03 January 2009

Tidak yakin kepada diri.

Selepas berakhirnya kursus saudara baru di Politeknik Port Dickson ,aku pulang ke kampungku di Kampung Putra,Jelebu.Bertemu keluarga kandung yang dirindui.Selama seminggu di sana aku tidak dapat melupakan wajah-wajah yang silih berganti di fikiran.Perasaan juga bertukar ganti.Tersenyum sendiri memikirkan kisah-kisah yang berlaku sepanjang kursus.Satu perasaan yang sukar ditolak ialah bila mana aku mula menyukai seseorang untuk kali yang entah ke berapa.Kadang-kadang aku sendiri tidak berapa yakin dengan diri.Bolehkah aku menyatakan kali ini dan bagaimana pula dengan gadis itu dapatkah ia membalasnya.

Aku belum pernah menyatakan secara langsung tentang perasaanku  kerana aku sendiri tidak yakin dengan diri.Pengalaman lalu telah banyak mengecewakanku.Kebanyakan itulah yang berlaku dalam hidupku.Keyakinan diriku sangat kurang meskipun aku biasa merantau dan membawa diri di tempat orang.Seingatku sewaktu tingkatan 3 di sekolah menengah dulu aku pernah juga menyukai seorang pelajar perempuan yang bernama Sarini Ab.Rahim yang berada di tingkatan 2 (Sekolah Menengah Tun Saban ,Pengkalan Hulu).Kami tinggal sama di kem Batalion 19/20.Aku jadi suka kepada gadis ini kerana renungannya  ketika berteduh dari hujan sewaktu pulang dari sekolah.Matanya!Ayahnya seorang pemandu kenderaan polis berpangkat sarjan dan kebetulan berada dalam battalion yang sama dengan ayahku.

Selesai SRP 1980 aku naik ke tingkatan 4 dan gadis itu  mengikuti keluarga pulang ke Jerantut ,Pahang  kerana ayahnya bersara dari perkhidmatan kerajaan.Aku dengar berita itu dan tidak sanggup melihat mereka pergi.Melalui seorang kawan aku dapatkan juga alamatnya di Pahang lalu kuutus surat tapi hampa bila diberitahu oleh sepupunya (Shamsiah) keluarga gadis itu tidak tinggal lagi di alamat yang ada padaku kerana mereka telah berpindah ke Pulau Tawar,Jerantut.Alamatnya kusimpan sehingga aku melanjutkan pendidikan di ITM,Shah Alam.Itulah cinta monyet pertamaku.Tidak yakin kepada diri untuk menyatakan bahawa aku ingin berkawan dengannya sewaktu kesempatan masih ada.

Kali keduanya aku juga menyukai seseorang walaupun setiap hari bertemu di kelas yang sama malah berada dalam satu usrah pula.Bahkan  dia juga menyenangiku .Tidak pula sehelai surat pun menyatakan keinginanku untuk mengenalinya lebih rapat dengan rakan sekelas itu berjaya kuutuskan.Hanya kutulis dan simpan untuk tatapan diri sendiri yang akhirnya tidak sampai kepada diri yang ditujukan.Tidak yakin dapatkah ia menerima dan membalasnya.

Namun bila difikirkan ia terlalu membebankan jiwa.Kali ini bersediakah aku sedang aku belum lagi punyai pekerjaan tetap untuk menambahkan lagi beban diri.Dari cerita Ustaz Jaafar memang perkara ini telah sampai ke pengetahuan gadis itu.Takda balasan yang boleh meyakinkan untuk kubuat alasan menghubungi terus gadis yang dimaksudkan.Dan kesempatan itu juga telah aku sia-siakan.

Sekembali dari kampung aku menghubungi UJ  melalui telefon dan meminta UJ merisik ustazah itu.Malangnya UJ memberitahu kepada gadis itu bahawa aku ingin mendapatkan nombor telefonnya.Aku solat istikharah memilih arah hati untuk akhirnya kebuntuan ini.Aku tidak mendapat bayangan untuk sandaran cuma hatiku bertambah kuat untuk mengenalinya.

Lalu tanpa segan dan nekad yang tidak dapat kutahan aku mengambil langkah dengan menghubunginya.Perbualan hanya berkisar bertanya khabar dan kerja.Bila sudah mengenali aku pinta alamatnya kerana aku tidak yakin dapat menyatakan rasa hati yang aku menyukainya melalui tutur kata.Aku selesa menggambarkan cerianya hatiku melalui surat saja.Hasrat ingin mengenali dengan lebih mendalam dan mungkin ke peringkat seterusnya.

Gadis itu yang juga seorang ustazah tidak keberatan memberi alamatnya dan surat pertama kuutuskan pada 14/10/1991 di dalamnya kunukilkan terus rasa hati.Tanpa bahasa yang berbunga-bunga kerana aku tidak pandai tentang itu.Sambil berharap gadis itu lebih tahu niat hati dari terpikat dengan bahasa yang membuai.Dan sejak itu aku mula berkawan dengan seorang ustazah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...