25 February 2009

Di bumi Anbiya II

Selesai berdoa aku turun ke tingkat bawah mencari telaga zam-zam.Lalu aku bertemu dengan seorang lelaki tua sedang minum air zam-zam sepuas-puasnya.Aku asyik memerhatikan orang tua itu.Tidak pernah puas lalu ia menadah tangannya dan minum lagi.Aku hairan kerana orang tua itu asyik minum air dari takungan air tanpa tanda-tanda ia akan berhenti dari perbuatannya itu.Entah berapa liter telah diteguk namun masih menunjukkan seakan ia tidak akan berhenti.

Aku mengambil tempat di belakang orang tua itu.Lalu memperbaharui wudhukku.Ku teguk air zam-zam dengan niat untuk kesihatan badanku,akalku,menghilangkan sifat-sifat mazmumah batinku.Kuniatkan segala yang baik-baik.

Selesai umrah, kami ziarah ke lokasi-lokasi sejarah  sekitar Mekah.Kami ke Makam Uhud.Aku ingin menghadiahkan Fatihah kepada Mus'ab ibn Umair,pemuda tampan kota Mekah gugur syahid ketika perang Uhud.Ku renung sepi makam syuhadak.Laungan Allahu Akbar menggegar bumi Uhud tika para syahid mengejar musuh dan dikejar musuh.Mayat bergelimpangan di sana-sini.Tercabut anggota badan dan jasad di kaki Uhud.Pagi itu kami menghadiahkan Fatihah kepada para syuhadak.Kamilah antara jutaan umatmu yang menjadi saksi perjuanganmu menegak kalimah thoyibbah satu ketika dulu.Mengalir air mata dan darah.Janji Allah pasti benar.

Aku sayu mengenangkan.Heningnya pagi itu dan kami pun turut sama menyepi.Bertafakur.Seolah-olah tidak mahu kedatangan kami mengejutkan para syuhadak dari tidur yang damai.Mereka seolah berbaring di tengah padang pasir dengan senyum menikmati rahmat dari Tuhannya yang tidak pernah putus-putus.Mungkin di mata ini sempit melihat tapi mereka di sana sedang menikmati "dunia yang maha luas".

22 February 2009

Bumi Anbiya...I

Hampir setahun usia pernikahanku bersama Ustazah Fatimah.Dirinya telah berbadan dua.Usia kandungan telah masuk bulan ke lapan.Aku akan menjadi bapa dalam usiaku mecapai 27 tahun tidak lama lagi.Namun satu ujian besar menanti kami berdua.Aku akan berangkat mengerjakan umrah dan ziarah ke Tanah suci Mekah.Sementara isteriku terpaksa berjauhan beribu-ribu batu  dalam keadaan sarat mengandungkan anak sulungku.

Mulanya pihak Majlis Agama Islam N.Sembilan memilih kami berdua untuk pergi ke sana tetapi atas sebab-sebab keselamatan isteri menarik diri.Bimbang juga jika terjadi sesuatu di dalam perjalanan ke Tanah Suci itu nanti.

Sabtu 28/11/1992,aku terbang tinggi di awan biru bersama-sama jemaah kami seramai 10 orang.Itulah pertama kali dalam hidupku melihat bumi dari langit alam.Malaysia tinggal jauh bersama wajah isteri yang sayu melambai.Sebak juga rasanya.Bukan dekat terpaksa berjauhan.Kiranya ajal maut menjemput di tanah asing kuredhakan saja jasad disemadi di sana.Jemaah kami akan berada di Tanah Suci selama seminggu.Namun itu sudah cukup membuatkan doa setiap solatku di Tanah Suci nanti beremosi.

Kami mendarat di Jeddah,dari situ menaiki bas ke hotel berdekatan Masjid Nabawiyah.Kubah hijau di sisi bumbung  masjid jelas kelihatan.Di bawah kubah itulah bersemadinya manusia agung pilihan Pencipta,Allah yang Esa.Sebak dan terharu semakin menyesak rongga hati dan jiwa.Peluang ini tidak akan aku lepaskan bermunajat sesungguh hati.Kulepas segala yang terbuku di jiwa.Raudhatul Firdaus kucari azam di hati.Situlah tempatnya makbul segala dambaan niat dan hajat.Akan kupuitiskan segala doa supaya dapat menjiwainya setenang makam Rasulullah SAW bersebelahan.Aku masih ingat cerita Raudhatul Firdaus....taman-taman syurga di muka dunia.Makbul segala permohonan jika ikhlas mengadap Tuhan.Ya Allah..Ya Rasulullah kini aku datang menyembah,sujud menyatukan dahi di lantai hening masjidmu.Mengucapkan segala syukur.Aku hadir zahir dan batin di sisi makammu.Menyampaikan salamku dan salam teman jauh di Malaysia.

Nabawiyyah...musim ziarah tenang ketika itu tidak seperti waktu-waktu lain.Manusia tidak putus-putus apabila tiba bulan Ramadhan yang penuh membanjiri setiap ruang.Padat dengan umat Muhammad SAW.Aku tidak putus-putus menyambung doa di Raudhatul Firdaus.Memohon dimaafkan segala kesalahan diri dan isteri tersayang.Dimurahkan rezeki dan dikurniakan anak yang sempurna.Aku malu meminta lebih tapi peluang ini sekali hadir dalam hidup aku jadi tamak berdoa.Aku mohon supaya Allah memberiku kerja yang tetap terjamin kehidupanku ,isteri dan bakal cahayamata kami.

Memang suasana sungguh lapang dan tenang tidak seperti selalu manusia berebut tempat di Raudhatul Firdaus.Aku sedikit bertuah dapat meloloskan diri dan tetap berada di taman syurga itu setiap kali solat fardhu dan doa.Akhir ziarah kami menatap makam Nabi Agung untuk terakhir kalinya.Doa tidak putus ,salam tidak putus.Sejahtera ke atasmu wahai penghulu yang agung.

Bumi Madinah kami tinggalkan.Menuju lapangan terbang Jeddah dan dari situ terbang melintasi tanah gersang ke selatan menuju Mekah.Entah mengapa di dalam kabin kapal terbang Saudi Air terasa begitu tenang.Anak kabin membenarkan aku duduk di mana saja yang aku suka.Sekejap ke tengah sekejap ke sisi cermin sambil peragawatinya menghidangkan teh sarbat dan sedikit senyuman.Mungkin fikirnya aku tetamu yang jauh.

Perjalanan pagi itu sungguh cerah. Dari dalam pesawat aku dapat lihat bumi anbiya dari atas dan bumi tandus nun jauh di bawah.Payah dan susah dakwah Rasulullah satu ketika dulu kini menjadi anutan maha suci di hati.Hati terus berdoa lagi.

Tiba lapangan terbang Prince Mohamad  di tanah Mekah kami menaiki bas ke hotel penginapan.Melewati Masjidil Haram.Di celah tiang aku dapat lihat dengan jelas Baitullah,binaan Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail masih tersergam kukuh di kelilingi lautan manusia.Tidak pernah putus.Manusia bertali arus seperti tidak mengenal rehat dan penat.Aku mengucapkan subhana Allah.Kerdilnya diri.

Siang kami mengerjakan ibadah umrah,malam qiamullail di sisi Kaabah.Aku amat-amat bersyukur berada di bumi Mekah.Menyentuh Kaabah.Tidak pernah sebelum ini terfikir akan bila tiba masanya aku akan ke sini.Tetapi kini ia di depan mata.Di mana tempat mustajab berdoa aku ada.Hijr Ismail,aku bersolat,berdoa sepuas hatiku.Di belakang makam Ibrahim pun begitu.Tanpa dipaksa mengalir juga airmata kesayuan keinsafan.Kecilnya aku di sisi Mu Ya Tuhan. 

17 February 2009

Majlis Makan Malam bersama DSAI

Bahtera yang baru kulayari sedikit sebanyak menuntut aku supaya lebih banyak bersifat sabar.Maklumlah tinggal serumah menjadi teman hidup mengambil masa untuk sependapat dalam banyak perkara.Apa yang kusuka kadangkala tidak berkenan di hati isteriku,apa yang isteriku senangi kadangkala tidak kena di mataku.Aku mencari titik sefahaman dan belajar bertolak ansur.Tidak kunafikan kasih sayanglah pengikat jiwa ku dan isteri supaya menerima perbezaan antara kami seadanya.

Pertengahan tahun 1992 aku menerima berita dari bekas rakan di Yayasan Anda Akademik,Kuala Lumpur,aku tidak ingat siapa yang maklumkannya.Berita mengenai makan malam dan mengutip derma bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada ketika itu Menteri Kewangan Kerajaan Malaysia mantan pengasas Yayasan Anda Akademik.Grand dinner diadakan di Hotel Hilton Petaling Jaya.Aku tidak lepaskan peluang itu kerana rindu, juga ingin bertemu rakan-rakan bekas pelajar di Yayasan.

Aku berangkat tengah hari ke Kuala Lumpur dan tinggalah isteriku keseorangan di rumah.Itulah kali pertama kami berjauhan.Masih dalam suasana berbulan madu kata orang.Kepadanya telah kukhabarkan berita itu dan aku tidak pasti samada isteriku merelakan.

Aku tiba di Kuala Lumpur dan terus ke hostel di mana siswa-siswi menetap.Teringat juga 3 tahun sudah aku pernah menghuni asrama itu.Segala memori kembali segar di ingatan.Saat kurenung wajah-wajah teman di kotak akal terbayang suka duka dalam mengejar ilmu.Rakan-rakan lama telah berada di situ antaranya Noor Azam,Zul (Satay Kajang)Azmaizam dan beberapa orang lagi yang aku sendiri tidak ingat.

Malamnya kami ke Hotel Hilton dan setibanya di sana hanya beberapa orang kenalan lama saja yang sempat kutemui.Lainnya mungkin bekas pelajar yang lebih senior dari kami.Selesai makan dan diikuti ucapan demi ucapan DSAI mohon untuk berangkat pulang.Kami berdiri memberi hormat dan DSAI berjalan sambil bersalam kepada tetamu yang hadir.Tiba di tempat di mana aku berdiri DSAI berhenti dan melihatku (yang masih berserban ketika itu) dan menyapa.Beliau bertanya apakah aku pernah menuntut di Yayasan.Ku jawab "Ya" sekian tahunnya.Beliau terus bertanya lagi tentang tugasku dan aku bekerja di mana.Aku ceritakan bahawa aku sekarang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan.Kulihat DSAI sedikit ceria sambil tersenyum bertanya siapa Pengarah JHEAINS lalu ku balas Dato' Haji Muhamad.Lalu DSAI memberitahu bahawa Pengarah tersebut adalah sahabat beliau sewaktu di Universiti Malaya dulu.DSAI bertanya sedikit sebanyak mengenai perkembangan sahabatnya itu dan aku maklumkan apa yang kutahu.Di akhir perbualan ringkas itu DSAI mohon disampaikan salamnya kepada sahabat lamanya itu.Aku mengucapkan ..insyaAllah.

Pertama kali aku berbual dengan pembesar negara terasa seperti mengenali rakan lama.DSAI sungguh mesra dan pandai menghormati orang lain.Dalam hati bangga juga berjumpa dan berdepan orang yang ketika itu hanya terpampang wajahnya di kaca tv dan suratkhabar.

Malam itu aku dan rakan terus pulang ke hostel YAA di Kg. Kerinchi.Berbual-bual kisah lama dan bermalam di situ.Teringat isteri yang ditinggalkan.Tidak sangka juga 3 tahun tidak bertemu aku sudah bergelar suami sedangkan rakanku masih ramai lagi yang bujang ketika itu.

Selang beberapa minggu kembali bekerja aku berselisih dengan Dato' Hj Muhammad di jabatan.Kepadanya aku khabarkan perihal pertemuanku dengan DSAI dan menyampaikan salam DSAI kepadanya.Dato' sedikit terkejut kerana sudah lama juga beliau sendiri tidak dihubungi oleh sahabatnya itu.Beliau bertanya kepadaku di mana aku berjumpa dengan DSAI lalu kuceritakan bahawa dulu aku pernah menuntut di YAA private school DSAI dan kami bertemu di dalam majlis reunion YAA.

10 February 2009

Monolog kasih : 1992



Hidup berdua menuntut persefahaman.Aku tidak pernah tahu sifat perempuan.Hidup serumah.Berkongsi ranjang.Ganjil.Walaupun sebelum ini kukenal rakan-rakan perempuan tetapi yang telah menjadi milik diri ini membuat aku selalu menilai kemampuanku menjadi suami.Memang indah hidup berdua, bersatu jiwa.Impian setiap gadis dan teruna .Berpasangan dengan ikatan syarak dan adat.Aku tidak tahu naluri dia sebenarnya.

Aku ingin memberi sepenuh kasih dan sayang.Rasa cinta dan belas simpati.Aku ingin tunjukkan kepada isteriku bahawa aku punyai hati yang lembut agar ia merasai dinginnya berteduh dalam pelukanku.Agar dia merasai selamat juga tenteram punyai lelaki yang akan menjagainya sehingga ke hujung usia.

Aku ingin dia merasai kagum dengan kepimpinanku.Agar dia beroleh keadilan pada ketika jiwanya memberontak.Aku ingin dia merasai damai menikmati alunan ayat-ayat suci di belakangku ketika berdua mengadap Tuhan.Aku ingin dia merasai disayangi ketika sepi berjauhan.Agar rindunya sentiasa kepadaku.Aku ingin dia menikmati haruman dari tubuhku agar ingatannya kepadaku tidak pernah pudar.

Aku selalu menginginkan dia memohon restu maaf dariku...suaminya, andaikata bertentang pandangan jiwa dan akal.Aku mahu dia tahu bahawa hidup denganku adalah keputusan terbaik yang pernah dia lakukan dalam hidupnya.

Namun aku juga ingin dia mengetahui bahawa aku hanyalah seorang lelaki, suami yang punyai sifat lemah sepertinya juga.Kadangkala tersasar cara memimpin.InsyaAllah...aku ingin dia juga mendoakanku kekal menjadi suami idamannya.

08 February 2009

Aku terima nikahnya..Mac 1992

Awal 1992,   hubunganku dengan Ustazah F bukan lagi setakat sebagai rakan sekerja.Padanya telah kuceritakan kisah laluku.Aku bersedia menerimanya sebagai isteri jika dia sanggup hidup denganku yang tidak punya apa-apa ini.Begitu juga aku.Aku akan menerima dia seadanya.Waktu itu hanya di pejabat saja tempat bertemu.Itupun atas urusan kerja.Tidak ada peluang bertemu di luar waktu itu.Walaupun berjauhan dari keluarga namun segalanya terbatas.Tidak ada janji temu.Dan tidak perlu.

Aku ingin menjaga hubungan itu dengan sebaik-baiknya sebagaimana fahamanku adab berhubungan sesama insan dalam Islam.Aku tidak mahu meletakkan makhluk lebih besar di hati.Pengalaman lalu biarlah berlalu.Ustaz J pula gembira apabila mengetahui aku mengambil keputusan menerima cadangannya memilih F sebagai teman hidup.Maka bermula perancangannya yang aku sendiri tidak pernah terfikir.

Aku punyai perasaan belas dan simpati yang dalam.Aku dapat tahu F anak yatim.Ayahnya meninggal dunia pada tahun 1989 lalu.Lalu kepadanya dan UJ kukhabarkan bahawa aku bersedia memperisterikannya.Dia seorang yang berjiwa kasar.Puncanya kerana tidak mendapat perhatian dari ibu yang telah bersuami lain.Ayahnya juga telah berpisah dan hidup sendiri dengan isteri baru.Hidup hanyalah di sisi kakak sulung dan abangnya yang juga berlainan bapa.Dia tidak mahu hidup seperti ibu dan amat membenci lelaki...ayah tirinya.

12/3/1992 aku terima nikahnya dengan berwalikan hakim kerana dalam keluarganya tidak ada seorangpun yang muslim.Ijab dan qabul berlansung sekali lafaz di Masjid Qariah Paroi Jaya, Ampangan Seremban yang baru 5 bulan siap pembinaannya.Aku orang pertama mengakhiri zaman bujangku di situ.Hidupku ketika itu amat sederhana.Aku telah menerima ketentuan ini dengan redha.Aku menyukai dia kerana sifat tegas.Berbeza dengan aku...seorang yang mudah simpati.Dan sesuatu yang paling aku suka, F pandai menguruskan rumahtangga, hemat berbelanja.Terus terang aku katakan bahawa aku tidak pernah menikmati makanan seenaknya sebelum kahwin.Sebagai orang bujang, aku makan ala kadar dan kerap pula sekali dalam sehari.Namun selepas nikah sehingga kini aku makan apa saja yang disediakan olehnya.Itulah rahmat.Itulah barakah.

F seorang yang matang berfikir.Mungkin kerana sepanjang bergelar anak dara tidak ada istilah menganggur baginya.Pengalaman bekerja seawal usia muda membantunya banyak bergaul dengan masyarakat.Apa yang kutahu dia juga pernah menjadi guru kelas memasak sewaktu di KEMAS dulu.Mengajar menjahit, menyulam, tekat menekat pendek kata yang berkaitan dengan seni rumahtangga.Aku sangat berterima kasih kerana dianugerah seorang isteri yang sudah melengkapi sebahagian hidupku yang kosong.

Kerja dakwah dan ziarah kami juga bertambah mudah.Unit Ukhuwah tidak lagi bimbang kerana aku dan isteri boleh menjalankan program tersebut berdua.Kursus-kursus kefahaman Islam kepada saudara baru pula UJ serahkan kepada kami sebagai pengelola merangkap pemudahcara.Tanpa perlu memikirkan batasan syarak, aku dan F berjaya mengadakan dan membantu program unit Ukhuwah berjalan lancar.

Aku telah menjadi suami kepada seorang gadis yang kukenal sejak lima bulan yang lalu.Singkat.Tidak sempat mengenal hati dan budi dulu sebagaimana istilah zaman ini.Tidak ada istilah dating.Cinta...??, kurasa nikmatnya setelah berumahtangga.Dia, memberitahuku saat mula terpandang aku hatinya mudah berdebar walau sehingga ke hari ini.Melihatku hati jadi kasihan.Entahlah..muka kesian kot.

Rakan dan taulan mengucapkan tahniah.Ada yang bergurau.Antara aku dan F seperti air dan api.Manakan tidak aku lembut dan mudah simpati sementara F, tegas.Mungkin ketidaksamaan itulah rahmat.Ujian memang sentiasa ada selama kita bergelar manusia.Dan yang penting aku terima nikahnya...!

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...