Segalanya indah bagiku.Pertama kali aku jatuh hati dan mendapat balasan.Aku
melihat M begitu beriya-iya mahu aku menjadi rakan kongsi niaga.Tidak berhenti-henti
memujukku ketika pertemuan itu dan ketika aku menelefonnya. Suatu kenangan
terindah yang pernah hadir dalam hidup ini.Aku abadikan setiap rentetan
keindahan dalam diari kenangan.Sekembali aku ke Seremban aku menetap terus di
rumah Ustaz Razak di Taman Negeri.Di sana aku mula mengatur perancangan untuk
mencari perkerjaan tetap dan merancang kehidupan seterusnya.
Di rumah Ustaz Razak kami berbincang untuk memulakan perniagaan
kecil-kecilan.Ustaz Razak mengajak aku membantunya sementara beliau
mengeluarkan modal.Aku hanya menurut.Aku tidak kisah kerana pengalaman dalam asas perniagaan telah
kumulakan sejak dulu.
Hanya sesekali bila aku rindukan M, aku akan ke pusat sukan Paroi..di
situ ada pondok telefon.Aku akan menelefonnya bertanya khabar.Mendengar suaranya
yang galak bercerita sambil menyusun perancangan masa depan.Sungguh aku berasa
sangat jauh bila dia bercerita tentang cita-citanya ingin berniaga.Tetapi terasa
dekat di hati bila setiap kata-katanya ingin aku bersamanya menjalankan
perniagaan.
Perniagaan menjual kasut.Pada mulanya , aku tidak faham mengapa M memilih untuk
terlibat dalam perniagaan menjual kasut.Namun akhirnya aku mengerti
rupa-rupanya dia obsess dengan rekaan kasut-kasut (patutla kasutnya cantik) dan
ingin membuka kedai menjual kasut suatu hari nanti.
M seorang gadis biasa penuh dengan cita-cita.Wajahnya persis Ustazah
Norhafizah Musa cuma matanya tidaklah seperti ustazah itu yang agak sepet
seperti anak cina.Alis matanya nipis.Lembut
bila berbicara.Pendidikan keagamaan yang sempurna , lebih sempurna dari apa yang
ada padaku.Walaupun dulu aku berkelana mencari ilmu agama tetapi tidak seformal
berbanding dengannya.Aku hanya mentelaah dari masjid ke masjid,surau ke surau
dan beberapa pondok yang kurang ternama.Hanya STPM saja boleh menjamin kehidupanku
pada masa akan datang seandainya aku ingin terjun ke dunia pekerjaan.
Dan yang menarik minatku padanya kerana dia memakai tudung labuh.Sesuatu yang
menjadi pilihanku sejak dulu lagi , seawal sebelum aku memeluk agama suci ini.(Teringat
rakan sekuliah semasa di ITM tahun 1983 dulu) Kali pertama bertemu tidak
tergambar riang di hati mempunyai rakan sebegitu.Dia mengenakan tudung warna
kelabu kebiruan, berbaju kurung warna putih kelabu dan bunga merah halus .Orangnya
berkulit cerah dan ada beg disandang di bahu.Masih teringat detik dia berdiri
di sisi kiriku sambil memandang dengan rasa cemas.
Sebenarnya aku juga gugup pertama kali memandangnya.Tidak pernah
tergerak di hati hendak berjumpa dengannya yang jauh dari pantai timur.Apalagi bertemu
dengannya di kota Kuala Lumpur.Jika tidak disebabkan simpati dan ingin
membantunya kerana pengaduannya sakit pinggang yang selalu diceritakan dalam surat-surat
yang dulu kemungkinan aku berfikir berkali-kali mahu menolongnya atau tidak.
Selama berbalas surat aku berhati-hati menulis agar tidak menyentuh soal
perasaan.Memandangkan M masih belajar dan aku juga sedang menduduki pengajian
peringkat STPM.Namun bila bertentang mata terasa ada sesuatu yang membuat aku
tidak keruan.Peluh halus mula terasa.
Pada mulanya aku dan dia seperti orang asing.Masing-masing seperti tidak
pernah mengenali.Aku tahu M berhati-hati ,apalagi aku seorang lelaki.Di ibu
kota ini berbagai jenis lelaki boleh ditemui.Namun ketika ingin pulang M mula
menunjukkan kemesraannya.Aku pula berusaha membina kepercayaannya .Berkali-kali
juga dia meminta aku mengenalkan bandar raya ibukota ketika itu, membawanya berjalan
sekitar ibu kota.
Sungguh aku bukanlah jenis orang yang suka “meronda” istilah anak muda
zaman itu.Aku lebih suka diam setempat.Itu sifatku sehingga kini.Aku tahu M ingin
meneroka ibukota Kuala Lumpur untuk memahirkan mengenal tempat-tempat menarik, atau
mungkin strategi sebelum memulakan perniagaan.Aku pula bukanlah jenis yang suka
melepak di pasaraya-pasaraya.Walaupun ada juga keinginan untuk menunjukkan
jalan-jalan di ibu kota ketika itu.
Lagipun banyak yang kufikirkan sebelum menunaikan hajatnya.Baik buruk tindakan
supaya tidak melangkaui batasan, dan tidak juga mahu mengecilkan
hajat hatinya.Aku cuma memberi janji bahawa satu hari nanti aku pasti akan
membawanya berjalan-jalan.Dalam hati entah bila aku sendiri tidak pasti.
Di Seremban aku mengambil peluang menelefonnya jika berkesempatan.Itulah
cinta agaknya.Rindu pada suaranya.Lafaz bahasa juga sudah banyak melukiskan
perasaan hati.Cuma masih boleh dikawal dan tidak ketara serta kemaruk seperti
anak muda yang lain.M juga sudah pandai memujuk dan merengek minta aku
membawanya berjalan-jalan.Sepanjang mengenalinya hanya dua kali saja aku
bertemu.Pertama kali ketika dia meminta pertolongan untuk mencarikan pusat
homeopati sekitar Kuala Lumpur dulu dan kali kedua ketika bertandang untuk
mengambil kembali album gambarku.Aku seorang pemalu.