14 July 2017

Disember 1983, Tahun Terakhir di Kroh (Pengkalan Hulu)

Di penghujung semester satu, perasaan kembali teruja dan gembira  untuk kembali bertemu keluarga sebaik menamatkan kertas akhir peperiksaan. Segalanya telah dibuat sebaik mungkin. Di bilik hostel, aku mendapat katil yang paling atas dan hampir dengan siling. Jadi penuhlah siling dengan nota-nota kuliahku. Sebelum tidur aku menatap nota-nota ringkas, begitu juga sebaik bangun dari lena. Tidak lama lagi cuti sem, dan itu saat yang dinantikan. Aku keluar ke bandar Kuala Lumpur menuju ke Puduraya untuk membeli tiket bas. Selok belok jalan di Kuala Lumpur sudah pun dihafal. Aku mempunyai rakan dari Batu 5 Gombak. Shahrulzaman, namanya. (Pelakon drama era 1990’an). Dialah yang menunjuk ajar nama-nama jalan di Kuala Lumpur. Pernah juga “merayap” waktu cuti kuliah dengan seorang lagi kenalan dari institute yang sama tapi berlainan jurusan. James Daniel Friedolin. Kami sempat bergambar sekitar bandar besar. Malangnya banyak foto-fotoku telah hilang.

Begitu juga dengan rakan sekuliahan, Din. Pernah seharian merayap sekitar Kuala Lumpur dan pulang ke ITM bila hari sudah merangkak malam. Pada masa yang lain aku bersama rakan sebilik menonton wayang di Chow Kit Road. Filem Superman.

Aku kembali ke Kroh berseorangan menaiki bas Restu Ekspress. Perjalanan pulang bermula waktu pagi dan tiba di Kroh waktu hari sudah malam. Berjalan berseorangan sambil menghitung kembali rindu di hati. Wajah adik-adik tentu ceria bila abang longnya sudah kembali. Sewaktu tiba di rumah, keadaan sudah jauh berbeza. Ayahku sudah membeli beberapa perabut baru. Kedudukan radiogram di ruang tamu di luar sudah dipindahkan ke dalam ruangan keluarga. Bilikku yang dulu kutinggalkan sudah jadi bilik adik perempuanku. Aku tak kisah. Aku hanya tidur di ruang luar berseorangan. Apabila malam, aku melayan lagu-lagu Sohaimi Meor Hassan yang lama kurindukan. Sehingga dinihari dan turut larut dalam alunan lirik romantic lagu cintanya sambil membayangkan aku pula yang bercinta dengan si dia.

Ketika sem satu, aku selalu juga ke tingkat atas art building. Mendengarkan lagu-lagu klasik kontemporari dari budak-budak muzik.Mereka berlatih mengalunkan lagu tradisional dan disesuaikan dengan alatan muzik moden.Ketika di atas itu, aku bertemu seorang kawan yang datang dari tempat sama di Kroh (sekarang pengkalan Hulu).Dia mengambil jurusan seni fotografi.Walaupun tidak rapat tapi kami berbual panjang.Aku mengenali ibu dan abangnya.Ibunya yang mesra dipanggil Mak Engku adalah bidan yang biasa dipanggil oleh warga kem PPH ketika kaum ibu melahirkan bayi.Mak Engkulah yang mengajar aku bagaimana menjaga adik bongsuku ketika ibuku masih ditahan di hospital Baling, Kedah.Mak Engku menunjukkan cara memandikan dan memakaikan lampin dan barut bayi.Menyediakan susu dan menyucikan najis.Tahun itu tahun aku mengambil SPM.Sementara rakanku dan abangnya adalah rakan-rakan sepermainan bola sepak.Mereka tidak tinggal di kuaters kem tetapi amat mengenali kami kerana ayahnya juga berkerja di kem PPH ketika itu.

Aku mulai meminati untuk belajar memetik gitar hasil dari melihat rakan-rakan muzik bermain muzik.Sekembali ke Kroh, aku mendapat tahu seorang rakan jiran lama selalu bermain gitar di rumahnya.Apalagi di situlah aku melepak setiap hari.Hanya semata-mata melihat dia memetik gitar.Pada entry yang lepas aku telah ceritakan bagaimana ayahku mendapat tahu aku berminat bermain gitar dan tidak lekat di rumah, lantas ayahku membeli sebuah gitar baru untukku.Sejak itu aku mula berjinak-jinak mempelajari kod asas gitar.

Pada waktu siang, aku kembali kepada aktiviti memancing di tasek.Pagi-pagi lagi rakanku datang menjemput untuk ke pinggir tasek.Katanya musim kelkatu banyak keluar dari sarang untuk dijadikan umpan.Kami beramai-ramai menghulurkan joran dan memang benar sekejap saja umpan joran disambar ikan.

Itulah nostalgia terakhir aku bersama kawan sepermainan.Kawan-kawan sama membesar.Sama-sama mengharungi alam kanak-kanak dan remaja.Bergaduh dan berbaik semula tanpa mengira kaum.Melayu dan orang asli tidak ada yang membezakan kami.Penghujung 1983, pada lewat pagi Disember, ayahku pencen dari perkhidmatan kerajaan sebagai askar PPH.Hampir dua puluh tahun lebih.Sejak dari zaman Senoi Praaq, AAP atau Auxiliary Aboriginal Police hingga ke Polis Hutan.Kami akan kembali ke kampong ayahku di Jelebu.Tinggallah segala kenangan. 


Kroh dari pandangan udara tahun 1960.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...