11 January 2017

Antara hobi dan kenangan

Di samping mendengar lagu aku juga minat melukis.Atau melukis sambil mendengar lagu.Sudah semestinya kena dengan dunia remajaku sekitar awal  1980’an dulu.Sejak di sekolah rendah melukis adalah subjek yang paling senang untuk menggambarkan hati, bermain dengan perasaan dan berkata-kata dengan alam.Melukis dapat meredakan jiwa yang kacau.Medium lukisan pula  aku gunakan pensil 2B dan juga water color.

Selepas berhenti kerja sebagai penampal tiub basikal aku mula mengasah minat sedikit demi sedikit dengan melukis.Aku melukis watak kartun popular yang selalu di siarkan di televisyen. Aku juga melukis imej statik seperti buku-buku dan kasut bola dengan teknik pencahayaan yang tirus .Lanskap dan potret diri serta imiginasi.Kadangkala aku dan kawan ke padang pendaratan helikopter untuk melukis imej helikopter terutamanya helikopter TUDM Nuri.

Aku duduk di perdu pokok sambil mengabadikan alam di atas kertas lukisan.Melukis imej  menarik pada pandanganku.Begitulah hari demi hari, namun bukanlah setiap hari kuhabiskan masa dengan melukis.Minat yang lain adalah menyanyi.Tidak kira apa jenis lagu memang aku suka bernyanyi.Lagu dari kumpulan Carefree yang popular dengan Rindu Bayangan tapi aku juga minat mendengar lagu Kenanganku dan kesemua lagu-lagu dari tiga album yang dihasilkan, Black Dog Bone , Alleycats, Blues Gang, Sweet Charity, The Flybaits, Kembara dan Harmoni antara kumpulan muzik yang popular ketika itu.Lagu-lagu kumpulan itu sentiasa saja diputarkan di corong-corong radio.Hari-hari.

Penyanyi solo pula seperti D.J.Dave, Hail Amir,Uji Rashid, Sharifah Aini.Lagu-lagu mereka memang sentiasa menjadi feveret sebabnya aku telah terdedah dengan muzik mereka sejak dari sekolah rendah terutama lagu Rintihan Rasa nyanyian D.J.Dave dan Uji Rashid.Apalagi gandingan Hail Amir dan Uji Rashid yang meletop-letop itu.Terdapat juga penyanyi lelaki dan perempuan sezaman era itu yang juga diminati ramai.Namun penyanyi itu tidak selalu menjadi perhatianku.

      Itulah pop culture ku ketika itu.Boleh dikatakan  segala jenis LP lagu-lagu penyanyi pada masa itu terkumpul di bawah radio gram di rumahku.Album dari pelbagai jenis penyanyi.Ayahku minat mendengar lagu-lagu penyanyi keturunan Cina sementara ibuku  pula meminati lagu-lagu Tamil dan Hindustan.Memang meriah.

Memasuki tahun 1983 aku meminati lagu-lagu berbentuk puisi.Barisan ayat-ayat yang puitis dengan irama yang melodi menghiasi kesyahduan lagu.Selalunya lagu itu bertemakan cinta.Memang syahdulah apabila mendengarnya.Dan pada sekitar awal Februari atau Mac 1983, aku tertarik  dengan iklan di surat khabar Berita Harian mengenai kelahiran penyanyi baru yang membawa lagu-lagu berbentuk sajak dan puisi.Wow.

Aku masih ingat saban hari aku menunggu masanya untuk album itu dijual di kedai-kedai muzik di sekitar pekan Kroh.Berhari-hari aku mengulangi kedai-kedai muzik menantikan album baru itu.Sehinggakan tauke kedai keturunan India di hujung jalan menghala ke pekan Baling, Kedah, itu faham, apa sebenarnya yang aku tunggu.Aku menceritakan album penyanyi  yang bakal keluar dan beliau akan menyimpan satu unit untuk aku apabila telah terjual nanti.

Sohaimi Mior Hassan, nama penyanyi yang sangat menarik pada perkiraanku.Unik nama itu.Orangnya tidak kacak, suara garau atau suara jantan kata media ketika itu.Kulit hitam manis.Penuntut luar negara bidang engineering dan meminati lagu folk dan pop.Boleh bermain gitar dan yang paling penting kulit album Prolog yakni album pertamanya seakan-akan misteri.Hanya potret wajah penyanyi dilukis .Suatu lukisan yang mengasyikkan bagiku dan sesuatu yang misteri yang menjadi kesukaanku.


Aku mula menyanyi lagu-lagu SMH.Kesemua lagu-lagu album Prolog amat-amat aku minati.Terutamanya Epilog Cinta Dari Bromley yang dikatakan ada kaitan dengan penyanyi tersebut.Lagu-lagu dari album itu paling seronok  dinikmati pada waktu malam...lagunya sedap.Penggunaan ayat yang mudah dan puitis.Dari situ aku terpengaruh mendengar lagu-lagu yang agak sentimental dan bermelodi.Setiap patah perkataan disebut dengan amat jelas.Apalagi tema cinta memang cepat menangkap jiwa dan perasaan orang yang berjiwa lembut sepertiku. Di situlah aku menemui  cinta yang lazimnya dialami oleh remaja.Semua minatku itu terangkum menjadi cinta.Cinta pada apa-apa sahaja.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...