Sepanjang
kembaraku..sesekali teringat juga rakan pena yang pernah kuutuskan surat
dulu.Tahun 1985 dia masih menuntut di tingkatan lima di Pantai Timur
sana.Pertengahan 1986 aku terima sepucuk surat ketikanya aku berada di utara-
Pengkalan Hulu.Dia memberitahu khabar gembira bahawa dia telah berjaya ke
tingkatan enam .Bakal menduduki Sijil Tinggi Agama.Aku tak pernah tahu apa itu
STAM.Rupa-rupanya itu peperiksaan tertinggi persekolahan bagi aliran
Arab.Syukur kepadanya kerana niat ingin terus berada di kelas tertinggi dalam
persekolahannya.
Dia
memberiku poskad kecil.Aku tidak berapa ingat tentang isi poskad itu.Tapi aku
tahu perkenalan kami berjalan seperti biasa tanpa ada cetusan rasa bersifat peribadi.Apatah lagi itu
musimnya dia perlu memberi fokus kepada matapelajaran aliran agama-Arab.Melaluinya
aku tahu apa itu Balaghah,Mantiq,i'rab,Nahu
Soraf,Ulum Qur'an,Ulum Hadis,mutalaah qiraah,qawaid,adab nusus dan
bermacam-macam istilah pendidikan bahasa Arab yang jarang-jarang aku dengar.
Kadang-kadang
dia menulis jawi kepadaku.Setakat membaca aku tiada masalah tetapi menulis jawi
aku lambat sikit.Aku seronok punya rakan pena sepertinya.Cuma aku tidak
berterus terang kepadanya tentang diriku.Walaupun ketika itu aku menyimpan niat
akan meluahkan semuanya.Pada ketika itu rasanya tidak perlu, memandangkan dia
masih belajar dan kami jarang mengutus surat satu sama lain.Biarlah keadaan
yang menentukannya nanti.Tidak perlu terburu-buru fikirku.
Selepas
dia mengirimkan foto dirinya pada awal tahun 1986 lalu...sejak itu aku tidak
meminta dia mengirimkannya kembali.Foto itu pun telah kupulangkan.Mungkin dia
terasa bila foto dirinya dipulangkan.Terpaksa aku menerangkan bahawa tujuanku
hanya ingin mengenali dia sepintas lalu.Tidak mungkin aku akan menyimpan gambar
seorang perempuan.Lagipun sejak di Al-Arqam lagi aku tidak menyimpan
gambar-gambarku.Mungkin cara didikan al-Arqam itu telah menyebabkan aku
berfikiran sebegitu.Malah, foto aku bersama dua rakan perempuan sewaktu
menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam juga telah aku gunting dan
buangkan gambar mereka yang berdiri di samping kiri dan kananku sewaktu
presentation hasil kerja kumpulan.Walhal foto itu diambil ketika aku belum
menjadi muslim.Pelik.Itulah antara fikiran ekstrimku ketika di al-Arqam.
Begitu
juga nasib lain-lain foto.Sehingga sekarang yang ada cuma foto-foto lama aku
bersama rakan-rakan lelaki.Ya kebanyakannya lelaki.
Mungkin
M faham niatku, maka dia tidak mempersoalkan lagi.Sebenarnya aku suka menatap
fotonya dulu.Orangnya sederhana.Berkulit kuning langsat.Wajahnya ada iras-iras
Ustazah Norhafizah Musa, cuma matanya yang agak bundar berbanding ustazah
itu.Memakai tudung agak labuh.Memang kenalah dengannya yang bersekolah agama.Anak
petani di pantai timur.Punya seorang abang dan empat adik beradik dua lelaki
dan dua perempuan.Waktu itu M telahpun bersekolah di Maahad Indera
Petra.Katanya sekolah lamanya di Maahad Yaakubiah,Bachok sampai tingkatan lima
sahaja.Untuk menyambung ke tingkatan enam dia berpindah ke Maahad Indera Petra.
Sepanjang
tahun 1986 hingga 1987 sekali sekala sahaja kami berbalas surat.Bertanya
khabar.Katanya peraturan di Maahad Indera Petra ketat.Jadi tidak mungkin dapat
selalu menulis.Aku faham situasinya.Lantaran aku pun tidak menulis untuknya
lagi.Biarlah dia dengan dunia pelajarannya.Mungkin fokusnya pada tahun itu agak
lebih sikit, jadi aku tidak membebankannya membalas surat-suratku.
Penghujung
1987 aku mula berfikir arah hidupku...apa akan aku lalui.Apa penyudahnya
hidupku ini.Sedangkan usiaku ketika itu telah melewati 21 tahun.Aku masih lagi
tiada pekerjaan yang tetap, yang dapat menjamin kehidupan akan datang.Aku tidak
boleh berterusan begini.Ilmu agama asas telah kupelajari walaupun hakikatnya
masih kurang.Aku perlu berubah...wajib berubah.Aku mesti menjadi manusia
kebanggaan ayah dan ibu meskipun mereka jauh di selatan.Aku sedar aku tidak
perlu lagi menjauhkan diri dari mereka semua....keluargaku.Ya sesuatu mesti
berubah bermula dari diri ini.