15 July 2008

Pengawas SMTS


Sewaktu aku berada di tingkatan 4 sekitar tahun 1981 aku dilantik sebagai pengawas sekolah.Pada hari itu datang seorang pelajar tingkatan 3 ke kelas ku dan memaklumkan kepada cikgu yang sedang mengajar bahawa cikgu Amin Tolan (Cikgu Disiplin ketika itu) hendak berjumpa aku dan Cham Noi (rakan sekelas keturunan Siam dari Kg Tasik)Kecut perut rasanya bila dengar nama itu.Siapa tak kenal cikgu Amin Tolan (dan kisah cintanya dengan cikgu yang kini bergelar isterinya).

Kami berdua pun pergi ke bangunan pinggir padang dan berdepan dengan Cikgu Amin.Perasaan yang pada awalnya terancam kini bertukar riang.Cikgu Amin memilih kami berdua dari kelas tingkatan 4 sebagai sebahagian calon pengawas.Kami menerima dengan senang hati.Maka bermulalah kisah aku menjadi pengawas sekolah.Macam tak percaya la pulak.

Setahun selepas itu ketika berada di form 5,ada satu peristiwa jika terkenangkan kembali aku tersenyum sendirian.Begini…ada satu pagi yang sungguh sejuk.Malam sebelumnya hujan lebat.Cuaca pagi pun berkabus.Aku dan rakan ke sekolah seperti biasa .Biasanya kalau berkabus macam tu kami seronok bermain wap yang dihembus.Macam mat saleh bercakap dalam siri tv.

Sedang kami berjalan menghala ke sekolah melalui padang (kini padang golf),seorang rakanku memberitahu dia ternampak dua orang murid berjalan di tepi belukar sambil menghisap rokok.Aku tak percaya kerana pada fikiranku mungkin penafasan mereka yang mengeluarkan wap.Lama-kelamaan aku terperasan jika wap tentu asapnya tidak kekal lama di udara.Ini tentu asap rokok sebab asap rokok biasanya tidak mudah terpeluwap di udara.Sampai di pagar sekolah aku letakkan beg di kelas dan mengajak salah seorang rakan pengawas (kami tak bertugas hari itu) keturunan India Mahendran namanya.

Aku dan Mahendran menunggu di pagar sekolah SMTS.Rakan pengawas lain tertanya-tanya kenapa mengawal walhal bukan giliran kami bertugas pada hari itu.Aku kata aku sedang menunggu dua pelajar tingkatan 2.Setibanya mereka di pintu pagar aku terus menahan dan minta mereka serahkan rokok.Mereka berdua bersungguh-sungguh menafikan ada merokok ,aku tak percaya.Seorang dari mereka (Azmi) rela ditahan dan aku menyuruh Mahendran serahkan kepada cikgu.Manakala seorang lagi bermatian tidak mengaku.

Datang pelajar lain memberitahu bahawa mereka ternampak pelajar berketurunan India tersebut menyorokkan rokok di pangkal tiang telefon (berdekatan dengan dewan sukan di hujung tasik sekarang ini)Tiba-tiba pelajar ( tak ingat namanya)tersebut melarikan diri.Pada mulanya aku melihat saja.Tapi timbul geram kerana dia menipu aku.Aku pun apa lagi terus ligan semacam la.

Sampai di asrama pelajar lelaki (tepi tasik di hujung jambatan),pelajar tersebut merampas basikal pelajar lain yang diletakkan di situ dan melarikan diri dengannya.Hatiku bertambah geram.Aku mengejar dari pintu pagar SMTS sehingga ke rumah rehat KROH.Aku nampak dia pecut basikal dengan laju melintas anak air.Aku teruskan mengejar.Sehingga pelajar-pelajar lain agak pelik melihat aku berlari-lari pada awal pagi dengan pakaian sekolah.Tiada siapa pun yang cuba menahan.Hampeh.

Sampai di rumah rehat aku nampak basikal tadi dicampak ke tepi jalan.Pelajar tadi hilang dari pandanganku.Mungkin dia telah jauh melarikan diri.Aku cuba mencari-cari di kawasan rumah rehat.Tapi tak jumpa.Sah dah lari menghala ke pekan Kroh budak ni fikirku.Aku mencari di belakang dapur rumah rehat.Tiba-tiba aku nampak atap-atap zing yang disandarkan ke dinding konkrit dapur bergoyang.Aku cuba amati rumput kalau-kalau ianya bergoyang disebabkan tiupan angin pada pagi itu.Tak pulak rumput tu meliuk-liuk.

Pelik.Aku cuba rapati zing-zing yang menggigil tu perlahan-lahan.Kenapa pulak zing menggigil ni?.Aku menendang zing-zing tersebut dengan kuat.Sah..!!! rupanya ada manusia yang bersembunyi di balik zing tersebut.Dalam keadaan menggigil dia minta simpati supaya dilepaskan.Aku kata aku tak mahu setelah dia banyak buat aku marah pada pagi itu.Aku minta dia bawa balik basikal tadi dan letakkan di tempat asalnya semula.Dia setuju dengan perasaan sedikit bingung dan takut.

Kami pun kembali ke sekolah dengan dia mengayuh basikal sementara aku membonceng di belakang.Dengan cara itu tentu tentu dia tak dapat melarikan diri lagi.Tiba di sekolah aku serahkan dua pelajar tadi kepada Cikgu Amin dan menyerahkan sekotak rokok dunhill.Pagi tu waktu perhimpunan pagi kedua-dua pelajar tersebut dirotan oleh Cikgu Yusoff (guru besar ) sambil menyifatkan itulah yang akan berlaku jika pelajar melanggar undang-undang sekolah.

Sejak dari hari itu aku dan Mahendran digelar “starsky and hutch” siri penyiasatan popular tv pada masa itu.Ramai yang memuji tindakan kami berdua itu.Aku pulak bagai terkejut kerana tidak menyangka sejauh itu aku bertindak.Tapi satu yang pasti antara aku dan dua pelajar tadi kami tidak pernah bermusuhan baik di sekolah mahupun di luar.Kalau aku terjumpa dua pelajar ini di pekan Kroh,kami saling menegur dan berborak.Mereka seperti tidak berdendam denganku.Itulah satu sikap pelajar dulu ,mereka akur dengan kesalahan mereka.

Cerita ini masih kekal di ingatanku.Dalam tidak sedar ia telah membentuk jiwaku supaya bertanggungjawab dan sentiasa bersifat amanah apabila diberi tugasan.Kini aku seorang pegawai kerajaan ,kadangkala bila berdepan dengan client cerita-cerita ini akan sentiasa aku kenangkan dan jadikan tauladan.


1 comment:

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...