Aku
bertekad berhenti kerja sebagai penampal tiub basikal.Tempoh sebulan terlalu
lama aku menanggung rindu pada kawan-kawan sepermainan.Aku rindukan gelak tawa
dan keriangan yang mereka ciptakan.Aku rindu pada gurauan dan sapaan mereka.Aku
terlalu rindu suasana petang dan menghabiskan masa bersama kawan yang sama-sama
membesar sejak dari alam kanak-kanak lagi.
Setelah
habis bermain bolasepak dan pulang ke rumah kami berpakat untuk mandi bersama-sama di berek mandi askar.Suasana
riuh ketika di padang bola tidak habis di situ saja malah bersambung ketika
mandi-manda.Usik mengusik, simbah menyimbah, menyapu sampoo atau sabun ke mata
kawan sambil berkejaran dalam bilik mandi.Rindunya suasana itu.
Petang
itu aku menerima gaji pertamaku sebagai penampal tiub.RM 70.00 sahaja.Wah sudah
cukup besar bagiku.Aku mengucapkan terima kasih dengan senyum kepada taukeh.Aku
mengayuh basikal ke kedai seberang jalan bertentang dengan kedai basikal.Di kedai
itu aku membeli dua aiskrim Walls Cornetto.Aiskrim yang lama aku idamkan tapi tidak
pernah merasakannya disebabkan harganya yang mahal sedikit pada tahun 1983
dulu.Di samping aiskrim lain berharga murah untuk adik-adikku di rumah.
Itulah
kali terakhir aku berkerja.Ayah bertanya juga kepadaku mengapa tidak berkerja
lagi.Aku hanya menjawab aku malas.Ayah tidak berkata apa-apa mungkin dia faham
maksudku.Seharusnya ketika itu aku menghabiskan masa dengan kawan-kawan sebaik
saja tamat Sijil Pelajaran Malaysia 1982.
Bermula
Februari, 1983 aku menganggur sementara menanti keputusan SPM keluar.Masa yang
ada itu banyak kuhabiskan dengan rakan-rakan sepermainan.Mendengar lagu,
memancing, menggetah dan menjerat burung, menonton televisyen.Tidak ada
aktiviti istimewa bagi remaja zaman itu.Cuma pada ketika itu menonton filem
melalui teknologi video VHS (video home
system) telah menular dengan penggunaan katrij.Ayah pula telah membeli set VHS player
dan menyewa filem-filem dari Hollywood, Bollywood juga dari negara jiran.Teknologi
itu kami manfaatkan dengan menghebahkan
kepada rakan-rakan yang ingin menonton akan dikenakan bayaran sebanyak lima
puluh sen. Keluargaku pun sudah mula berniaga jajan secara kecil-kecilan.Aku menjadi
taukeh jajan pula.
Pada
awal tahun 1983, masaku banyak dihabiskan dengan mendengar lagu.Ketika itu era disco dan dance music masih menjadi minat pendengar apalagi dengan adanya
teknologi remix yang mana kebanyakan
lagu-lagu disco barat diberi rentak
dan nafas baru.Aku sentiasa saja mengikuti perkembangan muzik itu sehinggakan
setiap hari pasti akan ke pekan Kroh dan meninjau kedai-kedai menjual lagu di
situ.
Namun
aku bukanlah peminat tegar aliran muzik seperti itu.Aku lebih berminat
lagu-lagu yang romantis, puitis dengan bahasa yang indah-indah.Aku suka lagu
yang membawa perasaan ku melayang ketika menikmati lagu-lagu itu.Lagu-lagu
melodi dengan tema cinta contohnya.Seperti lagu And I Love Her dari kumpulan The
Beatles di mana semua lagu kumpulan itu aku minati.Tidak ada pengalaman
bermain cinta tapi lagu-lagu sebegitu membangkitkan keghairahan perasaan cinta.Mungkin
jiwa remaja yang masih tercari-cari identiti diri dan kena dengan jiwaku yang
lembut dan sensitif ini.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.