31 January 2009

Ziarah dan Dakwah

Di samping menyampaikan ilmu melalui pertemuan kursus-kursus kepada saudara baru aku juga berpeluang mengikuti program ziarah dan dakwah di bawah unitku.Ketika awal 1992 itu hanya aku , Ustaz Jaafar ,Ustazah Fatimah dan Ustazah Norkamalawati (Mala) sahaja yang ikut serta.Peringkat awal program memang kekurangan tenaga.Hanya jika unit lain tidak terlibat dengan sebarang program barulah ada tenaga tambahan yang turut serta.Kumpulan sasaran adalah penduduk Orang Asli (Muslim) di perkampungan sekitar Negeri Sembilan.

Kami akan bermalam di perkampungan tersebut.Mengadakan ceramah dan tazkirah.Solat berjemaah dan mengambil tahu kebajikan saudara Muslim yang sudah menjadi tanggungjawab unit ukhuwah.Aku selesa begitu kerana aku dapat mengenali permasalahan saudara baru yang lain yang tidak jauh bezanya dengan peringkat awal aku memeluk agama ini.Menyelami rintihan dan kesusahan mereka.Bezanya kami mendatangi dan mendengar masalah mereka.Sedangkan aku dulu berusaha mencari ilmu di mana-mana tempat yang boleh aku dapat.Alhamdulillah ,syukur puji bagi Allah.Aku masih teringat kata-kata guru yang mengajarku dulu...jika kamu datang(berjalan) kepada Allah,nescaya Allah datang dengan berlari kepadamu.

Program ziarah dan dakwah diisi dengan pemantapan di sudut jiwa.Di samping mengajar asas-asas fardhu ain.Peringkat awal dulu,memang hampir tiada guru yang mengajar mereka di sebabkan kedudukan perkampungan dan kurangnya maklumat berkaitan pengislaman mereka.Hanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Sembilan saja yang tahu segala perkembangan Islam di kalangan orang asli.Di peringkat Jabatan Agama Islam pula memang aku akui guru-guru agama tidak ramai yang mahu menyebarkan kefahaman agama di kalangan orang asli.Dari situ timbullah kesedaran untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang kesucian Islam.Dalam sebulan aku juga ditugaskan mengajar dan berceramah kepada mereka.Sesuatu yang belum pernah aku lalui dalam hidupku dulu.Teringat juga waktu di tingkatan 5 aku (Pengerusi Persatuan B.Malaysia) biasa berceramah.Kadang-kadang berbahas dan berpidato tapi bidang itu sudah lama ditinggalkan.Rasa malu dan gemuruh memang ada.

Ketika itu pengisian kehidupanku sudah semakin bermakna.Dipenuhi dengan program-program berunsurkan agama.Fokus hanya kepada saudara baru agar kefahaman Islam di kalangan mereka lebih jitu dan mantap.Sekurang-kurangnya mereka dapat mendirikan solat tanpa tunjuk ajar dari kami.Aku juga mengucapkan terima kasih kepada UJ dan UF kerana melalui mereka aku dapat mempelajari berinteraksi dengan golongan ini.

Dan dalam masa yang sama aku dapat tahu sebenarnya UJ memang berniat hendak menjodohkan aku dan UF seawal mungkin agar program ziarah dan dakwah boleh dilaksanakan tanpa kehadirannya.Agar juga  tidak timbul fitnah antara aku dan UF. 

24 January 2009

1992: Darul Ukhuwah dan istikharah..

Rumah 2 tingkat yang disewakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dijadikan pusat aktiviti dakwah kepada saudara baru.Aku dipertanggungjawabkan menjaga dan menyelia segala kemudahan asas di dalamnya.Ketika itu pihak majlis atas permohonan unit Ukhuwah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi menjayakan  program dakwah.Aku mendapat tahu pihak majlis juga akan membeli 2 unit rumah teres 2 tingkat untuk dijadikan pusat tetap aktiviti dakwah seterusnya.

Tinggallah aku berseorangan menjaga Darul Ukhuwah sejak aku menerima tugasan sebagai Pembantu Dakwah sambilan.Menemaniku sebuah radio yang kubeli di Kroh(Pengkalan Hulu)sewaktu aku berkunjung ke sana tahun 1986 dulu.Lagu-lagu nasyid dari kumpulan Nadamurni (sekarang Rabbani) menjadi halwa telingaku.Kadang-kadang aku layan juga lagu-lagu pop yang popular sekitar tahun 1992 ketika itu.Selesai solat Isyak di Masjid Kariah Paroi Jaya yang jarak 100 meter saja dari rumah itu ,malam adalah saat yang amat sepi bagi yang tidak berteman.Jujurnya, sangat sepi.

Bilik kecil tingkat bawah sebelah ruang dapur kujadikan bilik istirehatku.Di situ ada alas dari toto dan selimut nipis.Sedikit buku-buku keagamaan untuk dibaca kala minda terarah ke situ.Tiada peti televisyen untuk menikmati siri-siri drama yang pernah kuikuti dulu.Tiada berita dan maklumat terkini mengenai apa yang terjadi pada dunia saat itu.Pun begitu mengelamun dan mengenang adalah pengalaman indah.

Masih terkenangkan seseorang.Janji kepada diri tidak mungkin dapat aku laksanakan.Lebih baik begitu dari memberi harapan kepadanya.Bimbang jika suatu hari nanti tidak tertunai ,aku dikatakan seorang pemungkir.Kehidupanku yang baru bermula ketika itu akan kupenuhi dulu dengan mencari bekalan.Menyiapkan diri dan keperluan hidup sebelum menerima seseorang sebagai suri penyejuk mata jiwa.Siapa...?

hendak gugur,gugurlah nangka
jangan menimpa dahan yang rapuh
hendak tidur,tidurlah mata
jangan dikenang orang yang jauh 

Ya Allah… Seandainya telah engkau catatkan… Dia milikku tercipta buatku…Satukanlah hatinya dengan hatiku… Titipkanlah kebahagian antara kami…. agar kemesraan itu abadi… Dan ya Allah… ya tuhanku yang maha mengasihi… Seiringkanlah kami melayari hidup ini… Ketepian yang sejahtera dan abadi…

Tetapi ya Allah… Seandainya telah engkau takdirkan… dia bukan miliku… Bawalah ia jauh dari pandanganku… Luputkanlah ia dari ingatanku… Dan peliharalah aku dari kekecewaan….

Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti… Berikanlah aku kekuatan… Melontar bayangannya jauh ke dada langit… Hilang bersama senja nan merah… agar aku bahagia… Walaupun tanpa bersama dengannya…

Dan ya Allah yang tercinta… Gantillah yang telah hilang… Tumbuhkanlah kembali yang telah patah… Walaupun tidak sama dengan dirinya…Ya Allah ya tuhanku… Pasrahkanlah aku dengan takdirmu… Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan… Adalah yang terbaik buat ku… kerana Engkau maha mengetahui… Segala yang terbaik buat hamba Mu ini…

Ya Allah… Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku… Di dunia dan di akhirat… Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini… Jangan engkau biarkan aku sendirian… Di dunia ini mahupun di akhirat… Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran…

Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman… Supaya aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup… Ke jalan yang Engkau redhai… dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh….
Amin.. Ya Rabbal A’lamin.


21 January 2009

Yayasan Anda Akademik,Bangunan Sri Pantai


bangunan yang dinamakan Ali Cafe (ms) tu la Bangunan asal Sri Pantai,terletaknya Yayasan Anda Akademik,Jln Pantai Bahru.Sehingga entry ini ditulis Bangunan Sri Pantai tersebut telah dirobohkan bagi projek komersial.Sementara Pangsapuri PKNS 17 Tingkat(ms) pula adalah asrama pelajar.siswa tingkat 16 sementara siswi tkt 17...lif sellalu gak rosak..menapak la naik tangga..

Yayasan Anda Akademik 1988-1989...rakan-rakan seperjuangan


hehehe..yg tercegat berdiri ,berserban tu aku la...
Suhairi.Meneruskan perjuangan bersama Yayasan Amal di Negeri Sembilan.


Ahmad Akhir kini berkerja di Maybank Cheras.Zul...berita yang kuterima daripada salah seorang sahabat telah pergi menemui Ilahi.Haris aku tak tahu...













Ada antaranya aku tidak ingat lagi..rakan sekelas Zul(arwah),Bustamin,Yusridin..insyAllah



18 January 2009

Inilah perjuanganku

Awal Disember 1991 aku melapurkan diri ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.Pagi itu suasana agak sibuk sedikit.Aku berurusan dengan beberapa bahagian bagi menyelesaikan urusan perlantikanku ke jabatan kerajaan ini.Aku dilantik sebagai Pembantu Dakwah Sambilan dengan gaji RM 400.00 sebulan.Alhamdulillah cukuplah bagi kegunaan diriku ketika itu.Nampak macam tidak mencukupi .Gajinya kecil mungkin, tapi aku tidak kisah lagipun aku ada juga mengambil upah mengajar muqaddam dan mengaji  anak jiran di taman tempat tinggalku.Jadi dapatlah sedikit sebanyak menampung hidupku di bandar Seremban ketika itu.

Ustaz Jaafar ceria menerima kehadiranku.Aku diperkenalkan dengan lain-lain kakitangan di Bahagian Dakwah.Ketua bahagian Ustaz Zakaria Hitam kulihat agak serious orangnya tapi mesra bila aku diajak berbual.Aku tidak lagi memakai serban.Hanya mengenakan ketayap ala kumpulan nasyid Hijjaz.Ustazah Fatimah hanya tersenyum bila kami bertentang mata..Aku sedikit malu.

Selain UF ada lagi dua orang ustazah dan 5 orang ustaz di Bahagian Dakwah.Aku diletakkan di bawah unit Ukhuwah.Siapa lagi kalau bukan Ustaz Jaafar bossku.Unit aku bertanggungjawab secara terus mengendalikan dakwah dan kebajikan kepada saudara-saudara baru.Hari pertama aku diberi sedikit penerangan oleh UJ berkenaan tugas yang bakal aku lakukan.

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.Sekurang-kurangnya aku telah bekerja.Aku tidak mahu menjadi muslim yang tidak punya matlamat hidup.Walaupun matlamat kehidupan abadi akhirat nanti tapi nasib di dunia perlu difikirkan.Punya ilmu,pengalaman itu adalah modalnya.Aku mahu menjadi seorang pemuda Islam yang sempurna.Mendapat rezeki dari hasil titik peluh sendiri dan bukan menjadi peminta-minta seperti kisah yang pernah aku lihat sepanjang hidup sejak bergelar muslim.

Aku ada Allah.Kepadanya segala harapan kusandarkan.Aku pernah susah,daif hidup seorang diri di rantau orang.Mencari ilmu agama atas ikhtiar sendiri.Alhamdulillah aku berasa yakin dengan diri kerana aku dapat menguasai asas-asas fardhu ain,malah dapat pula menyampaikan kepada orang lain.Tiba masanya pula untuk aku berbakti kepada golongan muallaf yang senasib dengan diriku.

Seorang muslim yang baik adalah yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan saudaranya yang lain.Aku mahu menjadi manusia seperti itu.Berkerja di unit Ukhuwah memberi peluang kepadaku merealisasikan niatku.Setiap bulan unit Ukhuwah akan mengadakan kursus kefahaman Islam untuk saudara baru yang baru memeluk agama Islam.Mereka kami kumpulkan dalam sebuah rumah dua tingkat  yang disewa oleh pihak Majlis Agama Islam dan dinamakan Darul Ukhuwah.Lelaki tidur di tingkat bawah sementara perempuan di tingkat atas.Kami masak bersama-sama.Seronok begitu kerana kami membiasakan mereka berinteraksi  sesama mereka yang terdiri dari pelbagai kaum.

Jadi peringkat awal mereka tidak merasa janggal mengenal Islam sementara aku pula diarah menyelia dan tinggal di rumah tersebut.Juga bertindak sebagai tenaga pengajar,menjaga kebajikan dan pemudahcara dalam kebanyakan slot praktikal.Hanya kadangkala saja dua orang ustazah datang membantu.

Itulah duniaku ketika itu.Pengisian hidup banyak merealisasikan ilmu yang kupelajari dulu.Begitu terasa berkatnya ilmu yang dituntut.Menjaga saudara baru pula bukanlah perkara yang mudah.Kebanyakan mereka masih terbiasa dengan kehidupan jahiliah sebelumnya.Malah ada juga masih mahu menyamakan Islam dengan agama nenek moyang mereka.Tauhid mereka masih lemah.Apalagi jika ada pertanyaan tentangnya.Bagaimana mahu diterangkan dan memahamkan konsep alam malakut dan ghaib sedang mereka berfikir secara logik .Inilah cabaran.

 Inilah perjuanganku.

14 January 2009

Dia yang kukenal.

Gadis itu yang kukenal, biasa saja orangnya. Berkulit cerah kuning langsat kata orang. Sederhana tingginya dan bermata sepet. Wajah persis anak cina (memang anak cina pun) dan paling penting bertudung labuh. Itu yang yang memikatku kerana aku tahu seseorang yang begitu, punya keinginan yang sangat baik kepada kehidupan  ajaran Islam. Aku sangat-sangat menghormati perempuan yang bertudung labuh. Sejak dulu hati ini mudah cair dan larut dalam dimensi lain kehidupan, apabila melihat gadis yang sedemikian. Pun begitu aku juga menghormati mereka yang bercita-cita menutup aurat. Tak kisahlah apa bentuk tudungpun selagi menepati tuntutan menutup aurat.

Dari segi kecantikan pula, siapalah aku ingin memiliki gadis yang punyai raut menarik, sedang aku sendiri pun tidaklah sehebat mana. Sekadar apa yang dianugerahkan Allah sudah lebih dari baik untuk aku membawa diri dalam kehidupan dunia ini. Pendek kata bersyukurlah. Aku tidak kisah tentang rupa paras kerana aku sendiri memahami kelebihan memilih suri hidup berdasarkan agama melebihi tiga perkara yang lain. Hasil tarbiyah dan tazkirah bertahun dulu.

Kadang-kadang apa yang kita dambakan pada yang tidak ada, tidak pula kita ucapkan berlebih syukur apa yang telah kita punyai. Itulah kita. Sudah puas dalam hidupku bertemu gadis yang baik, manis dan punya ciri-ciri solehah namun ketentuan Allah juga adalah terlebih baik. Hubunganku dengan ustazah ini permulaan sekadar biasa saja. Peringkat awal perkenalan, aku pernah luahkan rasa hati di atas warkah-warkah, namun tidak sehelaipun berbalas. Aku mula berteka-teki. Mengapa ?.Tapi tidak pula terbit bosan untuk menulis pada sekelian kali berikutnya.

Gadis itu pernah berkata dia tidak pandai menyusun bahasa dan layangkan warkah balasan untukku walau sekali. Aku pula memikirkan adakah dia sedang mengujiku atau…..Aku bersangka baik. Aku tidak pernah ingat berapa helai pucuk surat telah aku berikan dan tidak sehelaipun mendapat balasan.

Di penghujung November 1991, aku akhirnya mendapat surat gembira. Namun bukan surat dari ustazah itu. Surat tawaran bekerja di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Aku bersetuju menerima tawaran kerja itu dan bermula awal Disember 1991 kehidupanku menjadi lebih baik. Aku telah berkerja  dan mula memikir-mikirkan kehidupan pada masa akan datang.

08 January 2009

Pilihanku.

     Dia seorang gadis biasa. Berkulit kuning langsat. Seorang saudara baru juga sepertiku. Beza dia mendapat pendidikan formal 4 sanawi. Bertudung labuh, itu yang menjadi tarikan kepadaku. Entahlah... dari dulu memang aku sangat menyukai dan menghormati kaum hawa yang bertudung labuh tidak mengira sama ada yang tua atau muda.

Aku sangat menyukai wanita sebegitu. Aku juga mudah menyukai gadis bermata sepet seperti anak cina dan berambut ala china doll. Sebelum aku menganut agama Islam aku juga menyukai wanita yang bertudung. Selayaknya wanita muslim berpakaian menutup aurat begitu kerana Islam itu sendiri menggalakkan kaum muslimahnya berbuat begitu. Tidak kiralah bagaimana takrifnya atau garis panduannya. Namun bagiku yang menutup aurat dengan memakai tudung labuh sangat mengujakan.

Sebelum aku mengenali Islam dan mendalaminya aku sudah tertarik dengan keindahan Islam yang dibawa. Islam itu sendiri bermaksud selamat, aman, peace, tunduk patuh. Islam menjaga kaum perempuan supaya martabat mereka tidak dipandang rendah. Aku fikir Islamlah yang meletakkan kaum wanitanya setingkat ke atas berbeza dengan wanita yang lain. Walaupun aku tidak mengetahui tingkah dan perangai mereka yang bertudung labuh namun menjaga aurat sudah dikira berpahala.

Aku sangat tertarik kepada kaum hawa yang mengenakan tudung labuh berwarna hitam. Di situ terserlah kelembutan ciptaan Tuhan. Bagiku, manis dan mententeramkan. Aku masih ingat wajah-wajah rakan waktu belajar dulu. Mereka mengenakan tudung sebegitu sehingga aku jadi malu bertentang.

Rakan perempuan, ada yang berkata aku tidak memandang perempuan. He..he..he.. tidaklah sampai macam tu. Sebenarnya (waktu zaman remaja) aku sangat malu pada perempuan. Hanya mereka yang berani mendekatiku saja yang bisa aku pamerkan kemesraan. Aku pula mudah mempercayai seseorang apabila mereka ramah padaku. Tidak hairanlah jika aku mudah jatuh hati berkali-kali. 

03 January 2009

Tidak yakin kepada diri.

Selepas berakhirnya kursus saudara baru di Politeknik Port Dickson ,aku pulang ke kampungku di Kampung Putra,Jelebu.Bertemu keluarga kandung yang dirindui.Selama seminggu di sana aku tidak dapat melupakan wajah-wajah yang silih berganti di fikiran.Perasaan juga bertukar ganti.Tersenyum sendiri memikirkan kisah-kisah yang berlaku sepanjang kursus.Satu perasaan yang sukar ditolak ialah bila mana aku mula menyukai seseorang untuk kali yang entah ke berapa.Kadang-kadang aku sendiri tidak berapa yakin dengan diri.Bolehkah aku menyatakan kali ini dan bagaimana pula dengan gadis itu dapatkah ia membalasnya.

Aku belum pernah menyatakan secara langsung tentang perasaanku  kerana aku sendiri tidak yakin dengan diri.Pengalaman lalu telah banyak mengecewakanku.Kebanyakan itulah yang berlaku dalam hidupku.Keyakinan diriku sangat kurang meskipun aku biasa merantau dan membawa diri di tempat orang.Seingatku sewaktu tingkatan 3 di sekolah menengah dulu aku pernah juga menyukai seorang pelajar perempuan yang bernama Sarini Ab.Rahim yang berada di tingkatan 2 (Sekolah Menengah Tun Saban ,Pengkalan Hulu).Kami tinggal sama di kem Batalion 19/20.Aku jadi suka kepada gadis ini kerana renungannya  ketika berteduh dari hujan sewaktu pulang dari sekolah.Matanya!Ayahnya seorang pemandu kenderaan polis berpangkat sarjan dan kebetulan berada dalam battalion yang sama dengan ayahku.

Selesai SRP 1980 aku naik ke tingkatan 4 dan gadis itu  mengikuti keluarga pulang ke Jerantut ,Pahang  kerana ayahnya bersara dari perkhidmatan kerajaan.Aku dengar berita itu dan tidak sanggup melihat mereka pergi.Melalui seorang kawan aku dapatkan juga alamatnya di Pahang lalu kuutus surat tapi hampa bila diberitahu oleh sepupunya (Shamsiah) keluarga gadis itu tidak tinggal lagi di alamat yang ada padaku kerana mereka telah berpindah ke Pulau Tawar,Jerantut.Alamatnya kusimpan sehingga aku melanjutkan pendidikan di ITM,Shah Alam.Itulah cinta monyet pertamaku.Tidak yakin kepada diri untuk menyatakan bahawa aku ingin berkawan dengannya sewaktu kesempatan masih ada.

Kali keduanya aku juga menyukai seseorang walaupun setiap hari bertemu di kelas yang sama malah berada dalam satu usrah pula.Bahkan  dia juga menyenangiku .Tidak pula sehelai surat pun menyatakan keinginanku untuk mengenalinya lebih rapat dengan rakan sekelas itu berjaya kuutuskan.Hanya kutulis dan simpan untuk tatapan diri sendiri yang akhirnya tidak sampai kepada diri yang ditujukan.Tidak yakin dapatkah ia menerima dan membalasnya.

Namun bila difikirkan ia terlalu membebankan jiwa.Kali ini bersediakah aku sedang aku belum lagi punyai pekerjaan tetap untuk menambahkan lagi beban diri.Dari cerita Ustaz Jaafar memang perkara ini telah sampai ke pengetahuan gadis itu.Takda balasan yang boleh meyakinkan untuk kubuat alasan menghubungi terus gadis yang dimaksudkan.Dan kesempatan itu juga telah aku sia-siakan.

Sekembali dari kampung aku menghubungi UJ  melalui telefon dan meminta UJ merisik ustazah itu.Malangnya UJ memberitahu kepada gadis itu bahawa aku ingin mendapatkan nombor telefonnya.Aku solat istikharah memilih arah hati untuk akhirnya kebuntuan ini.Aku tidak mendapat bayangan untuk sandaran cuma hatiku bertambah kuat untuk mengenalinya.

Lalu tanpa segan dan nekad yang tidak dapat kutahan aku mengambil langkah dengan menghubunginya.Perbualan hanya berkisar bertanya khabar dan kerja.Bila sudah mengenali aku pinta alamatnya kerana aku tidak yakin dapat menyatakan rasa hati yang aku menyukainya melalui tutur kata.Aku selesa menggambarkan cerianya hatiku melalui surat saja.Hasrat ingin mengenali dengan lebih mendalam dan mungkin ke peringkat seterusnya.

Gadis itu yang juga seorang ustazah tidak keberatan memberi alamatnya dan surat pertama kuutuskan pada 14/10/1991 di dalamnya kunukilkan terus rasa hati.Tanpa bahasa yang berbunga-bunga kerana aku tidak pandai tentang itu.Sambil berharap gadis itu lebih tahu niat hati dari terpikat dengan bahasa yang membuai.Dan sejak itu aku mula berkawan dengan seorang ustazah.

01 January 2009

Islam dan Hijrah

Aku telah memilih Islam.Agama yang bertapak di jiwa ini sejak aku darjah dua lagi.Mungkin kerana ramai rakan dan kenalanku berbangsa Melayu jadi aku terpengaruh dengan budaya hidup mereka.Namun aku memilih Islam bukanlah kerana mereka.Sejak kecil aku tahu agama ini adalah agama yang benar dan dekat denganku.Sepanjang hidupku telah banyak aku lihat kebenarannya.Aku bertambah yakin.Seorang kenalan yang juga siswa UM pernah bertanya kepadaku apakah kegembiraan yang pernah aku kecapi dalam hidup ini yang tidak akan aku lupakan sepanjang hayat.Aku jawab ...sejak aku masuk Islam.SubhanAllah..kata rakanku itu kembali.

Coretanku dulu banyak menceritakan pengalaman bermimpi bertemu dengan manusia aneh.Walhal aku tidak pernah melihat manusia berjubah dan berserban putih.Apalagi mengajakku memeluk agama Islam.Namun hidayah Allah bersinar juga.Kata ibuku aku punya hati yang lembut,pendiam ,kuat merajuk dan mudah simpati.Sebab itu aku senang terima Islam kerana ajaran mengesankan jiwa.Juga senang diambil kesempatan.

Dan sepanjang perjalanan menuju penghujung usia ini nanti aku akan sentiasa raja' dan pasrah di atas landasan Islam.Mengisi hidup dengan ilmu sambil berharap Allah akan sentiasa memberi taufik dan hidayahNya.Aku bersyukur kerana perjalanan memahami Islam dan ajarannya banyak menemukan aku dengan manusia yang baik-baik.Yang mengajar atau yang menjadi sahabat.Namun wajah seorang ustaz ketika aku berada di darjah tiga tidak pernah hilang.Aku masih mengingati raut wajahnya dengan jelas.Ustaz Hassan Basri.Mengajarku ketika itu walaupun dia tahu aku bukan Islam.Juga ustaz ustazah yang pernah mengajarku setelah Islam sehingga ke hari ini.

Kepada mereka kupanjatkan rasa syukur dan berdoa agar mendapat keberkatan hidup !

Inilah satu perubahan besar dalam hidupku.Aku berhijrah semata-mata meyakini kebenaran hidup hanya di dalam Islam.Allahu Akbar !


Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...