Kenangan itu sudah lama berlalu. Tidak pernah kubawa kesal berpanjangan dalam perjalanan hidup ini. Aku sedar bahawa meratap perkara silam tidak akan memberi manfaat untuk masa depan. Sebaliknya, aku telah menyuburkan hati dengan keyakinan bahawa semua yang terjadi adalah proses mendewasakan jiwa, membentuk pemikiran, tindakan, dan emosi. Setiap kehidupan punya pengalaman, dan setiap pengalaman memberikan pilihan—sama ada mendewasakan atau menenggelamkan kita dalam kesedihan yang tiada penghujung.
Di sini ingin kuabadikan satu kenangan setahun yang lalu. Aku sering kali menadah tangan, memohon agar rasa bersalah ini berakhir. Ada saat-saat aku bangkit di tengah malam untuk solat hajat, hanya untuk merayu kepada-Nya agar mengampunkan dosa terhadap seseorang yang pernah kulukakan.
Jawapan dari Tuhan hadir tak lama selepas itu, mungkin memang sudah tertulis begitu. Di dunia maya, secara kebetulan aku melihat imej seseorang yang pernah dekat di hati. Aku menghubunginya untuk bertanya khabar, dan ketahuilah, cita-citanya menjadi seorang "ustazah" telah tercapai. Dia sudah bersuami dan punya anak-anak, dan aku merasa senang melihat kebahagiaannya. Dalam kesempatan itu, aku melafazkan kata maaf dari lubuk hati kerana kesilapan lalu yang mungkin pernah menyakiti dirinya.
Dia menjawab dengan lembut, "Tidak ada apa yang perlu dimaafkan, semuanya sudah berlalu." Kata-katanya itu, masih kuingat sampai kini. Jiwa yang penuh kasih itu kini menjadi ibu kepada enam anak kandung serta ibu angkat kepada anak-anak yatim. SubhanAllah. Nabi pernah bersabda, “Aku dan pengasuh anak yatim di syurga nanti seperti ini,” sambil baginda mendekatkan jari telunjuk dan jari tengah.
Kini, kenangan itu telah berlalu, namun bekasnya masih terasa di hati, tenang setelah disirami kemaafan. Kesempatan yang Allah berikan itu telah kutunaikan sebaik mungkin. Aku hanya ingin memohon maaf sebelum kesilapan itu menjadi titik hitam dalam hidupku.
Beberapa bulan kemudian, aku dikejutkan dengan berita pemergiannya melalui seorang rakan di Facebook. Kali terakhir kami berhubung adalah lapan bulan sebelumnya. Pada 30 April 2011, dia meninggalkan dunia ini untuk menuju alam akhirat.
Terima kasih, ya Allah, kerana memberi ruang kepadaku untuk memperbetulkan segala-galanya. Doa yang sering kupanjatkan akhirnya dijawab. Engkau Maha Mendengar.
Untuk keluarga arwah, semoga sabar dan tabah menjadi pelindung iman mereka. Buat rakan-rakan yang mengenalinya, marilah kita sedekahkan al-Fatihah. Kita juga akan ke sana satu hari nanti, insyaAllah.