`Ini gambar yang aku
jumpa sewaktu aku dan famili berkunjung ke Muzium Orang Asli Batu 12
Gombak, Selangor. Ini adalah ayahku sewaktu menjalani latihan rekrut pasukan
Senoi Praaq pada tahun 1963.Waktu tu aku pun belum lahir lagi. Agaknya ibuku pun
belum berjumpa dengan ayah. Ayahku seorang yang buta huruf tetapi telah mula bekerja
dengan kerajaan British. Sewaktu darurat mereka diambil bekerja kerana kepakaran yang dimiliki mereka
bila berada di dalam hutan belantara.
Mengikut
cerita dari ibuku dan ayahku juga, ayahku dulu adalah seorang bekas anggota komunis yang bergerak di sempadan N.Sembilan dan Pahang. Tidak banyak yang aku
ketahui cerita beliau ketika berada di dalam komunis dulu. Ibuku bercerita
bahawa bukanlah kerelaan ayahku untuk menjadi komunis. Sebenarnya mereka adalah
pemuda biasa orang asli yang mencari rezeki di dalam hutan di
Jelebu, N.Sembilan. Ayahku sudah berkahwin ketika itu dengan seorang perempuan
dari Kampung Sawah, Jelebu, N.Sembilan dan telah dan telah bercerai, mempunyai seorang anak bernama
Abas.
Ayah
bersama kawan sekampungnya bernama Batin Manaf mencari hasil hutan seperti rotan dan kayu gaharu ketika mereka
berdua ditahan dan dibawa lari masuk jauh dalam ke hutan. Mereka dikurung dan tidak diberi
makan berhari-hari dalam usaha memaksa mereka turut sama berjuang dengan
komunis. Ayah memang mengenali pengganas-penganas itu kerana mereka penduduk
tempatan di daerah Jelebu.
Ketika
di dalam tahanan komunis ayah dan kawannya telah dikurung di dalam sebuah
tahanan berupa pondok dan diikat serta diberi minum saja. Ada ketika diberi minum air sabun dan disuruh berbaring lalu dipijak perut sehingga memuntahkan kembali air sabun tadi. Tujuan anggota komunis berbuat
demikian adalah bertujuan memaksa mereka menjadi anggota komunis kerana kemahiran orang asli tentang hutan belantara. Mengikut cerita ibu mereka
berdua bercadang untuk melarikan diri tetapi ayahku tidak setuju kerana takut
dibunuh komunis tersebut. Bagaimanapun setelah berminggu ayah dan kawannya
ditahan akhirnya kawan ayah dapat meloloskan diri dan
melarikan diri. Ayah pernah bercerita bagaimana marahnya komunis-komunis itu bila
tahu kawan ayah dapat melarikan diri. Mereka mengejar dan cuba menjejaki
kawan ayah tapi sebagai seorang yang arif selok belok hutan Batin Manaf yang mempunyai ilmu kebatinan tidak dapat dikesan. Apa yang pernah diceritakan, Batin Manaf terjun ke sungai dan menyorok dibawah rebak kayu ( batang-batang kayu di dalam sungai)
Akhirnya
ayah dilarikan jauh ke dalam hutan di sekitar sempadan Jelebu dan Pahang dan tinggal bersama dengan anggota selama lapan tahun. Semasa
hayat ayah masih ada pernah ayah bercerita serba sedikit tentang
hutan-hutan yang pernah menjadi laluan dan tempat mereka berlindung dari
pasukan keselamatan. Setelah lama tinggal dan dipujuk komunis akhirnya ayah menjadi
sebahagian dari mereka. Ayah tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang komunis
dan apa matlamat yang mereka perjuangkan. Maklumlah tidak pernah bersekolah. Kata ibu ayah
telah menjadi anak yatim ketika kecilnya. Nenekku telah berkahwin dengan orang melayu di sekitar kampong Melayu di Simpang
Durian.
Tidak
dapat dipastikan samada nenekku itu memeluk agama Islam atau tidak tetapi ayah
memberitahu bahawa kubur nenekku itu berada di Kg
Jerang, Jelebu, Negeri Sembilan. Tapi kuburnya jauh dari kubur yang lainnya. Ketika itu ayah
berusia sekitar 3 atau 4 tahun.
Ibu
melanjutkan penceritaan, ketika ayah menjadi sebahagian daripada mereka ayah pernah
terlibat dengan keganasan. Mereka pernah menyerang hendap bas awam dan membunuh
orang yang tidak berdosa. Tetapi kata ibu, ayah hanya memerhati perlakuan
pengganas. Ayah tidak terlibat dengan perbuatan mereka. Ayah memberitahu ibu bahawa ayah tidak terlibat membunuh orang awam
di dalam bas tersebut tetapi sebaliknya komunislah yang bertindak membunuh dan tidak mengindahkan rayuan mereka. Habis
kesemua penumpang dibunuh. Ibu memberitahu ayah pernah berasa sedih dan kesal melihat perlakuan kejam rakan komunisnya. Tugas ayah hanya mencari jalan melarikan diri dalam hutan. Selepas itu bas tersebut dibakar
bersama mayat mereka.
Ayah juga pernah bercerita ayah hanya terlibat dengan pertempuran dengan askar. Tetapi ayah tidak mengangkat senjata.
Sekitar
akhir tahun hujung 1950’an. Ibu bercerita bagaimana akhirnya ayah ditangkap oleh askar British. Mengikut cerita ibu, askar British telah membuat risikan untuk mengenalpasti siapa penduduk orang asli yang telah menyertai PKM. Bila maklumat telah diperolehi, unit siasatan mengumpan ayah keluar dari hutan dengan meminta orang kampung yang keluar masuk hutan membuat cerita yang saudara terdekat ayah sakit dan meminta ayah datang berjumpa sebelum meninggal dunia. Ayah mempercayai cerita tersebut dan termakan umpan lalu keluar dari hutan dan balik ke kampung. Ayah telah ditangkap oleh askar. Ayah
pernah beritahu kami, dia ditahan di lokap balai polis Kuala Klawang, Jelebu, N.Sembilan, dibicarakan dan
didapati bersalah kerana menjadi sebahagian anggota pengganas komunis. Menurut
cerita ibu ayah dijatuhi hukuman gantung tapi terlepas hukuman tersebut. Ayah dibantu oleh seorang pakcik yang dipanggil Aki Hitam yang datang dari Gombak, Selangor. Ketika ayah
ditahan di penjara balai di Kuala Klawang. Aki Hitam selalu melawat ayah pada hari Jumaat dan memberi ayah makan
sirih dan pinang yang telah dijampi. Aku tidak tahu bagaimana ayah terlepas dari
hukuman tapi ayah bercerita dia hanya diberi amaran sahaja. Begitulah
ceritanya.
Kemungkinan pihak askar British telah berfikir balik untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai pengganas komunis daripada ayahku. Rugi jika dihukum mati. Selepas beberapa lama ayah telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Senoi Praaq sebagai pertukaran di bawah tahanan yang ditawan atau SEP (Surrender Enemy Personal). Sejak itu ayahku menjadi askar dengan nombor badan AAP 112 atau Abroginal Auxiliary Police.
Kemungkinan pihak askar British telah berfikir balik untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai pengganas komunis daripada ayahku. Rugi jika dihukum mati. Selepas beberapa lama ayah telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Senoi Praaq sebagai pertukaran di bawah tahanan yang ditawan atau SEP (Surrender Enemy Personal). Sejak itu ayahku menjadi askar dengan nombor badan AAP 112 atau Abroginal Auxiliary Police.