02 August 2012

Aku dan Al-Alqam Oktober 1985

Sejak dulu, ingin sekali aku abadikan dalam blog yang tak seberapa ini satu kisah yang aku rahsiakan jauh dari sudut hati.Malah terkadang aku hampir terlupa apakah aku pernah melaluinya.Sebuah kisah yang bagiku amat peribadi.Tapi kerana tiada nilainya kini maka aku akan beranikan diri menulis kisah ini.

Satu waktu di awal pengIslamanku, aku telah ceritakan bahawa aku pernah menumpang hidup bersama jemaah Al-Arqam di Kuala Pilah,N.Sembilan pada penghujung tahun 1985 sehingga penghujung tahun 1986.Aku pernah belajar di sekolah-sekolah naungan al-Arqam.Cara pendidikan yang lebih kepada sistem pondok.Mengaji , menadah kitab-kitab bertalaqqi dan tarbiyah tazkirah.Bermula dari situ minatku mendalami Islam semakin parah.Aneh..jika dibandingkan kehidupan remajaku suatu masa dahulu.Ustaz-ustaz yang tinggal bersama dan mengajarku bukan calang-calang orang kerana mereka juga adalah ustaz-ustaz di sekolah-sekolah kerajaan.Keinginan ikhlas mereka mengamalkan semua ajaran Islam telah membuka mindaku tentang Islam yang lain dari dunia luar yang kulalui suatu ketika dulu. 

         Beruntungnya aku kerana terus terlontar ke dalam satu jemaah Islamiah yang mengamalkan Islam dari sudut yang berbeza.Apa tidaknya berjubah berserban, purdah dan telekung labuh bagi kaum perempuanya.Semuanya pusingan 360 darjah bagi kehidupanku yang dulu.Teramat asing.Pada mulanya aku hanya menginginkan kehidupan setelah Islam yang biasa-biasa saja.Memandangkan usiaku yang sudah mencecah 20 tahun ketika itu.Mana mungkin Islam akan kupelajari sedalam-dalamnya.Tapi takdir Allah siapa bisa menafikan.Itu juga kehendakNya.Aku tidak lagi berseluar jeans dan memetik gitar hadiah ayahku.Gitar itu pun sudah diambil oleh pakcikku di Pahang pada ketika sepanjang ketiadaanku di kampung.Kasut bola Adidas Worldcup La Plata pun habis dikebasnya.

Aku hidup di kelilingi orang-orang yang membesarkan Allah.Aku lihat suasana kehidupan yang yang begitu unik.Malam Isnin dan Khamis dipenuhi tahlil dan berzanji.Siangnya mereka berpuasa sunat.Makan sekawan dalam talam.Solat lima waktu yang sentiasa tepat berjemaah.Solat sunat siang dan malam dinihari menjadi rutin.Usrah dan tarbiah sekali seminggu.Wanita dan lelaki diasingkan sebaik mungkin.Tidak pernah ada dan tidak pernah kedengaran kata-kata cela nista apatah lagi umpat mengumpat sesama mereka.Ketika itu keterujaanku untuk mendalami Islam makin dalam.

Aku semakin ingin mendalami ilmu-ilmu agama kerana ingin mencontohi mereka dan sifat-sifat para ‘alimin.Apatah lagi kisah-kisah sahabat dan Rasulullah yang kubaca menampakkan banyak yang tidak kutahu.

Minatku untuk mendalami agama yang baru aku anuti semakin mengujakan.Kerapkali di dalam jemaah Al-Arqam rakan-rakan bercerita tentang kehebatan pondok-pondok pengajian agama di pantai-pantai Timur Semenanjung.Ada pula yang memang keluaran pondok-pondok mengkisahkan pengalaman belajar di pondok-pondok hebat ini sehingga aku terpaku mendengarnya.Apatah lagi kisah-kisah misteri guru-guru pondok yang alim.

Semua itu menjadikan jiwaku resah gelisah kerana ingin merasai pengalaman belajar di pondok pengajian agama.Untuk itu aku bertekad menjual motorsikal Yamaha Y88 ku yang dibeli pada tahun 1985 dulu secara cash (duit pencen abahku).Dengan duit itu aku pun ke utara semenanjung mengunjungi saudaraku sebelah ayah yang berasal dari Kelantan.Mungkin ini satu perjalanan yang akan menyampaikan aku ke sana nanti.Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...