27 November 2008

Aku kalah.

Aku masih ingat pada satu lewat petang, di kelas tambahan Syariah, F mendekatiku dengan senyum (…..lawa weh ) F memberiku sebuah buku agama bertajuk “Penawar Bagi Hati” dan kaset ceramah agama (tak ingat tajuknya pulak) untuk dipinjamkan. Sambil malu-malu dia menghulurkan kepadaku dan  menyoal ..."nak baca buku itu tak ?". Aku terpaku!. Dia menghulurkan tanpa dipinta tapi untuk tidak mengecilkan hatinya aku terima juga dengan syarat, akan memulangkan dalam masa beberapa hari. Katanya buku itu bagus (padahal aku dah khatam beberapa kali) Untuk tidak mahu menghampakan hatinya apalagi rakan sekelas aku terima saja.

Aku dapat rasakan F ingin mendekatiku kerana cara dia berbual seperti ada sesuatu ingin diluahkan tapi perkara itu tidak kesampaian kerana kehadiran ramai rakan sekelas. Aku melihat dia tersenyum bila pelawaannya ku sambut baik. (Dalam hati ada peluang ni). Sememangnya aku tahu, F mahu mendekatiku mungkin sebagai rakan sekelas. Kerana aku seorang yang pendiam dan berat mulut agaknya. Dan aku pula tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa atau apa-apa hubungan dengan mereka.Masih menebal perasan malu.

Balik ke asrama aku mencabar diri supaya apabila memulangkan buku kepunyaannya,  nanti akan aku cuba selitkan surat tanda perkenalan. Ya, aku tekad. Seringkali bila ke kelas perasaanku jadi tidak tentu arah bila memandang ke barisan paling belakang. Aku tahu ada sesuatu yang selalu menganggu. Aku tidak boleh menepis ingatan dari memikirkan gadis itu. Sebenarnya layanannya biasa saja. Entahlah rasa suka kadangkala sukar ditafsir. Surat untuk gadis itu tidak kukotakan.Takut pun ada, malu pun ada.

Dalam masa yang sama, aku dan F menyertai usrah anjuran sahabatku Rohaizad (rakan sewaktu di Al-Arqam Kuala Pilah, Negeri Sembilan dulu) di Universiti Malaya ketika itu. Jika ada pertemuan aku akan maklumkan kepada F. Kami berjumpa di surau Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai (sebelum dipindahkan ke Bangi, Selangor). Bermuhasabah dan bertazkirah . Dari situ aku dapat juga berbual dengan F (di balik tabir) tapi lebih kepada bualan amalan amalan Islam serta perkembangan semasa jemaah (tazkirah dan tarbiyyah). F pula tidak banyak bercakap. Mungkin F segan kerana kehadiran rakanku itu.

Sehinggalah pada satu ketika timbullah idea untuk mengadakan lawatan ke Darul Al-Arqam di Sungai Penchala, Selangor. Aku tak ingat idea siapa tetapi aku dipertanggungjawabkan mengendalikan dan menyelia rombongan ke Sungai Penchala. Aku memaklumkan kepada rakan lelaki di hostel sementara di pihak siswi pula siapa lagi kalau bukan F sebagai orang kepercayaanku. Sebenarnya aku tidak mahu meneruskan program itu bimbang dianggap sebagai membawa pengaruh Al-Arqam yang pada masa itu telah mula mendapat perhatian kerajaan mengenai ajaran-ajaran yang diragui.Namun sambutan baik rakan-rakan yang mahu melihat keadaan sebenar kehidupan jemaah Al-Arqam menguatkan lagi semangatku.Lagipun tujuan kami hanya meninjau perkembangan jemaah terutama kumpulan nasyid Nada Murni (sekarang Rabbani) ketika itu.

Sehari sebelum kami ke Sungai Penchala aku berpesan kepada dua pelajar perempuan yang baru pulang dari kedai di bawah flet PKNS bahawa aku ingin bertemu F di tangga untuk memaklumkan aturcara ke sana. (Asrama perempuan di tingkat atas). Setelah lama menunggu, aku melihat F turun dan menanti di tangga. F mengenakan tudung hitam. Aku cuba mengelak dari memandang tepat ke wajahnya tetapi rasa bersalah pula kalau berbincang tanpa memandang F yang berdiri agak jauh dariku di atas tangga itu. Aku amat mengharapkan F dapat menyelia pelajar-pelajar perempuan yang ingin turut serta sementara aku menguruskan pelajar lelaki. Pada ketika itulah aku dapat rasakan kelainan dalam perasaan ini.Wajahnya amat berlainan walau dari jarak 8 meter kami berbincang mengenai perjalanan keesokan harinya. Sejak itu memang aku terasa amat takut dengan diri. Aku takut pada janjiku untuk mengejar ilmu.Sedang wajah F selalu terbayang.

Aku akui gadis itu manis dipandang apabila memakai tudung hitam. Raut wajahnya kecil dan comel. Bibir nipis dan bermata kecil. Berkulit hitam manis tapi cerah. Kadangkala F memakai cermin mata. Biasa saja raut wajahnya cuma bila terpandang aku berdebar. Tapi apa yang menarik hatiku kepada F ialah minatnya kepada perbincangan agama. F juga berminat kepada jemaah Al-Arqam yang suatu ketika dulu menjadi wadah hidupku. Akhirnya aku kalah mempertahankan rasa suka kepada gadis itu.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...