tempat tidur. Wajahnya berubah serta-merta sebaik aku jelaskan. Dia
terkejut, kemudian merah padam, bukan malu tetapi marah. Kadnya telah dibuka
tanpa izin. Aku cuba menjelaskan bahawa kami tidak sengaja, tetapi EJ tetap
tidak dapat memaafkan ketika itu.
Hari itu menjadi
hari buruk kami. EJ tidak bercakap dengan sesiapa pun, termasuk aku. Beberapa
hari berlalu—atau mungkin minggu, aku pun tidak pasti lagi. Suasana tetap
tegang. Kami solat berjemaah tanpa kehadiran EJ. Dia hanya terperuk di bilik dan solat sendirian walapun qamat telah dilaungkan. Sebagai imam solat aku amat terasa kepedihan EJ dan hatiku juga dipenuhi rasa bersalah walaupun beberapa kali berdoa dalam hati supaya "perang bisu" itu tidak berlanjutan lama.
Malam
Pendamaian
Namun pada satu
malam setelah berminggu-minggu menyepi, selepas solat Isyak, EJ datang kepadaku. Dia duduk sebentar sebelum
berkata perlahan, meminta maaf kerana terlalu lama memendam rasa dan tidak
memaafkan aku. Aku segera menjawab bahawa aku sudah lama memaafkannya, malah
akulah yang sepatutnya terlebih dahulu memohon maaf. Kami berdamai. Aku dapat melihat cerianya EJ dan hatiku juga terasa ringan kerana kesalahanku telah dimaafkan.
Pada malam itu
juga, barulah aku mengetahui kebenaran hubungan antara EJ dan Z — satu kisah
hati remaja yang polos tetapi penuh keikhlasan.
Kad Manila
& Kartun “Bulat”
Aku ingin
mengembalikan kemesraan yang hilang. Aku mengajak beberapa rakan untuk membuat
sebuah kad besar menggunakan manila kad, ditujukan kepada penghuni perempuan di
tingkat atas. Aku melukis beberapa kartun untuk mencantikkan kad itu.
Salah satu lukisan
masih segar dalam ingatanku hingga hari ini. Aku bayangkan suasana dalam bilik
tingkat atas: pada satu malam, seseorang bertanya kepada Z, “Siapa pelajar
lelaki paling tampan di hostel?”
Z menjawab dengan selamba,
“Bulat.”
Yang bertanya
terpinga-pinga, tidak dapat meneka siapakah ‘Bulat’ itu — sedangkan itulah
panggilan manja EJ. Apabila EJ melihat kartun itu, wajahnya bersinar gembira.
Saat itu, hubungan kami benar-benar kembali pulih.
Haluan
Hidup
Tidak lama kemudian,
EJ menerima tawaran ke maktab perguruan dan tidak menamatkan Tingkatan Enam
Atas. Hingga hari ini aku percaya dia mungkin bertugas sebagai seorang guru di
selatan tanah air.
Z pula aku terserempak
dengannya pada tahun 1996 di Pejabat Agama Islam Jelebu. Dia datang untuk
mengambil borang permohonan nikah. Setelah aku bertanya khabar dan merisik
calon suaminya, ternyata rupanya dia akan berkahwin dengan rakan setugasnya,
seorang guru dari Johor — bukan EJ. Walaupun begitu mereka masih tetap berkawan
baik sebagai guru.
Apa Yang
Sebenarnya Mengikat Kami
Kisah ini nampak
ringkas. Tetapi bila aku imbas kembali, aku menyedari satu perkara besar:
solat
berjemaah-lah yang sebenarnya menyatukan hati kami.
Apabila salah
seorang tidak hadir ke jemaah, hati seperti diketuk rasa bersalah. Kami mungkin
merajuk, tersilap langkah, atau tersinggung, tetapi keinginan untuk kembali
berdiri dalam satu saf sentiasa memadamkan marah.
Solat berjemaah
bukan sekadar ibadah—ia menjadi jambatan antara hati-hati yang rapuh,
memulihkan hubungan, dan mengajar kami apa ertinya persaudaraan.
Begitulah aku
mengenang EJ — rakan sebilik, rakan sesama merantau, dan rakan yang mengajar
aku bahawa kemaafan kadangkala datang dari tempat yang tidak disangka.
22 November 2008
Kisah di 6 Bawah
Teringat-ingat juga sekitar 1988 sewaktu berada di kelas 6 Bawah banyak pengalaman telah aku harungi bersama rakan sekelas.Aku sendiri mempelajari banyak perkara tentang hidup terutamanya pergaulan bersama rakan.Sebelum ini aku tidak punyai ramai rakan jadi pergaulanku amat terbatas.Dengan kesempatan belajar semula ini telah membuka peluang kepadaku seluas-luasnya mengenali berbagai ragam manusia terutamanya pelajar.
Walaupun belajar di form 6 kami juga ditempatkan bersama pelajar tingkatan 5 di hostel penginapan yang terletak di flat tingkat 14, Kg Kerinchi.Jadi rakanku juga terdiri dari pelajar tingkatan 5.Antaranya yang kukenal baik seperti Mohd Amin,Zul(Satay Kajang) dan sudah tentu Noor Azam yang happy tidak lekang dengan gurauan dan ketawanya.Ada juga pelajar senior seperti Suhaimi dan lain-lain.
Ada satu kisah yang yang kalau dikenang-kenang kadangkala buat aku tersenyum sendirian .Kisah ini sebenarnya aku sendiripun terkeliru.Bagaimana boleh sampai ke tahap itu ia terjadi.Begini ,mulanya pada pagi Jumaat tersebut sedang kelas ekonomi berjalan dipimpin oleh seorang cikgu wanita (tak ingat nama) yang juga merupakan pensyarah ekonomi di Universiti Malaya.Datanglah dua orang pelajar perempuan senior 6 atas minta izin kepada cikgu untuk memberi sedikit pengumuman.Biasanya berkaitan dengan pertemuan atau usrah pelajar perempuan selepas kelas berakhir pada hari Jumaat tersebut.
Sedang salah seorang dari mereka berdiri sambil memberi penerangan di tepi sebuah kipas besar yang sedang berpusing. Tiba-tiba hujung tudung labuhnya berpintal masuk ke dalam pusingan kipas tanpa disedari oleh sesiapa.Aku dan rakan-rakan taklah pula mengambil perhatian kepada pelajar tersebut kerana ia bukan berkaitan dengan kami.Jadi kamipun tidak menyedari apa-apa.Begitu juga pelajar perempuan sekelas yang tidak perasan perkara itu berlaku.
Entah macam mana pelajar senior tersebut juga tidak menyedari hujung tudungnya ditarik angin kipas.Lalu berpintal dan mulalah pelajar tersebut terkejut sambil menahan kain tudungnya dari terus ditarik dan berpintal mengikut kipas.Pelajar perempuan kelas akupun turut menjerit terkejut.Waktu aku sedari dan turut juga tergamam lantas aku terbangun dan pergi mendapatkan pelajar itu lalu menutup suis dan menahan kipas dari terus berpusing.Aku lihat merah padam muka pelajar tersebut menahan tudungnya dari terus ditarik.Kalau tidak mesti tertanggal dari kepalanya.Aku pulak tidak semena-mena tanpa diarah atau terniat telah berada berada di situ menolong.Entah macam mana tiba-tiba aku sedari bahawa aku telah berada di hadapan pelajar perempuan.Waktu itu baru aku tahu kedudukanku.Aku tidak ingat bila aku terbangun dari kedudukanku sambil berlari ke arah mereka.Sungguh.
Aku sebenarnya tidak sedar semua itu berlaku sehinggalah aku mula sedikit segan bila berada di hadapan pelajar perempuan sekelas.Balik ke hostel itu aku ada juga terfikir.Macam mana ya.Mungkin ia datang dari gerak hati yang mendorong apabila terlihat perkara buruk seperti itu berlaku.Aku terfikir juga mungkin aku suka melihat kebaikan dan kebaikan juga akan berlaku ke atasku.Di awal tulisanku juga dulu pernah juga aku katakan bahawa kadangkala kebaikan itu datang dengan dirancang atau boleh juga datang tanpa dirancang.Mungkin ini agaknya hidayah.Syukur pelajar perempuan itu tidak apa-apa.Kain tudungnya tidak koyak hanya sedikit hitam kesan terkena minyak dan habuk dari kipas.Kalau tidak mungkin menanggung sedikit malu tudung tertanggal dari kepala.
Aku tidak ingat samada dia ada ucapkan terima kasih atau tidak tetapi pengumumannya dipendekkan dan tergesa-gesa keluar.Aku tidak kisah asal semuanya ok.Perkara itu berlaku di hadapan cikgu wanita tadi dan subhanAllah mendapat pujian pulak.Sejak itu ada saja cikgu itu memuji.Antaranya ,kata cikgu tulisanku besar ,kemas dan teratur.Katanya lagi itu tanda orang yang bercita-cita besar.SubhanaAllah !!!.Kalau nampak aku pasti dia minta aku tolong sesuatu.
Tapi seperkara yang menjadi kenangan manisnya ialah rakan pelajar lelaki memanggil ku hero!Kelas kita ada hero!!! Hehehehe…usikan dan gurauan dari rakan-rakan sememangnya membuat kami bertambah rapat.Aku tidak boleh melupakan itu.Tapi bukanlah pujian dan kemegahan yang aku pintakan.Alhamdulillah aku sedar aku sebagai hamba.
Mengenang diri selepas subuh
Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berharga pun untuk diriku selain dari umurku saja.Setiapkali kurasa umurku lanjut setiapkali itulah kurasakan modalku berkurangan.Semakin hari semakin kecewalah aku berniaga atau mencari keuntungan.
Hari ini adalah satu hari yang baru yang telah ditakdirkan oleh Allah memberiku untuk hidup lagi,dipanjangkan umurku dan dibenarkan aku untuk mengecap nikmatnya andaikata Allah mentakdirkan aku mati,nescaya aku akan bermohon untuk kembali lagi ke dunia walaupun satu hari saja supaya aku dapat mebuat amalan-amalan yang soleh.
Wahai jiwa anggaplah dirimu itu telah mati lalu Allah mengembalikan untuk engkau hidup lagi hari ini.Oleh itu awaslah wahai jiwa,jangan sampai kau sesiakan hari ini,kerana setiap nafas dari nafasmu adalah mutiara yang tidak ternilai.Janganlah engkau bermalas-malas dan cenderong pada melakukan sesuatu yang tidak berguna atau berehat-rehat saja nanti terluput dari tingkatan-tingkatan yang dijanjikan kepada orang-orang yang berpangkat illiyin(tingkatan tertinggi yang diredai Allah swt seperti yang dicapai oleh orang lain).Sedang engkau tidak dapat apa-apa.Rasa kesal dan kecewa tentu tidak akan berpisah dari dirimu,meskipun engkau berjaya dimasukkan ke syurga namun pedih disebabkan kerugian dan penyesalan itu tetap tidak akan tertanggung lagi.
19 November 2008
Fabian.
18 November 2008
Pelajar perempuan kelas sebelah.
17 November 2008
Rakan dari Form 5
Selain itu aku mempunyai beberapa rakan pelajar dari tingkatan 5 yang tinggal di hostel yang sama.Antaranya Norazam,Zulkifli (anak tokeh Sate Kajang) dan lain-lain yang aku dah lupa.Dalam ramai-ramai itu, Norazam adalah pelajar pertama yang aku kenali semasa mula-mula masuk ke YAA ini.Sehinggalah aku menamatkan STPMku ,kami masih lagi berhubung.Melalui Norazam kami banyak bercerita tentang diri masing-masing.Dia seorang yang good looking.Tidak pernah jemu kalau berbual dengannya.
Selepas STPM aku hanya berhubung dengannya.Adalah seorang dua seperti Meor Shahrom ,Suhairi yang masih boleh bertemu ketika itu.Rakan-rakan lain entah ke mana meghilangnya.Masing-masing telah membawa haluan diri.Mungkin ada yang terus terjun ke dunia pekerjaan.Ketika itu teknologi berhubung seperti sekarang ini belum lagi sampai ke Malaysia.Bayangkan jika era it dan hand phone seperti sekarang tentu tidak terjadi lost contact seperti sekarang.
Namun sejak 2001 kami telah terputus hubungan.
Kawan...M.Nasir
Mungkin kau tak menduga
Kawan yang mengerti ertinya kawan
Jujur hati dan setia
Cubalah hidup sendiri
Mungkin kau kan mengerti
Hargailah duhai insan
Kehadirannya seorang kawan
Oh ! jagalah kau hatinya
Agar ia hormati dirimu
Kau akan hidup bahagia
Hargailah duhai insan
Kehadiranya seorang kawan
Oh ! jagalah kau hatinya
Agar kau tak kekosongan
Kau akan hidup bahagia
Kawan yang membawa kita bersama
Ke jalan kebenaran
Cubalah hidup sendiri
Mungkin kau kan mengerti.
06 November 2008
Yayasan Anda Akademik 1988 -1989
Awal 1988,aku memulakan hariku bergelar pelajar.Kali terakhir yakni hampir 5 tahun dulu aku menyarung baju putih dan berseluar panjang warna hijau.Kini aku kembali mengenakan pakaian serupa.Bezanya penampilanku sudah jauh berbeza.Aku tidak dapat lari dari mengenakan serban di kepala.Entah mengapa ia semacam menjadi pakaian rasmiku ketika itu.Kadangkala aku bosan namun kerap juga terasa tidak lengkap jika tidak memakai serban.
Aku tidak seperti pemuda sebaya ketika itu.Terasa bagai terperangkap dari dunia luar.Tapi ada juga kesan yang besar terhadap diriku yang aku patut syukuri.Ya itu kesan yang dalam.Manakan tidak ! sekurang-kurangnya aku berjaya mengelak dari berada di tempat yang tidak sepatutnya.Lepak tidak mengira tempat dan masa.
Pada mulanya memang terasa janggal menjadi pelajar dengan memakai serban.Suasana amat janggal sangat.Dapatkah pelajar lain menerima dan yang lebih penting dapatkah pihak guru,pengurusan sekolah terima pelajar sepertiku.Pada masa itu aku cuba tidak memikirkan sangat hal ini.Apa akan terjadi aku hanya berserah.Niatku bukan untuk mencabar.Aku teruskan dengan memakai baju melayu dan berserban dan berseluar hijau.Ganjil.Tapi Alhamdulillah aku tidak menerima apa-apa teguran dari pihak pengurusan cuma ada seorang guru yang menegur dan meminta aku berpakaian kemas sedikit.
Aku dimasukkan ke kelas 6B1.Seronok.Ramai pelajar lelaki melebihi perempuan.Walaupun usiaku dah hampir 23 tahun tapi nampak macam remaja belasan tahun jadi tidaklah sangat terasa jarak fizikal kami.
Aku suka belajar di sini.Di samping dapat mengenali rakan baru apa yang lebih menyeronokkan ialah aku dapat mengenali suasana amalan Islam secara berkumpulan atau jamaah.Ada yang pro Tabligh,Al-Arqam,PAS,Sahabat,ABIM,JIM,IRC dan macam-macam lagi.(Kebanyakannya dah tak ingat).Namun kami bersikap terbuka apabila tiba percanggahan ideologi jamaah.Kami pun bukanlah ahli atau terikat dengan usrah jamaah masing-masing untuk menegakkan pendapat.Begitu juga di kalangan pelajar perempuan ada yang terlibat dengan usrah-usrah jamaah masing-masing.Aku suka keadaan itu kerana hidup di kota besar pada ketika itu setidak-tidaknya aku dan mereka terkawal oleh keinginan remaja atau pengaruh luar.
Di kelas aku hanya mahu dipanggil along saja.Aku rasa aku lebih berusia daripada mereka dari segi umur.Rakan sekelas pula rata-rata baru menamatkan SPM.Mungkin tidak berpuashati dengan result yang diterima atau belum menerima tawaran melanjutkan pelajaran di sekolah kerajaan lalu mereka memilih private school untuk mengambil STPM.
Aku duduk barisan paling hadapan.Bersebelahan kananku rakan dari Batang Berjuntai,Selangor.Zulkifli namanya.Berkacamata dan bersongkok hitam.Kadang-kadang aku panggil Zul atau Ucu atau acu.Belakangku Din (budak Serting Ulu) dan Haris (Ampang).Macam biasalah di kelas aku tidak berapa rapat dengan pelajar perempuan.Jadi seorang dua saja yang aku ingat.
Tahun 1988 adalah tahun penting dalam perubahan hidupku.Dari situ aku mengenali ragam manusia dan kelemahan diri.Sebelum ini aku tidak banyak bercakap (berat mulut),pendiam di kelas.Itu sifat yang belum berjaya sepenuhnya kubuangkan dari diri ini.Tapi bila berada di kalangan rakan yang mesra begitu sedikit sebanyak aku dapat menyingkirkan juga kelemahanku itu.
Di kelas walaupun aku mengenakan serban tetapi sebenarnya aku tidaklah berasa terasing.Pelajar yang lain juga memakai songkok,ketayap dan ada juga yang kadangkala memakai serban.Aku tidaklah menganggap diriku baik.Tapi bila mengenakan cara berpakaian begitu aku segan dan setidak-tidaknya menjauhkan diri dari berkelakuan tidak senonoh.
Di kalangan guru dan pensyarah mereka tidak membezakan kami.Semuanya sama.Lagipun tradisi private school seperti YAA ini punya sejarah tersendiri kerana di sini adalah markas ABIM dan opis tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu berjuang.DSAI dan rakan-rakannya dalam ABIMlah yang mengasaskan YAA.
28 October 2008
Yayasan Anda Akademik - 1987
27 October 2008
Kuala Lumpur awal 1988
20 October 2008
Hijrah !
07 October 2008
(1986-1987) Kg Batu Papan II
Kisahnya, ketika hari semakin senja, aku sedang mandi. Waktu itu kedai belum tutup lagi. Aku terdengar suara orang memberi salam aku pun tergesa-gesa ke depan. Dengan kain pelikat dan tuala menutup badan aku berdiri di anak tangga rumah menghala ke kedai yang bersambung. Entah macam mana la pulak, ketika sedang menunjuk-nunjuk kedudukan barang yang dicari anak tangga tempat berpijak pun patah. Aku jatuh ke celah anak tangga dan nasib baik kain tak koyak. Kalau tidak ....malu besar weh!. Anak penghulu tidak dapat menahan kelucuan, lalu mentertawakan aku. Aku pun ikut sama ketawa juga..maluuuu. Siti marahkan kawannya itu kerana ketawakan aku. Nasib badan. Aku tidaklah kecil hati dengan sikap mereka. Memang salah sendiri.
Aku Kalah
Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...
-
Tidak ramai mengetahui sejarah perjuangan sekumpulan pemuda Orang Asli sebelum dan selepas kemerdekaan. M...
-
Kenangan yang Ternoktah, Disember 1983 Hampir lima belas tahun tahun aku hidup di bumi Kroh, Perak. Sejak Mac 1968 hinggalah Disember 1983...
-
Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...