30 October 2007

semalam yang berlalu...

...melihat ke belakang, terlalu banyak kisah yang ingin dipaparkan. Seakan mahu dituliskan dalam ruang sesempit ini. Nantila... akan aku jelaskan jua. 

Setiap detik dan pengalaman yang ku lalui, dari saat-saat sukar hingga yang menggembirakan, semua itu membentuk siapa diriku hari ini. Ada saat-saat indah bersama rakan-rakan yang tidak mungkin dapat dilupakan, dan juga pelajaran berharga yang datang dari kesulitan. 

Aku ingin menulis tentang perjalanan hidupku, tentang harapan dan impian, tentang bagaimana aku berusaha untuk mencari jati diri di tengah-tengah pelbagai cabaran. Semua itu adalah sebahagian daripada kisah yang ingin ku kongsikan. Biarlah setiap patah kata menjadi cermin kepada perjalanan yang telah dilalui. Nantikan, kerana setiap cerita itu berharga dan layak untuk dikenang.

28 August 2007

Ayahku seorang askar..(Senoi Praaq 1962 - 1983)



`Ini gambar yang aku jumpa sewaktu aku dan famili berkunjung ke Muzium Orang Asli Batu 12 Gombak, Selangor. Ini adalah ayahku sewaktu menjalani latihan  rekrut pasukan Senoi Praaq pada tahun 1963.Waktu tu aku pun belum lahir lagi. Agaknya ibuku pun belum berjumpa  dengan ayah. Ayahku seorang yang buta huruf tetapi telah mula bekerja dengan kerajaan British. Sewaktu darurat mereka diambil bekerja kerana kepakaran yang dimiliki mereka bila berada di dalam hutan belantara.

Mengikut cerita dari ibuku dan ayahku juga, ayahku dulu adalah seorang bekas anggota komunis yang bergerak di sempadan N.Sembilan dan Pahang. Tidak banyak yang aku ketahui cerita beliau ketika berada di dalam komunis dulu. Ibuku bercerita bahawa bukanlah kerelaan ayahku untuk menjadi komunis. Sebenarnya mereka adalah pemuda biasa orang asli yang mencari rezeki di dalam hutan di Jelebu, N.Sembilan. Ayahku sudah berkahwin ketika itu dengan seorang perempuan dari Kampung Sawah, Jelebu, N.Sembilan dan telah dan telah bercerai, mempunyai seorang anak bernama Abas.

Ayah bersama kawan sekampungnya bernama Batin Manaf mencari hasil hutan seperti rotan dan kayu gaharu ketika mereka berdua ditahan dan dibawa lari masuk jauh dalam ke hutan. Mereka dikurung dan tidak diberi makan berhari-hari dalam usaha memaksa mereka turut sama berjuang dengan komunis. Ayah memang mengenali pengganas-penganas itu kerana mereka penduduk tempatan di daerah Jelebu.

Ketika di dalam tahanan komunis ayah dan kawannya telah dikurung di dalam sebuah tahanan berupa pondok dan diikat serta diberi minum saja. Ada ketika diberi minum air sabun dan disuruh berbaring lalu dipijak perut sehingga memuntahkan kembali air sabun tadi. Tujuan anggota komunis berbuat demikian adalah bertujuan memaksa mereka menjadi anggota komunis kerana kemahiran orang asli tentang hutan belantara. Mengikut cerita ibu mereka berdua bercadang untuk melarikan diri tetapi ayahku tidak setuju kerana takut dibunuh komunis tersebut. Bagaimanapun setelah berminggu ayah dan kawannya ditahan akhirnya kawan ayah dapat meloloskan diri dan melarikan diri. Ayah pernah bercerita bagaimana marahnya komunis-komunis itu bila tahu kawan ayah dapat melarikan diri. Mereka mengejar dan cuba menjejaki kawan ayah tapi sebagai seorang yang arif selok belok hutan Batin Manaf yang mempunyai ilmu kebatinan tidak dapat dikesan.  Apa yang pernah diceritakan, Batin Manaf terjun ke sungai dan menyorok dibawah rebak kayu ( batang-batang kayu di dalam sungai)

Akhirnya ayah dilarikan jauh ke dalam hutan di sekitar sempadan Jelebu dan Pahang dan tinggal bersama dengan anggota selama lapan tahun. Semasa hayat ayah masih ada pernah ayah bercerita serba sedikit tentang hutan-hutan yang pernah menjadi laluan dan tempat mereka berlindung dari pasukan keselamatan. Setelah lama tinggal dan dipujuk komunis akhirnya ayah menjadi sebahagian dari mereka. Ayah tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang komunis dan apa matlamat yang mereka perjuangkan. Maklumlah tidak pernah bersekolah. Kata ibu ayah telah menjadi anak yatim ketika kecilnya. Nenekku telah berkahwin dengan orang melayu di sekitar kampong  Melayu di Simpang Durian.

Tidak dapat dipastikan samada nenekku itu memeluk agama Islam atau tidak tetapi ayah memberitahu bahawa kubur nenekku itu berada di Kg Jerang, Jelebu, Negeri Sembilan. Tapi kuburnya jauh dari kubur yang lainnya. Ketika itu ayah berusia sekitar 3 atau 4 tahun. 

Ibu melanjutkan penceritaan, ketika ayah menjadi sebahagian daripada mereka ayah pernah terlibat dengan keganasan. Mereka pernah menyerang hendap bas awam dan membunuh orang yang tidak berdosa. Tetapi kata ibu, ayah hanya memerhati perlakuan pengganas. Ayah tidak terlibat dengan perbuatan mereka. Ayah memberitahu ibu bahawa ayah tidak terlibat membunuh orang awam di dalam bas tersebut tetapi sebaliknya komunislah yang bertindak membunuh dan tidak mengindahkan rayuan mereka. Habis kesemua penumpang dibunuh. Ibu memberitahu ayah pernah berasa sedih dan kesal melihat perlakuan kejam rakan komunisnya. Tugas ayah hanya mencari jalan melarikan diri dalam hutan. Selepas itu bas tersebut dibakar bersama mayat mereka.

Ayah juga pernah bercerita ayah hanya terlibat dengan pertempuran dengan askar. Tetapi ayah tidak mengangkat senjata.

Sekitar akhir tahun hujung 1950’an. Ibu bercerita bagaimana akhirnya ayah ditangkap oleh askar British. Mengikut cerita ibu, askar British telah membuat risikan untuk mengenalpasti siapa penduduk orang asli yang telah menyertai PKM. Bila maklumat telah diperolehi, unit siasatan mengumpan ayah keluar dari hutan dengan meminta orang kampung yang keluar masuk hutan membuat cerita yang saudara terdekat ayah sakit dan meminta ayah datang berjumpa sebelum meninggal dunia. Ayah mempercayai cerita tersebut dan termakan umpan lalu keluar dari hutan dan balik ke kampung. Ayah telah ditangkap oleh askar. Ayah pernah beritahu kami, dia ditahan di lokap balai polis Kuala Klawang, Jelebu, N.Sembilan,  dibicarakan dan didapati bersalah kerana menjadi sebahagian anggota pengganas komunis. Menurut cerita ibu ayah dijatuhi hukuman gantung tapi terlepas hukuman tersebut. Ayah dibantu oleh seorang pakcik yang dipanggil Aki Hitam yang datang dari Gombak, Selangor. Ketika ayah ditahan di penjara balai di Kuala Klawang. Aki Hitam selalu melawat ayah pada hari Jumaat dan memberi ayah makan sirih dan pinang yang telah dijampi. Aku tidak tahu bagaimana ayah terlepas dari hukuman tapi ayah bercerita dia hanya diberi amaran sahaja. Begitulah ceritanya. 

Kemungkinan pihak askar British telah berfikir balik untuk mendapatkan banyak maklumat mengenai pengganas komunis daripada ayahku. Rugi jika dihukum mati. Selepas beberapa lama ayah telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Senoi Praaq sebagai pertukaran di bawah tahanan yang ditawan atau SEP (Surrender Enemy Personal). Sejak itu ayahku menjadi askar dengan nombor badan AAP 112 atau Abroginal Auxiliary Police.

jengah sekejap

...Mendapatkan notebook baru ini bagaikan memberi nafas segar, membuka peluang untuk kembali menulis dengan lebih konsisten. Dalam beberapa bulan terakhir, terasa banyak cerita yang tak terluah. Tumpukan kerja di pejabat memang semakin menyesakkan, dan dalam tempoh sibuk itulah blog ini terabai.

Namun, setiap kali aku teringatkan Kroh, kampung halaman dan kenangan di takung, rasa rindu itu kembali menyemarakkan keinginan untuk menulis. Setiap bait yang aku tulis akan membawa aku lebih dekat dengan memori yang perlahan-lahan hilang dari ingatan — dan inilah sebabnya blog ini begitu penting bagi aku. Ia adalah diari digital, satu cara untuk aku menyimpan dan berkongsi perjalanan hidup ini.

Selepas ini, aku akan pastikan ruangan ini kembali dihidupkan. Mungkin ada antara kamu yang seperti aku, menjadikan menulis sebagai satu terapi. Maka, teruskanlah membaca dan insya-Allah aku akan kongsi lebih banyak kisah yang mungkin membawa senyuman atau renungan buat yang membacanya.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...