Penghujung
Mei 1984, aku sudah berada di kampung di Jelebu Negeri Sembilan. Usai cuti sem
atau part 2 pengkuliahan bidang seni lukis
seni reka, kini menanti untuk menyambung ke tahun kedua atau lebih tepat lagi
part 3. Di situlah nanti penentuan jabatan mana akan ditempatkan. Seni Halus,
Tekstil, Seni Logam, Grafik atau Senireka Industri. Entahlah, aku pasrah.
Penantian
menerima keputusan muktamad untuk menyambung ke sem berikut terasa panjang. Aku
menanti dan terus menanti. Hari ke hari, dari hari beralih minggu. Seminggu
berlalu hingga genap sebulan. Namun masih tiada kunjung jawapan. Aku menanti
hanya sepucuk surat jawapan keputusan. Ibu bertanya masih tiadakah surat yang
nanti. Aku menjawab lemah.
Penantian
Jun 1984 telah berlalu. Namun aku masih di kampung menanti. Sehinggalah satu
hari aku berbisik pada diri. Inilah pengakhiran penantian. Aku terima takdirnya
bahawa aku telah gagal untuk ditawarkan ke semester berikutnya. Perkiraanku jika
tiada keputusan bersurat bererti aku tidak lagi mendapat tempat di sekolah
pengajianku.
Ayah juga pernah bertanya mengapa aku tidak
teruskan pengajian. Orang tuaku juga cemas melihatkan aku masih tidak menerima
sebarang jawapan. Jawabku mudah. Aku gagal. Itulah kenaifan remaja berusia 18
tahun ini pada tahun 1984 dulu. Terasa pedih dan kecewa saat itu tidak dapat
digambarkan. Bidang yang menjadi hobi satu waktu dulu ketika di alam
persekolahan terpaksa ku lepaskan.
Julai
1984, aku tidak lagi menanti. Penantianku telah bernoktah. Kecewa saat itu bila
mengenangkan banyak perkara yang aku lepaskan dalam menjalani usia remaja.
Bakat dan minat, kawan-kawan seperjuangan dalam bidang seni yang diminati dan
seseorang yang menjadi pujaan di dalam diam. Pasrah.
Waktu
itu aku menjadi buntu. Aku menjalani kehidupan desa yang agak janggal kerana hampir
dua abad kehidupanku mengenal dunia hanya kehidupan di pekan. Jauh bezanya
kehidupan di pekan satu waktu dulu dengan desa ayahku. Bangun pagi setelah
semua penghuni tiada di rumah. Adik adik ke sekolah. Ibu ayah ke kebun, makcik
dan sepupu juga ke kebun. Aku tinggal berseorangan di rumah. Mendengar lagu
sambil mengemas rumah. Memetik gitar kesayangan. Memasak dan membasuh pinggan
mangkuk yang diguna malam sebelumnya. Memasak pula masih menggunakan kayu api.
Apalagi rumah makcikku masih belum mendapat bekalan eletrik.
Aku
terpaksa melupakan suasana rakan-rakan yang ceria menjalani kehidupan sebagai
pelajar. Semakin ingin dilupakan semakin sayu pula hati mengenangkan. Mendengar
lagu dan bernyanyi adalah rutin pagiku untuk melupakan semuanya tentang
kehidupan di kampus satu waktu dulu. Begitulah hari-hari yang berlalu. Punahlah cita-cita
dan terbantutlah setiap harapan. Seusia remaja belasan tahun penantianku telah
kecundang sebelum semuanya bermula.
Begitulah berakhirnya perjuanganku untuk mendalami bidang senilukis dan senireka di ITM 1984 dulu. Tersimpan kemas hanya gambar-gambar yang sebahagian besarnya telah hilang dalam koleksi kenangan.
Begitulah berakhirnya perjuanganku untuk mendalami bidang senilukis dan senireka di ITM 1984 dulu. Tersimpan kemas hanya gambar-gambar yang sebahagian besarnya telah hilang dalam koleksi kenangan.