Sejak
dulu, ingin sekali aku abadikan dalam blog yang tak seberapa ini satu kisah
yang aku rahsiakan jauh dari sudut hati.Malah terkadang aku hampir terlupa
apakah aku pernah melaluinya.Sebuah kisah yang bagiku amat peribadi.Tapi kerana
tiada nilainya kini maka aku akan beranikan diri menulis kisah ini.
Satu
waktu di awal pengIslamanku, aku telah ceritakan bahawa aku pernah menumpang
hidup bersama jemaah Al-Arqam di Kuala Pilah,N.Sembilan pada penghujung tahun
1985 sehingga penghujung tahun 1986.Aku pernah belajar di sekolah-sekolah
naungan al-Arqam.Cara pendidikan yang lebih kepada sistem pondok.Mengaji , menadah
kitab-kitab bertalaqqi dan tarbiyah tazkirah.Bermula dari situ minatku
mendalami Islam semakin parah.Aneh..jika dibandingkan kehidupan remajaku suatu
masa dahulu.Ustaz-ustaz yang tinggal bersama dan mengajarku bukan calang-calang
orang kerana mereka juga adalah ustaz-ustaz di sekolah-sekolah
kerajaan.Keinginan ikhlas mereka mengamalkan semua ajaran Islam telah membuka
mindaku tentang Islam yang lain dari dunia luar yang kulalui suatu ketika dulu.
Beruntungnya aku kerana
terus terlontar ke dalam satu jemaah Islamiah yang mengamalkan Islam dari sudut
yang berbeza.Apa tidaknya berjubah berserban, purdah dan telekung labuh bagi
kaum perempuanya.Semuanya pusingan 360 darjah bagi kehidupanku yang dulu.Teramat
asing.Pada mulanya aku hanya menginginkan kehidupan setelah Islam yang
biasa-biasa saja.Memandangkan usiaku yang sudah mencecah 20 tahun ketika
itu.Mana mungkin Islam akan kupelajari sedalam-dalamnya.Tapi takdir Allah siapa
bisa menafikan.Itu juga kehendakNya.Aku tidak lagi berseluar jeans dan memetik gitar hadiah
ayahku.Gitar itu pun sudah diambil oleh pakcikku di Pahang pada ketika sepanjang
ketiadaanku di kampung.Kasut bola Adidas
Worldcup La Plata pun habis dikebasnya.
Aku
hidup di kelilingi orang-orang yang membesarkan Allah.Aku lihat suasana
kehidupan yang yang begitu unik.Malam Isnin dan Khamis dipenuhi tahlil dan
berzanji.Siangnya mereka berpuasa sunat.Makan sekawan dalam talam.Solat lima
waktu yang sentiasa tepat berjemaah.Solat sunat siang dan malam dinihari
menjadi rutin.Usrah dan tarbiah sekali seminggu.Wanita dan lelaki diasingkan
sebaik mungkin.Tidak pernah ada dan tidak pernah kedengaran kata-kata cela
nista apatah lagi umpat mengumpat sesama mereka.Ketika itu keterujaanku untuk
mendalami Islam makin dalam.
Aku
semakin ingin mendalami ilmu-ilmu agama kerana ingin mencontohi mereka dan
sifat-sifat para ‘alimin.Apatah lagi kisah-kisah sahabat dan Rasulullah yang
kubaca menampakkan banyak yang tidak kutahu.
Minatku
untuk mendalami agama yang baru aku anuti semakin mengujakan.Kerapkali di dalam
jemaah Al-Arqam rakan-rakan bercerita tentang kehebatan pondok-pondok pengajian
agama di pantai-pantai Timur Semenanjung.Ada pula yang memang keluaran
pondok-pondok mengkisahkan pengalaman belajar di pondok-pondok hebat ini
sehingga aku terpaku mendengarnya.Apatah lagi kisah-kisah misteri guru-guru
pondok yang alim.
Semua
itu menjadikan jiwaku resah gelisah kerana ingin merasai pengalaman belajar di
pondok pengajian agama.Untuk itu aku bertekad menjual motorsikal Yamaha Y88 ku yang dibeli pada tahun
1985 dulu secara cash (duit pencen abahku).Dengan duit
itu aku pun ke utara semenanjung mengunjungi saudaraku sebelah ayah yang
berasal dari Kelantan.Mungkin ini satu perjalanan yang akan menyampaikan aku ke
sana nanti.Insya Allah.