03 January 2017

Alam Remaja dan Ayah

Ayah kerap singgah di kedai basikal melihat aku berkerja. Bila ayah bertandang,  tauke cina itu pun segera bangun dari mejanya dan mendapatkan ayah. Mereka akan berbual-bual sambil berdiri di kaki lima kedai dan  memerhati suasana kehidupan pekan Kroh atau Pengkalan Hulu sekarang. Aku hanya duduk dan sekali sekala melihat ayah dan tauke itu berbual.

Aku melihat ayahku cukup baik dengan tauke. Bahkan bukan dengan tauke kedai basikal saja. Ayah juga ramai kenalan dari golongan tauke cina di pekan Kroh. Ada tauke kedai runcit tempat ayah berhutang barang makanan yang kami sebut Kedai Ayan yang mana satu keluarga tauke itu juga mengenali ayah. Keluarga tauke pun mengenali aku. Sebabnya jika ibu meminta aku membeli barangan dapur pasti aku akan ke kedai runcit itu. Kadang-kadang kami berhutang dan jumlah hutang dicatitkan di dalam buku 555.


Begitu juga tauke cina pasar basah di hujung pekan Kroh. Kedai gunting rambut yang muda dan lembut orangnya. Aku suka kedai itu  kerana suasana kedainya bersih. Aku masih ingat sewaktu kecil, masih di sekolah rendah, ayah membawa aku bergunting rambut di kedai itu. Sambil rambutku digunting, ayah berbual-bual dengan tauke. Aku suka memerhati cermin besar di hadapanku yang dihias imej burung layang-layang berwarna putih di tepinya.

Ayah juga mempunyai  kenalan dengan tauke cina kedai pakaian, kedai kasut dan restoran makanan cina, kedai nombor ekor dan kedai menjual barangan eletrikal. Cuma aku tidak pernah nampak kenalan ayah, tauke kedai arak. Ayah nampak serasi dan mudah mengenali tauke-tauke cina di pekan Kroh pada masa itu. Pendek kata kebanyakan tauke juga mengenali ayah. Tentu ada rahsia, bagaimana  ayahku boleh berbaik-baik dengan tauke-tauke itu sehingga mereka juga mempercayai ayah.

Setelah ayah tiada di dunia ini, aku cuba mengumpul cerita-cerita ibu mengenai ayah. Dari ribuan cerita tentang ayah, aku cuma boleh simpulkan satu saja. Aku dapat tahu dari ibu sejarah kehidupan ayah sewaktu remaja dulu. Ketika ayah masih muda belia, ayah telah ditangkap oleh pengganas komunis sewaktu bersama rakan masuk ke hutan untuk mencari rotan. Maka selepas itu bermulalah kehidupan ayah bersama Parti Komunis Malaya yang kebanyakannya terdiri dari bangsa cina.

Ayah mengenali budaya cina seperti makan, minum, bahasa sepanjang mengikuti mereka. Ada juga kisah yang kudengar, ayah menyukai gadis cina di dalam kumpulan pengganas komunis itu. Oleh kerana ayah masih muda maka ayah dijadikan budak suruhan mereka. Tambahan pula ayah memang tahu selok belok hutan maka ayahlah tempat rujukan mereka.

Kata ibu, ketika ayah berkhidmat dalam Senoi Praaq, ayah menduda. Ayah sendiri tidak mahu kahwin lagi kerana serik. Kuala Lumpur tidak asing bagi veteran Senoi Praaq pada ketika itu sekitar tahun 1960’an, sebabnya bila malam tiba mereka akan keluar berhibur di Kuala Lumpur. Ayah mengenali ramai peniaga-peniaga di Jalan Chow Kit, Jalan Bukit Bintang ,Setapak dan Selayang.

Ibu menceritakan, ayah juga meminati masakan cina dan selalu mengunjungi sebuah restoren cina di Chow Kit Road. Kerap kali ayah ke situ  sehingga tauke suka memanggil ayah dengan nama Choo Kee. Satu hari tauke restoren itu mempelawa ayah untuk mengahwini anak perempuannya yang sudah lama menjanda. Ayah menolak untuk berkahwin disebabkan serik untuk bernikah lagi.

Bila aku sudah meningkat usia untuk bersekolah, ayah  mengajarku membilang dan mengira dalam bahasa cina. Pernah juga ayah ingin menyekolahkan aku ke sekolah jenis kebangsaan cina di pekan Kroh. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana aku menolak. Aku ingin bersama-sama rakan sebaya masuk ke sekolah kebangsaan.

Bila aku cuba memahami bagaimana ayah mudah membina kepercayaan dengan orang-orang cina dari situ dapatlah kufaham sikap ayah yang memang memahami budaya dan pembawakan orang cina. Ayah ingin aku menjadi sepertinya. Ayah pernah memberitahuku suatu hari nanti apabila aku telah dewasa, ayah ingin jodohku gadis cina. Itulah antara kenangan  bersama ayah ketika hayatnya masih ada satu waktu dulu.


Setelah remaja barulah aku faham mengapa ayah meminta aku berkerja di kedai basikal di pekan Kroh pada Januari 1983 itu, namun aku bertekad untuk berhenti juga.

     Pada suatu hari ayah memberitahuku niat isteri tauke untuk membawa aku ke Pulau Pinang dan berkerja di bengkel motorsikal saudaranya. Aku boleh tinggal di sana bersama saudara isteri tauke kerana kedai motosikalnya agak besar dan perlukan pekerja. Aku cuma diam dan tidak berkata apa-apa. Ayah faham kerana itulah sikapku jika tidak menyetujui sesuatu perkara.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...