Awal tahun 1985. Setahun sejak aku
berhenti dari pengajian ITM, satu tengahari, ketika bersendirian di rumah. Aku terdengar bunyi kenderaan motor di luar
rumah. Aku pasti abang posmen berhenti
betul-betul di tangga rumah. Sudah pasti
ada surat yang ingin diserahkan. Dalam kampong
ayah ini, bunyi motor siapa lagi yang
akan kedengaran waktu-waktu begini kalau tidak posmen. Aku bergegas dari arah dapur ke pintu rumah
yang terbuka. Aku lihat abang posmen telah sedia menanti untuk menyerahkan
sepucuk sampul surat berwarna putih. Aku
mengucapkan terima kasih dan sempat melihat muka depan surat dari Jabatan
Pencen!
Aku pun membawa surat itu ke dalam
rumah dan membuka. Ya, itulah jawapan
kepada penantian ayahku sejak setahun yang lalu. Sekeping cek BBMB tercatat
amaun $24,000.00. Ganjaran pencen untuk ayahku.
Aku tersenyum. Pasti ayahku akan
gembira mendapatkan cek ini nanti. Waktu
itu ayahku tidak berada di rumah. Ayah
bekerja menjadi jaga di sebuah kongsi balak di jalan menghala ke Simpang
Durian, lebih kurang 5 kilometer dari kampong.
Petang itu juga aku berbasikal
mendapatkan ayah untuk memberitahu cek pencennya sudah diterima. Juga ada satu berita gembira, pencen ayah
akan dibayar penuh lebih kurang $ 400 lebih pada masa itu. Iaitu separuh dari
gaji pokoknya berjumlah $ 800 lebih sebagai pencen berpangkat sarjan ketika di
dalam Pasukan Polis Hutan. Ayah sedang
berehat di kongsi kepunyaan tauke cina. Aku menceritakan kepadanya berkenaan
cek itu dan menyerahkan cek tersebut. Senja itu ayah balik ke kampong. Aku lihat ayah ceria. Ayah mengajak aku ke ke pekan Kuala Pilah
untuk menunaikan cek esoknya.
Ternoktahlah penantian ayah selama
setahun lebih untuk mendapatkan ganjaran pencennya. Entah di mana silapnya pihak majikan
mengemaskini rekod perkhidmatan ayah
sehingga begitu lama dia menantikan. Telah berpucuk-pucuk surat aku menaip ke pihak Jabatan Pencen untuk meminta penjelasan berkaitan pencen ayahku. Tetapi setiap kali itulah jawapan yang kami terima mengecewakan. Hasrat untuk membuat rumah untuk kami sekeluarga tinggal dan tidak
menumpang lagi rumah sepupu tertangguh.
Kini impian itu semakin jelas.
Anak saudaranya telah menawarkan tapak tanah untuk dibina rumah.
Aku pasti ayah akan memikirkan dengan
duit itu nanti ayah akan membuat rumah yang sederhana untuk kami semua.