29 November 2008

Noor Azam Abdul Aziz


Aku kenali pelajar ini lebih dulu dari rakan-rakan yang lain. Ia bermula pada satu pagi ketika hari pertama mendaftarkan diri. Aku baru sampai ke Bangunan Sri Pantai dan terus berjalan mundar-mandir di kaki lima bangunan tersebut sambil memerhati kehadiran pelajar-pelajar baru yang lain. Pagi itu begitu sibuk. Mataku meliar, cuba mengingat setiap sudut bangunan sebagai tanda untuk dikenang nanti.


Tak lama kemudian, mataku tertancap pada seorang pelajar lelaki berpakaian serba putih. Pada fikiranku, dia mestilah pelajar baru juga sepertiku. Pelajar tersebut menegurku dan memberi salam. Kami bertukar salam dan senyum. Dia memperkenalkan diri sebagai Azam, begitu juga aku. Perkenalan singkat itu berakhir di situ kerana kami perlu mendaftar segera untuk mengetahui kelas masing-masing.


Sebulan kemudian, barulah aku tahu Azam juga tinggal di asrama di Kg Kerinchi dan dia masuk di tingkatan 5. Azam yang kukenal seorang yang smart, murah dengan senyum dan suka berjenaka. Kadang-kadang, kami berbual tentang hal-hal semasa. Aku tak pasti apakah benar Azam juga sepupu kepada rakan sekelasku, R.


Hinggalah aku menamatkan STPM pada akhir 1989, aku masih berhubung dengan Azam. Pada waktu itu, aku bekerja di sebuah kilang di Jalan Bangsar dan sering beriktikaf di Masjid al-Rahman, Universiti Malaya. Kadang-kadang, kami berjumpa di masjid tersebut. Ada sekali, Azam dan aku beriktikaf dan tidur di situ. Malam itu, kami berbaring sambil bercerita pengalaman peribadi. Ada juga kami menyentuh tentang F, yang juga rakan sekelas Azam waktu di tingkatan 5. Fikiranku pada waktu itu memang tidak dapat melupakan F, namun takdir mengarahkanku untuk melupakannya. Aku mengakui kesal kerana menyebabkan gadis itu kecewa dengan sikapku. Azam pernah memberitahu bahawa dia terserempak dengan F di Kota Bharu, Kelantan.


Kini, hampir 18 tahun berlalu, aku masih dapat berhubung dengan Azam. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak. Perangainya masih seperti dulu; sentiasa ceria dan suka berjenaka. Kepada Azam, terima kasih kerana masih mengingatiku dan berhubung. InsyaAllah, jika umur dipanjangkan, kita pasti akan bertemu lagi.

Ogos 1989:Pertemuan di surau dan purdah...(2)


Di surau aku memberi salam sambil mencari kedudukan F.  Maklumlah di balik tabir.  Tak nampak.F menjawab salamku di hujung sudut tabir pintu masuk ke surau dan aku pun duduk bersila menghadapi tabir hijau yang tebal. Aku dengar suara F lembut di balik tabir. Aku masih ingat wajahnya yang bersih tanpa sebutirpun jerawat. Terbayang juga pertemuan di tangga dulu betapa F,  ah… susah hendak digambarkan apabila hati sudah suka!  Kini (ketika itu) aku hanya berpeluang mendengarnya dari balik tabir.

Memang F meluahkan sesuatu kepadaku tapi hanya berkisar mengenai masalah yang dihadapinya serta keputusannya memakai purdah. F minta pandanganku samada setuju dengan perubahan dirinya atau tidak (dalam hati tertanya... mengapa pula dia meminta pandangan dariku).  F menyatakan bahawa sejak beliau berpurdah rakan-rakan seakan menjauhkan diri darinya. Ada juga guru yang tidak mahu F memakai purdah.  Sebenarnya aku tidak setuju F berpurdah ketika masih belajar kerana pada pandanganku ada ulama yang mengharuskan memakainya  ketika belajar.  Namun aku hormati keputusan yang diambil.  Lepas STPM aku melepaskan keputusan pada F kerana itu haknya untuk memakai.

F menceritakan masalah peribadinya kepadaku sambil meminta nasihat serta pandangan.  Aku tahu bila F meluahkan cerita peribadi dan masalah dirinya kepadaku bermakna  dia telah mula mempercayai aku. Terasa aku dihargai ketika itu.  F menceritakan hubungan rakan-rakan yang mula dingin terhadap perubahan dirinya. Dalam diri aku terfikir F benar-benar mengharapkan sokongan dariku. Tapi aku keliru.  Dalam fikiran ada sesuatu yang menganggu. Aku serba salah. Dalam diamaku  suka F kerana dia mempamerkan ciri-ciri gadis yang solehah.  Keputusan F memakai purdah satu keputusan yang berani.  Bagiku, sudah biasa berjumpa dengan wanita berpurdah sewaktu berada dalam jemaah Al-Arqam satu ketika dulu.  Aku memang memandang tinggi wanita sebegitu.

Tapi seminggu sebelum pertemuan itu aku medengar berita kurang enak. Suhairi (kini Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan) rakan sekelasku dimarahi F kerana ada satu perkara remeh dan salah faham berlaku.

Kejadian berpunca begini, F dan rakan seasrama bercadang mengadakan minggu silaturrahim sesama pelajar perempuan.  Mereka berpakat mengadakan sukan (outdoor sport) seperti karom, bola jaring dan sebagainya.  Ini diceritakan sendiri oleh F padaku.  Namun awalnya Suhairi tidak bersetuju berkenaan sukan bolajaring di padang bomba kerana tempat itu terbuka.  F tidak puashati dan memarahi Suhairi. Sukan tersebut diadakan juga keesokanya (hari cuti). Suhairi memaklumkan kepadaku dan sikap F. Aku hanya mendengar.

Petang itu aku dan rakan-rakan hendak solat maghrib di sekolah. Aku terlihat mereka yang baru pulang dari bersukan dan F juga melihat aku. Lebihkurang dua hari selepas itu F ingin berjumpa denganku di surau.

Aku menyelar sikap F terhadap Suhairi. Aku nyatakan bahawa F perlu sabar dengan karenah rakan yang lain.  Apalagi sebagai gadis. Mesti tunjukkan akhlak yang baik. Kemudian aku nyatakan bahawa aku dan Suhairi kurang senang dengan tindakan pelajar perempuan mengadakan sukan antara dorm di padang Balai Bomba,  Jalan Pantai Bahru yang terbuka dan disaksikan oleh ahli bomba. Aku dan Suhairi tidak setuju kerana jerit sorak perempuan akan menarik perhatian  anggota Bomba melihat mereka bermain. Aurat mereka wajib dijaga. F menjelaskan bahawa mereka mengadakan minggu taaruf dengan mengadakan sukan sesama mereka ,tempat mengadakan sukan basket ball pula terhad. Aku memaklumkan kepada F bahawa aku punyai rakan di Maktab Perguruan Islam dan jika mahu kita boleh sewa dewan tertutup mereka.

Mungkin kaedah aku menegur F agak kasar, F tertekan. Aku tidak terniat langsung hendak mengenakan F. Memang aku ada memberitahu Suhairi bahawa aku akan menegur F. Tapi bukanlah hendak membalas perbuatannya kepada Suhairi. Lama-kelamaan kedengaran esakan F di balik tabir. F sedih. Mungkin diharapkan kata-kataku sokongan jiwanya bertukar kepada batu yang menghempap. Aku tahu F sedih dengan kata-kataku. Aku tidak ingat samada meminta maaf kepadanya atau tidak. F menangis di balik tabir. Timbul pula rasa kesal di hati. Aku tinggalkan F di surau melayan remuk hatinya sementara aku kembali ke kelas dengan sedikit kesal.

Sukar hendak dinyatakan ketika itu, mungkin aku sukakan F sebab itu aku tidak mahu F menjadi tarikan mata-mata yang melihat. Cemburu mungkin...

28 November 2008

Ogos 1989 :Pertemuan di surau dan purdah...(1)


Aku mengharapkan dapat berbual dengan F atau setidak-tidaknya melihat F dari jauh. Memang ketika itu aku ingin menolak anggapan bahawa aku mempunyai hubungan dengan F tapi pada masa yang sama mengharapkan sesuatu berlaku. F punyai ciri-ciri yang menepati pencarianku. Di Darul Arqam aku lihat F banyak bertanya mengenai perkembangan jemaah. Aku tahu dia suka hidup berjemaah dan punya wadah satu hari nanti. Dalam diam aku menilai F.

Tidak lama selepas itu F telah mengenakan purdah (pakaian yang menutup muka) Aku terkejut begitu juga rakan sekelas. Rakan lelaki mula bertanya kepadaku kenapa F berubah. Sebenarnya aku pun tidak ada idea kenapa F berubah begitu. Malah aku pula tidak faham kenapa rakan sekelas merujuk kepadaku tentang perubahan F. Sejak itu juga aku tidak lagi melihat wajah F dan jauh sekali hendak berbual dengannya. Namun ia tidaklah menganggu konsentrasiku pada pelajaran.

Dua bulan sebelum STPM 1989, ketika selesai waktu rehat dan pelajar telah mula masuk ke kelas. Sedang kami duduk bersedia menunggu Cikgu Rosli (Sejarah Asia Tenggara) masuk. Tiba-tiba Meor dan Azman masuk lalu mendapatkanku. Katanya F ingin berjumpa denganku di surau. Aku tergamam. Sudah agak lama juga sejak F mengenakan purdah aku tidak berpeluang berbual dengan F. Hati tertanya-tanya juga apakah yang F mahu berkongsi cerita denganku kali ini. Antara mahu atau tidak. Pertama aku bimbang apa yang rakanku sangkakan bahawa aku dan F ada sesuatu yang dirahsiakan memang benar-benar berlaku. Kedua aku tidak mahu bertemu kerana aku nekad untuk menafikan rasa hati. Namun perasaanku ketika itu sukar hendak menolaknya.Berbelah bagi.

Meor pandai memujuk.  Jenakanya masih lagi mencuit hati. Tapi aku tetap tidak berganjak. Aku katakan bahawa tidak perlu jumpa aku. Pelajar lainkan masih ada jika ada masalah untuk diminta pertolongan. Meor dan Azman tetap memujuk kerana jawabnya tidak baik aku menghampakan hajat orang. Aku tidak sedap hati bila dikatakan begitu. Kerana memang sejak dulu aku tidak suka membuat rakan susah kerana sikapku.  Dengan alasan itu aku bersetuju tapi mengajak Meor ikut sama. Meor menolak kerana katanya F hanya ingin bertemu denganku seorang. Dalam hati berbisik apalah yang hendak diluahkan F ini. Mungkin..???

Dalam diri aku serba salah. Apakah F memang benar-benar mahu menyatakan sesuatu yang selama ini terbuku antara kami.  Aku belum mahu memulakan kerana masih berpegang pada janji. Namun aku bersedia mendengar apa yang hendak dikatakan.

27 November 2008

Aku kalah.

Aku masih ingat pada satu lewat petang, di kelas tambahan Syariah, F mendekatiku dengan senyum (…..lawa weh ) F memberiku sebuah buku agama bertajuk “Penawar Bagi Hati” dan kaset ceramah agama (tak ingat tajuknya pulak) untuk dipinjamkan. Sambil malu-malu dia menghulurkan kepadaku dan  menyoal ..."nak baca buku itu tak ?". Aku terpaku!. Dia menghulurkan tanpa dipinta tapi untuk tidak mengecilkan hatinya aku terima juga dengan syarat, akan memulangkan dalam masa beberapa hari. Katanya buku itu bagus (padahal aku dah khatam beberapa kali) Untuk tidak mahu menghampakan hatinya apalagi rakan sekelas aku terima saja.

Aku dapat rasakan F ingin mendekatiku kerana cara dia berbual seperti ada sesuatu ingin diluahkan tapi perkara itu tidak kesampaian kerana kehadiran ramai rakan sekelas. Aku melihat dia tersenyum bila pelawaannya ku sambut baik. (Dalam hati ada peluang ni). Sememangnya aku tahu, F mahu mendekatiku mungkin sebagai rakan sekelas. Kerana aku seorang yang pendiam dan berat mulut agaknya. Dan aku pula tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa atau apa-apa hubungan dengan mereka.Masih menebal perasan malu.

Balik ke asrama aku mencabar diri supaya apabila memulangkan buku kepunyaannya,  nanti akan aku cuba selitkan surat tanda perkenalan. Ya, aku tekad. Seringkali bila ke kelas perasaanku jadi tidak tentu arah bila memandang ke barisan paling belakang. Aku tahu ada sesuatu yang selalu menganggu. Aku tidak boleh menepis ingatan dari memikirkan gadis itu. Sebenarnya layanannya biasa saja. Entahlah rasa suka kadangkala sukar ditafsir. Surat untuk gadis itu tidak kukotakan.Takut pun ada, malu pun ada.

Dalam masa yang sama, aku dan F menyertai usrah anjuran sahabatku Rohaizad (rakan sewaktu di Al-Arqam Kuala Pilah, Negeri Sembilan dulu) di Universiti Malaya ketika itu. Jika ada pertemuan aku akan maklumkan kepada F. Kami berjumpa di surau Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai (sebelum dipindahkan ke Bangi, Selangor). Bermuhasabah dan bertazkirah . Dari situ aku dapat juga berbual dengan F (di balik tabir) tapi lebih kepada bualan amalan amalan Islam serta perkembangan semasa jemaah (tazkirah dan tarbiyyah). F pula tidak banyak bercakap. Mungkin F segan kerana kehadiran rakanku itu.

Sehinggalah pada satu ketika timbullah idea untuk mengadakan lawatan ke Darul Al-Arqam di Sungai Penchala, Selangor. Aku tak ingat idea siapa tetapi aku dipertanggungjawabkan mengendalikan dan menyelia rombongan ke Sungai Penchala. Aku memaklumkan kepada rakan lelaki di hostel sementara di pihak siswi pula siapa lagi kalau bukan F sebagai orang kepercayaanku. Sebenarnya aku tidak mahu meneruskan program itu bimbang dianggap sebagai membawa pengaruh Al-Arqam yang pada masa itu telah mula mendapat perhatian kerajaan mengenai ajaran-ajaran yang diragui.Namun sambutan baik rakan-rakan yang mahu melihat keadaan sebenar kehidupan jemaah Al-Arqam menguatkan lagi semangatku.Lagipun tujuan kami hanya meninjau perkembangan jemaah terutama kumpulan nasyid Nada Murni (sekarang Rabbani) ketika itu.

Sehari sebelum kami ke Sungai Penchala aku berpesan kepada dua pelajar perempuan yang baru pulang dari kedai di bawah flet PKNS bahawa aku ingin bertemu F di tangga untuk memaklumkan aturcara ke sana. (Asrama perempuan di tingkat atas). Setelah lama menunggu, aku melihat F turun dan menanti di tangga. F mengenakan tudung hitam. Aku cuba mengelak dari memandang tepat ke wajahnya tetapi rasa bersalah pula kalau berbincang tanpa memandang F yang berdiri agak jauh dariku di atas tangga itu. Aku amat mengharapkan F dapat menyelia pelajar-pelajar perempuan yang ingin turut serta sementara aku menguruskan pelajar lelaki. Pada ketika itulah aku dapat rasakan kelainan dalam perasaan ini.Wajahnya amat berlainan walau dari jarak 8 meter kami berbincang mengenai perjalanan keesokan harinya. Sejak itu memang aku terasa amat takut dengan diri. Aku takut pada janjiku untuk mengejar ilmu.Sedang wajah F selalu terbayang.

Aku akui gadis itu manis dipandang apabila memakai tudung hitam. Raut wajahnya kecil dan comel. Bibir nipis dan bermata kecil. Berkulit hitam manis tapi cerah. Kadangkala F memakai cermin mata. Biasa saja raut wajahnya cuma bila terpandang aku berdebar. Tapi apa yang menarik hatiku kepada F ialah minatnya kepada perbincangan agama. F juga berminat kepada jemaah Al-Arqam yang suatu ketika dulu menjadi wadah hidupku. Akhirnya aku kalah mempertahankan rasa suka kepada gadis itu.

1989 :Pelajar baru bertudung labuh

Ketika aku di upper six cabaran belajar menjadi semakin sukar.Kena revise nota lower six dalam masa yang sama subject upper six pun kena catch up jugak.Terasa macam balik ke universiti (pernah menuntut di ITM).Tapi syukur aku mempunyai grup study yang kesemuanya lelaki.Kadang-kadang grup study ini pun bertukar-tukar jadi masing-masing mempunyai idea tersendiri bagaimana hendak menjawab soalan.Antaranya Meor Shahrom (sekarang wartawan di TV3) dan Azman rakanku dari Kuala Kangsar, Perak yang suka berjenaka andaikata kami dah mula boring.Dan seorang lagi yang tidak aku ingat namanya.
Kesibukan aku dengan geng study membuat aku lupa rupa-rupanya ada seorang pelajar perempuan telah meneruskan pelajarannya dan masuk ditempatkan sekelas denganku (6 Atas 3 Syariah).Mengikuti jejak rakannya yang juga melompat ke 6 atas bagi menghabiskan STPMnya seawal mungkin.Banyak kerjalah kena buat.Tapi private school macam ini tidak ada masalah ,tidak perlu ke lower six dulu.Dan dari situ aku mengenalinya dari rakan, gadis itu bernama Fadilah Kamal Arifin.Berasal dari Padang Tengku,Kuala Lipis Pahang,katanya anak anggota polis di sana.
Aku hanya perasan pelajar tersebut di tingkatan 5 pada tahun 1988 dulu sebabnya dia bertudung labuh.Memang aku obses kalau ternampak pelajar bertudung labuh.Apa lagi yang mengenakan tuduh labuh berwarna hitam.Mungkin kerana aku pernah mengenali seseorang seawal remajaku dan mungkin juga mengimbau kenangan bersama Al-Arqam sekitar 1985-1986 dulu.
Selama hampir setahun aku di 6 atas aku tidak ingat bila pula aku mula dikaitkan dengan gadis tadi yang juga rakan sekelas.Rakan rapat mula memperkatakan tentang aku dengan F.Ada hubungan istimewa ker?Sebenarnya aku tidak pernah sekalipun mempunyai apa-apa hubungan dengan F.Hanya kerana itu semua berlaku tanpa dirancang dan rakan-rakan lain pula melihat dari perspektif yang berbeza.Memang aku akui semua itu berlaku di depan mata mereka jadi tidak salah mereka pula meneka.
Sebenarnya F meminati kumpulan agama jemaah Al-Arqam.F selalu bertanya mengenai perkembangan jemaah ini dariku.Aku pula pernah terlibat dengan Al-Arqam,jadi segala maklumat tentang jemaah ini sedikit sebanyak memang kutahu.Namun aku tidaklah mahu dikaitkan dengan Al-Arqam walaupun aku masih punyai ramai sahabat-sahabat dalam jemaah ini.Pengalaman bergaul dengan berbagai kumpulan Islamiah membuatkan aku lebih terbuka.Segalanya bermula dengan Islam.Terpulanglah uslub perjuangannya yang macam mana.Asal tidak dengki mendengki antara jemaah.
Dan jika ada masa terluang rakanku Rohaizad kenalan dari Batu Kikir,N.Sembilan (siswa Universiti Malaya ketika itu) akan mengajakku menyertai usrah dan kuliah fardhu ain anjuran jemaah Al-Arqam di Jalan Universiti.Di situ aku juga mendapati F turut hadir bersama.Aku pernah beritahu Rohaizad tentang F yang berminat dengan Al-Arqam dan selalu juga bertanya kepadaku mengenainya.Mulanya hanyalah pertanyaan biasa dan aku menganggap F seperti juga rakan yang lain.Oleh kerana selalu juga kami bertukar pandangan dan ada rakan yang perasan tentang itu,aku mula dikaitkan dengan F.
Itulah cerita awalnya sehinggalah kami dilihat oleh rakan lain dengan penuh tanda soal.Meor Shahrom,Azman rakan sekelas pula kadang-kadang mengusikku,mengapa tidak menjadikan F istimewa.MasyaAllah,aku tidak pernah terniat berlajar di sini sambil memikat anak dara orang.Tapi kadang-kadang bila selalu sangat diusik hati jadi terkesan jugak.
Tambahan pula aku ni berat mulut sikit jadi kemungkinan rakan menganggap aku merahsiakan sesuatu.Namun jauh di sudut hati aku mula menyukai pelajar bertudung labuh ini.Walaupun di kelasku waktu itu telah ada seorang dua yang memakai tudung labuh tapi aku tidak boleh mengalihkan ingatan terhadap F.Dan sejak itu aku memang meminatinya.

26 November 2008

Yusridin....pening pikir perangai yang seorang ni.

Antara rakan seasrama yang nakal.Suka bergurau dan menyakat rakan yang lain.Macam-macam karenah akan dibuat untuk menceriakan keadaan yang mula sunyi.Apa yang aku tahu dia ni anak bongsu dalam keluarga.Mungkin kemanjaan menyebabkan dia sedikit nakal.Kadang-kadang waktu di hostel kenakalannya membuatkan aku pun turut terikut.

Waktu di awal permulaan kelas dulu kami sudah mula mengenali sesama lain.Hubungan sudah mesra.Aku juga tidak terlepas disakat si Din.Oleh kerana aku memakai serban,ditarik-tariknya ekor serbanku menyebabkan kepalaku tertarik ke belakang.Kadang-kadang nak marah pun ada tapi orang macam aku ni susah nak nyatakan kemarahan.Jadi aku beri amaran saja.

Antara yang teringat bila nama Din terlintas di mindaku ialah bagaimana pada satu malam ketika di lower six di flat Kerinchi dan keadaan menjadi sunyi.Masing-masing sibuk mentelaah pelajaran di siangnya tadi aku kepenatan dan mula bosan mengadap nota-nota yang tidak pernah habis dan makin bertambah hari ke hari.Lalu aku ke dapur mencari segelas air suam.Aku lihat Din mundar mandir di tengah ruang tamu mencari plastik.Aku tanya Din "buat apa Din?"..."projek!" jawabnya ringkas.

Aku yang mula bosan dengan study mula berminat dengan projek si Din ini.Di tangannya ada beberapa plastik lebihan bekas makanan.Plastik itu diisinya air paip penuh lalu diikat. Lampu ruang tamu dipadam.Selepas itu aku menurutinya ke beranda flat.Apa pulak projek Din ni...fikirku.Matanya meninjau ke bawah flat."Kau nampak tak couple bawah sana, Ab"..tanya Din padaku.Aku nampak ada sepasang lelaki dan perempuan tengah berbual di tebing longkang dalam gelap yang samar.

Sambil tersengeh Din melontarkan bom air tu dari atas ke arah couple tadi."Kau giler ke Din...woiii..."jeritku sambil menahan suara.Din ketawa dan berlari ke ruang tamu.Aku pun turut lari mengekorinya.Dari luar aku dengar suara lelaki menjerit ..woiiiiiii!!!Din ketawa ,aku pun ketawa...rakan lain yang sepi dengan nota mula keluar dari bilik masing-masing tertanya-tanya.

Dan pada hari yang lain pula perkara yang sama diulangi.Kali ini mangsa kami rakan-rakan yang sedang rancak bermain sepaktakraw di bawah flat Kerinchi.Dibalingnya bom air sambil menunggu reaksi rakan di bawah.Kami ketawa sambil lari masuk ke asrama.

Dan ada juga projek usahasama pelajar lelaki yang dah miang dan gatal ketika itu.Projek menyakat pelajar (siswi) di tingkat atas.Yang ini aku tak join sangat tapi tetap beri sokongan moral.Hebat jugak aku ni.Projek ni senang jer.Agak-agak yang kaki study tentu tersenyum kalau terbaca.Biasala kalau study..boleh jadi study maut punya.Kalau setakat pukul 2.00 pagi tu.Itu tahap novis.Yang seronoknya pada ketika itu siswi pun ada jugak yang bersengkang mata.Tambah pulak dah dekat nak exam.

Projek baik ni Burn(Abu Bakar) dan Din sebagai penghulu projek akan memainkan peranan penting.Mereka akan belikan kemenyan atau kapur barus siang tadi.Lalu bila dinihari dari bawah mereka akan mengintai mana-mana bilik yang masih menyala lampu biliknya.Diasap kemenyan sambil mengipas arah asap kemenyan ke hala tingkap siswi.Kejap lagi berlarilah orang atas tu menjerit minta tolong..Kalau stok kemenyan dah habis...kapur barus pun boleh jugak.

Kini aku tidak tahu Din di mana kehidupannya sekarang.Kali terakhir aku berjumpa ketika Din berhari raya di rumahnya di Kg Serting Ulu,Negeri Sembilan pada tahun 1997,membawa bersama seorang gadis manis yang bergelar isteri berasal dari Terengganu.Beliau ketika itu menetap di Sabah.

25 November 2008

"Kenapa tak ambik dia,dia cantik"

“Kenapa tak ambik dia,dia cantik !”

Sedikit resah bila Zilla (Norzilla Adam) bekas rakan sekelas waktu di Yayasan Anda Akademik dulu memulakan pertanyaan.Itu kisah waktu aku terserempak dengan Zilla di Pej.Agama Islam Jelebu ketika dia berurusan untuk mendapatkan borang permohonan nikah pada tahun 1996 dulu.Selesai urusannya aku mempelawa Zilla keluar minum bersama di Restoran Fatimah di pekan Kuala Klawang pagi itu.Aku tidak lagi malu.Sifat malu kepada perempuan telah lama kubuang sejak bekerja di jabatan kerajaan ini.

Kami berbual kisah-kisah waktu belajar dulu ,perkembangan rakan-rakan termasuk diri masing-masing.Zilla akan mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihan dari Johor.Ketika itu dia guru di sana.Ketika rancak berbual Zilla tiba-tiba bertanya mengenai seseorang yang telah lama ingatanku terhadapnya terpadam.Aku mula sedar memang rakan-rakan kebanyakannya menyangka aku mempunyai hubungan dengan gadis yang dimaksudkan.Aku hanya terdiam seolah-olah tidak mahu mengenang kisah lama itu lagi.Kecewa mungkin.Zilla bercerita lagi betapa dia telah melihat rakan sekelasku itu tanpa bertudung.Cantik katanya.Rakan siswi di hostel memang tahu hubunganku dengan gadis itu tetapi sejauh mana benarnya,hanya aku saja yang tahu.

Aku hanya senyum dan menepis rasa kesal.

Aku akui gadis itu cantik di mata ini.Bertudung labuh.Pilihan utamaku jika satu hari nanti aku perlukan teman hidup sebagai suri hatiku.Ya aku memang berkenan sangat gadis yang bertudung labuh itu.Mengingatkan aku kepada teman sewaktu di ITM,Shah Alam dulu.Norlaila Zakaria.Kalau dikenangkan mungkin kecelaruan.Semuanya berlaku tidak dirancang.Perkara ini tidaklah serius pada awalnya kerana aku tidak mahu memikirkan sangat.Kata orang, waktu menimba ilmu kebanyakannya cinta monyet.Entahlah mungkin ya mungkin tidak.Tapi ada juga cinta sebegini yang kekal bahagia hingga ke jinjang pelamin.Matlamatku ketika itu lulus dengan baik untuk peperiksaan STPM akan datang (1989).Namun bayangan wajah pelajar perempuan sekelas itu sukar aku nafikan.

Fikiranku ketika itu berligar-ligar sekitar tahun 1989, membawa cerita berlainan dalam hidupku.Dulu aku kemarukkan ilmu akhirat.Hatiku lebih tenang mendengar ucapan keramat dari ustaz yang petah berceramah sehingga kadangkala hati boleh diruntun sayu.Tapi 1989 kecintaanku perlu aku seimbangkan dengan mencari ilmu untuk bekal di dunia.....dan pastinya kehadiran gadis itu adalah pembakar semangatnya.

Satu masa nanti akan aku ceritakan juga dalam blog ini.

24 November 2008

Monolog

Benar.Kematangan hidupku bermula kebanyakannya di sini (Yayasan Anda Akademik).Berada di tengah-tengah kehidupan kota Kuala Lumpur aku banyak mengenali sikap dan sifat manusia.Manusia mengejar kemajuan dan kemodenan tapi harga diri menjadi taruhan.Mulanya aku tidak faham mengapa manusia harus  menjadi hipokrit.Mana nilai kebaikan dan kejujuran.Kadangkala sukar menjadi manusia yang baik dan tidak dapat dipastikan pula sejauh mana keimanan jika tidak diuji.

Mujur juga aku bertemu dengan rakan yang menyayangi nilai hidup bertauhid.Di Kuala Lumpur ketika itu pertembungan mengejar keduniaan dan mereka yang mengejar akhirat terlalu sengit.Nilai moral selalu tergadai.Aku sedar aku tidak perlu terikut-ikut dengan kehidupan yang berpura-pura ini.Dengan kawan kadangkala aku berhujung minggu di Masjid India mengikuti aktiviti kumpulan Tabligh dan pada pagi minggunya akan ke rumah Pak Yazid di Kampung Baru mendengar kuliah agama.Atau setidak-tidaknya mendengar kuliah agama di Masjid Jamek Universiti Malaya berdekatan.Sesuatu yang aku rindukan.

Aktiviti dakwah memang selalu diadakan.Masjid Negara,Pusat Islam, surau Hospital Universiti dan sebutlah berapa banyakpun pasti tidak terbilang.Keterbatasan hanyalah modal untuk bergerak kerana hidup di Kuala Lumpur bermula dengan duit.Aku bersyukur dan itulah aktiviti sampinganku di Kuala Lumpur.Jiwa juga perlukan sentuhan dan ransangan.Tidakkah pernah guru kita berkata "hati yang tidak mendengar ilmu akhirat selama 3 hari berturut-turut boleh menjadi mati".


23 November 2008

Eduan Jaafar a.k.a Bulat

Seorang lagi rakan sebilik.Pelajar ini datang dari Segamat Johor.Bertubuh gempal.Seorang yang pendiam tapi cukup menghormati aku.Seorang yang agak pendiam dan gemar buat hal sendiri.Minatnya membeli mainan Tamiya dan mencantum-cantumkan mainan tersebut lalu menjadi miniature (model kapal,kereta dan sebagainya).Dulu ketika aku berusia 11 tahun aku juga minat hobi yang sama.

Aku dan Eduan pernah tidak bertegur sapa.Dan dialah satu-satunya pelajar yang tidak mahu bercakap dengan aku.Punca terjadinya hal demikian amatlah mudah.Namun pengalaman hidup di rantau menjadikan kami saling berharap dan perlu memerlukan.Kesusahan antara kami sama-sama terpikul.Akhirnya kami kembali berdamai.

Puncanya pada satu pagi selepas solat subuh kami duduk berkumpul di tengah ruang tamu sambil berbual-bual mengenai hal masing-masing.Hari tersebut adalah cuti hari Sabtu.Maka masing-masing tidaklah tergesa-gesa hendak bersiap.Kami adakan usrah tapi bukan khusus membincangkan hal agama.Apalagi yang menarik kalau bukan bercerita mengenai pelajar perempuan (awek-awek).Aku pun join jugak.

Setelah hari hampir terang,seorang rakan (budak Sabah) ke muka pintu kerana menantikan adik si penjual nasi lemak lalu.Pada masa tengah berdiri di muka pintu dia terpandang kad bersampul yang telah digam tanpa nama penerima di atas rak kasut.Lantas beliau ambil dan bawa kepada kami yang masih duduk berkumpul di ruang tamu sambil berbaring.Katanya dia dapat surat tapi tak tahu siapa yang bagi.Aku ambil dan belek tak ada tanda-tanda dihantar kepada kami.Lalu kami pun berkira kemungkinan pelajar perempuan yang hantar untuk surprise…aku buka surat tersebut.Tenyata ia sekeping kad ucapan yang ditujukan kepada pelajar perempuan yang kukenal.Tapi siapa pengirimnya….Secret Admirer.!

Masalahnya si empunya tulisan itupun aku kenal.Dan aku tersedar yang kami telah membuka surat Eduan kepada Norzilla Adam,rakan sekelasku.Alamak…!!!Aku dengan perasaan bersalah lalu mendapatkan Eduan.Eduan juga turut terkejut kerana suratnya tela dibuka.Merah padam muka Eduan menahan marah.Hari itu merupakan hari malang kami semua kerana Eduan tidak mahu maafkan kami.Aku bersungguh-sungguh minta maaf kepada Eduan.Aku nyatakan kami tidak sengaja.Eduan tetap tidak maafkan.

Entah berapa lama tidak bertegur sapa akupun tidak ingat lagi.Tapi satu malam selepas Isyak,Eduan datang kepadaku.Dia mohon maaf atas tindakannya tidak memaafkan aku.Aku kata aku telah maafkan dia dulu namun sepatutnya akulah memohon maaf.Dan sejak itu tahulah aku hubungan Eduan dan Norzila Adam.

Aku mencari idea bagaimana hendak menceriakan hubungan yang baru pulih.Aku berpakat dengan beberapa orang rakan untuk menghantar kad ucapan kepada pelajar perempuan penghuni di tingkat atas.Aku cadangkan kami menggunakan manila kad sebagai kad.Besarnya.Aku gunakan skill melukis untuk mencantikkan lagi kad kami.Sehingga kini aku masih ingat bentuk lukisan tersebut.Aku bayangkan pada suatu malam yang gelap di bilik no *8 seseorang bertanya kepada Zilla (Norzila) siapa pelajar lelaki paling tampan di hostel ketika itu ,lalu dijawab Zila "Bulat".Yang bertanya tercengang tidak dapat meneka siapa "Bulat" yang dimaksudkan.(Bulat tu panggilan manja Eduan).Eduan sangat teruja dengan kartun yang kulukis mengenai dirinya.Dan aku pula terasa sangat lapang bila kami sudah berbual mesra.

Eduan tidak menamatkan kelas sehingga ke Enam Atas.Beliau menerima tawaran maktab perguruan.Kemungkinan sekarang menjadi guru di selatan tanah air.

Pada tahun 1996 aku terserempak Zila di Pejabat Agama Islam Jelebu.Katanya menghantar borang nikah.Bila aku selidik ternyata bukan dengan Eduan,tapi rakan setugas Zila dari Johor yang juga seorang guru.

Cerita begini memang nampak simple.Tapi aku percaya solat berjamaahlah yang menyatukan kami.Bila salah seorang tidak lagi join berjemaah hati akan diketuk rasa bersalah.Tinggalkan rasa kecewa dengan sikap manusia tapi kepentingan solat berjemaah perlu diutamakan.Rasa rindu hendak berjemaah bersama akan mengenepikan sebarang rasa hati yang tidak puas.

NA- sekarang guru di sebuah sekolah di selatan tanah air.

22 November 2008

Kisah di 6 Bawah

Teringat-ingat juga sekitar 1988 sewaktu berada di kelas 6 Bawah banyak pengalaman telah aku harungi bersama rakan sekelas.Aku sendiri mempelajari banyak perkara tentang hidup terutamanya pergaulan bersama rakan.Sebelum ini aku tidak punyai ramai rakan jadi pergaulanku amat terbatas.Dengan kesempatan belajar semula ini telah membuka peluang kepadaku seluas-luasnya mengenali berbagai ragam manusia terutamanya pelajar.

Walaupun belajar di form 6 kami juga ditempatkan bersama pelajar tingkatan 5 di hostel penginapan yang terletak di flat tingkat 14, Kg Kerinchi.Jadi rakanku juga terdiri dari pelajar tingkatan 5.Antaranya yang kukenal baik seperti Mohd Amin,Zul(Satay Kajang) dan sudah tentu Noor Azam yang happy tidak lekang dengan gurauan dan ketawanya.Ada juga pelajar senior seperti Suhaimi dan lain-lain.

Ada satu kisah yang yang kalau dikenang-kenang kadangkala buat aku tersenyum sendirian .Kisah ini sebenarnya aku sendiripun terkeliru.Bagaimana boleh sampai ke tahap itu ia terjadi.Begini ,mulanya pada pagi Jumaat tersebut sedang kelas ekonomi berjalan dipimpin oleh seorang cikgu wanita (tak ingat nama) yang juga merupakan pensyarah ekonomi di Universiti Malaya.Datanglah dua orang pelajar perempuan senior 6 atas minta izin kepada cikgu untuk memberi sedikit pengumuman.Biasanya berkaitan dengan pertemuan atau usrah pelajar perempuan selepas kelas berakhir pada hari Jumaat tersebut.

Sedang salah seorang dari mereka berdiri sambil memberi penerangan di tepi sebuah kipas besar yang sedang berpusing. Tiba-tiba hujung tudung labuhnya berpintal masuk ke dalam pusingan kipas tanpa disedari oleh sesiapa.Aku dan rakan-rakan taklah pula mengambil perhatian kepada pelajar tersebut kerana ia bukan berkaitan dengan kami.Jadi kamipun tidak menyedari apa-apa.Begitu juga pelajar perempuan sekelas yang tidak perasan perkara itu berlaku.

Entah macam mana pelajar senior tersebut juga tidak menyedari hujung tudungnya ditarik angin kipas.Lalu berpintal dan mulalah pelajar tersebut terkejut sambil menahan kain tudungnya dari terus ditarik dan berpintal mengikut kipas.Pelajar perempuan kelas akupun turut menjerit terkejut.Waktu aku sedari dan turut juga tergamam lantas aku terbangun dan pergi mendapatkan pelajar itu lalu menutup suis dan menahan kipas dari terus berpusing.Aku lihat merah padam muka pelajar tersebut menahan tudungnya dari terus ditarik.Kalau tidak mesti tertanggal dari kepalanya.Aku pulak tidak semena-mena tanpa diarah atau terniat telah berada berada di situ menolong.Entah macam mana tiba-tiba aku sedari bahawa aku telah berada di hadapan pelajar perempuan.Waktu itu baru aku tahu kedudukanku.Aku tidak ingat bila aku terbangun dari kedudukanku sambil berlari ke arah mereka.Sungguh.

Aku sebenarnya tidak sedar semua itu berlaku sehinggalah aku mula sedikit segan bila berada di hadapan pelajar perempuan sekelas.Balik ke hostel itu aku ada juga terfikir.Macam mana ya.Mungkin ia datang dari gerak hati yang mendorong apabila terlihat perkara buruk seperti itu berlaku.Aku terfikir juga mungkin aku suka melihat kebaikan dan kebaikan juga akan berlaku ke atasku.Di awal tulisanku juga dulu pernah juga aku katakan bahawa kadangkala kebaikan itu datang dengan dirancang atau boleh juga datang tanpa dirancang.Mungkin ini agaknya hidayah.Syukur pelajar perempuan itu tidak apa-apa.Kain tudungnya tidak koyak hanya sedikit hitam kesan terkena minyak dan habuk dari kipas.Kalau tidak mungkin menanggung sedikit malu tudung tertanggal dari kepala.

Aku tidak ingat samada dia ada ucapkan terima kasih atau tidak tetapi pengumumannya dipendekkan dan tergesa-gesa keluar.Aku tidak kisah asal semuanya ok.Perkara itu berlaku di hadapan cikgu wanita tadi dan subhanAllah mendapat pujian pulak.Sejak itu ada saja cikgu itu memuji.Antaranya ,kata cikgu tulisanku besar ,kemas dan teratur.Katanya lagi itu tanda orang yang bercita-cita besar.SubhanaAllah !!!.Kalau nampak aku pasti dia minta aku tolong sesuatu.

Tapi seperkara yang menjadi kenangan manisnya ialah rakan pelajar lelaki memanggil ku hero!Kelas kita ada hero!!! Hehehehe…usikan dan gurauan dari rakan-rakan sememangnya membuat kami bertambah rapat.Aku tidak boleh melupakan itu.Tapi bukanlah pujian dan kemegahan yang aku pintakan.Alhamdulillah aku sedar aku sebagai hamba.

Mengenang diri selepas subuh

Aku tidak mempunyai sesuatu benda yang berharga pun untuk diriku selain dari umurku saja.Setiapkali kurasa umurku lanjut setiapkali itulah kurasakan modalku berkurangan.Semakin hari semakin kecewalah aku berniaga atau mencari keuntungan.

Hari ini adalah satu hari yang baru yang telah ditakdirkan oleh Allah memberiku untuk hidup lagi,dipanjangkan umurku dan dibenarkan aku untuk mengecap nikmatnya andaikata Allah mentakdirkan aku mati,nescaya aku akan bermohon untuk kembali lagi ke dunia walaupun satu hari saja supaya aku dapat mebuat amalan-amalan yang soleh.

Wahai jiwa anggaplah dirimu itu telah mati lalu Allah mengembalikan untuk engkau hidup lagi hari ini.Oleh itu awaslah wahai jiwa,jangan sampai kau sesiakan hari ini,kerana setiap nafas dari nafasmu adalah mutiara yang tidak ternilai.Janganlah engkau bermalas-malas dan cenderong pada melakukan sesuatu yang tidak berguna atau berehat-rehat saja nanti terluput dari tingkatan-tingkatan yang dijanjikan kepada orang-orang yang berpangkat illiyin(tingkatan tertinggi yang diredai Allah swt seperti yang dicapai oleh orang lain).Sedang engkau tidak dapat apa-apa.Rasa kesal dan kecewa tentu tidak akan berpisah dari dirimu,meskipun engkau berjaya dimasukkan ke syurga namun pedih disebabkan kerugian dan penyesalan itu tetap tidak akan tertanggung lagi.

19 November 2008

Fabian.

Seorang pelajar keturunan Tamil tapi beragama Kristian,anak kakitangan Telekom Jalan Pantai Baru,KL..Aku mesra memanggilnya dengan nama Fabian saja.Asal namanya panjang sangat.Aku tertarik dengan rakan sekelasku ini.Mudah tersenyum dan mesra.Pandai bergaul dengan pelajar lain yang bukan sebangsa dengannnya.Seingat aku hanya ada dua saja pelajar Tamil di kelas 6B1 ketika itu.Aku tertarik dengan Fabian kerana pelajar ini adalah satu-satunya pelajar yang berminat mengetahui perjalanan hidupku.

Entah macam mana Fabian ni suka sangat bertanya perihal peribadiku.Aku tak kisah sangat.Lagipun dia tanya perkara berkaitan dengan apa yang aku sedang lakukan.Umpama kenapa aku pakai serban,kenapa bercelak,kenapa sembahyang..banyak lagilah.Bab bercelak tu aku hanya amalkan sekali sekala saja.Lagipun sunat dan sunnah Nabi.Tapi ada jugak rakan pelajar lain yang amalkan.

Ada juga aku bertandang ke rumah Fabian.Dia selalu mengajak tapi aku kadangkala menolak jugak sebabnya aku ni bukan suka berjalan.Namun ada juga aku pergi ke rumah Fabian.Bila aku masuk ke dalam rumahnya barulah aku tahu Fabian dan keluarganya mengamalkan Kristian Protestan.Di dinding rumah penuh dengan gambar dan objek Jesus (katanya la..).Aku selamba jer masuk rumah Fabian.Selepas berkenalan dengan keluarga mereka ternyata mereka sedikit segan kerana Fabian berkawan dengan aku yang pakai serban.

Penghujung Disember 1989 aku masih di Kuala Lumpur setelah menamatkan STPM,satu petang ketika aku dan rakan sewa serumah ke surau untuk solat Maghrib aku nampak seorang pemuda berpakaian putih dan berserban putih,kelibatnya macam pernah kujumpa.Bila kuhampiri dan memberi salam barulah aku tahu.Fabian ketika itu telah menganut Islam.SubhanaAllah !!!

Aku bertanya kepadanya tidakkah keluarganya menentang.Alhamdulillah katanya semuanya dimudahkan Allah.Terkenang aku di awal 1988 rupanya Fabian berminat dengan Islam.Patutlah dia bertanya banyak perkara denganku mengenai Islam.Semoga Fabian menjadi pemuda yang soleh.InsyaAllah.

18 November 2008

Pelajar perempuan kelas sebelah.

Di kelas 6B2 pula aku terperasan ada seorang pelajar perempuan yang wajahnya ada iras rakan ketika di ITM dulu.Berkaca mata dan wajah kecinaan.Hati selalu terdetik ingin mengenali,  bila terpandang atau berselisih dengannya.Tapi takut hendak menyapa.Pernah juga dia melemparkan senyuman padaku tapi kubalas kosong saja.Memang padaku ketika itu wajahnya seakan-akan seseorang yang kukenal lama dulu.Lama-kelamaan aku mencari jalan bagaimana hendak mengenali gadis yang kukenali sebagai F ini.Kebetulan pula aku dan F dilantik sebagai Pustakawan jadi inilah peluang aku mengorek rahsia dirinya.

Tapi aku ni jenis yang lembab.Segan sangat hendak menegur F.Dalam hati berdebar-debar aku mencari data peribadi  F melalui rekod pustakawan.Aku cuba mencari rahsia F.Alhamdulillah aku dapat nombor telefon dan alamat F.Lalu kutuskan  kad kepada F, kad salam perkenalan tetapi menggunakan nama samaran.(Pandai jugak aku).Tapi bukanlah secret admirer.Aku tulis bahawa aku dari kelas 6B1 hendak mengenali F.

Pada mulanya F tidak dapat meneka (sapalah mamat ni…) siapa aku.Sehinggalah satu hari selepas pulang ke hostel rakan sebilikku, Bus (B, budak Tawau,Sabah juga rakan sekelas F) bertanya kepadaku kerana dia tahu nama samaranku.Aku mengaku bahawa akulah yang menulis kad pada F.Malam itu aku bertekad menelefon F agar tidak timbul kontroversi nantinya.Aku terangkan pada F tujuan utamaku hendak mengenali F.Tekaanku jauh meleset.Namun yang membuatku tidak kehampaan ketika itu ialah F melayan pertanyaanku dengan mesra.Mmm...

Aku tidaklah berniat hendak mengenali F seterusnya.Cerita itu tamat begitu saja.Namun setiap kali terpandang F hatiku sangat teruja dan serba salah.Kecil molek orangnya dengan wajah seakan-akan anak gadis cina.Ciri-ciri yang kusuka sebenarnya.

17 November 2008

Rakan dari Form 5


Selain itu aku mempunyai beberapa rakan pelajar dari tingkatan 5 yang tinggal di hostel yang sama.Antaranya Norazam,Zulkifli (anak tokeh Sate Kajang) dan lain-lain yang aku dah lupa.Dalam ramai-ramai itu, Norazam adalah pelajar pertama yang aku kenali semasa mula-mula masuk ke YAA ini.Sehinggalah aku menamatkan STPMku ,kami masih lagi berhubung.Melalui Norazam kami banyak bercerita tentang diri masing-masing.Dia seorang yang good looking.Tidak pernah jemu kalau berbual dengannya.

Selepas STPM aku hanya berhubung dengannya.Adalah seorang dua seperti Meor Shahrom ,Suhairi yang masih boleh bertemu ketika itu.Rakan-rakan lain entah ke mana meghilangnya.Masing-masing telah membawa haluan diri.Mungkin ada yang terus terjun ke dunia pekerjaan.Ketika itu teknologi berhubung seperti sekarang ini belum lagi sampai ke Malaysia.Bayangkan jika era it dan hand phone seperti sekarang tentu tidak terjadi lost contact seperti sekarang.

Namun sejak 2001 kami telah terputus hubungan.

Kawan...M.Nasir

Alangkah sukarnya mencari kawan

Mungkin kau tak menduga

Kawan yang mengerti ertinya kawan

Jujur hati dan setia

Cubalah hidup sendiri

Mungkin kau kan mengerti

Hargailah duhai insan

Kehadirannya seorang kawan

Oh ! jagalah kau hatinya

Agar ia hormati dirimu

Kau akan hidup bahagia

Hargailah duhai insan

Kehadiranya seorang kawan

Oh ! jagalah kau hatinya

Agar kau tak kekosongan

Kau akan hidup bahagia

Kawan yang membawa kita bersama

Ke jalan kebenaran

Cubalah hidup sendiri

Mungkin kau kan mengerti.

06 November 2008

Yayasan Anda Akademik 1988 -1989

Awal 1988,aku memulakan hariku bergelar pelajar.Kali terakhir yakni hampir 5 tahun dulu aku menyarung baju putih dan berseluar panjang warna hijau.Kini aku kembali mengenakan pakaian serupa.Bezanya penampilanku sudah jauh berbeza.Aku tidak dapat lari dari mengenakan serban di kepala.Entah mengapa ia semacam menjadi pakaian rasmiku ketika itu.Kadangkala aku bosan namun kerap juga terasa tidak lengkap jika tidak memakai serban.

Aku tidak seperti pemuda sebaya ketika itu.Terasa bagai terperangkap dari dunia luar.Tapi ada juga kesan yang besar terhadap diriku yang aku patut syukuri.Ya itu kesan yang dalam.Manakan tidak ! sekurang-kurangnya aku berjaya mengelak dari berada di tempat yang tidak sepatutnya.Lepak tidak mengira tempat dan masa.

Pada mulanya memang terasa janggal menjadi pelajar dengan memakai serban.Suasana amat janggal sangat.Dapatkah pelajar lain menerima dan yang lebih penting dapatkah pihak guru,pengurusan sekolah terima pelajar sepertiku.Pada masa itu aku cuba tidak memikirkan sangat hal ini.Apa akan terjadi aku hanya berserah.Niatku bukan untuk mencabar.Aku teruskan dengan memakai baju melayu dan berserban dan berseluar hijau.Ganjil.Tapi Alhamdulillah aku tidak menerima apa-apa teguran dari pihak pengurusan cuma ada seorang guru yang menegur dan meminta aku berpakaian kemas sedikit.

Aku dimasukkan ke kelas 6B1.Seronok.Ramai pelajar lelaki melebihi perempuan.Walaupun usiaku dah hampir 23 tahun tapi nampak macam remaja belasan tahun jadi tidaklah sangat terasa jarak fizikal kami.

Aku suka belajar di sini.Di samping dapat mengenali rakan baru apa yang lebih menyeronokkan ialah aku dapat mengenali suasana amalan Islam secara berkumpulan atau jamaah.Ada yang pro Tabligh,Al-Arqam,PAS,Sahabat,ABIM,JIM,IRC dan macam-macam lagi.(Kebanyakannya dah tak ingat).Namun kami bersikap terbuka apabila tiba percanggahan ideologi jamaah.Kami pun bukanlah ahli atau terikat dengan usrah jamaah masing-masing untuk menegakkan pendapat.Begitu juga di kalangan pelajar perempuan ada yang terlibat dengan usrah-usrah jamaah masing-masing.Aku suka keadaan itu kerana hidup di kota besar pada ketika itu setidak-tidaknya aku dan mereka terkawal oleh keinginan remaja atau pengaruh luar.

Di kelas aku hanya mahu dipanggil along saja.Aku rasa aku lebih berusia daripada mereka dari segi umur.Rakan sekelas pula rata-rata baru menamatkan SPM.Mungkin tidak berpuashati dengan result yang diterima atau belum menerima tawaran melanjutkan pelajaran di sekolah kerajaan lalu mereka memilih private school untuk mengambil STPM.

Aku duduk barisan paling hadapan.Bersebelahan kananku rakan dari Batang Berjuntai,Selangor.Zulkifli namanya.Berkacamata dan bersongkok hitam.Kadang-kadang aku panggil Zul atau Ucu atau acu.Belakangku Din (budak Serting Ulu) dan Haris (Ampang).Macam biasalah di kelas aku tidak berapa rapat dengan pelajar perempuan.Jadi seorang dua saja yang aku ingat.

Tahun 1988 adalah tahun penting dalam perubahan hidupku.Dari situ aku mengenali ragam manusia dan kelemahan diri.Sebelum ini aku tidak banyak bercakap (berat mulut),pendiam di kelas.Itu sifat yang belum berjaya sepenuhnya kubuangkan dari diri ini.Tapi bila berada di kalangan rakan yang mesra begitu sedikit sebanyak aku dapat menyingkirkan juga kelemahanku itu.

Di kelas walaupun aku mengenakan serban tetapi sebenarnya aku tidaklah berasa terasing.Pelajar yang lain juga memakai songkok,ketayap dan ada juga yang kadangkala memakai serban.Aku tidaklah menganggap diriku baik.Tapi bila mengenakan cara berpakaian begitu aku segan dan setidak-tidaknya menjauhkan diri dari berkelakuan tidak senonoh.

Di kalangan guru dan pensyarah mereka tidak membezakan kami.Semuanya sama.Lagipun tradisi private school seperti YAA ini punya sejarah tersendiri kerana di sini adalah markas ABIM dan opis tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu berjuang.DSAI dan rakan-rakannya dalam ABIMlah yang mengasaskan YAA.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...