Hujung Disember 1983, aku menggalas beg berwarna kelabu. Menuju ke
perhentian bas di luar kampong yang jaraknya lebih kurang 200 meter dari rumah. Kampung
ayahku berdekatan dengan jalan besar antara pekan Simpang Pertang dan Simpang
Durian, Jelebu Negeri Sembilan. Aku ditemani ayah yang menghantar aku ke situ. Akulah
satu-satunya anak kampong ayahku yang berjaya melanjutkan pelajaran ke
peringkat tinggi (diploma). Waktu itu orang kampong sudah tahu aku belajar di
mana dan mereka menghormati aku. Jauh dalam hati, aku tahu ayahku juga turut berbangga
kerana kejayaan yang aku sedang nikmati ketika itu. Sejak kecil ayah selalu
menemani ku menghantar aku ke sekolah dengan basikal. Aku masih ingat ketika
darjah satu aku duduk di belakang sementara ayah mengayuh basikal jenama Hercules.
Kini aku sudah remaja berusia 18 tahun. Aku belajar di negeri orang. Sudah
pandai membawa diri dan mengurus diri sendiri.Ayah pasti bangga kerana penat
lelah memberiku peluang belajar sewaktu
kecil telah berbalas.Namun ada rentak rasa yang tidak indah membisik di dalam
hati bila memandang wajah ayah.Mungkin ayah terkilan kerana tidak dapat
memberikan persediaan yang terbaik untukku.Ya soal wang saku.Aku hanya pergi
meneruskan pelajaran hanya dibekalkan sebanyak RM50.00 untuk tambang dan makan.Aku
faham kenapa.
Ayah baru pencen dari perkhidmatan kerajaan dan wang pencen sementara
yang diterima sebanyak RM172.00 sebulan saja.Dengan wang sebanyak itu, ayah
terpaksa menyara kami sekeluarga seramai 10 orang.Ketika itu pihak bekas
majikan masih meneliti fail perkhidmatan ayah kerana ayah memasuki askar ketika tahun 1963 dan
rekod perkhidmatannya tidak dikemaskini sebaik-baiknya.Aku pasrah.Aku tidak
pernah menunjukkan rasa tidak puashati.Aku tahu kesusahan ayah.Pergilah aku
meneruskan pendidikan seni dengan berbekalkan RM 50.00 saja.
Aku akan membalas segala jasa ayah satu hari nanti.Aku tidak memikirkan
sangat tentang wang kerana di ITM, segala makan minum ditanggung sepenuhnya
oleh pihak itu.Samada rajin atau tidak saja berjalan menuju dewan makan di Kolej Seroja yang jarak lebih
300 meter itu.Cuma yang merisaukan ialah barang-barang keperluan stationary
untuk melukis dan menulis.Harga barang keperluan pembelajaran agak mahal.Aku pernah
mencari alatan melukis sekitar Kuala Lumpur memang mahal harganya.
Setelah bas sampai pagi itu aku pun memohon pergi dari ayah yang setia
menunggu.Ayah menasihatiku supaya rajin belajar.Aku menaiki bas United dan
fikiran mula melayang-layang.Suasana kehijauan belukar di kiri kanan jalan
mengucapkan selamat jalan kepadaku.Aku akan menuju ibukota Kuala Lumpur dan
selepas itu berebut-rebut dengan penghuni kota untuk ke Shah Alam di Bas Stand
Klang.Ketika itu aku tidak lagi terperangkap oleh rasa rindu meninggalkan
keluarga.Aku sudah lali, lagipun jarak kampong di Negeri Sembilan dan Shah Alam
bukan jauh sangat.Kalau balik pada pagi hari, waktu tengahari sudah tiba di kampong.Berbanding
sewaktu tinggal di Pengkalan Hulu, Perak dulu.
Aku akan meneruskan belajar ke sem 2, tahun 1984.Semester terakhir bagi
pelajar sebelum diserapkan ke jabatan seni mengikut kecenderungan dan keputusan
ujian semester masing-masing.Aku masih lagi kabur.Aku meminati Seni Halus (fine
arts) namun kata rakan-rakan aku pandai mengeksplotasi warna-warna.Aku bijak
bermain dengan warna.Agaknya betul juga kerana seorang pensyarah pernah memuji
teknik pemisahan warna sewaktu aku melukis warung mamak di ruang gelap dan
cerah warung itu, walaupun menggunakan warna yang sama.Jadi bidang grafik lebih sesuai
untukku.Namun aku terima apa saja keputusannya nanti di hujung semester nanti.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.