15 October 2014

Itulah Cinta.



Segalanya indah bagiku.Pertama kali aku jatuh hati dan mendapat balasan.Aku melihat M begitu beriya-iya mahu aku menjadi rakan kongsi niaga.Tidak berhenti-henti memujukku ketika pertemuan itu dan ketika aku menelefonnya. Suatu kenangan terindah yang pernah hadir dalam hidup ini.Aku abadikan setiap rentetan keindahan dalam diari kenangan.Sekembali aku ke Seremban aku menetap terus di rumah Ustaz Razak di Taman Negeri.Di sana aku mula mengatur perancangan untuk mencari perkerjaan tetap dan merancang kehidupan seterusnya.

Di rumah Ustaz Razak kami berbincang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan.Ustaz Razak mengajak aku membantunya sementara beliau mengeluarkan modal.Aku hanya menurut.Aku tidak kisah kerana  pengalaman dalam asas perniagaan telah kumulakan sejak dulu.

Hanya sesekali bila aku rindukan M, aku akan ke pusat sukan Paroi..di situ ada pondok telefon.Aku akan menelefonnya bertanya khabar.Mendengar suaranya yang galak bercerita sambil menyusun perancangan masa depan.Sungguh aku berasa sangat jauh bila dia bercerita tentang cita-citanya ingin berniaga.Tetapi terasa dekat di hati bila setiap kata-katanya ingin aku bersamanya menjalankan perniagaan.

Perniagaan menjual kasut.Pada mulanya , aku tidak faham mengapa M memilih untuk terlibat dalam perniagaan menjual kasut.Namun akhirnya aku mengerti rupa-rupanya dia obsess dengan rekaan kasut-kasut (patutla kasutnya cantik) dan ingin membuka kedai menjual kasut suatu hari nanti.

M seorang gadis biasa penuh dengan cita-cita.Wajahnya persis Ustazah Norhafizah Musa cuma matanya tidaklah seperti ustazah itu yang agak sepet seperti  anak cina.Alis matanya nipis.Lembut bila berbicara.Pendidikan keagamaan yang sempurna , lebih sempurna dari apa yang ada padaku.Walaupun dulu aku berkelana mencari ilmu agama tetapi tidak seformal berbanding dengannya.Aku hanya mentelaah dari masjid ke masjid,surau ke surau dan beberapa pondok yang kurang ternama.Hanya STPM saja boleh menjamin kehidupanku pada masa akan datang seandainya aku ingin terjun ke dunia pekerjaan.

Dan yang menarik minatku padanya kerana dia memakai tudung labuh.Sesuatu yang menjadi pilihanku sejak dulu lagi , seawal sebelum aku memeluk agama suci ini.(Teringat rakan sekuliah semasa di ITM tahun 1983 dulu) Kali pertama bertemu tidak tergambar riang di hati mempunyai rakan sebegitu.Dia mengenakan tudung warna kelabu kebiruan, berbaju kurung warna putih kelabu dan bunga merah halus .Orangnya berkulit cerah dan ada beg disandang di bahu.Masih teringat detik dia berdiri di sisi kiriku sambil memandang dengan rasa cemas.

Sebenarnya aku juga gugup pertama kali memandangnya.Tidak pernah tergerak di hati hendak berjumpa dengannya yang jauh dari pantai timur.Apalagi bertemu dengannya di kota Kuala Lumpur.Jika tidak disebabkan simpati dan ingin membantunya kerana pengaduannya sakit pinggang yang selalu diceritakan dalam surat-surat yang dulu kemungkinan aku berfikir berkali-kali mahu menolongnya atau tidak.

Selama berbalas surat aku berhati-hati menulis agar tidak menyentuh soal perasaan.Memandangkan M masih belajar dan aku juga sedang menduduki pengajian peringkat STPM.Namun bila bertentang mata terasa ada sesuatu yang membuat aku tidak keruan.Peluh halus mula terasa.

Pada mulanya aku dan dia seperti orang asing.Masing-masing seperti tidak pernah mengenali.Aku tahu M berhati-hati ,apalagi aku seorang lelaki.Di ibu kota ini berbagai jenis lelaki boleh ditemui.Namun ketika ingin pulang M mula menunjukkan kemesraannya.Aku pula berusaha membina kepercayaannya .Berkali-kali juga dia meminta aku mengenalkan bandar raya ibukota ketika itu, membawanya berjalan sekitar ibu kota.

Sungguh aku bukanlah jenis orang yang suka “meronda” istilah anak muda zaman itu.Aku lebih suka diam setempat.Itu sifatku sehingga kini.Aku tahu M ingin meneroka ibukota Kuala Lumpur untuk memahirkan mengenal tempat-tempat menarik, atau mungkin strategi sebelum memulakan perniagaan.Aku pula bukanlah jenis yang suka melepak di pasaraya-pasaraya.Walaupun ada juga keinginan untuk menunjukkan jalan-jalan di ibu kota ketika itu.

Lagipun banyak yang kufikirkan sebelum menunaikan hajatnya.Baik buruk tindakan supaya tidak melangkaui batasan, dan tidak juga mahu mengecilkan hajat hatinya.Aku cuma memberi janji bahawa satu hari nanti aku pasti akan membawanya berjalan-jalan.Dalam hati entah bila aku sendiri tidak pasti.

Di Seremban aku mengambil peluang menelefonnya jika berkesempatan.Itulah cinta agaknya.Rindu pada suaranya.Lafaz bahasa juga sudah banyak melukiskan perasaan hati.Cuma masih boleh dikawal dan tidak ketara serta kemaruk seperti anak muda yang lain.M juga sudah pandai memujuk dan merengek minta aku membawanya berjalan-jalan.Sepanjang mengenalinya hanya dua kali saja aku bertemu.Pertama kali ketika dia meminta pertolongan untuk mencarikan pusat homeopati sekitar Kuala Lumpur dulu dan kali kedua ketika bertandang untuk mengambil kembali album gambarku.Aku seorang pemalu.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...