Pada awal tahun 1970’an dulu,pekan Kroh ini tidak sunyi dengan bunyi helikopter dari jenis Nuri dan Aloutte dan sekali-sekala ada juga kapalterbang dari jenis Caribou mendarat.Waktu itu aku dan rakan sebaya menganggapnya seperti biasa saja.Deruan dari enjin pesawat tentera itu kadangkala menggamit kami untuk meninjau dan mencari arah datangnya bunyi.Maklumlah budak-budak.Ada juga jet TUDM jenis Skyhawk atau kadang-kadang kami memanggilnya jet tebuan melintas di ruang angkasa daerah kami.
Kroh sebuah pekan kecil terletak di pertengahan simpang empat ,arah utara ke Betong,Thailand,timur ke Gerik dan Jeli ,Kelantan,barat ke Baling,Kedah dan selatan ke Perak Hilir,pekan ini dulunya sunyi dengan kenderaan ,bas yang berulang alik dari Gerik ke Baling pun boleh katakan sejam pun payah nak jumpa.Keadaan menjadi sunyi apabila menjelang tengah hari.Aku masih ingat kala aku terjaga sebelah malam ,bunyi deruan enjin lori balak dan bunyi mesin kilang kecil tempat memproses padi sekali sekala boleh kedengaran walaupun jaraknya hampir 2 batu.Tentu ada yang masih ingat di mana kilang tersebut.Ya sekarang berhadapan stesen Petronas di belakang deretan kedai menjual makanan.
Kecuali hari Khamis,kerana pada waktu itu , paginya ada pasar khamis.Keadaan menjadi bising dan riuh dengan suara manusia dan enjin kereta.Sekarang disebut pasar tani.Waktu aku berkunjung ke sana pertengahan bulan 12 tahun 2006 tempatnya sudah berpindah ke tapak kuarters kerajaan.di sebelah Petronas sekarang.Pengunjung pun sudah semakin ramai.Waktu kecilku dulu aku sangat suka ke pasar khamis.Macam-macam ada dijual di situ.Kebanyakan penjualnya makcik-makcik yang datang dari kampung berdekatan.Ada juga mereka yang datang dari daerah Baling dan Gerik.Jika ada duit ibu akan membawaku ke situ.Bukannya apa beli sayur-sayur dari kampung,ikan sikit dan kuih dua tiga jenis.Aku pula sangat suka makan lemang dan rendang yang dijual oleh makcik-makcik sipenjual itu.
Tapi sekarang pasar tersebut mula dibuka sejak petang Rabu hingga keesokan harinya.Lebih ramai orang berkunjung dan lebih banyak pilihan.Teringat waktu dulu ,laksa utara adalah makanan yang menjadi pilihanku .Sehingga kinipun aku tidak boleh lupakan makanan khususnya dari utara tanahair.Walaupun aku kini jauh di selatan tapi masakan dari utara boleh buat aku “meleleh ayaq lioq”.
Tempat di mana pasar tani sekarang adalah dulunya deretan kuarters kerajaan,aku masih ingat rumah Ustaz Hassan betul-betul mengadap pasar tani sekarang.rumah gurubesar sekolah kebangsaan Kroh,Guru Zainal ketika itu pula terletak selang 2 buah rumah dari situ.
Pada waktu malam pekannya hanya hidup sehingga jam 8.30 atau 10.00 malam.Ketika itu kalau ayahku tidak masuk hutan (operasi) ,ayah selalu membawaku keluar ke pekan Kroh.Dengan membonceng basikal.Bukan apa hanya minum teh di kedai kopi cina tempat ayah bertemu rakan-rakannya.
Oleh kerana ancaman pengganas komunis masih lagi berlaku di sekitar sempadan tidak ramai orang masih berkeliaran pada waktu malam.Keadaan menjadi sunyi dan penduduk sudah mula menetap di rumah masing-masing.Pada waktu itu satu-satunya hiburan yang ada hanyalah siaran televisyen berwarna hitam putih.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.